GHB Akan Perkukuhkan Ukhwah Islamiah Dan Tolak Rasisme

Kelainan politik Gerakan Harapan Baru 

Oleh A Shukur Harun

Jika tiada apa-apa halangan, awal September ini, Gerakan Harapan Baru (GHB) akan menjadi sebuah parti politik baharu Malaysia dan tentunya akan memeriahkan lagu demokrasi di negara ini.

Lebih-lebih lagi kelahiran entiti baharu di pentas politik Malaysia ini datang dengan segala keistimewaan dan cabaran, membawa sebuah idealisme yang GHB sangat murni.
Ia sangat dialu-alukan oleh pelbagai pihak.

Parti baharu ini, yang akan diberi nama rasmi nanti, didukung oleh tokoh akademik, agamawan yang progresif, ahli politik veteran yang sangat berpengalaman serta pemikir yang membawa sebuah idealisme untuk mendepani cabaran baik di segi politik, ekonomi, pendidikan, tadbir urus negara dan segalanya.

Idealisme ini yang akan direalisasi oleh tokoh parti baharu ini dengan pendekatan demokratik dan terbuka dengan berpandukan kepada kesyumulan Islam sebagai ‘Rahmatan Lil-Alamin (rahmat seluruh alam).Ini ditegaskan beberapa kali oleh pemimpin parti baharu ini – Mohamad Sabu, Dr Dzukefly Ahmad, Datuk Dr Muhajid Yusuf Rawa, Khalid Samad dan Datuk Seri Nizar Jamaludin – dalam pelbagai ucapan, tulisan dan kenyataan mereka.

Walaupun tidak diberikan jenama Islam, tetapi akar tunjang parti baharu ini akan memancarkan dimensi Islam yang syumul, lengkap; anjal dan sesuai dengan segala zaman dan keadaan.

Pendekatan kami, kata adalah bersifat inklusif iaitu menggembleng seluruh tenaga umat dan rakyat, merentasi kaum, agama dan budaya.

Jadi hasil akhirnya menyaksikan Islam yang sifatnya inklusif itu dapat kami terjemahkan dalam wadah politik ini dan bukan hanya apa yang dikatakan sebagai kelompok yang kecewa. Inilah kelainannya wadah politik yang baharu ini.

GHB memelihara huquq al-insan (hak asasi manusia) berteraskan kemuliaan yang diiktiraf Allah, sekali gus menyatukan warga besar rakyat Malaysia dalam unjuran “ukhuwwah insaniyyah” (persaudaraan umat) serentak menolak pelbagai amalan perkauman dan rasisme, kata Dzulkefly.

GHB berusaha menterjemahkan Islam sebagai rahmat buat seluruh alam dengan meletakkan agenda peduli rakyat sebagai tunggak utama aktivisme serta merangkumi semua aspek kehidupan nasional dan kenegaraan.


Parti ini juga komited meneruskan legasi perjuangan politik Islam yang ditunjukkan Allahyarham Yusuf Rawa, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dan Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dalam menerokai ruang politik Islam yang menyeluruh, progresif dan inklusif.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), GHB meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan parti politik – PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan segmen masyarakat merentasi garis ideologi.

Pendekatan dan tindak balas GHB bersifat tidak jumud tetapi dinamis selari dengan realiti semasa dan setempat serta sederhana (wasatiyyah) namun tetap tegas dan berpegang kepada prinsip.

Ia komited dengan politik baharu, Maka GHB berpaksi kepada politik yang berasaskan ilmu dan akhlak, serta bersedia mewujudkan budaya yang mampu mengurus perbezaan dalam perlaksanaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan.

Inilah asas atau akar tunjang dari dasar parti baharu ini yang digariskan oleh Dzulkefly, yang dilihat berusaha menterjemahkan keagungan Islam dengan segala keramahan dan kepeduliannya kepada nasib rakyat berbilang kaum.

Tidak benar sebarang anggapan kononnya pengasas GHB ini sebagai “golongan yang gugur di jalan dakwah”, iaitu suatu frasa dan istilah yang disebut dalam beberapa buku tulisan tokoh Ikhwanul Muslimin.

Ini kerana suasana dan keadaan berbeza dengan di Malaysia. Lebih-lebih lagi pendukung gerakan ini berusaha menyambung perjuangan di jalan dakwah dalam bentuk yang lebih terbuka, di mana asasnya perjuangan itu tetap unggul. Tentunya bukan lari dari jalan dakwah.

