Kerajaan Melayu Perikatan Nasional iktiraf sijil UEC?
Kerajaan Perikatan Nasional dicanangkan sebagai kerajaan yang memperjuangkan hak-hak Melayu. Dua parti utama dalam kerajaan ini, Umno dan Pas ketika bergerak sebagai pembangkang membantah apa sahaja tuntutan masyarakat Cina agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf dan pemegangnya boleh melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dalam negara,
Muafakat Nasional membantah keras tuntutan itu dengan hujah sijil UEC tidak wajar diiktiraf dan pelajarnya didakwa tidak patriotik kepada tanah air
Namun beberapa hari ini, iklan yang didakwa dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan pengambilan khas Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dengan Kepujian bagi calon pemegang UEC.
KPM turut mempelawa lulusan Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti program tersebut.
Program itu dikhususkan untuk melatih bakal guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang ditetapkan oleh KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan bagi keperluan di sekolah rendah.
Dari segi syarat akademik, pemohon hendaklah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Sejarah.
Sementara itu, bagi syarat tambahan untuk lulusan UEC, pemohon mesti memiliki sekurang-kurangnya tiga gred kepujian di peringkat Sijil Senior Middle Level (UEC-SML) manakala lulusan SMA atau SMU, pemohon mesti memiliki sekurang-kurangnya tiga gred kepujian di peringkat SMA atau SMU.
Bidang pengkhususan yang ditawarkan adalah Bahasa Cina Pendidikan Rendah bagi lulusan UEC.
Dalam tempoh kursus persediaan, calon mesti mengikuti kursus khas dan lulus dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu Komunikasi; Sejarah; dan Pendidikan Moral.
Iklan itu seolah-olah menunjukkan Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon telah menunaikan janji dengan pertubuhan radikal, Dong Zong dan Jiao Zong dalam isu pendidikan Cina.
Hang Soon yang juga Timbalan Presiden parti perkauman MCA dilaporkan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan KPM dan gabungan itu untuk menggerakkan reformasi pendidikan.
Sebelum ini, manual pengambilan pelajar oleh IPG tidak menyenaraikan butiran mengenai pengambilan lepasan UEC untuk program ijazah perguruan, menyebabkan pertubuhan pendidikan dan parti politik berasaskan Cina tertanya-tanya sama ada kerajaan telah menghentikan program berkenaan.
Sijil UEC tiada kaitan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia, dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong.
UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan serta Akta Pendidikan 1996.