Ribuan Penduduk Kapit Keluar Sambut Anwar
KAPIT 14 APRIL : Kegiatan harian pekan Kapit terhenti seketika apabila ribuan penduduk keluar beramai-ramai mengalu-alukan lawatan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kawasan yang terpencil di bumi Sarawak itu.
Anwar menaiki feri dari pelabuhan Sibu untuk perjalanan melalui Sungai Rejang yang memakan masa selama tiga jam sebelum sampai ke destinasinya.
Lebih dua ribu penduduk meyambut ketibaan beliau serta rombongan.
Sambil melaungkan "Hidup Anwar, Hidup PKR" masyarakat Kapit yang majoritinya kaum Iban berpusu-pusu dan berbaris panjang untuk menerima tetamu mereka.
Lawatan Anwar dan sambutan yang diterimanya menandakan Pakatan Rakyat menembusi kawasan pendalaman Satawak yang paling jauh yang dikenali sebagai "Pulau Kapit" kerana perjalanan hanya boleh dilakukan melalui jalan sungai.
"Kami sangat gembira Datuk Anwar datang ke Kapit. Kami sayang kepadanya kerana dia bela nasib rakyat miskin," kata seorang wanita pertengahan umur.
Malah suasana sesak di jalan raya pekan Kapait apabila ramai pemandu menghulurkan tangan mereka untuk bersalaman dengan Ketua Umum Parti Keadilan itu.
"Kapit kami beri kepada PKR, memang kami sudah benci dengan ini BN. Pemimpin mereka tidak pernah datang melawat kami, hanya datang setakat terminal feri sahaja," kata seorang lagi penduduk Kapit.
Sejurus tiba di terminal feri Kapit Anwar memulakan program beliau dengan berjalan I disekitar pekan itu untuk menemui penduduk.
Kapit mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu N54 Pelagus dan N56 Baleh.
Kedua-dua kerusi ditandingi oleh KEADILAN masing-masing oleh Edward Sumbang ak Asun dan Franky Bendinang ak Majah.
Pelagus mempunyai 14,550 pengundi manakala Baleh kira-kira 10,500 pengundi berdaftar.
Halangan kemasukan Sarawak: Giliran Haris Ibrahim pula...
Presiden Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), juga pengendali blog The People’s Parliament, Haris Ibrahim menjadi warga Malaysia ketiga yang dihalang menjejak ke bumi Kenyalang sejak pembubaran DUN Sarawak. Beliau diberi notis bahawa dirinya dihalang mengikut Akta Imigresen Seksyen 65(1)(a), tanpa dimaklumkan puncanya.
Ketika dihubungi MerdekaReview, Haris Ibrahim (gambar kiri) berkata dirinya mendarat di Lapangan Terbang Kuching pada kira-kira jam 6 petang, tadi. Beliau kemudian dibawa masuk ke pejabat imigresen, dan diberitahu pada jam 6.24 petang bahawa dirinya dihalang masuk ke Sarawak. Pegawai imigresen tersebut sekadar memberitahu, "Ini arahan dari atas."
Keadaan yang dihadapi Haris Ibrahim agak sama dengan pengalaman aktivis BERSIH 2.0, Wong Chin Huat pada 8 April. Lebih awal, Steven Ng, aktivis sosial juga mengalami nasib yang sama pada 3 April 2011.
Haris Ibrahim menyifatkan larangan ini sebagai perbuatan menyalahgunakan kuasa, semata-mata untuk menghalang aktivis sosial daripada menyebarkan maklumat kepada pengundi tempatan Sarawak.
Haris juga seorang peguam, dan beliau terpaksa kembali ke Kuala Lumpur malam ini. Beliau akan berunding dengan peguam lain untuk tindakan selanjutnya. Pada masa yang sama, beliau mengambil kesempatan untuk menyeru agar pengundi keluar mengundi pada 16 April untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Baca: Lagi aktivis dihalang masuk Sarawak
Baca: Halangan aktivis ke Sarawak bakal bentuk 2Malaysia?
*Wong Swee Nee ialah wartawan khas MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.
Pakatan ada kelebihan di Belaga: BN kini beri pampasan dan geran tanah
Meskipun enam calon terlibat untuk merebut kerusi DUN Belaga, namun ia dijangka menyaksikan pertarungan antara Barisan Nasional dengan Pakatan Rakyat, dan calon lain gagal membahagikan undi PR. BN yang semakin tertekan dengan keadaan terkini mengambil langkah untuk memberi pampasan dan geran tanah penanaman kepada penduduk Sungai Asap yang dipaksa pindah lantaran pembinaan Empangan Bakun.
