Pengerusi NGO Save Kelantan, Datuk Husam Musa mencadangkan agar kerajaan Kelantan memberi diskaun harga air kepada rakyat di negeri itu kerana masalah bekalan air yang gagal disediakan secara sempurna.
Hal itu, kata Husam boleh memberi
pampasan buat rakyat yang menghadapi masalah tekanan air rendah dan hanya
menerima angin apabila membuka kepala paip.
Kata Husam, Kerajaan Negeri seharusnya
memberi diskaun 20 meter padu air sebulan sehinggalah masalah tersebut
diselesaikan.
"Bila air tak ada, dia ada angin.
Angin tolak meter. Meter berpusing (caj) dikenakan kepada pengguna, air tak
ada.
"Pengguna tanggung beban lain,
pasang pam bila air tekanan rendah, pasang tangki. Kos yang lebih tinggi kepada
rakyat
"Kalau Save Kelantan diberi
peluang nasihat kerajaan akan datang dengan anggapan (kerajaan) bertukar tangan
kepada yang Save Kelantan sokong, maka saya nak cadang apa yang dibuat di
Selangor (air percuma 20 meter padu) dilakukan di Kelantan sehingga tempoh
bekalan air diselesaikan.
"Kalau tak boleh 20 meter, 10
meter sebulan pun tidak mengapa. Selangor di bawah PH pernah beri 20 meter
padu. Kerajaan Kelantan kenakan caj kepada penduduk, termasuk (biar pun)
pusingan meter angin," katanya dalam temubual bersama Sumberkini, malam
tadi.
Menjawab pertanyaan nasihat yang boleh
diberi kepada pengundi luar Kelantan yang akan pulang mengundi, Husam
mencadangkan agar mereka membuat sedikit kerja rumah sebelum memangkah semula
Pas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
"Pengundi Kelantan dari luar
mereka bukan tak pandai. Mereka kebanyakannya teknokrat, profesional, peniaga
berjaya. Mereka sebenarnya bukan 100% nak kepada Pas. Mereka ada penolakan
kepada lawan Pas.
"Sebab kebencian mereka kepada
Umno lebih tinggi, jadi mereka pilih Pas. Sebahagian sokong Pas kerana Pas
waktu itu bersih, nak bawa agenda Islam.
"Hari ini nasihat saya, kajilah
pentadbiran Pas. Adakah benar pentadbiran Pas bila bagi tanah dan lombong, yang
dapat orang Melayu dulu, anak Kelantan atau pun dapat kepada orang asing?
"Pentadbiran Kelantan dalam semua
segi adakah mereka tak rasuah? Kita tak boleh kata tak rasuah kerana tak ada
yang dihadap ke mahkmah. Tetapi perlakuan rasuah itu mungkin berlaku. Dikatakan
kerajaan bawa agenda Islam. Apa beza Selangor dan Kelantan dalam syiar Islam?
Tak ada beza.
"Masjid di Selangor saya solat
Jumaat, bulan Ramadan, lebih meriah lagi kuliahnya daripada Kelantan. Kelantan
kuliahnya berunsur politik," kata Husam.
Anak didik bekas Musyidul Am Pas Nik
Aziz Nik Mat itu berkata, Pas ketika ini sebenarnya telah kehabisan modal
politik terutama perkara yang akan dijanjikan dalam PRU akan datang.
Katanya, selepas Pas memerintah
Kerajaan Persekutuan kelemahan mereka terserlah dan hampir tiada janji
berkaitan Negara Islam yang mampu mereka realisasikan dalam 2 tahun
pemerintahan.
"Dulu nak buat hudud, RUU 355
sekarang tak berbunyi kerana itu hanya agenda politik bukan komitmen. Islam itu
luas, termasuk jaga alam sekitar, beri kerja rakyat jelata, hapus masalah
sosial. Ini semua islamik
"Kita ambil Dubai dan Abu Dhabi
misalnya. Negara kecil sahaja tetapi ada dua syarikat penerbangan. Kita
jangankan Kelantan, Malaysia saja syarikat MAS dah nak mati.
"Kelantan banyak ketinggalan dari
pelbagai segi, misalnya mahkamah syariah, hakim hakim mahkamah syariah, banyak
penangguhan kes dan sebagainya.
"Jadi saya harap rakyat Kelantan
di perantauan boleh mengkaji prestasi dan pencapaian kerajaan secara
menyeluruh. Jangan tangkap muat, kata Islam, pangkah," kata Husam lagi.