BN masih berpeluang memperbaiki diri: Jadi pembangkang sepenggal dua — Aspan Alias
March 31, 2013
31 MAC — BN masih dalam kegelisahan. Hari Jumaat yang lepas,
saya telah mendengar apa yang dikatakan oleh juruhebah radio yang mereka
sedang menunggu pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri
pada bila-bila masa sahaja semasa itu. Dalam hati saya “at last, Najib
is brave enough to dissolve the Parliament”. Saya terus sahaja berhenti
di tempat makan untuk makan tengah hari. Jam semasa itu sudah 3 petang
kerana agak teruk juga keadaan di jalan raya selepas solat Jumaat itu.
Saya pun tertunggu-tunggu untuk mendengar pengumuman itu dan saya
tidak berhenti-henti menerima sms dari rakan-rakan memberitahu saya yang
PM akan membuat ‘press conference’ untuk pembubaran Parlimen tetapi
sampai ke malam hari tiada juga pembubaran itu. Pada malamnya dalam
perjalanan ke Sekinchan untuk berceramah, saya telah mendapat berita apa
yang dikatakan oleh juruhebah radio itu tidak berlaku dan pihak
berwajib telah menafikan berita pembubaran itu.
Pagi tadi saya telah difahamkan yang BN masih mempunyai masalah besar
yang belum dapat diselesaikan. Masalah ‘inter-party’ dan ‘intra-party’
masih menyelubungi BN dan pengumuman itu terpaksa ditunda lagi. Seorang
sahabat saya dari Umno memberitahu saya, “jangan susah, pilihanraya akan
diadakan juga, percayalah...selewat-lewatnya sebelum dunia kiamat,
Najib akan umumkan tarikh pilihanraya itu,” dalam mood menyindir.
Saya selalu menulis tentang isu ini dalam penulisan saya sejak
setahun yang lalu. BN sesungguhnya mempunyai masalah pembahagian kerusi.
MCA terlalu meminta-minta kerusi yang lebih sedangkan parti itu tidak
mendapat sokongan lagi. Umno sebenarnya sudah menganggap MCA ini sebagai
‘baggage’ yang besar dan tidak boleh mendapat kerusi yang terlalu
banyak. Malahan mengikut pandangan ramai ahli-ahli Umno sendiri
berpendapat membawa MCA bersama merupakan satu beban yang besar.
Umno sendiri sudah tidak berdaya menanggung bebannya sendiri, tetapi
ditambah pula dengan bebanan yang diberikan lagi oleh MCA dan
rakan-rakan kongsi yang lain dalam BN itu. Itu masalah ‘inter-party’.
Bagaimana pula dengan masalah ‘intra-party’ dalam Umno dan MCA itu
sendiri? Apa yang saya jangkakan dahulu sudah terbit buktinya. Dulu saya
selalu mengatakan kalau hendak tengok macam mana seriusnya perpecahan
di dalam Umno itu.
Saya telah memberitahu yang sejurus sahaja nama-nama calon diumumkan
Umno akan berpecah lagi. Sabotaj terhadap parti oleh ahli-ahli dan
pekerja pilihanraya mereka sendiri akan memainkan peranan untuk
menjatuhkan calon parti mereka. Mensabotaj parti itu merupakan budaya
yang tegar dalam Umno sejak sepuluh tahun dahulu sekurang-kurangnya.
Kalau apa yang saya katakan ini tidak benar, masakan Dr Mahathir telah
memanggil pimpinan peringkat bahagian seluruh negara datang secara
bergilir-gilir untuk mengangkat sumpah untuk tidak mensabotaj parti
dalam pilihanraya kali ini.
Apa semuanya ini? Kalau terpaksa mengangkat sumpah di depan Dr
Mahathir yang mereka tidak akan sabotaj parti, itu menunjukkan yang Umno
pada hakikatnya sudah mati keseluruhan semangatnya. Jika Umno
menghadapi masalah di kalangan ahli-ahlinya sendiri, bagaimana parti ini
diberikan mandat pula? Jangan sekali-kali memberikan sokongan kepada
parti yang bermasalah kerana mereka tidak akan mentadbir dengan betul
jika mendapat mandat nanti.
Isu pemilihan calon masih tidak dapat diselesaikan bagi setengah
kawasan yang diwakili oleh Umno dalam pilihanraya ini. Sedangkan masalah
Umno di Perlis, negeri yang terkecil dalam negara itu pun tidak dapat
diselesaikan, bagaimana hendak menyelesaikan masalah Umno di seluruh
negara? Selagi pimpinan Umno takut kepada ‘warlords’ yang sedang
mengambil kesempatan semasa Umno dalam krisis ini, masalah tidak akan
selesai walaupun pilihanraya sudah diumumkan.
Blog ini selalu menasihatkan agar Umno menumpukan terhadap masalah
dalaman mereka sendiri daripada menumpukan tenaga untuk ‘mengerjakan’
pihak pembangkang. Dalam pembangkang tidak menghadapi banyak masalah
seperti yang dihadapi oleh Umno. Lim Kit Siang hendak berpindah ke
Gelang Patah dalam pilihanraya kali ini tidak menghadapi masalah.
Penghijrahan pemimpin-pemimpin DAP dan PAS ke Johor itu menunjukkan
yang pemimpin pembangkang berani menghadap risiko semata-mata untuk
mementingkan demokrasi untuk kebaikan rakyat dan negara. Menang kalah
bukan ‘ultimate’ bagi pemimpin-pemimpin ini. Yang terpenting ialah untuk
mendidik rakyat untuk melangsungkan demokrasi dengan sepenuhnya.
Sallahudin Ayob sanggup meninggalkan kawasan selamat di Kelantan untuk
memperjuangkan semangat demokrasi itu.
Kalau dahulu pemimpin-pemimpin dari negeri lain berhijrah ke Kelantan
tetapi sekarang keadaan sudah terbalik. Pemimpin dari Kelantan pula
yang kembali ke Johor untuk meningkatkan perjuangan seperti juga yang
dilakukan oleh Lim Kit Siang. PAS dan DAP adalah parti yang hidup dan
berkesan. Sebaliknya, Umno menghadapi masalah-masalah yang masih tidak
selesai kerana kali ini merupakan krisis keyakinan yang paling besar
mereka hadapi dalam sejarah kemerdekaan negara.
Kedua-dua parti ini telah mengalami puluhan tahun zaman susah mereka
kerana tekanan parti pemerintah. Sekarang ini PAS dan DAP sedang
menghadapi zaman mudahnya untuk mendekati rakyat dengan lebih hampir
lagi.
Hanya media perdana sahaja yang belum lagi membuat perubahan untuk
lebih terbuka dalam menghadapi demokrasi yang kian hari kian menjadi
tuntutan rakyat. PAS dan DAP sedang mengecapi apa yang disebut dalam
peribahasa, ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’.
Walaubagaimanapun kehendak rakyat kali ini adalah ‘predictable’.
Samada Parlimen dibubarkan esok atau penghujung bulan April nanti
keputusannya tetap sama. Rakyat mahukan perubahan dan mahukan kerajaan
yang baru.
Tindakan untuk melakukan perubahan ini, bukannya satu jenayah.
Dalam pada itu Umno juga boleh mencuba untuk melakukan perubahan
tetapi semasa mereka berada di luar kerajaan. Umno akan merasakan nikmat
menjadi pembangkang kerana semasa menjadi pembangkang parti itu akan
berkesempatan untuk meningkat jati diri mereka dan menjadi parti yang
mempunyai perjuangan yang betul.
PAS dan DAP mengalami berada di luar kerajaan puluhan tahun lamanya.
Itulah sebabnya parti-parti itu lebih mantap dari segi perjuangan
mereka.
Umno akan tetap menjadi parti yang lebih baik jika parti itu melalui
proses memperbaiki diri dengan berada di luar kerajaan buat satu atau
lebih baik dua penggal pilihanraya. — aspanaliasnet.blogspot.com
*
Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.