ADUN Rembia sah sertai PAS, Takiyuddin kata tak perlu kosong kerusi

ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis. - NSTP
ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis. - NSTP

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai PAS.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dengan kemasukan Muhamad Jailani ke parti itu berkuat kuasa Jun tahun lalu.

Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini, Takiyuddin berkata keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.

Dengan perkembangan itu, komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kini dianggotai tiga wakil pembangkang, meningkat seorang berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Muhamad Jailani menyertai PAS sebelum undang-undang antilompat parti diluluskan DUN Melaka pada 31 Julai 2023.

"Pada 10 Jun 2023 iaitu sebelum DUN Melaka meminda Perlembagaan negeri pada 31 Julai tahun sama, Muhamad Jailani telah memohon untuk menjadi ahli PAS.

"Beliau diterima menjadi ahli PAS pada tarikh sama dengan ketika itu DUN Melaka masih belum ada undang-undang antilompat parti.

"Maknanya, ketika itu sesiapa mahu bertukar parti masih boleh seperti seruan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kepada ADUN dari Perikatan Nasional (PN) pada April 2023," katanya.

Muhamad Jailani menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.

Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada PRN 20 November 2021.

Isu timbul apabila Muhamad Jailani dilapor hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Beliau mempertahan tindakannya dengan menegaskan kehadiran di majlis itu bukan atas kapasiti sebagai ADUN UMNO, sebaliknya mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) yang diterajui bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Pada PRU15 beliau turut menyertai perarakan pada proses penamaan calon PAS Parlimen Ketereh di Kelantan.

Rentetan itu, Lembaga Disiplin UMNO pada September lalu, mengesyorkan keahlian Muhammad Jailani digantung selama enam tahun.

Tiada keperluan kosongkan kerusi DUN Rembia

Dalam pada itu, Takiyuddin menyanggah kemungkinan Muhamad Jailani perlu mengosongkan kerusi memandangkan kedudukannya sebagai ADUN Rembia tidak tergugur kerana penyertaan ke dalam PAS dibuat sebelum pindaan Perlembagaan Melaka dilakukan.

"Kalau di Dewan Rakyat selepas pindaan (akta antilompat parti) pun tidak gugur (tindakan enam Ahli Parlimen yang dihentikan keahlian daripada BERSATU kerana menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Jadi kalau tiada undang-undang (antilompat parti) memang tak gugur. Ia dipanggil 'lawless' (bermaksud) tiada undang-undang lompat parti semasa Muhamad Jailani melompat daripada UMNO kepada PAS," katanya.

Ditanya mengapa pengumuman dibuat selepas lebih setahun Muhamad Jailani menyertai PAS, Takiyuddin berkata: "Itu adalah strategi kita, strategi tak boleh bagi tahu.

"Ini masa sesuai untuk kami (mengisytiharkan penyertaan Muhamad Jailani) semasa kami memakai 'armband' (lilitan putih pada pengan) ini, membantah keputusan Parlimen apabila enam Ahli Parlimen PN jelas meninggalkan prinsip BERSATU, mengikut undang-undang mereka terhenti menjadi ahli parti.

"Di Melaka ini tiada undang-undang, memang jelaslah tidak boleh dikosongkan. Ada undang-undang pun tak kosong juga," kata Timbalan Setiausaha Agung PN itu.

Mengenai kedudukan Muhamad Jailani dalam DUN Melaka, Takiyuddin berkata, tiada sebarang perubahan dilakukan sepanjang Jun 2023 hingga sekarang, selain menjelaskan pengumuman berkenaan adalah pertama kali dibuat bagi memaklumkan penyertaan beliau ke dalam PAS.