SIRI 3 Genosid di Gaza: Sudah tiba masanya untuk minda yang lebih inklusif

 

Genosid di Gaza: Sudah tiba masanya untuk minda yang lebih inklusif

Kita perlu menekankan ciri-ciri progresif dan keterangkuman di dalam semua ajaran agama yang utama jika kita mahu mengharungi kekejaman yang kita saksikan hari ini.



Kemudian terdapat pula pertuduhan rasuah yang masih perlu dihadapi oleh Netanyahu serta perubahan undang-undang yang kejam – yang telah ditentang oleh rakyat Israel – melibatkan pengekangan bidang kuasa kehakiman. Hanya seorang ideolog yang komited kepada ideologi Zionisme boleh merasionalkan tindakan yang dahsyat serta kehilangan nyawa yang besar di kawasan Gaza sekarang. Tampaknya, Netanyahu langsung tidak mempunyai hati nurani.

Pun begitu, AS dan mereka yang di Barat langsung tidak mempunyai keberanian moral untuk menentang kezaliman zaman moden ini. Tidak mungkin kerajaan AS dan Eropah dapat membersihkan darah yang kini juga mengalir di tangan mereka. Prasangka serta rasa bersalah mereka ini sendirilah yang telah membutakan mereka daripada mengambil pendirian yang jelas. Beralah kepada kerajaan Israel ini mesti dihentikan.

Adalah wajar bagi semua negara untuk memfailkan tindakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Sudah tiba masanya untuk institusi antarabangsa ini menyatakan sikap mereka tentang kebebasan dan keadilan. Mereka perlu mempertanggungjawabkan Netanyahu atas segala jenayah perang yang dilakukannya. Jika ia gagal, ia seakan-akan mendorong yang lain pula untuk melakukan jenayah serupa.

Rakan saya Peter Shambrook, dalam buku terbarunya Policy of Deceit – Britain and Palestine 1914-1939, menganalisa sumber utama melibatkan urusan UK dengan pemimpin Arab, terutamanya dalam proses surat-menyurat 1915-17, yang menunjukkan bagaimana Britain bermuka-muka. Ini menyerlahkan keterlibatan UK dalam menyumbang kepada isu Israel-Palestin hari ini.

Masalah utamanya wujud di dalam Deklarasi Balfour 1917, di mana Britain membuat janji kepada pertubuhan Zionis yang tidak sesuai dengan janji yang mereka buat kepada pemimpin Arab ketika itu.

Surat itu, yang ditulis oleh Arthur Balfour, berjanji untuk memudahkan penubuhan rumah kebangsaan Yahudi di Palestin selagi “ia tidak melakukan apa-apa yang boleh menjejaskan hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi sedia ada di Palestin”.

Kegagalan Britain mengenai peruntukan terakhir ini adalah jelas sehingga hari ini.

Negara-negara Eropah dan AS perlu mengambil pendirian yang tegas terhadap Netanyahu, di mana jika ia gagal, peristiwa baru-baru ini boleh berkembang menjadi krisis yang lebih serius dengan menarik pemain-pemain lain seperti Lubnan, Syria, Jordan, Arab Saudi, Mesir dan Iran. Ini akan menyebabkan keruntuhan dasar AS di Timur Tengah.

READ MORE:  Israel-Gaza 'war': Ceasefire failure and hospital strike aftermath

 

Sudah tiba masanya negara-negara ini memahami kehendak masyarakat global serta jurang yang wujud di antara kepentingan nasional mereka dengan rasa jijik rakyat mereka sendiri terhadap dasar dan realiti yang dihadapi mereka.

Zionisme semuanya adalah soal menubuhkan negara etno-nasionalistik. Ia secara eksklusifnya mengenai orang Yahudi dan malangnya, ia lebih menonjol daripada agama Yahudi itu sendiri. Apabila ideologi mengatasi kepercayaan yang ada pada sesuatu kaum, maka ia menimbulkan cabaran yang serius.

Ia semua berkisar tentang segelintir “orang yang terpilih”, hak mereka ke atas tanah asal mereka, dan ini menimbulkan pandangan serong tentang kemanusiaan. Kaum lain dipinggirkan menjadi bukan manusia, dan ini, dalam fikiran mereka, mengabsahkan tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan terhadap orang lain.

Kita menyaksikan bagaimana hal ini dimainkan di banyak tempat. Itulah sebabnya mengapa segala ideologi yang hanya berpusatkan etno – sama ada Zionisme atau “Hindutva” di India atau “ketuanan Melayu” – adalah idea yang secara asasnya hanya memecahbelahkan manusia.

Idea yang sedemikian hanya mewujudkan aparteid secara mental atau pengasingan dan perpecahan yang kemudiannya wujud menerusi dasar yang merendahkan pihak lain – dasar yang bersifat unilateral dan meminggirkan kepentingan serta hak pihak yang lain. Ketakutan terhadap yang lain itulah kemudian yang menjadi daya penggerak.

Idea populis itulah yang menghakis fabrik demokrasi hari ini.

Kita perlu memberi tumpuan kepada isu-isu yang membina dan menyatukan orang ramai, memenuhi keperluan mereka dan meningkatkan rasa hormat antara satu sama lain di luar garisan dan sempadan kaum, agama, kelas atau warna kulit.

Dalam dunia yang saling berkait dan saling bergantung hari ini, kita menyeru agar masyarakat saling menghormati kemanusiaan dalam usaha mewujudkan masyarakat yang berperikemanusiaan. Ini hanya mungkin apabila iman mentakrifkan cinta dan yang lain menjadi penting.

Kita perlu menekankan ciri-ciri progresif dan keterangkuman di dalam semua ajaran agama yang utama jika kita mahu mengharungi kekejaman yang kita saksikan hari ini. Dapatkah pelajaran sejarah hari ini menyumbang kepada masa depan yang lebih baik?

K Haridas
Editor bersama, surat berita Aliran
13 November 2023

Terjemahan oleh: Zikri Rahman


No comments: