PEMECATAN HAMZAH BAWA RAHMAT KEPADA PAS?
8 Februari 2026
Gelombang agar Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin dipecat daripada parti itu kembali muncul dalam dua tiga hari kebelakangan ini, malah kali ini terlihat lebih ganas lagi.
Ramai sudah pemimpin Bersatu yang tampil bercakap dan menyokong agar pemecatan Ahli Parlimen Larut itu tidak lagi dilengah-lengahkan.
Kononnya Hamzah perlu dipecat kerana didakwa menjadi dalang di sebalik siri tindakan terancang untuk menjatuhkan kepimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin serta mencemarkan imej Bersatu di mata rakyat.
Sebagai rekod, Hamzah sebelum ini sudah dipanggil untuk mengadap Lembaga Disiplin Bersatu, tetapi beliau tidak menghadirinya.
Difahamkan, sudah dua kali panggilan dilakukan, tetapi Ketua Pembangkang itu tidak dapat menghadirinya disebabkan bertembung dengan kesibukan beliau yang lain.
Yang menarik, dalam gelombang yang tercetus ketika ini, Setiausaha Agung Bersatu sendiri, Azmin Ali yang diketahui umum memang berseteru dengan Hamzah, turut memberi komen dengan mengatakan perkara itu di bawah bidang kuasa kepada Lembaga Disiplin memutuskannya.
Dalam perkembangan untuk meningkatkan lagi gelombang pemecatan itu, malam ini dilaporkan akan ada satu pertemuan pemimpin-pemimpin Bersatu di rumah Muhyiddin di Bukit Damansara.
Meski dilaporkan perjumpaan tersebut bagi membincangkan agenda memperkukuhkan lagi parti, tetapi ia juga dikatakan akan menjadi medan menzahirkan sokongan secara terbuka agar Hamzah dipecat daripada Bersatu.
Dengan sokongan yang makin meluas dan kian jelas selepas perjumpaan malam ini, mampukah Muhyiddin mengelak daripada tidak menuruti kehendak penyokong-penyokongnya itu?
Di mata umum, berikutan dua Ahli Parlimen Bersatu sudah dipecat iaitu Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah, manakala Wan Ahmad Fahsyal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian serta ramai lagi pemimpin bahagian Bersatu telah dan terus dipanggil untuk mengadap Lembaga Disiplin, adalah sukar untuk melihat ada jalan selamat buat Hamzah.
Sepertinya pemecatan Hamzah adalah takdir yang begitu sukar untuk dielakkan.
Hamzah dikatakan perlu disingkirkan bagi menjamin kedudukan Muhyiddin terus kukuh dan tidak tergugat lagi dalam menerajui Bersatu.
Apakah Hamzah sudah bersedia untuk dipecat dan apakah perancangannya jika “bala” itu datang menimpa?
Buat ketika ini, Hamzah belum terlihat ada sebarang gerakan untuk melawan atau rancangan bagi menangkis arus pemecatan yang sedang dihalakan kepadanya, meski pun sebelum ini dilaporkan ada sejumlah 120 Ketua Bahagian berada di belakangnya.
Apakah beliau mahu menunggu dirinya dipecat terlebih dahulu sebelum mahu menggerakkan sesuatu?
Apa pun yang berlaku, kemelut dalam Bersatu ini pastinya menghakis lagi keyakinan rakyat kepada parti itu.
Berlaku krisis dalaman yang berpanjangan, baru-baru ini berlaga angin dengan PAS sehingga Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, manakala Mac depan pula, kes mahkamah Presiden Bersatu itu akan mula dibicarakan, ditambah jika pemimpin nombor dua disingkirkan, semua ini bukan sesuatu yang baik untuk sebuah parti yang mahu menang lebih banyak kerusi pada PRU akan datang.
Jika Hamzah dipecat, satu-satunya pilihan yang wajar untuk beliau ialah menyertai PAS, bahkan semua yang menyokong beliau juga harus berbuat demikian.
Dengan PAS bakal menerajui PN, penyertaan Hamzah dan para penyokonngnya ke dalam parti itu, termasuk dikhabarkan ramai Ahli Parlimen Bersatu juga akan berbuat demikian sebagai mengiringi kiranya pemecatan Ketua Pembangkang itu menjadi kenyataan, inilah yang dikatakan rahmat buat parti Islam itu.
Dalam PRU16 akan datang, senang-senang PAS mampu meraih kemenangan 60 kerusi Parlimen. - ShahbudinHusin 08Februari2026.
https://shahbudindotcom.net/2026/02/pemecatan-hamzah-suatu-rahmat-kepada-pas/