SAMBUTAN ULANG TAHUN PERTAMA ANWAR JADI PM LEBIH WAJAR DIPENUHI DOA BERBANDING PESTA


Seorang bekas Ahli Parlimen, bekas Senator dan Felo Majlis Professor mengkritik langkah kerajaan mahu mengadakan sambutan ulang tahun pertama Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri selama tiga hari pada 8 hingga 10 Disember akan datang.


Program Setahun Bersama Kerajaan Madani itu akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


Menurut seketariatnya, program berkenaan dijangka dirasmikan Anwar pada 10 Disember dan akan dihadiri pimpinan tertinggi kerajaan perpaduan.


Selain mempromosikan inisiatif baharu, tambah seketariat berkenaan, program itu juga dianjurkan untuk membina keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.


“Program ini turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pemegang taruh.


“Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan program berkenaan,” kata kenyataan kenyataan sekatariat itu lagi.


Kritikan terhadap sambutan itu boleh dibaca di sini – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/11/16/sambutan-3-hari-ulangtahun-kerajaan-dibidas/


Dalam ini, saya seratus-peratus bersetuju dengan kritikan terhadap program sambutan ulang tahun pertama yang ingin diadakan besar-besaran itu.


Program seperti itu tidak perlu sama sekali diadakan, bahkan mengadakannya secara besar-besaran lebih menampakkan ada kegagalan yang ingin dilindungi.


Pernahkah mana-mana kerajaan sebelum ini mengadakan sambutan ulangtahun pertama secara mega begini?


Dengan mengadakannya pula selama tiga hari, berapa kos daripada dana rakyat harus dibelanjakan?


Tidak bolehkah kerajaan mengamalkan sikap jimat cermat dan mengelakkan daripada budaya membazir?


Lebih buruk nanti jika akhirnya setiap tahun akan diadakan pesta besar-besaran seperti itu.


Lagi pun, jika mahu mempromosi inisiatif baru kerajaan dan memaklumkan apa yang sudah dilakukan, bukankah memadai dengan menyebarluaskannya melalui saluran media kerajaan, media arus perdana dan juga media sosial yang jauh lebih meluas sebarannya?


Ataukah dengan mengadakan sambutan selama tiga hari Stadium Nasional itu menandakan komunikasi kerajaan telah gagal berfungsi selama ini?


Apa pun, sesuai dengan imej Islamik Anwar yang selama bercakap soal jimat cermat dan tak suka membazir, lebih wajar sambutan ulang tahun pertama kerajaan perpaduan ini diadakan dengan doa selamat saja di masjid saja.


Boleh diadakan sama ada di Masjid Putrajaya atau Masjid Negara, tambahan lagi doa Tuhan agar kerajaan ini lebih lama mentadbir negara jauh lebih penting untuk diutamakan berbanding dengan pesta-pestaan. – ShahbudinHusin 16/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/16/sambutan-ulang-tahun-pertama-anwar-jadi-lebih-wajar-dengan-doa-selamat-saja.html



No comments: