PENDEDAHAN TENTANG UG

PENDEDAHAN UST AHMAD AWANG WUJUDNYA UG KETIKA PENUBUHAN KERAJAAN PAS PERAK. 

 

OLEH: AL HUSSEYN

 

 

 

 

  Dan saya percaya InsyaAllah Pas akan terus kehadapan maju terutama sekali yg telah di tegas tadi, di ulang-ulang oleh pelbagai perwakilan tentang bagaimana kita tidak sepatutnya berfikir yg kita hendak berpakat dengan Umno..

 Yg itu saya katakan itulah pendirian kita dan kita memperkasakan Pakatan Rakyat. Jadi dalam hal ini kerana ada pihak perwakilan yg ada mengatakan tadi bila cakap bab Umno, siapalah diantara kita ini yg mereka tu nak berunding nak pergi bersama dengan Umno...?? 

 Saya nak bagi tahu ketika kami di Perak membuat keputusan dulu tegas sungguh untuk tidak bersama dengan Umno dan putuskan dah bersama Pakatan Rakyat... belum bernama Pakatan Rakyat untuk bersama DAP dan PKR.

 Saya dihubungi oleh pimpinan tertinggi.. "Tak bolehkah kaji keputusan itu untuk kita bersama parti bersama Umno.." 

 Ada saudara-saudara.. Jadi jangan cakap tak ada. Cuma saya tak nak sebut siapa. Tapi saya nak katakan ada.. Sebab itu janganlah saudara-saudara terus membuat keputusan seolah-olah Pas semua yang ada dalam ini tidak yang berfikir begitu.. Ada..!!









Kumpulan UG Pasti Binasa, Demikian Hukum Alamiah....


Selepas Jebon, Parasit Pula?

Baru-baru ini satu gambar pamplet yang bertajuk “Siapakah perosak sebenar PAS?” tersebar melalui media sosial WhatsApp. Di bawah tajuk itu tercatit pula takrif perkataan ‘parasit’. Di dalam pamplet tersebut disenaraikan pula 8 pimpinan PAS yang digelarkan sebagai ‘parasit’ dengan urutan ranking tertentu.

Nampak gaya seolah-olah satu atau dua gelaran tidak memadai dalam usaha golongan ini menjatuhkan pemimpin. Sebaliknya mereka memanafaatkan gelaran sebanyak mana yang mungkin demi mencapai matlamat mereka. ‘Jebon’, ‘Parasit’, ‘Anwarinas’, ‘anti-ulama’, ‘anti-hudud’, ‘liberal’, ‘sekular’ dan apa sahaja yang mungkin digunakan untuk menimbulkan kebencian terhadap kumpulan pemimpin ini. Samada gelaran ini betul atau pun tidak, benar ataupun fitnah, tidak langsung diendahkan. Yang penting, berjaya ditanam kebencian terhadap mereka ini.

Golongan tukang label ini menggelarkan diri mereka sebagai ‘pro-ulama’ tetapi hakikatnya, perangai mereka lebih sesuai dengan gelaran ‘geng-juhala’. Ini adalah kerana hanya yang jahil akan bersikap dan bertindak seperti mereka. Kononnya mereka lakukan demi menyokong calon ‘ulama’ dalam Muktamar. Kalau benar, maka saya harap calon ulama ini bukan jenis yang ‘bisu’, tidak menegur kejahilan dan kejahatan penyokong.

ASAL USUL GELARAN ‘PARASIT’

Setakat mana saya ingat, orang yang mula-mula gunakan gelaran ‘parasit’ adalah Dato Dr. Hassan Ali. Bersama beberapa pengikut tegarnya, DDHA menggunakan gelaran itu terhadap mereka yang menentang hajatnya untuk PAS membentuk kerajaan bersama UMNO/BN di Selangor pada 2008 dengan dirinya sendiri sebagai MB Selangor. Tidak sangka masih ada yang sanggup menjadi ‘tukang-tiru’ kaedah DDHA dalam PAS! Berkemungkinan juga mereka adalah orang-orang yang sama yang merupakan ‘tukang-tiru’ Zul Nordin pencipta gelaran ‘Anwarinas’!



