Mahu menang bersama Dr Mahathir, atau tewas di tangan Najib?



Perjuangan ibarat mendaki anak tangga yang tinggi. Kalau tidak mahu bergerak maju ke depan, anda menghalang orang lain yang turut sama mendaki.
Sebaiknya beralihlah ke tepi, beri jalan untuk orang lain yang sedang pantas menuju destinasi, jika tidak mahu dihumban beramai-ramai ke bawah tangga.
Ini analogi mudah untuk sekian ramai yang menggigil dan mengelupur apabila Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, sekiranya dan apabila kerajaan Umno berjaya ditewaskan dalam pilihan raya umum yang khabarnya kurang seratus hari sahaja lagi.
Selepas satu minggu pengumuman itu dibuat, gerombolan yang tidak bersetuju masih lagi gigih melayan naratif dan agenda Barisan Nasional untuk mengekalkan Dr Mahathir dalam konteks sejarah lampaunya, ketimbang meletakkan Dr Mahathir dalam konteks semasa sebagai ketua turus pakatan parti-parti DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.
Malah, gerombolan yang sama juga masih tidak menamakan siapa yang mereka mahu sebagai calon PM apabila Umno-Barisan Nasional (BN) sudah angkat bungkus dan berambus dari Putrajaya.
Barangkali gerombolan ini memang tidak ada cita-cita untuk menang pilihan raya dan mengambil alih kerajaan. Barangkali mereka hanya mahu jadi parti pembangkang sampai bila-bila.
Bukanlah saya mengatakan keputusan untuk kekal sebagai pembangkang itu salah. Jika itu keputusannya, baguslah. Seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, memang sepatutnya wujud pembangkang yang berfungsi apabila PH mengambil alih pentadbiran di Putrajaya. Umno tidak pandai jadi pembangkang.
Memandang ke depan
Ketika Dr Mahathir mengetuai Deklarasi Rakyat, yang ditandatangani bersama oleh sekian ramai musuhnya termasuk yang pernah disumbatnya ke Kamunting beberapa kali; kita sepatutnya sudah boleh faham bahawa Dr Mahathir sudah murtad daripada perjuangan Umno yang dibinanya selama puluhan tahun.
“Dia macam ni lah ya. Bayangkan Pope masuk Islam. Haa macam tu lah,” kata saya kepada seorang teman, dalam usaha memahamkan betapa besarnya nilai seorang pemimpin yang berpaling daripada pasukan asalnya dalam konteks politik Malaysia.
Itulah yang selalu kita raikan apabila hampir musim pilihan raya sebelum ini. Apabila ada orang yang keluar parti dia dan masuk parti kita, maka kita buat sidang media; bahkan ada kenduri-kendara meraikan kemasukan dia ke dalam parti kita. Parti asalnya pula akan lepas maki berbakul-bakul, menuduhnya pengkhianat, gunting dalam laci, udang di sebalik kuehtiau dan sebagainya.
Kemasukan Mahathir ke barisan parti-parti pembangkang bukan sahaja setakat mengabsahkan perjuangan parti-parti pembangkang selama ini, bahkan ia turut memberi nilai tambah yang selama ini tidak dimiliki pakatan tersebut.
“Koalisi (pakatan) ertinya melakukan sesuatu yang kita tidak suka,” ujar Dr Mahathir di sebuah perjumpaan tertutup bersama pimpinan DAP di pemukiman parti itu hujung minggu lalu.
Termasuklah barangkali menerima keputusan bahawa Dr Mahathirlah yang paling sekufu untuk mengepalai batalion mendepani rejim pimpinan suami Rosmah Mansor.
Dr Mahathir malah menerangkan dalam ucapan itu, bagaimana pembangkang tidak boleh menang pilihan raya sepanjang beliau menjadi perdana menteri. Ini termasuklah tiadanya kesepakatan dan tiadanya kepimpinan yang jelas.
Menurutnya parti-parti pembangkang hanya bersatu apabila Tengku Razaleigh mengepalai Angkatan Perpaduan Ummah, dan kemudiannya Anwar Ibrahim mengetuai Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini PH yang menampilkan Dr Mahathir sendiri sebagai pengerusinya sementara Anwar berehat.
Ironinya ialah, kesemua pemimpin koalisi pembangkang ini adalah bekas pimpinan BN.
Kita mesti menang
Jadi sekarang ceritanya begini. Malaysia memang tidak ada pilihan. Tetapi pilihannya bukan antara Dr Mahathir dan Najib Razak.
Pilihan yang ada di tangan rakyat Malaysia ialah antara menang dan memaksa perubahan, atau kalah dan terus dilenjan untuk sekurang-kurangnya sepuluh tahun lagi.
Sepertimana kita tidak ada pilihan, sama juga halnya dengan BN. Ia juga tidak ada pilihan lagi selain mengekalkan kemenangan dengan apa jua cara yang ia mampu, termasuklah dengan cara menipu.
Lihat sahaja pembentangan Institut Darul Ehsan minggu lalu tentang bagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertindak melukis semula peta kawasan dengan memindah dan menukar pengundi dari satu daerah mengundi ke daerah mengundi yang lain sehinggakan beberapa kawasan kelihatan seperti kuih keria putus.
Lihat juga bagaimana pentadbiran Najib akan cuba memujuk undi rakyat jelata dengan tawaran-tawaran yang hampir sama sebiji dengan tawaran PH yang selama ini mereka sampahkan.
Bila menang pilihan raya nanti, semua tawaran itu akan dilupakan, dan dasar-dasar baru akan diperkenalkan untuk menampung semua ketirisan.
Jangan kita lupa, cukai GST pun tidak pernah ada dalam manifesto BN.
Maka pilihannya mudah sahaja. Tidak ada lain, kita mesti menang. Rakyat mesti menang. Dan kalau kemenangan itu diusung mantan diktator tua, si mahafiraun yang kita benci; apakah kita akan menangguhkan kemenangan sekali lagi, dan membiarkan rejim terus ketawa untuk seribu tahun lagi?