Segala perubahan dan perbezaan di jalan dakwah ini telah dihuraikan oleh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam bukunya “Fiqhul Jihad” dan beberapa bukunya yang lain.

Lebih menarik di negara ini sendiri ramai agamawan muda yang progresif dan terbuka muncul menghuraikan persoalan ini dan ini sangat menolong ke arah pencerahan akan erti jemaah Islam, konsep dan jalan dakwah dengan segala persoalannya.

Saya kira, ini memudahkan lagi pendukung Harapan Baru menghuraikan persoalan perjuangan umat Islam ini secara lebih terbuka dan rasional di mana tidak ada mana-mana golongan yang kononnya berhak mendakwa merekalah saja yang berkuasa dalam perjuangan Islam ini.

Oleh itu, perjuangan GHB ini sewajarnya diteruskan. Jangan lagi pandang ke belakang atau melayan pelbagai teguran dan andaian konon parti baru ini tidak akan panjang umur, pemecah-belah, golongan orang yang kecewa kerana ditewaskan dan pelbagai lagi. Kehadiran dan prestasi parti baharu ini akan menjawab semua andaian dan prasangka ini.

Dari pengamatan saya menghadiri beberapa “road-show” GHB mendapati golongan anak muda paling ramai menghadirinya dan laporan yang diterima juga mendapati anak muda dan masyarakat bandar paling ramai memberi sokongan kepada gerakan ini. Baju kuning GHB sudah semakin popular dipakai orang ramai.

Di belakang layar, pimpinan GHB dan aktivisnya yang kebanyakannya golongan profesional sedang bertungkus lumus membuat persiapan menjelang perasmian parti baharu ini.

Diyakini parti baharu ini akan didukung oleh demikian ramai golongan profesional di samping agamawan progresif dan terbuka. Dalam masa yang sama golongan ahli politik veteran juga ramai yang menyokong.

Ini membuktikan parti baharu ini mewakili pelbagai golongan progresif dan terbuka di samping sokongan daripada kalangan bukan Islam yang semakin menyerlah.

Semoga parti baharu ini akan menjadi parti besar, teguh dan peramah serta benar-benar menjadi harapan rakyat pelbagai kaum dan agama.




ULASAN GB

GHB muncul ketika mana PAS sudah menjadi seperti UMNO (jika pun tidak telah menggantikan UMNO) ketika mana ia kini mengambil pendekatan rasisma (perkauman)....

Kerana kegagalan untuk menerangkan hudud kepada bukan-Islam khususnya DAP dengan cara berhikmah sepertimana yang disuruh oleh Allah dan Rasul, PAS mengambil sikap untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan mereka.

Arahan Allah di dalam Al-Quran adalah jelas:

Allah Ta’ala berfirman:


“Serulah (manusia) kepada jalan Rabbmu dengan hikmah (lemah lembut)dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.”{Surah An-Nahl: 125]

“Disebabkan rahmat Allah-lah engkau berlemah lembut. Sekiranya engkau berkeras hati nescaya mereka akan lari dari sekitarmu. Maafkanlah mereka dan minta ampun untuk mereka. [Surah Ali-Imran 3:159]

Di dalam satu hadith Abu Hurairah radhiallahu anhu berkata:

“Seorang ‘Arab badui berdiri dan kencing di masjid. Maka para sahabat ingin mengusirnya. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda kepada mereka, “Biarkanlah dia dan siramlah bekas kencingnya dengan setimba air -atau dengan setimba besar air. Sesungguhnya kalian diutus untuk memberi kemudahan dan tidak diutus untuk memberi kesusahan.” (HR. Al-Bukhari no. 323)

Wahai PAS, apa dalil yang kamu ada (mengikuti jejak langkah UMNO) untuk memaki dan mencerca DAP sedangkan si Badui yang kencing di masjid itu pun dihalang oleh Rasulullah untuk diambil tindakan ke atasnya? 

Najib ada RM2.6 bilion: Haron, Hadi masih tak percaya ?

OLEH:  Amiruddin Ahmad

 

Selepas SPRM mengesahkan wang RM2.6 bilion yang dipertikaikan oleh Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report dalam akaun peribadi Najib adalah derma politik, perhatian kini tertumpu kepada Mursyidul Am Pas Haron Din dan Presiden Pas, Hadi Awang.