Selepas ghaibnya DDHA dan ZN, budaya gelar-menggelar dan label-melabel diteruskan ‘tukang-tiru’ dengan turut tersebarnya gelaran baru yang dicipta mereka!

SIAPA PARASIT SEBENAR?

Parasit ditakrifkan oleh pengarang pamplet sebagai “menumpang pada tubuh dan menghisap segala zat dari tubuh itu. Parasit kenyang, namun tubuh yang ditumpangi itu semakin rosak dan lunyai”.

Bagi pandangan saya, 8 pemimpin yang digelar sebagai ‘parasit’ (termasuk saya), tidak menepati takrif di atas. Malahan ianya lebih sesuai digunakan terhadap golongan ‘geng-juhala’ yang baru muncul ini. Ini adalah kerana 8 pemimpin yang digelar ‘parasit’ ini sebenarnya telah bersama PAS sejak PAS parti lemah yang tidak mendapat sambutan, samada dari orang Islam atau bukan Islam. Keterlibatan kami sejak tahun 80an semasa PAS tidak mempunyai Ahli Parlimen ataupun ADUN kecuali sedikit dan hanya di Pantai Timur. Dan melalui maklumbalas yang diterima, usaha kecil kami bersama ahli PAS yang komited memperjuangkan Islam telah menyumbang kepada bertambah kuatnya PAS dan bukan sebaliknya.

Atau adakah ada yang beranggapan PAS lebih kuat pada tahun 80an berbanding 1998 hingga 2013?

‘Parasit’ datang pada tubuh yang kuat dan menjadikannya lemah (seperti sekarang) dan bukan datang ke tubuh yang sedang ‘lemah’ dan membantu mengukuhkannya. Kemanisan manafaat atau ‘zat’ yang telah dihisap tidak lain dari celaan berselang kutukan masyarakat pada ketika itu serta ditahan di bawah ISA dan bermalaman di lock-up!

PARASIT MULA DATANG...

Tetapi sekarang, tubuh PAS sudah kuat dan kukuh. Maka amat menarik bagi ‘parasit’ datang menghinggap dan menghisap! Maka inilah masanya dan bukan 20 tahun dahulu!

Mereka muncul entah dari mana, muka baru yang melayari alam maya, menaburkan fitnah dan adu-domba. “Pemimpin ini Liberal, Sekular dan Plural. Mereka anti-ulama, anti-hudud dan ingin jatuhkan DS Presiden” kata mereka. Mereka menonjolkan diri, menggambarkan diri sebagai penyokong PAS tegar tetapi dengan setiap kejayaan yang mengukuhkan kedudukan mereka, PAS menjadi semakin berpecah dan semakin lemah.

Ukhuwwah dalaman semakin parah, hubungan dengan PR semakin retak, penerimaan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam semakin merosot. Sambil itu mereka bertambah ‘kenyang’. Disanjung atas sebab dianggap ulama. Laluan disediakan permaidani merah dan mereka inilah parasit sebenar.

Mereka hisap zat kekuatan PAS demi keuntungan peribadi. Mereka semakin kuat, PAS semakin lemah dan lunyai.

DUIT DATANG DARI MANA?

Ada juga yang bertanya, “buat pamplet ini banyak belanja. Mana datang duit?”

Adakah mustahil mereka ditaja? Oleh yang inginkan PAS dan PR berpecah untuk UMNO kekal memerintah.

KESIMPULAN

Nasihat ikhlas saya pada ‘tukang-tiru’ DDHA dan ZN, sekiranya kamu hendak gelar dengan gelaran menghina sekali pun, pilih-pilihlah. Silap-silap terkena batang hidung sendiri. Sudahlah akhlak terkutuk, nampak kebodohan lagi... bab duit, sila jawab sendiri.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD


Mujahid Yusof Rawa, ikon reformasi PAS

Mujahid Yusof Rawa, ikon reformasi PAS

Mujahid Yusof Rawa, ikon reformasi PAS

Kejutan yang dibuat oleh PAS Kawasan Bukit Gelugor yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa memilih bekas Naib Presdien PAS Ustaz Ahmad Awang sebagai calon presiden, mengenepikan Hadi adalah isyarat yang ditunggu-tunggu oleh puak pembaharuan dalam PAS.

Mujahid merupakan AJK PAS Pusat dan berpendidikan agama sehingga doktor falsafah. Kesannya tidak sama sekiranya PAS Kawasan Shah Alam, misalnya berjaya mencalonkan Ahmad Awang. Yang Dipertua Kawasan, Khalid Samad hanyalah profesional.

Apabila pemimpin ulama mencalonkan Ahmad Awang maka isyarat mudahnya ialah tidak semua ulama PAS menyokong kepimpinan Hadi. Komen Mujahid sikap Ahmad yang tegas kerana memenuhi aspirasi rakyat yang menolak Barisan Nasional (BN) akan mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat pada masa depan.

Pemujaan tokoh

Hadi sejak kebelakangan ini telah menjadi simbol ‘pemujaan’ dalam kalangan ahli PAS. Tidak seperti Fadzil Noor atau Nik Aziz yang menegah ahli terlalu memuja mereka, Hadi tidak berbuat demikian. Malah PAS Selangor misalnya, negeri paling maju, melihat Hadi adalah pemimpin agung yang tiada tolok bandingnya sepanjang zaman. Walaupun dalam kalangan ulama PAS yang lebih sederhana, mereka menganggap budaya pemujaan itu sesuatu yang tidak sihat. Bagi ulama sederhana pemujaan adalah petanda berakhirnya demokrasi dalam parti.

Ahmad Awang mewakili ulama sederhana yang mendahulukan masa hadapan parti. Penyokong Ahmad pula tidak terpengaruh oleh golongan pemikir ekstrem dalam PAS yang mahu parti itu sentiasa bercakaran dengan sekutu PR.

Ulama sederhana tidak nampak kerjasama dengan Umno akan menguntungkan PAS. Tiada apa yang diberi kepada PAS secara mudah biar pun berlaku kerjasama atas isu Hudud di Kelantan. Bantuan banjir misalnya masih sukar. Rumah yang dibina oleh kerajaan persekutuan selepas empat bulan hanyalah beberapa buah. Majoriti daripada 2,000 mangsa banjir yang kehilangan rumah masih berteduh di dalam khemah.

Keadaan itu membayangkan apa yang akan dilakukan Umno pada PRU 14. Bantuan rumah dan peralatan akan diguna sebagai umpan memancing undi. Oleh kerana Umno telah menyokong Hudud di DUN maka mereka akan menggunakan alasan itu untuk mematikan niat rakyat Kelantan mengundi PAS sekali lagi. Pilihan raya akan datang bukan lagi pertimbangan atas faktor tradisi; Islam dan sekular tetapi parti Islam mana yang boleh membawa kemajuan material.

Tidak bijak

Golongan sederhana PAS menganggap perjuangan puak Hadi sebagai tidak bijak kerana berkeras mahukan Hudud biar pun kalah pilihan raya. Hujah golongan sederhana, kalau kalah dan hilang Kelantan bagaimanakah Hudud akan dilaksanakan? Dakwah juga akan dihentikan oleh Umno.

Golongan inilah yang kini bergabung di belakang Ahmad Awang. Ahmad, seorang yang berjasa besar menggagalkan rundingan Umno – PAS di Perak selepas pilihan raya 2008 lalu diharap mampu ‘mewaraskan’ semula PAS.

Ahmad juga wajar dikenali sebagai tokoh yang menyediakan asas Pakatan Rakyat. Bayangkan, sekiranya rundingan yang diaturkan oleh tokoh Dewan Ulama PAS dan disokong oleh mufti Perak ketika itu berjaya membentuk kerajaan perpaduan BN – PAS di Perak pada Mac 2008, maka tentu mustahil gabungan PR akan tertubuh selepasnya!

Tibalah masanya tokoh berjasa besar yang selama ini ‘tenggelam’ bangkit memimpin. Ahmad mempunyai idea terbaik buat PAS dan menyamai idea Fadzil apabila membenarkan profesional menjadi presiden.

Semua gerakan Islam di dunia hari ini membenarkan parti mereka dipimpin profesional. Hanya PAS yang berundur seratus tahun ke belakang dan bertegas hanya ulama layak menjadi presiden.
Semoga Ahmad Awang diberi kekuatan untuk memimpin PAS dan ahli PAS diberi Allah petunjuk dan hidayah untuk memenangkan beliau dalam Muktamar Jun depan. Amin.

Kempen pemilihan pemimpin PAS semakin kotor?


 
Kempen pemilihan pemimpin PAS semakin kotor?

Kempen pemilihan pemimpin PAS semakin kotor?

Ahmad Awang, calon yang sejak awal diramal mampu memberi saingan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mula bersuara.

Bagaimanapun, ketika teka-teki sekitar kesediaannya bertanding tidak dinyatakan secara muktamad, beliau membangkitkan pula dakwaan kempen kotor dan berat sebelah menjelang pemilihan parti itu Jun ini.

“Kalau bertanding (mesti) nak menang, tetapi kalau keadaan ini dibiarkan tiada maknanya. Mesti kalahlah.

“(Mereka) guna ulama, buat aktiviti khusus untuk menangkan Ustaz Hadi. Macam kita ini, (siapalah sangat),” katanya yang masih mempertimbangkan mencabar pemimpin nombor satu PAS itu.
Daripada kira-kira 30 daripada 191 kawasan, Ahmad semalam layak bertanding selepas mendapat pencalonan daripada kira-kira 3 kawasan PAS.

Hadi selesa dengan sekurang-kurangnya 22 pencalonan manakala Naib Presiden Husam pula mendapat sekurang-kurangnya 9 pencalonan.

Ahmad , bekas naib presiden yang tidak mempertahankan jawatan sebelum ini dilihat antara alternatif terbaik bagi kumpulan yang kritikal terhadap Hadi.

Masalah pimpinan Majlis Syura

Beliau meraih populariti di kalangan kumpulan pro-Pakatan Rakyat dalam PAS.

Sementara itu, ulama disegani dan veteran PAS itu antaranya mendakwa berlaku amalan fitnah, tuduh menuduh dan gelar menggelar antara pemimpin parti Islam itu.

Lebih jauh lagi, Ahmad mendakwa kepimpinan tertinggi PAS di negeri-negeri dan Majlis Syura Ulama secara terang-terang “menyalah guna kedudukan” untuk meraih sokongan kepada calon proulama.

“Jika terus berlaku, ia akan membawa perpecahan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Ahmad yang pernah terlibat dalam pentadbiran kerajaan terkenal sebagai tokoh ulama PAS berpendidikan Timur Tengah yang tegas mempertahankan Pakatan Rakyat sewaktu krisis Perak 2009.

Beliau, ketika itu pemimpin PAS negeri, tegas menolak cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno yang antaranya turut digerakkan oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria ketika itu.

Walaupun pernah bersara daripada politik sebelum ini, penyokongnya kini melihat beliau alternatif kepada Hadi yang sedang berdepan krisis keyakinan susulan tindak tanduknya tidak menguntungkan Pakatan akhir-akhir ini.

Nizar mangsa di Perak

Sementara itu, mengulas lebih lanjut budaya tidak sihat dalam kempen pemilihan PAS, Ahmad membangkitkan kes di Kampar dan Tambun apabila pemimpin pro-Pakatan tewas dalam pemilihan kawasan.

Ahmad mendakwa bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin antara yang menjadi mangsa fitnah dengan digelar “tali barut DAP” melalui sebaran risalah kempen.

Akibatnya, kata Ahmad, Nizar tewas dalam pemilihan yang dipertua kawasan kepada ketua urusan ulama tempat itu.
Ahmad juga membangkitkan sikap memihak kepimpinan Majlis Syura Ulama khususnya mursyidul Am yang baru Datuk Dr Haron Din yang terang-terang mahu Hadi dikekalkan sebagai presiden.

“Dia (Haron) perlu berlaku adil, menasihat supaya perwakilan menjaga adab. Isytihar suruh pertahan presiden, orang lain tak boleh. Kita tidak mahu mursyidul am masuk campur.

“Jangan salah guna kuasa, ia boleh menjatuhkan imej parti dan menambahkan lagi imej buruk pimpinan khususnya ulama,” katanya.

Bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM) itu juga berkata kecenderungan menggunakan kedudukan juga dilakukan oleh beberapa pesuruhjaya PAS negeri dan dan anggota Majlis Syura.

Demo Hindar atau berkelah di Padang Merbok?


posted by:  Riduan Shamsudin & Amiruddin Ahmad

Demo Hindar atau berkelah di Padang Merbok?

Demo Hindar atau berkelah di Padang Merbok?

Demonstrasi anti GST yang dianjurkan oleh Dewan Ulama PAS pada 11 April lalu tidak membawa apa-apa makna apabila peserta protes hanya berkumpul di Padang Merbok, Jalan Parlimen tanpa melakukan apa-apa perkara yang mampu menggentarkan rejim Najib.

Dewan Ulama elergi menyertai Demo #Kita Lawan kerana mempunyai unsur-unsur tidak islamik. Demo itu juga terlalu menghina dan mencaci Umno yang menjadi sekutu baharu PAS.
Tidak ada seorang pun ulama pangkat tinggi dalam PAS yang hadir dalam demo #Kita Lawan pada 7 Mac atau 28 Mac lalu. Demo dihadiri oleh aktivis NGO dan ahli PKR serta DAP sahaja.

Maka Dewan Ulama mahu menganjurkan demo berasingan yang lebih grand. Pada tanggapan PAS, demo 28 Mac tidak berjaya kerana ulama PAS tidak turun padang. Peserta tidak banyak. Selalunya yang memeriahkan demo adalah dari kalangan PAS.
Namun tanpa PAS pun demo #Kita Lawan pada 7 Mac mencecah 15,000 peserta. Malangnya Dewan Ulama tidak mampu menunjukkan kemampuan mereka apabila hanya mengumpulkan kehadiran 3,000 orang sahaja.

unnamed2 

Demo juga tidak meriah dengan banner dan poster yang menghentam Najib. Sebaliknya, hanya diselang seli laungan-laungan berunsur keagamaan sahaja. Demo seperti itu sudah tentu tidak akan disertai oleh berbilang kaum.

Akhirnya demo Hindar kelihatan seperti retreat yang dihadiri ahli PAS atau pentas ceramah biasa sahaja. Pemimpin utama Dewan Ulama pula diberi kerusi dan meja untuk duduk-duduk santai di tepi padang sebelum berceramah.

Penyokong PR kecewa dengan sikap Dewan Ulama PAS yang mahu mengasingkan diri dari arus perdana politik. Mereka lebih rela berdemo syok sendiri daripada menggabungkan diri dalam PR sebagaimana Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang mampu menyaksikan kebangkitan lebih 100,000 rakyat.

Jika beginilah sikap ulama PAS maka mereka tidak akan mendapat undi dalam PRU 14 dan akan dilupakan sejarah. Kemarahan rakyat ke atas GST akan membuat mereka mengundi parti mana sahaja yang menolak cukai itu.

Tidak kiralah jika PSM masuk sebagai salah satu komponen PR menggantikan PAS. Rakyat akan memberi undi yang tinggi. PAS jika ingin mengambil hati Umno serta tidak mahu bersama rakyat maka mereka akan ditinggalkan secara total.

Demo Hindar adalah contoh. Rakyat tidak lagi memberi sokongan padu kepada PAS. Sedarlah sebelum terlambat.

PAS dan mimpi Hezbollah di Timur

Kemaraan gandingan Hadi Awang – Tuan Ibrahim Tuan Man dalam pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden menjanjikan masa depan yang malap buat PAS.

Setakat ini majoriti PAS Kawasan termakan hujah risalah ‘Parasit’ yang mencaci puak profesional. Terdapat dakwaan risalah itu diterbitkan oleh musuh PAS berdasarkan ‘lay out design’ yang menyamai risalah menghentam Nurul Izzah di parlimen Lembah Pantai pada 2013 lalu. Namun PAS Kawasan bertekad ingin menaikkan ulama ke jawatan nombor satu dan dua. Gandingan itu menjanjikan hukum Hudud akan berjaya dikuat kuasakan.

PAS dengan ideologi yang direncanakan puak pemikir pro Dr Zuhdi semakin bergerak ke arah perjuangan Hezbollah di Lubnan. Parti Hezbollah yang dipimpin ulama mendapat sokongan golongan Kristian dan sekular. Parti itu memenangi undi terbesar dan mentadbir selatan Lubnan.


Tidak percaya PR

Dengan keahlian 1.3 juta, ulama PAS tidak lagi percaya terhadap gabungan bersama Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah. Sebaliknya mereka hanya bersetuju persefahaman longgar di negeri pantai barat, utara dan selatan Semenanjung Malaysia. Sekiranya PR tidak mahu bersama mereka lagi maka persefahaman akan berakhir dan PAS boleh membentuk kekuatan sendiri menguasai Kelantan serta Terengganu.

PAS bersedia untuk membentuk gabungan longgar bersama BN bagi memerintah di lain-lain negeri. Mimpi Hezbollah ini sering didodoikan oleh pemikir ekstrem dalam parti itu.

Hakikatnya, andainya Hezbollah masuk bertanding pilihan raya di Malaysia maka parti itu pasti akan dilabel setaraf gerakan Tabligh. Hezbollah hanya akan mampu memenangi satu atau dua kerusi DUN sahaja.

Lubnan sebuah negara yang baru pulih dari perang dan parti yang progresif serta mampu menjanjikan kebajikan ala kadar akan diundi. Malaysia sebaliknya adalah sebuah negara moden dan begitu canggih insfrastrukturnya. Parti seperti Hezbollah akan kelihatan kuno dengan corak politik yang keras dan anti demokrasi.

Sekiranya PAS mahu menukar diri kepada Hezbollah maka mereka sebenarnya menggali kubur sendiri. Rakyat tidak akan bersama parti seperti itu.

PAS sejak 1998 telah mamasuki fasa canggih pada era kepimpinan presiden Fadzil Noor. PAS mempunyai kelab penyokong bukan Islam; Cina dan India yang faham akan perjuangan Islam.

Idelogi terpesong

Definisi tahaluf siyasi pula jelas. Sekutu yang akan bersama untuk mengambil alih pemerintahan negara telah ditetapkan. Sistem politik yang diamalkan juga jelas.

Malangnya, segala kehebatan ini disabotaj oleh puak pemikir PAS yang mahu menyingkir golongan profesional, yang sejak sedekad lalu berusaha keras menjadikan parti itu kelihatan canggih dan berwibawa.

Malah di Iran sekali pun – yang mempunyai Mursyidul Am sebagai kuasa pemutus agung – tidak wujud gerakan mengasingkan golongan profesional sedahsyat yang berlaku dalam PAS. Iran membenarkan profesional seperti Ahmadi Nejad dan Hassan Ruhani menjadi Presiden.

Mereka mengiktiraf kepimpinan politik lebih menyerlah di tangan profesional berbanding ulama. Sebaliknya, kempen menyingkirkan terus golongan profesional dalam PAS bakal membawa parti itu ke arah jumud dan kembali ke era diperlecehkan Umno serta rakyat seperti dekad 1980an lalu.

Keterujaan songsang

PAS selepas ini akan terpaksa kembali semula ke zaman ijtihad Yusof Rawa dan Fadzil; mendefinasikan siapakah kawan dan siapa musuh. Perlukah tahaluf siyasi dan bersama parti mana? Relevankah bukan Islam sebagai calon pilihan raya? Atau paling buruk PAS terpaksa menghantar wakil untuk berbincang membentuk kerjasama sekali lagi dengan PR.

Rakyat tidak faham keterujaan songsang yang ditunjukkan oleh kepimpinan PAS. Hudud seolah-olah membutakan mata mereka sehingga sanggup bersekongkol dengan Umno yang sejak sekian lama menjadi musuh.

Persekongkolan bukan sahaja dalam meluluskan hukum Hudud yang tidak dipertikaikan atas prinsip sesama Islam namun lebih daripada itu; pemimpin PAS sejak kebelakangan ini sering dilihat bersama pemimpin Umno.