Menurut analisa pemerhati bebas kepada MerdekaReview, calon PKR Basah Kesing @ Ali Basah Kesing (gambar kiri) mempunyai kelebihannya dalam PRN Sarawak 2011. Agak sukar untuk calon SNAP John Bampa @ Tusau, bersama tiga calon bebas, iaitu Michael Jok (wakil PERS), Matthew ak Munan dan Kenneth Adan Silek membahagi-bahagikan undi pembangkang.
Dalam PRN Sarawak 2006, calon PRS-BN Liwan Lagang menang dengan majoriti 227 undi, menewaskan calon SNAP John Bampa dan calon bebas Stanley Ajang Bato. Jumlah undi yang diperolehi John (912 undi) dan Stanley (1,628 undi) melebihi undi yang diperolehi Liwan (1,855 undi). Dengan kata lain, seandainya tidak wujud pertandingan tiga penjuru, pembangkang mungkin berpeluang menawan kawasan DUN Belaga.
Belaga yang didiami orang Ulu adalah antara daerah yang terbesar di Sarawak, namun populasinya tidak padat, dengan kira-kira 37,000 orang, yang kebanyakannya terdiri daripada suku kaum Kenya, Kayan, Penan dan Punan. Penduduk lebih tertumpu di Sungai Asap, mencatat populasi 3,493 orang pengundi, daripada jumlah keseluruhannya 6,691 orang.
Terdapat 11 buah rumah panjang di Sungai Asap, dengan jumlah penduduk kira-kira 10,000 orang. Penduduk yang terpaksa berpindah ke sini dari kawasan hulu Bakun pada tahun 1993 dan 1994 merungut, kawasan ini kekurangan kemudahan asas, dengan pengangkutan yang tidak lengkap, kos kehidupan yang meningkat, tanah tanaman yang usang, malah jauh dari tempat tinggal, wang pampasan yang tidak mencukupi, hasil tanaman yang kurang dan sebagainya. Ramai kaum asal terutamanya Kenya menyelar kerajaan BN kerana menipu mereka ke sini. Keadaan ini semestinya tidak memihak kepada BN.
Bekas ADUN memihak kepada PKR
Disebabkan jaringan telekomunikasi dan sistem pengangkutan yang tidak lengkap, ditambah pula pembangkang gagal mengusahakan kawasan tersebut dengan baik selama ini lantaran kekurangan sumber, maka calon pembangkang yang mahu menang perlu bergantung kepada reputasi diri dan kerabat keluarganya, untuk mendapat kepercayaan dan sokongan pengundi.
Ketika dihubungi MerdekaReview, pemerhati bebas yang pernah melawat ke kawasan tersebut berkata, calon bebas PRN Sarawak 2006, iaitu Stanley Ajang Bato memihak kepada PKR, dan keadaan ini dijangka bakal meneroka undi baru untuk PKR. Stanley adalah bekas ADUN dari PRS-BN, tidak dilantik sebagai calon dalam PRN Sarawak 2006. Beliau bertanding sebagai calon bebas, dan hanya tewas dengan undi 227 kepada BN yang berkempen dengan jenteranya.
Menurut pemerhati ini, kerabat Stanley (gambar kanan) agak terkenal, dan bapanya juga adalah ahli politik BN, yang meninggalkan kerajaan selepas peristiwa Ming Court. Stanley agak berpengaruh di masyarakat setempat.
Selain itu, reputasi calon PKR sendiri juga antara faktor kemenangan PKR. Basah Kesing ialah seorang peguam, berasal dari kerabat BN. Beliau menyertai PKR setelah sebidang tanah keluarganya yang diwarisi turun temurun dirampas. Pertandingan Basah Kesing kali ini direstui ramai penduduk rumah panjang.
Naib Ketua AMK Chan Ming Kai juga memberitahu MerdekaReview, Basah Kesing terkenal di masyarakat tempatan, malah jamuan anjuran PKR dalam rumah panjang dibantu oleh wanita tempatan, katanya ADUN Simpang Pulai ini yang berkempen di Belaga.
Sukar untuk 4 calon yang lain membahagikan undi
Ketika dihubungi MerdekaReview, penduduk Sungai Asap berkata, pertarungan ini adalah antara BN dengan PR, dan calon lain gagal memberi kesan. Misalnya, Micheal Jok (gambar kiri) berasal dari Rumah Panjang Long Bangan, yang jaraknya dua jam perjalanan ke Sungai Asap. Rumah panjang Long Bangan hanya mempunyai ratusan orang, dan menyokong BN dalam PRN Sarawak 2006. Pengaruh Micheal nampaknya terhad, kerana beliau menyokong pembangkang dan gagal mempengaruhi rumah panjangnya pada ketika itu.
