Perjuangan Melayu Pas – Umno dimanakah penghujungnya?


Perjuangan Melayu Pas – Umno dimanakah penghujungnya?

Perjuangan Melayu Pas – Umno dimanakah penghujungnya?

Konsep The Greater Malay atau Melayu Terulung kini menjadi dasar perjuangan dua parti Melayu terbesar, Umno dan Pas.
Suatu ketika dahulu hanya Umno yang terkenal memperjuangkan konsep Ketuanan Melayu. Konsep ini meletakkan Melayu sebagai bangsa kelas satu dan selain Melayu adalah bangsa kelas kedua. Sebagai bangsa kelas satu, Melayu diperuntukkan pelbagai kuota.
Daripada peluang pekerjaan sehinggalah kuota memiliki lot perniagaan di bandar-bandar besar. Umno memperjuangkan pendidikan orang Melayu. Dengan cara itu banyak anak Melayu berjaya menjejakkan kaki ke universiti.

Kapitalis Melayu

Namun hanya dalam dekad 1950 – 1970an Umno jujur melaksanakan agenda perjuangan Melayu. Mulai tahun 1980an, apabila Dr Mahathir menjadi perdana menteri, perjuangan Melayu terpesong jauh. Mahathir melahirkan golongan kapitalis Melayu.
Para pemodal ini kebanyakannya adalah pemimpin Umno dan kaum kerabat mereka yang diberi laluan mudah menguasai ekonomi. Mereka mendapat pink form iaitu saham bernilai tinggi secara kuota. Untuk membeli saham pula diberi pinjaman mudah.

Pada tahun 2010, dalam jawapan pertanyaan di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Najib Razak mengakui daripada RM54 bilion saham yang diperuntukkan kepada Melayu hanya RM2 bilion yang masih dalam pegangan kaum itu. Selebihnya, tentu telah bertukar kepada rumah mewah, kereta mewah, percutian mewah dan isteri lebih daripada seorang.

Melayu juga diberi peluang untuk menceburi perniagaan bidang besar seperti membina lebuh raya, pengangkutan awam, pelabuhan dan sebagainya. Sekali lagi kerajaan menyediakan pinjaman mudah kepada kroni Umno. Syarikat bermodal RM2 ditubuhkan dan mereka diberi projek bernilai puluhan malah ratusan juta ringgit.

Sekali lagi Melayu jenis ini menjual kebanyakan projek tersebut kepada kontraktor Cina dengan mendapat komisen 5 hingga 15 peratus. Mereka menjadi jutawan segera tanpa kerja. Melayu yang agak rajin berusaha membina beberapa projek insfrastruktur, antaranya lebuh raya.

Mereka diberi pinjaman mudah oleh kerajaan yang pada awalnya beretorik tidak mampu membina lebuh raya kerana kekurangan wang. Pemberian itu berakhir dengan syarikat konsesi menuntut lanjutan pungutan tol walaupun lebuh raya telah memperolehi keuntungan besar. Selain itu, terdapat juga Melayu yang hampir bankrap diselamatkan oleh kerajaan menggunakan berbilion ringgit dana awam dengan alasan mengekalkan pegangan ekuiti Bumiputera.

Biasiswa Melayu

Skim bantuan atas nama Melayu yang benar-benar memajukan bangsa itu hanyalah biasiswa masuk universiti. Biasiswa yang diberikan kepada anak Melayu sejak 1950an ini menampakkan hasil dengan lahirnya golongan korporat dan teknokrat Melayu.
Namun pada 1990an, pinjaman PTPTN mula mengganti biasiswa akibat keghairahan segolongan usahawan Melayu ingin berniaga dalam bidang pendidikan. Akibatnya, anak Melayu terpaksa berhutang antara RM15,000 hingga RM30,000 sebaik sahaja mereka mendapat segulung diploma atau ijazah.

Inilah perjuangan Melayu dari parti Umno yang mempunyai keanggotaan hampir 3.2 juta ahli. Mereka menjaja kononnya tanpa Umno Melayu akan binasa. Dengan Umno memerintah sejak merdeka, Melayu tidak juga menampakkan kemajuan hebat. Apatah lagi berjaya menguasai bangsa lain.

Pas pembela

Menempelak agenda Ketuanan Melayu sering dilakukan parti pembangkang Pas pada era kepimpinan Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat, lingkungan 1990an hingga 2012 lalu. Mereka amat kritikal terhadap Umno yang menipu bangsa Melayu demi kesenangan segelintir elit politik.

Pas membawakan konsep Ketuanan Islam yang lebih sempurna. Membela bangsa yang lemah berdasarkan merit, bukannya menetapkan kuota secara semberono dan menelan dana awam untuk kepentingan peribadi. Dasar Pas itu menarik minat bangsa selain Melayu untuk bersama-sama merubah politik tanah air kepada yang lebih adil bagi semua kaum.

