Poster calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Rembia, Zamri Pakiri
tular di media sosial, sehari selepas hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri
Melaka.
Beliau memuatnaik poster yang memaparkan dirinya duduk di tangga
batu bersama seorang budak lelaki, berlatarbelakangkan rumah kampung,
menunjukkan kemesraan yang luar biasa antara mereka.
“Saya menyeru kepada semua pengundi yang bijaksana dari DUN Rembia
untuk keluar mengundi. #MelakaMemangkah untuk masa depan anak-anak kita yang
lestari,” itu mesej poster tersebut menerusi akaun Twitter miliknya.
Poster itu ternyata mendapat perhatian ramai pengguna media sosial
termasuk Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.
“Saudara Zamri adalah antara pimpinan akar umbi yang baik, berhati
mulia dan lama membantu dalam perjuangan tanpa pernah minta apa-apa.
“Seorang yang sangat saya hormat. Bertuah pengundi Rembia dapat
calon begini. Bukan selalu saya tweet endorsement calon,” katanya.
Zamri kemudian menceritakan kisah disebalik posternya, setelah
mengakui ramai yang bertanya mengenai budak lelaki itu.
“Kanak-kanak sebelah saya ini namanya Adam. Rumahnya bersebelahan
dengan rumah saya. Dia dilahirkan dengan Down Syndrome dan jantung berlubang.
Selama 4 tahun, saya, isteri dan ibunya berulang alik dari Melaka ke IJN untuk
rawatan susulan beliau.
“Anak istimewa ini dilahirkan tanpa pemisah dalam jantung, dibedah
oleh doktor pakar di Malaysia dan juga UK melalui jarak jauh menggunakan Skype.
Video conference menggunakan Skype. Hebat bukan?
"Bapanya seorang pelaut, kerja berjauhan dengan keluarga
untuk mencari rezeki. Jadi terpanggil dan menjadi tanggungjawab saya membantu
anak kecil ini. Saya faham, hidup berjauhan bukan mudah. Lebih-lebih lagi
tatkala anak ini memerlukan perhatian yang penuh dari ibu bapanya.
"Malang tidak berbau, berlaku sedikit komplikasi di mana
jantungnya berhenti seketika semasa pembedahan. Gugur jantung kami kerana
menjangka, pembedahan mungkin tidak berjaya. Ini Adam sebelum pembedahan, ceria
orangnya walaupun menanggung kesakitan yang beliau hadapi.
"Gugur jantung kami kerana menjangka pembedahan mungkin tidak
berjaya. Tapi Allah maha kaya, menyambung semula nyawa beliau sehingga kini.
Alhamdulillah, pembedahan untuk beliau berjaya. Syukurlah, beliau juga seorang
yang kuat semangat, untuk terus hidup bersama ibu bapa," katanya.
Kisah Adam itu membuatkan Zamri sedar bahawa pembelajaran
kanak-kanak itu sudah terjejas.
"Lebih-lebih lagi pembelajaran kanak-kanak istimewa seperti
Adam kerana corak pembelajaran mereka tidak sama dengan kanak-kanak normal.
Keperluan mereka berbeza, perhatian dan tumpuan juga jauh berbeza.
"Jadi, saya kerap kali terfikir. Bagaimana dengan anak-anak
Rembia yang lain? Sedangkan mereka inilah masa hadapan dan harapan kita semua.
"Jurang pendidikan akan semakin jauh. Lebih ramai anak Rembia
yang akan menghadapi masalah kenal huruf dan juga pembelajaran.
"Dengan mendukung aspirasi pendidikan terbaik untuk anak
Rembia, saya hendak mencuba sebaik boleh untuk fokuskan solusi pembelajaran
kepada mereka. Mengadakan kelas istimewa dan di cakna oleh guru peribadi untuk
catat pencapaian dan pembaharuan untuk setiap murid," katanya.
Beliau percaya, setiap anak Rembia pasti ada jalan untuk mereka
berjaya.
"Setidaknya untuk mereka, kita memberi satu sinar baru bagi
anak yang berkeperluan khas, kerana perkara yang nampak seperti enteng, satu
masa akan membarah yang besar dalam masyarakat khususnya diluar bandar.
"Perkara ini tidak boleh dibiarkan, semakin di biar, semakin
kita akan alpa. Sedangkan mereka inilah aset harapan negara. Satu persatu
sedang saya rencanakan untuk murid yang berkeperluan khas terutamanya dan juga
anak Rembia yang cicir dalam pembelajaran mereka.
"Untuk Adam, semoga dikurniakan kesihatan yang baik. Walaupun
kami memang partner selalu bergurau "gaduh". Tapi geng makan ayam
goreng KFC kegemarannya tetap nombor satu," katanya.