UMNO tidak mampu bertahan lagi
UMNO tidak mampu bertahan lagi
Ketua Penerangan PAS, Tuan
Ibrahim Tuan Man meminta Najib dan Rosmah untuk memberikan jawapan kepada semua
tuduhan keatas beliau dan isteri oleh Deepak melalui Harakahdaily atau TV PAS. Nampaknya media perdana tidak mahu membuat
liputan ke atas isu yang amat serius itu. Isu yang dibangkitkan terhadap Najib
suami isteri oleh Deepak ini bukannya isu yang kecil. Ia merupakan isu yang
sangat besar kerana ia menjatuhkan imej negara dan rakyat keseluruhannya di
mata dunia.
Bagi saya tawaran Tuan Ibrahim
itu sangat baik dan elok di ambil perhatian oleh Najib suami isteri. Isu yang
di lemparkan oleh Deepak ini terlalu berat dan ia sepatutnya mendapat pembelaan
dari pimpinan UMNO yang lain, khususnya dari Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan
kepada Najib. Sepatutnya semua ahli-ahli jemaah kabinet memberikan kenyataan
sokongan kepada Najib tetapi tidak kedengaran perkara itu berlaku dan nampaknya
Najib terpaksa berperang sendirian dalam isu ini.
Semua pimpinan UMNO dalam Kabinet
mesti faham yang mereka juga mesti berhenti jika apa yang di tuduh terhadap
Najib itu ternyata benar. Mereka (menteri-menteri) adalah lantikan Perdana
Menteri dan jika Perdana Menteri terpaksa berhenti mereka juga mesti berhenti.
Ini adalah amalan moral demokrasi yang sebenarnya.
Hanya Zahid Hamidi yang cuba
untuk membantu tetapi Zahid membantu Najib dengan cara yang sangat tidak
beretika dan bersalahan dengan moral politik dan etika kepimpinan dengan
menggunakan harta rakyat dan LTAT serta Kementerian yang beliau ketuai ini.
Hasilnya isu bertambah besar dan tidak ada jalan yang lain yang mampu di
lakukan oleh Najib lagi selain dari berfikir untuk meletakkan jawatan dengan
semua ahli-ahli jemaah kabinet beliau. Adalah tidak patut lagi barisan kabinet
yang ada pada hari ini kekal kerana keadaan sudah terlalu buruk dan tidak wajar
terus kekal mentadbir kerajaan.
Jika Najib dan keseluruhan
kepimpinan serius untuk menjaga UMNO itu maka itu sahajalah jalan yang sesuai
untuk dilakukan oleh Perdana Menteri itu. Jika Najib masih mahu mempertahankan
politik beliau sahaja maka keseluruhan UMNO dan beliau sendiri akan menghadapi
kecenderungan untuk di tewaskan oleh rakyat dalam pilihanraya kali ini. Najib
sepatutnya dengan pantas memanggil Perhimpunan Agung Khas UMNO untuk
menyelesaikan isu ini dengan semua ahli-ahli MKT berhenti dan membiarkan
ahli-ahli dan perwakilan untuk menentukan kepimpinan baru dalam UMNO itu.
Masalah yang di hadapi oleh UMNO
kian hari kian dalam dan tidak nampak kecenderungan untuk parti itu pulih
kembali. Najib sudah terlalu terbeban dengan masalah dan beliau pun tidak
mendapat sokongan dari kabinet beliau sendiri. Semuanya sedang melukah di
tempat yang genting dan sempit. Ramai yang sedang menimba di air yang keruh di
dalam UMNO dan nampaknya semakin hari semakin sah UMNO akan tamat usianya melainkan
kesemua kepimpinan itu di tukar untuk membawa imej dan aura yang baru.
Tetapi keberangkalian untuk Najib
berhenti adalah jauh dari jangkaan kerana jika hijab sudah tertutup tidak ada
apa dan sesuatu pun mampu untuk membukanya kembali melainkan dengan kehendak
Maha Pencipta. UMNO nampaknya semakin hari semakin banyak isu-isu kotor yang
menyelubunginya dan tidak ada kemungkinan untuknya pulih kembali.
Tetapi ia tidak mengapa kerana Pakatan
Rakyat mampu untuk mengambil alih tanggungjawab besar terhadap negara ini. PAS
boleh menjadi wadah perjuangan orang Melayu yang kesemuanya beragama Islam dan
jika orang Melayu melakukan perubahan seperti ini maka mudah bagi rakyat untuk
mencari penyelesaiannya.
Rakan-rakan kita kaum Cina sudah
lama membuat keputusan untuk tidak bersama BN lagi. Jika orang Melayu
memberikan sokongan terhadap PAS, PKR dan DAP maka pertukaran ini akan berlaku
dengan ‘decisive’ seterusnya membawa politik dan aura yang baru dalam
kepimpinan negara dan kerajaan selepas itu.
Perubahan itu memang perkara biasa dalam mana-mana demokrasi
dan jika ia berlaku di sini , ia merupakan satu kejadian yang pertama kali kita
alami dan akan melengkapkan proses demokrasi itu untuk kepentingan rakyat semua
kaum di negara ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)