Haron dilapor berkata, logik akal menyatakan jika seseorang mahu mengambil dana awam ke akaun persendirian, mereka tidak akan melakukan sebegitu sebaliknya akan disalurkan ke akaun rahsia.

Presiden Pas Hadi Awang pula selepas itu membela kenyataan Haron dengan berkata:

"Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas Najib, kena ada saksi juga... saksi yang adil.


"Kita ikut asas Islam, sikap yang baik kita sokong, yang tidak baik kita tentang,” katanya kepada Astro Awani, 7 Julai lalu.

Kini, semuanya telah terang lagi bersuluh. SPRM adalah saksi yang sangat berwibawa sebagaimana yang disyaratkan Hadi, dan sebarang keterangan pegawai penyiasat suruhanjaya itu boleh terus dijadikan bahan perbicaraan mahkamah.

Haron, Hadi menyepikan diri

Persoalannya, di manakah Haron dan Hadi selepas membela Najib? Mengapakah mereka menyepikan diri?

Pembelaan semberono ke atas Najib oleh ulama-ulama besar Pas ini mengelirukan ahli. Ahli Pas menganggap ulama adalah institusi yang amat suci dan sebarang kelemahan mereka tidak boleh diterima.

Dalam keadaan seperti itu tidak selayaknya ulama Pas membela Najib dan pemimpin BN yang telah diketahui dibelit pelbagai skandal kewangan. Adakah Hadi tidak pernah mendengar pendedahan oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagaimana tokoh-tokoh Umno mencuri wang sepanjang 1980an lalu?

Atau adakah Hadi dan Haron tidak percaya kepada pendedahan Anwar bagaimana penyamun-penyamun dalam BN membahagi-bahagikan harta rakyat antara sesama mereka?

Janji BN

Bukankah Hadi dan Haron ketika era Fadzil Noor dan Nik Aziz dulu juga mengecam pemimpin BN kerana menyelewengkan harta rakyat? Jadi mengapakah mereka tiba-tiba berpaling tadah?

Persoalan inilah yang perlu difikir masak-masak oleh ahli Pas sebelum bersedia untuk walak membuta tuli kepada pemimpin tertinggi mereka. Tidak pernahkah terdetik di hati ahli Pas kedua-dua tokoh ulama ini telah dijanjikan sesuatu oleh pemimpin BN apabila seorang menteri pernah mendedahkan telah berlaku tiga kali pertemuan antara Hadi dan Najib.

Adakah hanya janji untuk melaksanakan Hudud di Kelantan diberikan atau pemimpin BN menjanjikan sesuatu yang lebih besar sehingga tokoh-tokoh tertinggi Pas bersungguh-sungguh membela Najib?

Sekiranya kerjasama Umno-Pas adalah termasuk dalam pakej hudud yang dibincangkan maka seharusnya ahli Pas meninggalkan parti itu kerana telah diselewengkan arah perjuangannya. Pas kini dilihat semakin menghampiri zaman kepimpinan Asri Muda, yang mana perkongsian kuasa bersama BN adalah keutamaan kononnya demi Melayu.

Kepiminan ulama

Kepimpinan ulama yang diasaskan sejak era Yusof Rawa tidak mengutamakan Melayu tetapi mendaulatkan prinsip ketuanan Islam. Sekiranya Hadi dan Haron mahu membawa kembali perjuangan nasionalisme Islam era Asri maka wajiblah ahli Pas menyertai Gerakan Harapan Baharu seberapa segera bagi membela rakyat Malaysia yang dizalimi BN.




Sekiranya mereka mahu meneruskan walak tanpa berfikir, sekurang-kurangnya, seperti akar umbi Umno yang menyoal Najib ke manakah wang derma RM2.6 bilion dibelanjakan, ahli Pas juga wajib menyoal Hadi dan Haron apakah pendirian mereka selepas SPRM mengesahkan Najib adalah pemilik dana yang didedahkan WSJ?

Berdiam diri bukanlah jawapan dari ulama yang muktabar. Jika mereka mahir hukum hakam maka segeralah keluarkan kenyataan seperti Mufti Perlis Mohd Asri Zainal Abidin yang berpendapat haram seorang penjawat awam menerima sumbangan sebesar RM2.6 bilion.