Bagaimanapun, Pas yang kuat dan kini mencecah 1.3 juta ahli hasil gelombang perubahan yang dibawa Anwar Ibrahim sejak 1998, tiba-tiba berubah arah secara radikal selepas kematian Nik Aziz. Pas dipengaruhi oleh pemikiran tokoh strategi Dr Zuhdi Marzuki yang mahu membawa parti Islam itu kembali memperjuangkan agenda Melayu seperti era kepimpinan Asri Muda pada 1970an.
Sedangkan perjuangan Melayu telah difatwakan oleh ulama Pas sebelumnya sebagai asabiyah dan ditolak oleh agama Islam.

Menjentik, menyiku

Kononnya, menurut ijtihad golongan muda Pas, perjuangan berteraskan Melayu adalah demi memudahkan kaum itu mempertahankan Islam. Dalam hujah mereka, cadangan kerjasama Pas dan Umno akan memberi Melayu kuasa ‘menjentik’ Cina atau India yang ingin menuntut hak-hak perlembagaan. Konsep Melayu Agung bakal membuat bangsa lain kecut perut menghadapi Melayu.

Barangkali pemimpin muda Pas ini ingin menyemai semula ketakutan Cina kepada Melayu sebagaimana selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969. Ketika itu Melayu pantang dicabar dan Cina tidak berani untuk berkata apa-apa.

Namun dalam keadaan ketakutan sehingga tercirit birit itu, Cina berjaya juga menukar hampir separuh daripada 3 juta hektar Tanah Rizab Melayu untuk dibangunkan sebagai kawasan perumahan pegangan bebas dengan kerjasama pemimpin Umno.

Sangat mengarut apabila pemimpin Pas ingin bersama Umno yang telah terbukti berkali-kali ‘menjual Melayu’ kepada Cina sepanjang empat dekad lalu. ‘Menjentik’, ‘menyiku’ atau ‘menendang’ Cina adalah mitos sama sekali. Retorik ini digunakan Umno untuk menipu bangsa Melayu yang jahil. Namun tidak selayaknya para ustaz yang mendalami ilmu al Quran diperdaya menggunakan retorik yang sama.

Melayu yang diperbodoh mengundi BN setiap kali pilihan raya untuk mendapat peluang pekerjaan di kilang, pinjaman PTPTN dan BR1M RM900 setahun. Sedangkan pemimpin Umno membolot berbilion ringgit kewangan yang sepatutnya diagih-agihkan agar menjadikan Melayu tuan di bumi Malaysia.

Ayat dan hadis

Adakah Pas selepas ini akan bersusah payah membela penyelewengan Umno demi mendapat kuasa untuk ‘menjentik’ Cina? Sedangkan Melayu hari ini sepatutnya telah pun mendapat penghormatan mutlak Cina.

Mereka tidak perlukan kuasa jentik, siku atau lutut. Sekiranya Melayu tidak dikhianati Umno, mereka telah pun menguasai lebih 30 peratus ekuiti ekonomi. Bukannya tersangkut pada tahap 21 peratus.

Dengan penguasaan lebih 30 peratus ekuiti maka Cina akan tunduk hormat kepada Melayu tanpa disuruh terlebih dahulu. Melayu mempunyai kuasa ekonomi untuk membela bangsa. Syarikat-syarikat besar milik Melayu boleh menyediakan biasiswa, peluang pekerjaan dan modal untuk anak Melayu memulakan perniagaan sebagaimana yang dilakukan oleh usahawan Cina ke atas bangsa mereka.

Malah jika Melayu berpecah kepada lima lima parti politik sekali pun, mereka tetap menjadi bangsa terulung melalui kuasa kekayaan.
Ternyata Melayu Umno yang culas menyebabkan bangsa Melayu masih ‘melukut di tepi gantang’ walaupun selepas 58 tahun negara merdeka.

Selepas ini, nasib Melayu akan lebih buruk apabila segolongan ustaz pula ingin bersama pemodal Umno. Bilakah sumpahan ke atas Melayu akan berakhir?

Akhirnya ringgit mencapai tahap paling lemah selepas 16 tahun

Akhirnya ringgit mencapai tahap paling lemah selepas 16 tahun

Akhirnya ringgit mencapai tahap paling lemah selepas 16 tahun

Nilai ringgit Malaysia jatuh ke tahap paling lemah sejak 2005, di tengah-tengah siasatan berhadap dakwaan salah guna dana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Matawang itu jatuh 0.6 peratus kepada 3.8025 berbanding sedolar Amerika Syarikat pada jam 9.27 pagi di Kuala Lumpur, menurut data dikumpulkan Bloomberg.

Ringgit pernah diikat pada harga 3.8 sedolar pada 1998 semasa kritis kewangan Asia.

