‘Zaid tawar tunjuk ajar cara siasat kes pen drive Kevin Morais’
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim hari ini memberi tunjuk ajar kepada Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam menangani kemelut pen drive.
Bagi AG, katanya, Apandi perlu berbincang dengan pendahulunya, Tan Sri Abdul Gani Patail, dan kemudiannya menghantar pasukan penyiasat ke Amerika Syarikat untuk mengkaji kandungan pen drive itu.
“Adakah beliau telah melihat pen drive Charles (Suresh Morais) didakwa diterimanya daripada abangnya (Kevin Anthony Morais)?
“Peguam Negara tidak boleh begitu cepat untuk membakul-sampahkan dakwaan yang sebegitu serius. Beliau harus berminat dengan aduan itu dan bukannya sama ada Charles seorang bankrap atau tidak.
“Tidak ada keperluan untuk berbuih di mulut apabila seseorang membuat dakwaan ke atas pemimpin kita. Tidak ada keperluan untuk berkelakuan seperti seorang pembantu peribadi kepada Perdana Menteri.
“Tenang dan profesional pada setiap masa,” katanya dalam blog yang dikemas-kini hari ini.
Rabu lalu, Charles mendedahkan akuan bersumpah kepada media yang mendakwa ada konspirasi dalam pembunuhan abangnya.
Beliau juga mendakwa memiliki sebuah pen drive yang memperincikan kes yang dikendalilkan oleh Kevin, seorang timbalan pendakwa raya kanan.
Ahli perniagaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat mendakwa Kevin juga memberitahunya beliau mengendalikan kes-kes yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Kevin ‘dipinjamkan’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang sedang menyiasat derma RM2.6 bilion dan dana SRC International sebanyak RM42 juta yang dilaporkan disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.
Perdana Menteri menafikan menggunakan wang rakyat itu untuk kepentingan peribadi.
Sementara itu, Zaid juga membidas Ketua Polis Negara kerana melabelkan Charles sebagai pengecut kerana melarikkan dirinya selepas membuat pendedahan SD itu.
“Ini tidak sepatutnya. Reaksi yang lebih profesional adalah mengakui betapa seriusnya tuduhan itu dan berikrar bahawa satu pasukan siasatan akan dihantar ke alamat Charles di Amerika Syarikat secepat mungkin.
“Serangannya ke atas (peguam) Americk (Sidhu), yang mewakili Charles, dan menghantar polis menyoal siasat peguam itu adalah gangguan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pegawai polis atasan.
“Mengapa Americk bantu anak guamnya untuk merangka SD adalah kemungkinan satu jenayah tetapi tidak bagi Cecil Abraham (berhubung SD dari penyiasat persendirian P Balasubramaniam)?” soalnya.
Cecil disiasat oleh panel tiga anggota Jawatankuasa Lembaga Disipin, Majlis Peguam atas dakwaan salah laku profesional kerana didakwa menyediakan SD untuk Balasubramaniam yang bukan anak guamnya.
SD yang menjadi perbalahan itu adalah untuk menafikan pengakuan bersumpah pertama Balasubramaniam yang mendakwa Najib dan beberapa tokoh lain ada kaitan dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.
Balasubramaniam juga kebetulan adalah anak guam Americk.