PAS tanpa Anwar

Kritikan ke atas Umno semakin kurang, sebaliknya cercaan ditujukan kepada rakan PR yang telah hampir dua dekad jatuh bangun bersama PAS. Lebih-lebih lagi tokoh muda PAS seperti Nasruddin Tantawi dan Nik Abduh yang sering menghamburkan kecaman tanpa berlapik.

Sekiranya PAS Kawasan benar-benar mahukan ulama memimpin dan menang dalam kesemua hierarki jawatan dalam Muktamar Jun depan maka mereka tidak perlu pergi jauh untuk melihat kesan buruknya.

Dalam risalah Parasit, Dr Hatta, Khalid Samad, Mat Sabu, Hanipa Maidin dan beberapa pemimpin profesional lain dicop sebagai pihak yang membuat huru-hara dalam parti.Tidak kurang mereka ini dianggap agen Anwar dan mahu menukar PAS kepada parti mengikut telunjuk Anwar. Namun pernahkah golongan ulama terfikir di manakah mereka sekarang sekiranya Dr Mahathir tidak menyingkir Anwar pada 1998 dan membenarkannya menjadi Perdana Menteri?

Dengan Kelantan yang hampir tumbang dalam pilihan raya umum 1995, kepimpinan Anwar tentunya akan menguburkan PAS yang mempunyai 400,000 keahlian ketika itu. Tidak ramai ahli PAS yang sanggup mengundi mempertahankan kerajaan Kelantan sekiranya Anwar menjadi imam solat jumaat dan dipancar secara langsung dari Masjid Negara.

Untuk apa lagi menyokong PAS apabila Anwar juga membawa perjuangan Islam yang sama? Kebodohan Mahathir memecat Anwar menyebabkan PAS mendapat laba pada PRU 1999. Bagaimanapun, apabila Pak Lah menjadi presiden baru Umno dan membawa konsep Islam Hadhari, PAS sekali lagi kalah teruk pada PRU 2004.

Anwar ikon dan hero

Hanya apabila Anwar keluar penjara dan memulakan siri kempen besar-besaran melawan BN barulah PAS kembali gemilang pada PRU 2008. Kini puak pemikir pro ulama yang tidak sedar diri mencaci Anwar dan membisikkan ke telinga pemimpin tertinggi PAS bahawa rakyat bersama mereka dan sedang melihat PAS adalah parti terbaik menggantikan Umno.

Persoalannya, pernahkah PAS terfikir dalam kalangan pemimpin mereka seorang tokoh yang layak menjadi perdana menteri? Hadi awal-awal lagi tidak layak kerana apabila ditanya wartawan keadaan Mat Sabu dilokap polis sehari selepas himpunan #Kita Lawan, 28 Mac lalu, Hadi menjawab tidak tahu timbalannya ditahan. Tuan Ibrahim hanya mampu menjadi menteri biasa sekiranya PAS menang. Manakala Husam Musa telah mengeluarkan pendapat PR hanya ada Anwar sebagai calon paling layak.
Adakah Tantawi akan menjadi PM? Pada PRU 2013 apabila PAS tidak mahu Anwar menjadi PM, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali ketika itu sanggup menemui Tengku Razaleigh Hamzah memujuk beliau menjadi calon PM PR.

PAS tiada kekuatan

Oleh itu, sedarlah diri bahawa PAS tidak mempunyai kekuatan memerintah. Apatah lagi menggantikan Umno secara bersendirian. PAS kalah pilihan raya yang tiada Anwar bersama mereka. PAS juga tidak mampu menggamit imaginasi rakyat bahawa mereka mampu menyediakan kemajuan ekonomi setanding Umno. Lihatlah mangsa banjir Kelantan yang masih duduk dalam khemah setelah empat bulan berlalu.

Kerajaan PAS terlalu mengharapkan bantuan Umno serta kerajaan persekutuan. Tidak ada inisiatif sendiri mencari sumber dana membantu rakyat. Adakah ini bentuk kerajaan PAS sekiranya memerintah Malaysia?

Cuma dalam hal memberi bantuan pasca bencana, Hezbollah dua kali ganda lebih hebat berbanding PAS. Jika Hezbollah tidak mungkin diundi rakyat Malaysia maka PAS secara bersendirian jika masuk pilihan raya pasti akan dua kali ganda disisihkan rakyat!