Selain itu, John Bampa dari SNAP hanya memperolehi 912 undi pada PRN Sarawak 2006, lebih rendah daripada calon bebas Stanley. Dua orang lagi calon bebas yang lain dikatakan gagal memberi apa-apa kesan. Mengikut pengamatan pemerhati, penduduk telah mendapat pengajarannya daripada PRN yang lalu, dan bersedia untuk menumpukan undi mereka supaya menumpaskan BN.
Ugutan BN
Bagaimanapun, masih bukan kemestian bagi PKR untuk memenangi DUN Belaga yang sarat dengan makna. Menurut seorang penduduk Sungai Asap, sesetengah penghuni telah menerima surat rasmi daripada kerajaan, memaklumkan bahawa pampasan dan geran tanah tiga ekar akan diberi pada 14 April, dua hari sebelum hari pengundian.
Beliau menambah, wang pampasan yang diterima adalah antara RM40,000 hingga RM60,000, dan akan diserahkan James Masing, Menteri Pembangunan Tanah Sarawak sebelum DUN terbubar. Selain "godaan" wang pampasan dan geran yang dinanti-nantikan penduduk untuk 16 tahun, lima orang "perisik" dihantar BN ke rumah panjang untuk memantau aktiviti pengundi, malah menyediakan jamuan untuk penduduk setiap hari.
BN mengugut penduduk untuk membatalkan biasiswa dan wang kebajikan warga emas, seandainya tidak mengundi BN, katanya.
Meskipun pelbagai tawaran daripada BN untuk memikat hati pengundi, namun pemerhati ini masih yakin bahawa penduduk di situ akan mengundi PKR. Tanah seluas tiga ekar itu terlalu jauh dari rumah panjang mereka, dan bukannya tanah yang subur. Keduanya, masih menjadi tanda soal sama ada penduduk berpuas hati dengan pampasan yang diberikan kerajaan, kerana mereka mengadu kerajaan tidak mengukur tanah adat mereka sebaiknya sejak dulu.
Liwan Lagang, calon BN DUN Belaga |
Pemerhati itu berkata, Liwan dianggap sebagai pemimpin BN yang lebih berani bersuara untuk penduduknya, namun "tiada apa-apa prestasi walaupun sudah lama beliau lantang bersuara". Penyokong asal Liwan kini berpaling kepada PKR. Tambahan pula, PKR dan MAFREL telah mendaftarkan kira-kira 1,000 orang pengundi baru dalam tempoh beberapa tahun yang lalu - dijangka memberi laluan kepada PKR untuk merasai kemenangan kali ini.
*Chan Wei See ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.
Pilu Hati Seorang Ibu
KUALA LUMPUR 13 APRIL : Hati ibu mana yang tidak sedih apabila anak kesayangan yang menjaga makan-minum dan menemaninya tiba-tiba ditangkap pihak berkuasa tanpa sebab munasabah.
Tanpa penjelasan dan setelah dua minggu tanpa khabar berita, apatah lagi kurang upaya, hati ibu ini terus dirundung pilu.
Kerinduan Mah Mat Deris, 67 tahun mendorong beliau hadir walaupun dalam keadaan uzur apabila Polis DiRaja Malaysia akhirnya membenarkan ahli keluarga menemui tahanan ISA Kadir Hashim di Bukit Aman hari ini.
Mah nyata masih sedih dan keliru dengan penangkapan anaknya itu sejak 1 April lalu mahu Kadir dibebaskan segera.
"Nak dia balikla, makcik tinggal seorang-sorang. Kalau boleh nak dia balik cepat," terangnya sayu kepada para wartawan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Kadir kudung pergelangan tangan kiri tetapi didakwa terlibat dalam kegiatan berunsur subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit di bawah Seksyen 73(1) ISA.
Beliau ditangkap sekumpulan polis yang mengepung rumah Kadir dan Mah di Kampung Kerinchi seolah menangkap penjenayah bersenjata.
Mah datang bersama abang Kadir, Hisham Hashim dan berjaya menemui Kadir di sebuah bilik tertutup dan dikelilingi oleh lapan orang anggota Polis.
Hisham menyatakan Kadir dalam keadaan baik tetapi mempersoalkan tuduhan ke atas adiknya itu walaupun menurut Hisham, polis menyimpulkan adiknya tidak melakukan apa-apa.
"Bila kita tanya kenapa dia (Kadir) ditahan dibawah ISA, pihak polis mengatakan ada kegiatan subversif di internet, dan bermacam-macam lagi, bomlah, senjata apilah, dan semualah dia cakap. Tapi kesimpulannya bila saya tanya polis kata memang Kadir ni sepatutnya ditahan," kata Hisham kepada wartawan.
Hisham turut menerangkan adiknya itu tidak mampu melakukan seperti yang didakwa kerana kecacatan tangannya sejak kecil dan juga kesibukan menjaga ibu dan menguruskan perniagaan kedai makan di Kampung Kerinchi.
