MCA tak pernah pula berbunyi ketika BN nafi peruntukan untuk pembangkang


Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ditempelak ekoran kenyataannya mendakwa Kerajaan Persekutuan bertindak tidak adil dalam soal peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen.
Peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan berkata, meskipun Wee wajar membuat kenyataan demikian, namun sebelum ini beliau tidak pula bersuara apabila kerajaan BN langsung tidak memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang.
“Pernahkah Wee terfikir tentang atau bersimpati dengan ahli Parlimen pembangkang sebelum ini yang terpaksa menjalankan tanggungjawab mereka dengan peruntukan RM0.00 daripada Kerajaan Persekutuan?” soal Syahredzan, dalam suatu perkongsian di laman Facebook rasminnya.
Bagi Syahredzan yang giat berkempen untuk DAP dalam pilihanraya lalu, dalah lebih baik bagi Wee untuk membiarkan orang lain untuk membangkitkan isu ini, kerana sebagai seorang anggota bekas kerajaan, beliau akan dilihat sebagai seorang hipokrit.
“Beliau langsung tidak mempunyai legitimasi untuk menuduh bahawa Kerajaan tidak berlaku adil apabila sebelum ini Kerajaan yang dianggotainya sendiri ‘menzalimi’ ahli Parlimen pembangkang,” jelas Syahredzan lagi.
Kerajaan mengumumkan akan memberikan peruntukan berjumlah RM500,000 untuk setiap Ahli Parlimen Kerajaan, manakala RM100,000 untuk wakil-wakil rakyat pembangkang.
Sebelum ini, Barisan Nasional tidak memperuntukkan sebarang dana untuk wakil-wakil rakyat pembangkang di Parlimen.

Sekolah patut bebas dari pengaruh politik kepartian – Hannah Yeoh



Semua sekolah perlu bebas dari pengaruh politik partisan dan wajar membenarkan wakil rakyat daripada kerajaan mahupun pembangkang termasuk dari UMNO untuk terlibat sama dalam program anjuran sekolah kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Menurutnya, tindakan melarang mana-mana Ahli Parlimen mahupun Adun daripada pembangkang yang diamalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu perlu dihentikan.
“Sekiranya Pakatan Harapan tidak memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan di Putrajaya, apa yang diamalkan sebelum ini akan terus berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata demikan dalam kenyataan selepas memenuhi jemputan ke majlis anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Dr Ismail semalam.
Hannah turut berkongsi pengalamannya ketika dilarang memenuhi undangan ke majlis anjuran sebuah sekolah di Subang Jaya pada 2008 walaupun telah menjadi wakil rakyat bagi kawasan berkenaan.
“Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan Barisan Nasional ketika itu kemudiannya mengeluarkan pekeliling supaya melarang wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk menghadiri program anjuran sekolah.
“Lebih menghairankan, kementerian menyenaraikan pula senarai mereka yang dibenarkan. Kebanyakannya mewakili UMNO, MCA, MIC dan komponen BN yang lain malah bekas calon MCA yang saya tewaskan pada pilihan raya pada 2008 dan 2013 pula dijemput untuk merasmikan program sekolah ketika itu,” katanya lagi.

SUHAKAM PERSOAL KADIR JASIN DISIASAT BAWAH AKTA HASUTAN

PEMIMPIN PAS ENGGAN TERIMA RAKYAT TOLAK POLITIK KAUM, AGAMA SEMPIT

SAKSI UTAMA SIASATAN SRC INTERNATIONAL SERAH DIRI