Masalah kewangan belenggu Bersatu Pantai Timur?
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu dipercayai dilanda masalah pengurusan dan tidak tersusun walaupun di peringkat persekutuan mereka sudah menjadi kerajaan.
Keadaan itu dibayangkan salah seorang besas pemimpinnya Hambali Abdul Latiff.
Dihubungi Malaysiakini Hambali berkata dia kecewa kerana selepas pilihan raya umum berakhir masalah BERSATU masih belum dapat ditangani.
Kata Hambali antara isu utama yang dihadapi parti itu ialah kekangan peruntukan.
“Tidak seperti pantai barat, kebanyakan orang yang bergerak dalam BERSATU di sana ialah orang yang ada duit, yang ada perniagaan.
“Jadi mereka tidak begitu teruk macam di Terengganu yang nak sewa pejabat pun tak boleh,” katanya.
Keadaan itu kata Hambali, memaksa beberapa langkah segera perlu diambil, seperti menjadikan rumahnya sebagai alamat berdaftar BERSATU Terengganu.
“Dah keadaan begitu, saya kena tanggunglah beban sewa, bil dan sebagainya,” kata bekas pengarang akhbar tersebut.
Terengganu antara negeri awal menggerakkan BERSATU selepas ia ditubuhkan pada awal Sept 2016 oleh beberapa pemimpin kanan Umno, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun pada PRU ke-14 lalu BERSATU – bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) gagal memenangi sebarang kerusi sama ada di peringkat dewan undangan negeri atau parlimen.
Keadaan sama dialami HARAPAN Kelantan.
Kata Hambali sehingga kini masih ada surat-surat rasmi untuk BERSATU dihantar ke rumahnya kerana difahamkan tiada sebarang usaha dilakukan bagi menukar alamat rasmi ke pejabat baru di Hulu Terengganu.
Pada masa sama katanya Belanjawan 2019 juga kelihatan tidak membantu parti itu dan dijangka keadaan semakin sukar buat pemimpin HARAPAN untuk berdepan dengan rakyat.
“Biasanya orang kampung datang jumpa pemimpin bukan nak minta projek, tetapi benda-benda yang mudah, contohnya musim tengkujuh ini, apa bantuan yang ada? Nanti nak buka sekolah, anak nak masu universiti, macam mana?
“[…]Orang akan jumpa ketua bahagian, tetapi kalau ketua bahagian pun tak ada duit, macam mana?
“Mereka (ketua-ketua bahagian) datang bercerita pada saya, jadi saya fahamlah. Kita kononnya hendak menggantikan Umno, tetapi tengoklah, dulu semasa Umno parti boleh bagi macam-macam,” katanya.
Beliau yang sebelum ini pernah diberi tanggungjawab sebagai setiausaha perhubungan BERSATU Terengganu turut menceritakan bagaimana kesulitan yang perlu dihadapi untuk menggerakkan parti.
Kata Hambali ketika itu ada banyak mesyuarat yang perlu diadakan.
“Apabila ada mesyuarat, kena guna kertas, nak panggil orang, nak itu, nak ini, kena pergi Kuala Lumpur, mesyuarat bilik gerakan, macam-macam lagi.
“Semuanya perlukan kos. Paling kurang untuk sebulan kami perlu keluarkan wang sendiri antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk parti,” katanya.
Menurut Hambali memang ada ketua bahagian berdepan kekangan kewangan yang berat namun terpaksa menelan masalah itu kerana bimbang akan menimbulkan masalah lebih besar.
Hambali turut mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahuh BERSATU mampu menggantikan Umno.
Katanya matlamat itu sukar dicapai sekiranya bantuan kewangan tidak disalurkan ke peringkat negeri dan bahagian.
“Orang di bawah susah nak bergerak.
“Pelantikan majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK) misalnya BERSATU tidak terlibat, kawasan rukun tetangga dan Kemas masih dikuasai orang Umno.
“Politik di bawah inilah yang sebenarnya patut diperhatikan parti. Siapa yang mengundi untuk memenangkan parti sebenarnya? Yang mengundi ialah rakyat di bawah.
“Pandangan saya ini adalah demi parti jika BERSATU mahu terus bertahan. Kalau tak mahu, itu cerita lainkah,” katanya.
Ini bukanlah kali pertama BERSATU peringkat negeri dilanda masalah.
Bulan lalu Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembubaran semua bahagian parti itu di Negeri Sembilan, selain bahagian Ampang dan Subang di Selangor.
Pembubaran itu kata Muhyiddin dilakukan kerana “banyak masalah” timbul termasuk ada tindakan diambil bertentangan dengan perlembagaan parti.
Ketika ditanyakan tentang pengurusan BERSATU yang dilihat seakan-akan tidak teratur, Hambali meminta isu itu dirujuk kepada Badrol Shafie yang dinamakannya sebagai ketua penerangan.
Bagaimanapun, apabila dihubungi, Badrol kelihatan agak ‘bingung’ tentang masalah yang diutarakan, malah menafikan dirinya sebagai ketua penerangan.
Badrol kemudian menamakan Amir Long sebagai “ketua penerangan lama”.
Amir Long pula apabila dihubungi, menamakan dirinya sebagai ketua Pemuda BERSATU Kuala Terengganu tetapi ia “belum rasmi”.
Di sebalik keadaan itu Amir tetap menyokong kenyataan Hambali.
“Kami mempunyai masalah dana yang menyebabkan keadaan seperti sekarang berlaku.
“Bukannya parti tak tersusun, organisasi masih tersusun, cuma kelam-kabut kerana tak cukup dana,” katanya.
Mengulas lanjut, Amir mengakui bahawa tiada dana diterima dari ibu pejabat parti menyebabkan pengurusan terpaksa dilakukan dengan tanggungan sendiri.
“Saya bergerak sendiri, semua bergerak sendiri. Kami kita sudah berusaha “all out” sejak dua tahun lalu secara sendiri,” katanya lagi.
Tentang ibu pejabat BERSATU Terengganu, Amir memberitahu pejabat baru sedang disiapkan di Ladang bagi menggantikan pejabat sekarang di Ajil.
Katanya pejabat itu dijangka akan dapat digunakan sepenuhnya sebulan lagi.
Selain itu, tambah Amir, kepemimpinan BERSATU Terengganu akan melakukan rombakan pada beberapa jawatan penting selain kewujudan beberapa biro baru.
“Beberapa jawatan akan ditukar, dan beberapa biro baru diwujudkan, seperti biro ekonomi, agama dan pendidikan sesuai dengan arahan pusat,” katanya.