Malah beliau pelik dengan asosiasi Kadir terlibat dengan keganasan oleh segelintir pihak.
"Itu bukan isu dia sebab kalau keganasan, dia sepatutnya dibicara. Kita ada banyak akta dalam hal ini, kan? Yang kita bimbang keselamatan dia," tegas beliau.
DAP Dakwa Rakam Penipuan Undi Pos Di Sibu Ditulis oleh ZeanaAima
DAP membuat laporan polis hari ini setelah merakamkan sebuah klip video yang didakwa menunjukkan insiden penipuan undi pos di Sibu.
Seorang pekerja pilihan raya DAP yang berada di Ibu Pejabat Polis Sibu mengesahkan ejen pengundian DAP yang merakam insiden itu telah memberi kenyataan kepada polis pada jam 5.30 petang tadi.
Klip itu, yang disiarkan petang tadi menunjukkan empat wanita memberi sesuatu yang kelihatan seperti kertas undi kepada seorang lelaki berkaca mata di Wisma Sanyan.
Setelah wanita itu beredar, lelaki yang tidak dikenalpasti menyedari dirinya dirakam dan cuba melarikan diri ke tangga menuju sebuah pejabat.
Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong menempelak insiden itu dan menganggap banyak lagi yang perlu dibongkar.
"Reaksi orang ramai terhadap video itu membuktikan lelaki dalam video itu terlibat dalam sesuatu yang tak kena," katanya.
"Kita mengutuk semua bentuk penipuan pilihan raya dan pembelian undi dan menggesa polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat insiden ini.
Liew menambah walaupun DAP menerima laporan banyak perkara seperti ini berlaku, DAP tiada kuasa untuk menghalangnya.
"Kita tidak akan berpeluk tubuh sahaja," katanya.
"Jadi kami menggesa semua pengundi di Sarawak memainkan peranan bagi memastikan Pilihan Raya ini bersih dan adil. Jika anda melihat insiden yang mencurigakan, rakam dan kami akan mengambil tindakan susulan," tambahnya lagi.
SUPP Terdesak, Jemput MCA Bantu Kempen
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang kini dalam keadaan terdesak meminta bantuan daripada parti-parti komponen BN, khususnya dari Semenanjung Malaysia bagi membantu kempennya.
chua soi lek supp ceramah 120411Hadir di Kuching hari ini adalah presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek manakala setiausaha agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha telah berada di bumi kenyalang sejak beberapa hari lalu. Bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dijadualkan tiba esok.
Chua yang ditemui pada satu majlis kempennya berkata beliau secara peribadi dijemput oleh presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan bagi membantu menentang Pakatan Rakyat, khususnya DAP di kawasan bandar-bandar.
"Kita tidak mempunyai sebarang pengaruh di sini kerana tidak mempunyai sebarang cawangan tetapi atas semangat BN dan bagi menunjukkan sokongan kepada perdana menteri, kita akan semua datang membantu,” katanya.
Menurut Chua, beliau akan membantu SUPP berdasarkan pengalaman luas MCA berdepan dengan parti pembangkang itu di semenanjung.
"Mereka (SUPP) telah ditenggelamkan oleh DAP dan PKR yang telah menghantar pemimpin peringkat pertama, kedua dan juga ketiga mereka. Mereka (SUPP) tidak biasa menghadapi tindakan agresif seperti ini,” kata Chua.
Selepas Kuching, Chua akan menuju ke kubu kuat Chan di Miri yang sejak beberapa hari lalu menyaksikan jumlah kehadiran besar pada ceramah Pakatan Rakyat.
MP Sungai Siput Dan 13 Penduduk Ditahan
13 wakil penduduk dan ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar ditahan polis di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Perak sedang berlangsung.
Wakil penduduk yang hanya menunggu di luar bangunan untuk menyerahkan memorandum berkenaan kepada Datuk Seri Zambry Kadir bagaimanapun dikejutkan dengan kehadiran ramai anggota polis dan trak FRU sehingga menyebabkan keadaan bertukar kelam kabut.
Dalam insiden itu 14 telah ditahan ditahan termasuk wanita.
Polis memberi alasan penahanan itu dibuat kerana menganggu ketenteraman awam.
Dr Jeyakumar ketika dihubungi Tv Selangor petang ini mengesahkan beliau bersama yang lain masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.
Jelas beliau, mereka yang ditahan adalah penduduk setinggan Bandaraya Ipoh yang ingin menuntut janji Zambry bahawa penduduk yang menghuni kawasan setinggan lebih dari 10 tahun akan diberi hak milik tetap atau dipindahkan ke rumah kos rendah.