ANAK NAJIB, PERGILAH NASIHATKAN BAPA KAMU TERLEBIH DULU!!!



Anak Najib Razak, Nazifuddin Najib hari ini tampil menasihatkan Tun Mahathir Mohamad agar kembali ke haluan yang dietapkan oleh datuknya, Allahyarham Tun Razak iaitu mempertahankan UMNO dan bukan menghancurkannya.

Kata beliau, Tun Razak membawa kembali Tun Mahathir menyertai UMNO setelah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sebelum itu ialah untuk mengukuhkan dan mempertahankan parti itu, bukan bertindak sebaliknya.

Tun Mahathir, kembalilah ke pangkal jalan iaitu laluan yang Tun Razak telah rintis untukmu menjadi insan keempat berpeluang menjadi Perdana Menteri, kata Nazifuddin dalam catatan di Facebook miliknya.

Siapa pun yang membaca tulisan seorang anak ini pasti menyedari betapa terdesaknya Najib sekarang untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Tidak cukup dengan Najib sendiri membelasah dan menyindir Tun Mahathir, sekarang anak pula muncul meraih simpati dengan memainkan sentimen Tun Razak.

Bukan saja Najib sedar kuasanya sedang berada di hujung tanduk, malah anaknya sendiri seolah-olah dapat merasakan awan mendung sedang menyelubungi seluruh kepimpinan bapanya.

Bila pula Riza Aziz mahu tampil mempertahankan Najib?

Malangnya, sang anak ini terlalu naif agaknya untuk melihat realiti yang ada di depan matanya sendiri.

Kerosakan UMNO dan kerajaan hari ini seratus-peratus berpunca daripada bapanya sendiri, bukan disebabkan oleh Tun Mahathir.

Jika bapanya tidak dikuasai oleh Jho Low, tidak tebabit dalam skandal 1MDB, tiada kemasukan beribu-ribu juta ringgit wang ke dalam akaun peribadinya, saudara tirinya, Riza Aziz tidak tiba-tiba kaya dengan mampu menerbitkan filem dan membeli pelbagai hartanah mewah di luar negara, ibu tirinya Rosmah Mansor tidak bermewah dan membazir di sana sini, bukan saja Tun Mahathir, malah majoriti rakyat masih lagi menyokong UMNO dan kerajaan hingga ke hari ini.

Bapa kamulah Nazifuddin yang telah merosakkan UMNO dan negara ini.

Bapa kamu jugalah yang sebenarnya melencong jauh daripada asas dan laluan yang telah dibina oleh Tun Razak, manakala Tun Mahathir terpaksa bangkit semula daripada persaraannya semata-mata untuk menyelamatkan negara.

