IPOH: Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menafikan mesej tular yang mendakwa terdapat seorang pesakit wanita positif wabak Koronavirus (Covid-19) yang dikatakan melarikan diri dari hospital tersebut.
Pengarahnya, Dr. Abdul Malek Bin Osman berkata mesej tersebut tidak benar selain mendapati tiada kejadian berlaku seperti yang didakwa.
“Pihak hospital ingin menafikan penularan berita tidak benar tersebut. Hasil semakan mendapati tiada pesakit seperti yang tertular tersebut di hospital ini.
“Orang ramai digesa untuk tidak menularkan sebarang berita yang tiada kesahihan kerana dikhuatiri boleh mencetuskan kegusaran orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Baru-baru ini tular di sosial media satu mesej atau hantaran yang mendakwa terdapat seorang wanita dikatakan berasal dari Kampung Simee, dekat sini, yang positif Covid-19 telah melarikan diri dari HRPB.
Hantaran itu turut mendakwa pihak HRPB dan polis sedang giat menjejaki wanita tersebut.