“ Zambry telah kata mana-mana kawasan setinggan di tanah kerajaan lebih 10 tahun harus diberikan kepada penduduk, dia kata kena bagi. Itu (yang) dia kata kepada mereka. Orang-orang ini sudah 20 ke 30 tahun di kawasan itu, jadi teruskan lah. Bagilah.
“ Masalahnya kawasan DBI ada penghuni lama merupakan keluarga kepada bekas pekerja dulu, mereka sudah bersara tetapi kerana mereka ini miskin mereka tak dapat keluar, mereka sudah pindah rumah dekat kuaters mereka. Pada 60-an Seenivasagam beri kebenaran bina kuaters tetapi sekarang kerajaan hendak membangunkan kawasan itu dan mahu usir orang-orang ni keluar. Sejak 1998 sudah buat tuntutan kepada kerajaan minta untuk tanah gantian, lot rumah atau skim rumah kos rendah.
" Walaupun ada beberapa janji tetapi sampai sekarang tak ada apa-apa yang konkrit. Itu masalahnya. Setiap Menteri Besar ada janji, nak bagi tanahklah nak buat rumah kos murahlah,"tambahnya lagi.
RM1.5b wang rakyat dalam 1MDB diguna selamatkan kroni Taib – Anwar
KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat pendedahan menggemparkan bahawa sebanyak RM1.5 billion wang rakyat diguna Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyelamatkan syarikat kroni Taib Mahmud.
Ia dilakukan menerusi syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang melakukan urusniaga meragukan untuk mengelabui mata rakyat, kata Anwar.
1MDB melakukan urusniaga dengan syarikat PetroSaudi dari Arab Saudi, untuk membolehkan syarikat UBG Berhad, yang menghadapi masalah kewangan dan dimiliki keluarga Taib, diselamatkan.
“Untuk memperdayakan rakyat, Najib isytihar keuntungan 1MDB sebanyak RM425 juta pada tahun pertama operasinya. Namun, beliau tidak pernah memberitahu kita bagaimana (keuntungan itu diperoleh).
“Hari ini kita ada penyata kewangan 1MDB yang mendedahkan salahguna wang kerajaan tanpa rasa malu yang dilakukan Barisan Nasional dan bagaimana mereka berterusan menyalahgunakan kekayaan negara,” kata Anwar.
Menurut Anwar, keuntungan sebanyak RM425 juta yang diisytihar pada tahun kewangan 1MDB yang berakhir pada 31 Mac 2010 mendedahkan perkara yang berbeza apabila diteliti dengan lebih dekat.
“Lima bulan selepas membayar RM3.5 billion untuk pelaburan projek usaha sama dengan PetroSaudi, 1MDB menjual semula pelaburan itu kepada pemilik PetroSaudi dengan harga RM4.1 billion.
“Pada mata kasar,ia kelihatan seperti keuntungan yang menakjubkan. Namun, PetroSaudi yang menerima wang tunai sewaktu 1MDB membeli pelaburan tersebut kini membayar pembelian semula itu melalui skim pinjaman selama 11 tahun yang akan hanya selesai pada 31 Mac 2021.
“Sekarang, hampir 70 peratus modal asal 1MDB adalah dalam bentuk pinjaman, yang tiada jaminan lagi akan dibayar semula sepenuhnya,” kata Anwar.
Malahan, urusniaga itu juga dilakukan pada hari terakhir tahun kewangan 1MDB, 31 Mac 2010 bagi menipu rakyat.
“Silap mata perakaunan ini dilakukan untuk menunjukkan keuntungan meragukan yang diisytiharkan Najib,” kata Anwar.
Perkara paling mengejutkan, kata Anwar, adalah hubung kait Taib Mahmud dengan 1MDB melalui urusniaga yang meragukan.
“Pada tahun lalu juga, PetroSaudi membayar RM1.5 billion untuk mengambil alih UBG Berhad, instrumen pelaburan milik empayar keluarga Taib Mahmud yang menghadapi masalah kewangan,” kata Anwar.
Justeru, Anwar menuntut agar satu audit khas dilakukan untuk menyiasat samada urusniaga yang melibatkan 1MDB, PetroSaudi dan UBG menggunakan wang rakyat dan digunakan untuk tujuan politik yang tertentu.
Anwar juga menuntut sebarang usaha 1MDB meraih dana daripada bank dihalang sehingga audit itu selesai. Sebarang usaha untuk memindahkan harta kerajaan seperti cadangan menganugerahkan sebidang tanah di Jalan Cochrane juga perlu dihentikan, kata Anwar.
Anwar juga menuntut satu pendedahan siapa sebenarnya di belakang 1MDB dilakukan agar rakyat yakin bahawa 1MDB betul-betul kukuh untuk memenuhi komitmennya.
