Oleh: Helmi Mohd Foad
Kerjasama strategik yang dijalinkan oleh Malaysia dan Google bakal
mewujudkan peluang pertumbuhan inklusif kepada lebih ramai rakyat Malaysia dan
syarikat tempatan dalam ekonomi digital yang berkembang pesat.
Ia turut membuka peluang peningkatan kemahiran inklusif kepada
300,000 rakyat Malaysia menjelang 2026 dengan menyediakan lebih banyak peluang
latihan digital kepada rakyat Malaysia tanpa sebarang kos.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen
terbaharu Google yang bertujuan untuk mempercepat inovasi tempatan dan
pembangunan tenaga kerja dalam bidang kecerdasan buatan (AI) pastinya akan
meningkatkan daya saing digital negara selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi
MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
"Rangka Kerja Ekonomi MADANI Malaysia disasarkan untuk
meningkatkan saiz ekonomi Malaysia, serta memastikan semua pihak berkepentingan
terutamanya rakyat dan perniagaan kecil dapat menikmati faedah sosio-ekonomi
seterusnya," katanya di San Francisco, Amerika Syarikat hari ini.
Terdahulu Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam menghadiri sidang
APEC mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi teknologi seperti
Google, Enovix Cooperation, Microsoft dan TikTok di sini.
"Saya telah mengadakan pertemuan dengan syarikat-syarikat
besar yang telah memberi pengakuan akan melanjutkan pelaburan mereka di
Malaysia secara besar-besaran," katanya.
Anwar berkata sistem politik yang stabil dan dasar yang jelas
merupakan antara faktor penting yang menarik minat syarikat terbabit untuk
melabur di Malaysia.
"Proses kelulusan juga akan memberi keyakinan kepada mereka.
Kepantasan kehadiran pelabur baharu akan memberikan satu rekod baharu kepada
Malaysia," katanya kepada pemberita Malaysia selepas sesi pertemuan
tersebut.
Google diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan, Ketua
Pegawai Kewangannya Ruth Porat, Enovix Cooperation diwakili Ketua Pegawai
Operasinya Ajay Marathe, Microsoft Asia oleh Presidennya Ahmed Mazhari manakala
TikTok oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Shou Zi Chew.
Kawasan San Francisco Bay menjadi tumpuan banyak syarikat Fortune
500 utama untuk bertapak di sini yang mana kebanyakannya adalah firma inovatif
dalam pembangunan Kecerdasan Buatan (AI), bioteknologi, perisian, teknologi
bersih dan media sosial.
Perdana Menteri turut menerima kunjungan hormat daripada Rakan
Pengasas, Pengerusi Eksekutif dan Pengarah TPG, Jim Coulter. TPG merupakan
syarikat pengurusan aset alternatif utama global.
Anwar tiba di San Francisco pada Isnin lalu bagi menghadiri
Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AELM) dari 14-17
November yang merupakan lawatan sulung beliau bagi mesyuarat Kerjasama Asia
Pasifik (APEC) sebagai Perdana Menteri.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku
Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Duta
Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta para
pegawai kanan kerajaan yang lain.
Dalam pada itu, Google dalam kenyataan berkata kerjasama itu
bermatlamat untuk membantu perniagaan dari semua saiz memajukan daya saing
digital mereka melalui program kemahiran, pelaburan dalam infrastruktur
digital, inovasi AI yang bertanggungjawab dan dasar mengutamakan awan, lapor
Bernama.
Google berkata inisiatif terbaharu itu adalah bersandarkan kepada
pelaburannya di Malaysia sejak 12 tahun lepas.
Pada 2022, produk dan program syarikat itu menyokong lebih 47,900
pekerjaan dan turut menyumbang sama ada secara langsung dan tidak langsung
kepada perniagaan tempatan dengan manfaat ekonomi bernilai kira-kira AS$2.8
bilion.
"Perkongsian yang kami umumkan hari ini dengan Kerajaan
Malaysia menyelaraskan misi tempatan Google untuk memajukan Malaysia dengan
matlamat kerajaan bagi mewujudkan ekosistem yang menyokong inovasi termasuk
peluang pekerjaan yang saksama," kata Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan,
Ketua Pegawai Kewangan, Alphabet dan Google, Ruth Porat.