Malah, apa yang dibina oleh Tun Mahathir selama 22 tahun sehingga nama Malaysia harum di seluruh dunia, kini telah bertukar busuk dan bernanah akibat kerakusan bapa kamu itu.

Tun Razak diketahui umum hidup sederhana dan tidak bermewah, jauh sekali membazir, tetapi bapa kamu dengan keluarganya sekarang hidup ibarat langit dengan bumi daripada teladan yang pernah ditunjukkan oleh bapanya sendiri.

Dalam hal ini, jika Tun Razak masih hidup, adakah beliau gembira dengan kehidupan dan kelakuan anaknya itu atau akan menangis melihatnya?

Kepada Nazifuddin, sebelum kamu pergi terlalu jauh mahu menasihatkan Tun Mahathir agar kembali ke laluan yang pernah ditetapkan oleh Tun Razak, eloklah kamu nasihatkan bapa kamu sendiri terlebih dahulu.

Ingatkanlah bapa kamu tentang etika dan cara hidup Tun Razak sebelum meminta Tun Mahathir melakukannya.

Najib adalah darah daging Tun Razak, berapa peratus ciri-ciri kepimpinan dan gaya hidup Tun Razak masih mengalir dalam tubuhnya sejak beliau menjadi Perdana Menteri dan sejak berkawan dengan Jho Low?

Kepada Nazifuddin, pergilah ke Seri Perdana dahulu dan nasihatkanlah bapa kamu yang sedang menghancurkan UMNO dan negara ini agar kembali ke pangkal jalan dan banyak ingatkan Tuhan.

Jika kamu tidak berupaya pergi ke Seri Perdana untuk menyampaikan nasihat itu, tulis saja di Facebook atau Twitter, sama seperti kamu nasihatkan Tun Mahathir ini. (ShahbudinHusin 19/01/2018)

AZMIN BERMASALAH KEKAL MB SELANGOR JIKA LEWAT BAHAGI KERUSI DUN

‘SONANG JO, SEMUA UNDI PEMBANGKANG MENTERI HILANG KERJA’

GAGAL DAFTAR PH, PILIHAN B GUNA LOGO PARTI DIKENALI

JIKA BN 95, PH 105 DAN PAS 22 - SIAPA HADI SOKONG UNTUK JADI PM?


Pas masih lagi mahu berdolak-dalik berhubung cabaran yang dilontarkan oleh Tun Mahathir Mohamad, baik mengenai siapa calon Perdana Menteri bagi Gagasan Sejahtera mahu pun siapa yang bakal disokongnya.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya hanya akan berbuat demikian apabila tiba waktunya nanti.
Namun yang pasti, Pas tidak akan memilih sama ada Najib Razak atau pun Tun Mahathir, ujar Takiyuddin lagi.
Dalam hal ini, tegas beliau, Pas berpegang kepada hadis Rasulullah yang bermaksud, “Kepimpinan itu adalah milik Allah, Dia yang akan menentukan siapa yang dikehendakiNya.”
Meskipun cuba berpegang kepada Hadis Rasulullah untuk mengukuhkan hujahnya, Pas nampaknya masih mahu bermain politik di sebalik kata-katanya itu.
Kenapa susah sangat mahu berterus-terang?
Cuba kita ambil suatu sifir mudah berhubung keputusan PRU 14 akan datang.
Daripada 222 kawasan Parlimen seluruh Malaysia, katalah BN menang cuma 95 kerusi, PH menang 105 kerusi, manakala Pas akan beroleh 22 kerusi.
Dalam kedudukan itu, siapakah yang akan Pas sokong untuk menubuhkan kerajaan dan menjadi Perdana Menteri?
Masihkah Pas berpegang kepada pendirian tidak menyokong sama ada Najib mahu pun Tun Mahathir atau ia akan berubah ketika itu?
Adakah pilihan yang dibuat Pas ketika itu merupakan keputusan yang benar-benar dikehendaki Allah?
Atau kita sudah boleh meneka siapa yang akan Pas sokong ketika itu?
Bolehkah Takiyuddin atau mana-mana pemimpin Pas memberikan jawapan tepat mengenainya? (ShahbudinHusin 17/01/2018)