Kadar pertukaran matawang Malaysia paling terus merosot tahun ini susulan kontroversi di sekitar syarikat pelaburan negara 1MDB.
The Wall Street Journal (WSJ) pada 3 Julai melaporkan kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) daripada pelbagai badan dikaitkan dengan 1MDB disalurkan ke akaun bank perdana menteri.

Najib mesti sahkan akaun bank kontroversi sebelum saman WSJ

Najib mesti sahkan akaun bank kontroversi sebelum saman WSJ

Najib mesti sahkan akaun bank kontroversi sebelum saman WSJ

Datuk Seri Najib Razak perlu segera menjelaskan sama ada beliau mempunyai beberapa akaun peribadi di sebuah bank swasta, berikutan pendedahan The Wall Street Journal (WSJ) yang sebanyak RM2.6 bilion dikreditkan ke dalam akaun di bawah namanya, daripada berfikir untuk menyaman akhbar perniagaan itu, kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman.

Beliau berkata, dakwaan terhadap perdana menteri itu sangat serius dan penjelasan perlu untuk melindungi integriti jawatannya.

“Kesan memfailkan saman undang-undang terhadap WSJ akan mengambil masa yang lama. Perkara segera adalah bagi perdana menteri untuk menjelaskan sama ada beliau mempunyai akaun di bank itu,” kata Abu Talib kepada The Malaysian Insider.

Najib berkata semalam, beliau akan membuat keputusan tidak lama lagi apakah tindakan akan diambil terhadap WSJ berhubung laporan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) disalurkan ke dalam akaun di Bank AmPrivate di Kuala Lumpur antara 2013 dan 2015.
Perdana menteri pada sidang media semalam memberitahu, beliau sudah berunding dengan peguam berkenaan “dakwaan berniat jahat” itu.

“Merujuk kepada tuduhan-tuduhan liar yang dibuat terhadap saya, yang saya didakwa mencuri AS$700 juta daripada 1MDB dan meletakkannya di dalam akaun peribadi saya, saya sudah merujuk kepada peguam dan mereka akan memberi nasihat tentang tindakan undang-undang dan lain-lain lagi yang boleh saya ambil, dalam dan luar negara.

“InsyaAllah, saya akan membuat keputusan dalam masa beberapa hari berkenaan apa tindakan selanjutnya yang akan diambil terhadap tuduhan berniat jahat itu,” kata beliau di Masjid Bandar Rinching di Semenyih semalam.

Bagaimanapun, para pembantunya menghalang kakitangan media daripada membuat sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara itu selepas Najib memberi kenyataan.

Abu Talib berkata terdapat pihak akan mengeksploitasi dan mensensasikan perkara itu dan ini tidak baik bagi perdana menteri dan Malaysia.
“Semua orang ingin tahu sama ada perdana menteri mempunyai akaun dengan bank dan ia tidak adil jika beliau diserang berterusan,” katanya.

Abu Talib, yang merupakan peguam negara selama 13 tahun sehingga 1993 berkata, beliau juga berpendapat ahli-ahli politik tidak perlu ke mahkamah untuk memfailkan saman bagi membersihkan nama mereka.

Selain itu, bank berkenaan juga boleh menjelaskan kedudukan Najib selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, katanya.

“Mereka perlu mengesahkan atau menafikan. Mengapa membuang masa pasukan petugas untuk menyiasat dan bukan menjelaskan isu itu dahulu kerana kedudukan perdana menteri adalah penting,” katanya.

Minggu lepas, WSJ mendakwa sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) dipindahkan ke akaun bank peribadi Najib di Bank AmPrivate, sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Najib bagaimanapun menjawab, beliau tidak pernah mengambil apa-apa dana daripada 1MDB untuk kepentingan peribadi dan menyalahkan laporan terkini kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang beberapa bulan kebelakangan ini menggesa peletakan jawatan Najib.

Bagaimanapun, ahli-ahli politik pembangkang menyelar “penafian kabur” Najib, manakala WSJ mempertahankan laporannya, dan berkata ia berasaskan bukti yang kukuh.

Peguam Negara Tan Sr Abdul Gani Patail mendedahkan dalam satu kenyataan pada Sabtu, pasukan petugas khas menyerbu 3 syarikat yang dikaitkan dengan dana didakwa disalurkan kepada akaun bank peribadi Najib dan beliau menerima kertas siasatan berhubung perkara itu.

Gani berkata, beliau meneliti semua dokumen dan memberikan nasihat lanjut dan arahan kepada pasukan petugas yang terdiri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Bank Negara Malaysia.

Gani berkata, para pegawai pasukan petugas menyerbu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan pejabat Ihsan Perdana Sdn Bhd pada Jumaat dan mendapat lebih banyak dokumen