Hadi Awang: Rayuan kepada semua pengundi DUN Sarawak
Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekalian lama. Janji dan rasuah politik oleh BN sepanjang tempoh pilihan raya ini akan terus diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk mereka mengekalkan kuasa dan seterusnya mengumpulkan kekayaan untuk diri mereka sendiri. Akhirnya nasib rakyat masih tidak berubah sejak puluhan tahun ini. PAS akan memastikan konsep Federalisma terus dipelihara, dan perpaduan kaum akan menjadi keutamaan di negeri Sarawak ini.
PAS merayu kepada pengundi di Sarawak untuk memilih calon dari PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kali ini. PAS akan memastikan wakil rakyat dari PAS nanti akan berkhidmat dengan penuh dedikasi kepada rakyat, membawa aduan dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk melakukan sau perubahan bersama rakyat Sarawak.
Sekiranya menang di DUN Beting Maro, Sadong Jaya, Tanjung Datu, Muara Tuang dan Sebuyau dalam pilihanraya kali ini, PAS akan memastikan kawasan ini dibela dengan menjadikan DUN ini sebagai kawasan contoh di Malaysia, di mana seluruh petugas PAS akan menyumbang tenaga secara langsung di sini nanti. Di sinilah nanti PAS akan menunjukkan contoh Keadilan Islam Untuk Semua Golongan di negeri Sarawak tanpa mengira anutan agama dan keturunan. Itulah sebenarnya wajah Islam yang ingin kami bawa.
*Kenyataan Hadi Awang selaku Presiden PAS.
Nurul gesa SPR siasat penggunaan agensi kerajaan untuk tujuan kempen
Kehadiran operasi jentera-jentera Kerajaan Pusat ini membawa pelbagai tanda tanya dan dikhuatiri akan direplikasi di semua DUN-DUN di dalam pilihanraya negeri kali ini - yang dianggap paling berisiko buat Ketua Menteri Taib Mahmud.
Pertama, bukankah penggunaan agensi-agensi Kerajaan untuk berkempen dalam pilihanraya itu satu salahlaku? Kami dengan ini meminta satu siasatan dibuat SPR dengan segera, demi keadilan dalam pilihanraya negeri Sarawak.
Kedua, adakah tindakan membawa masuk agensi-agensi ini sebenarnya satu pengakuan oleh Barisan Nasional bahawa jentera BN negeri Sarawak telah gagal dan memerlukan bantuan BN Semenanjung? Lebih khusus, kerana ramai anggota agensi-agensi ini adalah anggota UMNO, adakah ini satu petanda UMNO sedang cuba memasuki negeri Sarawak dengan senyap?
Selain isu ini, kami ingin membangkitkan kepada pihak media, oleh kerana banyak pengundi di kawasan pedalaman, sistem pengundian di Sarawak agak unik di mana peti-peti undi akan dibawa ke rumah-rumah panjang untuk proses pengundian dijalankan. Proses pengundian sebegini akan terbuka kepada pelbagai unsur yang mungkin sukar dikawal.
Sebagai contoh, seperti yang saya sebutkan tadi, kewujudan jentera BN yang bertapak di rumah-rumah panjang mungkin menjadi satu tekanan, atau bagaikan ancaman kepada para pengundi di situ untuk mengundi dengan bebas. Lebih-lebih lagi sekiranya jumlah anggota jentera BN itu melebihi jumlah petugas SPR.
Oleh itu, sekali lagi kami meminta siasatan dibuat pihak SPR untuk mengesahkan tiada salahlaku yang bakal timbul akibat situasi-situasi yang saya bangkitkan ini.
Akhir sekali, PKR mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak-pihak yang semalam telah melakukan serangan Distributed Denial of Service (DDoS) ke atas laman web Malaysiakini, Radio Free Sarawak dan Sarawak Report. Kami menggesa MCMC agar menyiasat dengan segera pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan. Kejadian sebegini tidak boleh dibenarkan berlaku, terutamanya dipertengah waktu berkempen.
*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kiri) selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Pakatan mampu menang 19 kerusi
Menurut pengamatan pelbagai sumber, walaupun bakal hilang banyak kerusi, BN masih mempunyai peluang cerah mengekalkan penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di kena sentuhan terakhirnya.
"Dalam kempen di beberapa hari terakhir ini, semua kemungkinan boleh berlaku. BN masih ada strategi 'carpet bombing' melalui pengumuman projek segera dan pemberian imbuhan pilihan raya terutamanya di kawasan bandar," kata pemerhari politik Dr Jeniri Amir.
Pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak itu juga berkata, walaupun penduduk bandar menunjukkan perubahan yang luar biasa dengan menyokong Pakatan, berdasarkan tred dalam pilihan raya sebelum itu, bola akan kembali bertukar ke kaki BN semula.
"Masyarakat luar bandar masih dilihat mempunyai pemikiran simple minded," katanya kepada Malaysia.
