SIRI 2 Genosid di Gaza: Sudah tiba masanya untuk minda yang lebih inklusif

 



Genosid di Gaza: Sudah tiba masanya untuk minda yang lebih inklusif

Kita perlu menekankan ciri-ciri progresif dan keterangkuman di dalam semua ajaran agama yang utama jika kita mahu mengharungi kekejaman yang kita saksikan hari ini.


Sungguh tragis bahawa AS dan negara-negara Eropah yang menyokong demokrasi nampaknya tidak memahami perkara ini: tindakan balas yang tidak seimbang oleh Israel merupakan hukuman kolektif terhadap penduduk awam Gaza. Dengan berlepas tangan negara-negara ini dengan tidak melakukan sebarang tindakan, mereka membenarkan apa yang berlaku di Gaza dan tindakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu itu.

Israel telah bersikap angkuh dalam tindak balasnya terhadap PBB. Beberapa kakitangan PBB sendiri telah meninggal dunia dalam serangan terbaru ke atas Gaza. Gesaan Israel agar setiausaha agung PBB meletakkan jawatan menampakkan penghinaannya terhadap PBB.

Namun, dengan perlindungan dari AS dan Eropah, Israel terus mempertahankan yang tidak dapat dipertahankan.

Sementara itu, Netanyahu terus mara ke hadapan, mencabar kedua-dua kuasa AS dan Eropah.

Tiada sesiapa pun yang berani mengambil pendirian untuk menyukarkan Israel meneruskan tindakannya ini. Sebaliknya, kedua-dua kuasa hanya beralah dan memberi ruang dan waktu agar tentera Israel dapat mencapai objektifnya.

Netanyahu yang ‘lapar darah’ ini langsung tidak berminat untuk mencapai keamanan. Beliau mahukan konflik dengan Gaza, dan tumpuannya kepada Hamas dilihat sebagai cara untuk mengekalkan dirinya berkuasa. Para Zionis ini perlu berundur untuk kita mempunyai peluang untuk keamanan wujud.

Sayeeda Warsi, ahli Dewan Pertuanan UK, menyatakan mengenai sokongan Netanyahu terhadap Hamas dari awal. “Sesiapa yang ingin menggagalkan penubuhan negara Palestin perlu menyokong penubuhan Hamas dan memindahkan wang kepada mereka. Ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mengasingkan rakyat Palestin dari Gaza daripada mereka di Tebing Barat,” kata Netanyahu.

Dasar pecah dan perintah yang dijalankan beliau menunjukkan ketidakikhlasan beliau dalam mencari keamanan. Berikutan pembunuhan bekas Perdana Menteri Yitzhak Rabin pada perhimpunan damai di Tel Aviv pada tahun 1995, perjanjian Oslo kemudiannya berakhir. Kemudian, John Kerry, setiausaha negara AS pada 2013-17, juga melihat usahanya gagal.

Selagi Hamas kekal, Netanyahu boleh berhujah bahawa beliau tidak mempunyai rakan kongsi untuk keamanan di Gaza dan ini sekali gus mewajarkan perangnya.

Malah Netanyahu akan menandatangani perjanjian dengan syaitan untuk memastikan masa depan politiknya, kerana kerajaan gabungannya sekarang ada seorang yang mengaku dirinya seorang fasis serta seorang lagi disabitkan hukuman bersalah kerana menyokong organisasi “pengganas”. Uar-uar untuk menggunakan bom nuklear di Gaza baru-baru ini juga menyebabkan salah seorang menterinya dipecat.


No comments: