SEDIAKAH ANWAR BERI LALUAN UNTUK TUN M JADI PM MELEBIHI DUA TAHUN?

Image result for anwar ibrahim


Untuk kesekian kalinya, Tun Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi ketetapannya bahawa beliau hanya menjadi Perdana Menteri bagi tempoh dua tahun saja.

"Saya telah berjanji akan meletakkan jawatan. Saya akan pegang janji itu.

"Adakah anda ingat ada sebarang perkara yang saya tidak menepati janji saya.

"Saya satu-satunya diktator yang meletak jawatan," katanya lagi.

Tambah Tun Mahathir lagi, sebaik meletakkan jawatan nanti,  beliau akan menyerahkan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menggantikannya.










Bagaimanapun, katanya, jika Anwar sedia memberi laluan lebih lama kepadanya menjadi Perdana Menteri, maka dapatlah beliau memegang jawatan itu sehingga dua tahun setengah lamanya.

"Kalau dia (Anwar) izin dua tahun setengahlah (jadi Perdana Menteri)," kata Tun Mahathir berseloroh sambil melirik kepada Anwar yang duduk di sebelahnya.

Daripada reaksi Tun Mahathir kali ini, meskipun nampaknya tetap berpegang kepada janji untuk hanya menjadi Perdana Menteri selama dua tahun saja, tetapi beliau juga tiada masalah untuk memegang jawatan itu dalam tempoh yang melebihi dua tahun.

Ia tentunya jika usaha-usaha memulihkan ekonomi dan menyelesaikan hutang-hutang negara masih tidak selesai dalam tempoh dua tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Tetapi, sebagai menghormati janji yang sudah dilafazkannya itu, selain Pakatan Harapan boleh membuat ketetapan lain berhubung masa beliau sepatutnya berundur, ia juga boleh dilakukan jika Anwar sendiri yang memberi keizinan kepada Tun Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri melebihi tempoh dua tahun.

Meskipun hanya berseloroh jika Anwar memberi laluan, dapatlah beliau menjadi Perdana Menteri sehingga dua tahun setengah, hakikatnya kata-kata Tun Mahathir itu bukanlah selorohan kosong semata-mata.

Ia barangkali menuntut Anwar untuk berfikir dengan serius tentang negara dan tidak hanya mengutamakan kepentingan peribadinya sahaja, lebih-lebih lagi jika masalah ekonomi dan hutang masih banyak yang tidak selesai.

Pendirian Tun Mahathir itu juga nampaknya selari dengan kenyataan Setiausaha Politiknya, Zahid Md Arip baru-baru ini yang berpendapat  adalah wajar untuk Anwar sendiri memujuk Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk menjadi Perdana Menteri bagi tempoh melebihi dua tahun.

Ini kerana, kata beliau, tempoh masa dua tahun adalah terlalu singkat bagi Tun Mahathir menyelesaikan pelbagai masalah serta kerosakan dalam negara yang ditinggalkan UMNO dan BN yang telah mentadbir negara ini selama 61 tahun lamanya.

Kenyataan itu kemudian disusuli dengan usul Bersatu Bahagian Setiawangsa yang juga diketuai Zahid dalam mesyuaratnya 29 Oktober baru-baru ini yang membuat ketetapan agar Tun Mahathir diberi tempoh memegang jawatan Perdana Menteri selama sepenggal sehingga PRU15.

Daripada semua rentetan itu, maksud yang paling mudah difahami ialah Tun Mahathir hanya akan senang hati menjadi Perdana Menteri melebihi tempoh dua tahun jika Anwar sendiri yang sedia memberi laluan  kepada perlanjutan tempoh masa itu.

Jika tidak, sebagaimana dijanjikan, Tun Mahathir tetap akan berundur selepas dua tahun untuk memberi laluan kepada Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri yang disandangnya sekarang.

Persoalannya, bagaimana dengan Anwar?

Sediakah beliau memberi keizinan untuk Tun Mahathir lebih lama menjadi Perdana Menteri atau Anwar tetap berkeras  mahu mengambil alih jawatan itu genap-genap dua tahun selepas Tun Mahathir mendudukinya sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini?

Atau kalau ditanya pendapat rakyat secara umum, apa agaknya pendapat mereka - Tun Mahathir perlu diberi lebih masa sebagai Perdana Menteri dan Anwar kena bersabar dulu atau Tun Mahathir wajib undur sebaik mencecah titik masa dua tahun untuk digantikan segera dengan Anwar? (ShahbudinHusin 04/11/2018)

Utusan bantai Najib, apa cerita?


Utusan Malaysia menerusi tulisan Awang Selamat yang selama ini kuat mengkritik Pakatan Harapan dan mengangkat dakyah serta propaganda UMNO nampaknya sudah menukar haluan dengan menyalah bekas presiden parti itu.
Jika sebelum ini, akhbar berbahasa Melayu dan dinaungi UMNO itu sering mempertahankan watak utama skandal 1MDB, Datuk Seri Najib Razak, ia kini seolah-olah lepas tangan dan berputus asa.
Pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam berkata Najib Razak berbohong apabila mengatakan tidak tahu-menahu mengenai sumber wang yang masuk ke dalam akaun banknya dalam wawancara dengan media antarabangsa, Al Jazeera baru-baru ini.
“Pendedahan Najib Razak yang beliau sebenarnya tidak tahu sumber wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya menyebabkan rakyat Malaysia terutamanya ahli UMNO berasa tertipu kerana selama ini mereka menerima kenyataan beliau bahawa wang itu sebenarnya adalah sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.
“Adalah tidak masuk akal yang Najib tidak tahu dari mana sumber sebenar jumlah wang yang besar itu… Akhirnya pembohongan Najib terbongkar dalam wawancara bersama Mary Ann Jolley dalam siaran Al Jazeera baru-baru ini.
“Najib harus memohon maaf kepada semua ahli UMNO kerana pembohongan inilah sebenarnya yang telah menghilangkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan BN dan akhirnya menyebabkan parti komponen itu hilang kuasa memerintah,” tulis Awang Selamat.
Dalam masa sama, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata penyokong tegar Najib, Datuk Lokman Noor Adam mempunyai “IQ yang rendah pada tahap lobak”
Semua ini gara-gara bidasan Lokman terhadap Khairy yang menyalahkan 1MDB sebagai punca kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
http://
Menerusi Twitter, Khairy mendakwa kekalahan BN adalah disebabkan oleh 1MDB sambil berkongsi pautan berita yang melaporkan kenyataan Najib Razak bahawa kekalahan gabungan itu adalah disebabkan dakwaan serta janji palsu PH.
Tidak cukup dengan itu, kedudukan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO turut digugat. Beliau adalah bekas timbalan kepada Najib Razak dan secara langsung mempertahankan bekas Presiden UMNO itu berhubung skandal 1MDB. Beliau juga dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan pecah amanah.
Segala tindakan ini, secara halus memperlihatkan UMNO kini mahu meninggalkan bagasi politik lama dan mencari jalan untuk meneruskan survival, apatah lagi selepas timbul khabar angin bahawa 40 Ahli Parlimennya sedang disunting parti lawan.
Namun tidak seorang pun yang berani ke hadapan dan menyatakan dengan jelas dan tuntas bahawa 1MDB adalah punca kekalahan BN, seperti mana yang dikatakan Khairy.
Justeru kenyataan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang agak menarik untuk disingkap.
“Benarkan setiap Ahli Parlimen Pembangkang menyatakan pendirian mereka semasa perbahasan Belanjawan yang akan bermula pada 12 November, sama ada skandal 1MDB adalah bencana besar negara dan sama ada Najib harus bertanggungjawab kerana menyebabkan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global atau semua perkara yang dikatakan oleh kerajaan Pakatan Harapan berhubung skandal 1MDB adalah penipuan dan fitnah?”
Adakah UMNO berani untuk menyahut cabaran ini bagi menghumban bagasi politik lama dan membina haluan baharu dengan kepimpinan yang lebih segar? 

MASALAH KEWANGAN BELENGGU BERSATU PANTAI TIMUR?

MT UMNO MESTI BERANI PADA 9 NOVEMBER INI



MT UMNO telah menetapkan 9 November ini sebagai tarikh mesyuarat untuk membincangkan kedudukan Zahid Hamidi sama ada beliau perlu bercuti atau sebaliknya sebagai Presiden UMNO.

Difahamkan MT UMNO biasanya mengadakan mesyuarat bulanannya pada Jumaat terakhir setiap bulan, tetapi kali ini ia sengaja dilewatkan kerana Zahid Hamidi baru saja didakwa di mahkamah dengan 45 pertuduhan pada 19 Oktober lalu.

Beberapa pihak dalam UMNO, termasuk Timbalan Presiden, Mohamad Hassan dan Pergerakan Pemuda  lebih cenderung mahukan Zahid Hamidi bercuti sementara kesnya selesai.

Alasannya ialah Zahid Hamidi harus diberi ruang menyelesaikan kesnya secara peribadi tanpa melibatkan nama UMNO.

Begitupun, selain ada pihak lain yang mempunyai pendapat berbeza, Zahid Hamidi juga tidak menunjukkan sebarang tanda mahu berundur, malah dalam beberapa ucapannya beliau bertegas untuk terus bertahan dengan jawatannya.

Selain itu, beliau juga sudah menjelajah ke beberapa negeri untuk bertemu akar umbi bagi menjelaskan kewajarannya tidak mahu berundur atau bercuti seketika sebagaimana yang dituntut itu.

Dalam hal ini, mesyuarat MT pada 9 November ini dijangka akan menyaksikan wujudnya perbezaan pendapat di mana satu kumpulan mahukan Zahid Hamidi terus kekal dan satu kumpulan lagi berkehendakan beliau berundur daripada jawatannya.

Tetapi, demi kebaikan dan masa depan parti itu, adalah penting untuk MT UMNO membuat keputusan yang betul pada 9 November nanti.

Setelah kehilangan kuasa dan melihat bagaimana UMNO ditolak rakyat kerana terlalu membela Najib Razak yang terkait dengan skandal 1MDB sebelum ini, MT UMNO seharusnya belajar daripadanya dalam membuat keputusan berkaitan Zahid Hamidi pada 9 November ini.

Mengekalkan lagi Zahid Hamidi di sebalik 45 kes mahkamah yang sedang dihadapinya hanya memberi makna UMNO masih tidak berubah dan kekal dengan sikap mahu mengekalkan pemimpin, biarpun dalam keadaan imejnya sudah tercalar sekali pun.

Dalam keadaan begitu, bagaimanakah rakyat mahu kembali memberi sokongan kepada UMNO?

Lagi pula, dengan 45 pertuduhan yang sedang dihadapinya adalah tidak logik untuk mengatakan pendakwaan terhadap Zahid Hamidi itu adalah semata-mata bermotif politik dan merupakan pendakwaan terpilih.

Bagi mereka yang mahu berfikir pula, kes yang sedang dihadapi Zahid Hamidi adalah suatu kes yang mudah, jelas dan ternampak sukar bagi beliau untuk terlepas daripadanya.

Untuk itu, MT UMNO perlu, malah wajib menunjukkan keberaniannya dalam membuat keputusan yang lebih mementingkan masa depan parti berbanding membela mana-mana individu pada 9 November ini.

Jika tidak, bersiaplah untuk UMNO terus ditolak yang sekaligus memberi peluant kepada Pakatan Harapan memerintah negara ini dengan lebih lama lagi. (ShahbudinHusin 05/11/2018)

PASCA BAJET: PH KHUATIR KAKITANGAN AWAM, PEMBANGKANG TERUS BERMUSUH