Menurut sumber-sumber yang dekat dengan kerajaan, bacaan semasa menunjukkan, sebanyak 28 kerusi masih memihak kepada BN, 19 mampu dirampas pembangkang dan 24 lagi peluangnya masih '50-50' antara kedua-dua pihak yang bertanding.
Jika dilihat dari aspek kaum pula, undi Cina kini memihak kepada Pakatan, Melayu dan Melanau masih menyokong BN manakala masyarakat Iban pula mula sedikit demi sedikit berpindah daripada BN kepada pembangkang.
Bacaan ini selari dengan pemantauan NGO pengkaji "kepercayaan politik" Zentrum Future Studies yang mendapati sokongan masyarakat luar bandar kepada BN merosot dari 80 kepada 61 peratus.
Menurut presiden Zentrum, Dr Abu Hassan Hasbullah, di kawasan luar bandar, sokongan terhadap parti pemerintah turut menyusut dari 65 kepada 38 peratus sahaja.
Justeru, jika Pakatan mampu mempertahankan menangkis serangan terakhir BN, termasuk kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, sejarah akan berlaku di Bumi Kenyalang.
Menurut sumber-sumber Umno pula, setelah parti Melayu itu mula menyuntik jenteranya di pelbagai kawasan, terutamanya di luar bandar dalam beberapa hari kebelakangan ini, mereka yakin, paling tinggi, Pakatan hanya dapat merampas 15 kerusi sahaja.
"Bagaimanapun, tujuh atau lapan kerusi di kawasan bandar memang sudah tidak boleh dipertahankan lagi," jelas sumber-sumber itu.
AlKitab: Pengundi Krisitian Terguris, kata Calon PKR 13/04/2011
KUCHING 13 APRIL : Penganut Kristian seluruh negara terutama di Sarawak masih marah dengan Umno-Barisan Nasional dalam isu Alkitab, menjelang pilihanraya negeri Sarawak Sabtu ini.
Calon Parti Keadilan Rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Betong, Stanny Embat Pharoh ak Laja berkata, penganut Kristian Sarawak merasa terguris dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas 35,000 naskah kitab Injil versi Bahasa Malaysia atau Alkitab di Pelabuhan Klang dan Kuching.
Tambah beliau, apa yang lebih menyakitkan hati mereka apabila KDN bertindak meletakkan cop "untuk kegunaan penganut Kristian sahaja" pada muka depan kitab suci agama mereka.
"Orang Kristian memang sampai sekarang sangat marah kepada Najib dan BN. Mereka mungkin tidak mahu berdemonstrasi dalam isu ini tapi mereka pendam rasa marah mereka di dalam hati.
"Saya yakin Sabtu ini mereka akan membuat pendirian tegas terhadap pihak yang dilihat menghina agama Kristian dan penganut Kristian," kata Stanny kepada TV Selangor.
Menurut beliau, tidak ada sebab untuk kerajaan BN mengenakan sekatan ke atas Alkitab termasuk penggunaan kalimah Allah.
Tegas beliau lagi, BN gagal menyelesaikan isu Alkitab dengan baik malah konsep 1Malaysia Najib juga ternyata gagal sama sekali.
Difahamkan Alkitab ini menjadi isu yang begitu meruncing pada pilihanraya negeri sarawak, selain faktor Taib Mahmud yang menjadi ketakutan utama kepada Barisan Nasional.
Untuk meredakan desakan rakyat, Najib mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak hari ini.
Minggu lalu, Putrajaya menawarkan formula 10 perkara untuk menyelesaikan isu Al-Kitab itu namun gabungan gereja-gereja dan pertubuhan Krisitian tidak menerima formula itu tetapi mahu mencari penyelesaian ke atas beberapa isu bersabit kebebasan agama yang telah berlarutan.
SPR Buka Satu Pusat Undi, Pengundi Pos Merungut
KUCHING, 13 APRIL : Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang hanya mewujudkan satu pusat pembuangan undi pos di Parlimen Kuching, bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dipertikai banyak pihak.
Parlimen Kuching meliputi dewan undangan negeri (DUN) Satok, Demak, Laut, Tupong dan Samariang.
Seorang anggota kanan polis, Supritenden Inspektor Shamsudi Hassan berkata, hanya sebuah pusat undi pos tidak mampu menampung jumlah pengundi pos yang jumlahnya melebihi 1,000 orang, di tempat beliau bertugas.
"Tak boleh lah satu pusat pengundian (IPD) sahaja...biasanya dulu setiap setiap IPD (daerah) dan saya sendiri sejak jam 8 pagi tadi masih tak mengundi (sekarang 9.40 pagi).
