Rafizi sambut tawaran semak akaun Gani Patail
PETALING JAYA 17 DIS: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini
menyambut baik tawaran Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang menjemput
beliau untuk meneliti semua akaun miliknya di dalam dan luar negara.
Rafizi berkata, bagi memastikan seluruh proses semakan kedudukan
kewangan Gani Patail berjalan dengan lancar, adil dan telus, beliau akan
menghantar surat rasmi yang mengandungi perincian kebenaran tersebut
kepada Gani Patail hari ini.

“Kebenaran
itu hendaklah mengandungi maklumat pengenalan beliau serta semua ahli
keluarga terdekat seperti isteri, anak dan menantu, surat kebenaran
beliau kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk kebenaran
menyerahkan kepada saya maklumat syarikat beliau dan ahli keluarga
terdekat mempunyai saham di Malaysia.
“Surat kebenaran kepada Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa untuk
menyerahkan maklumat akaun bank yang dimiliki beliau dan ahli kelurga
terdekat dengan maklumat perbankan setiap akaun dari Januari 2005 hingga
Disember 2010 iaitu tempoh masa sebelum dan selepas kes Batu Putih,”
kata Rafizi dalam sidang media PKR yang diadakan di ibu pejabat parti
itu di sini hari ini.
Rafizi dalam suratnya itu juga akan meminta surat kebenaran Gani
untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa di Hong Kong yang
bertanggungjawab dengan pendaftaran syarikat dan pihak yang berkuasa
dalam menyelia industri bank untuk menyerahkan semua maklumat yang
diperlukan dalam jangka masa sama.

Tindakan
itu sekiranya tidak ditunaikan Gani akan menimbulkan persoalan samada
ada sesuatu yang cuba disorokkan beliau dari pengetahuan pihak berkuasa
dan orang awam.
“Jika dia berdolak-dalik dengan hanya setuju memberi akses kepada
akaun tertentu sahaja akan menimbulkan banyak persoalan. Siasatan
hendaklah secara menyeluruh bukan satu dua akaun yang dipilih-pilih,
sedangkan ada lagi akaun lain.
“Selain itu juga timbul persoalan mengapa dia tidak tawarkan perkara
yang sama kepada Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Adakah
kerana kalau SPRM, dia tidak boleh pilih-pilih akaun mana nak beri
tetapi SPRM boleh akses kepada semua akaun,” katanya lagi.
Rafizi berkata lagi, jika siasatan terhadap akaun Gani Patail
mendapati tiada baki atau transaksi besar berlaku dalam tempoh masa yang
dinyatakan, peguam terkenal, Tan Sri Shafee Abdullah perlu meminta maaf
kepada Gani Patail.
Ia kerana mengaitkan beliau dengan kes sogokan wang seperti mana
terkandung dalam Akaun Bersumpah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah
Kuala Lumpur, Datuk Mat Zin Ibrahim.
Sebelum ini, Gani Patail secara terbuka menjemput Rafizi untuk
mendapatkan surat kebenaran beliau untuk meneliti semua akaun-akaun
beliau dalam dan luar negara sebagai membuktikan tiada unsur rasuah
ketika beliau mengendalikan kes perebutan Pulau Batu Puteh antara
Malaysia dan Singapura.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Singapura
diberikan hak milik pulau terbabit selepas delegasi Malaysia yang
diketuai Gani sebagai Ketua Undang-undang dikatakan gagal memberikan
bukti serta hujah kukuh semasa perbicaraan berlangsung.