BERSIH janjikan kejutan jika Najib tak muncul

BERSIH janjikan kejutan jika Najib tak muncul

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menjanjikan satu kejutan kepada hadirin sekiranya pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak atau wakilnya gagal hadir untuk berdebat dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis anjurannya pada malam ini.

Ahli jawatankuasa pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata Anwar sudah mengesahkan kehadirannya namun, Najib masih belum memberikan maklum balas positif.

"Kami masih menanti (maklum balas Najib) dan jika sehingga akhir tiada jawapan (dari Najib), kami akan persembahkan satu 'kejutan' buat hadirin forum malam ini," kata Maria sewaktu dihubungi Malaysiakini.

BERSIH mempromosi forum 'Memanifestasikan Harapan Rakyat: Satu Perbualan Bersama' itu bagi membolehkan BN dan Pakatan Rakyat, selaku dua gabungan parti politik terbesar negara ini, untuk membentangkan manifesto masing-masing.

Ia dijadualkan berlangsung pada jam 8.45 malam bertempat di Dewan Himpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur.

Antara pemimpin BN yang sering tampil untuk menyertai program debat dan forum bersama pemimpin Pakatan sebelum ini adalah tokoh mudanya seperti Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi sementara Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan sementara, Gan Ping Sieu.

Najib, selaku pemimpin tertinggi BN bagaimanapun tidak pernah menyahut cabaran Anwar untuk berdebat namun masih berpeluang untuk berbuat demikian pada malam ini.

Beliau bagaimanapun dijadualkan hadir ke majlis pelancaran manifesto BN Selangor di Shah Alam pada malam ini.


ANWAR DI MANJOI