"IPD sahaja lebih 1000 anggota, tak masih (polis) Marin, tentera dan yang lain-lain lagi, " Shamsudin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dipusat pembuangan undi di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sarawak, pagi tadi.
Seorang pegawai SPR memberitahu, lebih 10,000 pengundi pos berdaftar layak mengundi di pusat pengundian di pusat pembuangan undi di sini.
Mereka bukan sahaja terdiri oleh anggota polis, malah polis marin, pegawai kerajaan serta kakitangan SPR sendiri.
SPR turut membuka satu pusat membuang undi untuk tentera di Batu 7, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Namun menurut Shamsudi, SPR sepatutnya membuka pusat undi pos di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) sebagaimana dalam pilihan raya negeri ke-9, tahun 2006 lalu.
"Kami pun nak menunaikan tanggungjawab, tanggungjawab mengundi dan tugas-tugas harian kami hari ini.
"Polis pun nak perubahan, jangan kata polis tidak suka perubahan untuk Sarawak ini," ujarnya lagi.
Proses pengundian yang bermula sejak 8 pagi tadi dijadualkan berakhir pada 5 petang ini.
Sumber Jabatan Strategik PKR yang diketuai oleh Rafizi Ramli memaklumkan seramai 3,000 pengundi pos didaftar di DUN Nangka dan 1,200 pengundi lain berdaftar di DUN Senadin.
Di DUN Satok pula, lebih 500 pengundi berdaftar di DUN yang ditandingi oleh Ketua AMK Sarawak Ahmad Nazib Johari.
Begitu juga di DUN Benguh, jumlah pengundi pos juga melebihi 500 undi.
Seramai 150 pengundi pos berdaftar layak mengundi di DUN Samariang.
Dalam perkembangan yang sama, Rafizi dalam satu kenyataan media semalam meminta SPR memberi keistimewaan kepada pengundi berdaftar di Semenanjung Malaysia mengundi secara pos.
Ini kerana katanya, lebih 20 ribu dianggarkan berada di sana dan mustahil berpeluang pulang ke Sarawak menggunakan perkhidmatan kapal terbang dalam masa yang terhad ini.
Pengundi berdaftar secara bukan pos dijadualkan membuang undi pada 16 April ini.
Sebanyak 71 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya negeri Sarawak ke- 10 ini.
Najib : Dua Pertiga Adalah Bonus
KUCHING 13 APRIL : Perdana Menteri Najib Abdul Razak menyifatkan sebagai “bonus” jika Barisan Nasional memperolehi majoriti dua pertiga pada pilihan raya negeri Sawarak Sabtu ini, dalam pengakuan yang mencerminkan keresahan beliau mengenai peluang parti pimpinannya.
Najib berkata sasaran BN adalah untuk membentuk kerajaan negeri, yang hanya memerlukan kemenangan majoriti mudah.
"Kemenangan dua pertiga adalah satu sasaran yang mampu dicapai. Jika kita capainya dua pertiga itu satu markah bonus untuk wujud kerajaan yang kuat dan stabil," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.
Najib menjawab soalan mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam yang optimis untuk mengekalkan majoriti dua pertiga dengan kemenangan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Keyakinan itu bagaimanapun dibayangi rekod kehadiran pengundi yang tinggi pada ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat di bandar dan luar bandar sejak penamaan calon pada 6 April lalu.
Malah semua stesen telivisyen dilaporkan menerima arahan untuk tidak lagi menyiarkan ceramah pembangkang yang mempunyai kehadiran tinggi.
Datuk Seri Najib akur pilihan raya Sarawak kali ini adalah paling sengit dalam sejarah politik negeri ini.
Ditanya kononnya BN cuma membawa "politik Semenanjung", Najib berkata, tuduhan pembangkang itu hanya untuk mengelirukan pengundi sedangkan mereka sendiri turut berkempen di Sarawak.
"Anda tengoklah sendiri Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Guan Eng juga ada di sini turun berkempen.
"Saya - mereka kata tak boleh pulak. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua, untuk ralyat Sarawak juga," katanya.
Bagaimanapun Najib tidak mengulas hakikat bahawa beliau menongkah tradisi BN meletakkan kepercayaan kepada Timbalan Perdana Menteri untuk mengetuai kempen BN.
Pada pilihanraya kali ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa memberi laluan kepada Najib untuk menangani sentimen rakyat Sarawak terhadap Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud yang memerintah negeri itu lebih 30 tahun.
Rekod Taib yang dibelit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan penyelewengan kuasa memberi harapan untuk Pakatan Rakyat menembusi beberapa kubu kuat BN khususnya di kawawasan bandar.
Walaupun sebelum ini Taib member komitmen untuk berundur selepas pilihanraya negeri, semalam beliau menegaskan akan terus memegang kuasa untuk beberapa tahun, jika BN terus diberi mandat oleh rakyat.