Peringatan buat Hadi: Akar umbi PAS tetap bersama Pakatan Rakyat

Peringatan buat Hadi: Akar umbi PAS tetap bersama Pakatan Rakyat
Peringatan buat Hadi: Akar umbi PAS tetap bersama Pakatan Rakyat

Peringatan buat Hadi: Akar umbi PAS tetap bersama Pakatan Rakyat

Tindakan Presiden PAS Hadi Awang terus menerus menyerang DAP tanpa hujung pangkal menjelang Muktamar Pemilihan Jun depan bukan memperkuatkan PAS sebaliknya akan memecah belahkan parti itu.

Hadi dalam program ‘Bicara Harakah’ baru-baru ini berkata beliau patut marah kepada DAP kerana mempertikaikan perlaksanaan Hudud yang diizinkan Tuhan.

“DAP tidak bersetuju dengan hudud, buat kenyataan yang berlawanan dengan Kelantan. Jadi kita ada tanggungjawab kita (menjaga Islam). Kita marah

“Kita marah sebab ia satu tanggungjawab Islam. Kita mesti marah. Tak marah, tiada kemanisan iman. Sebagai orang Islam, kita kena marah,” katanya ketika menjawab soalan hadirin menegur PAS agar berhenti memarahi rakan sekutunya, DAP, pada 19 Mei lalu.


Hadi tidak wajar menyerang DAP kerana perbezaan pendapat mengenai Hudud. Sementelah lagi kebanyakan pemimpin DAP adalah bukan Islam. Begitu juga PKR yang tidak menyokong melaksanakan Hudud pada ketika negara masih gagal menjamin rule of law. Hanya orang biasa yang akan dihukum tetapi penguasa terlepas.

Berlapang dada

Hadi wajar berlapang dada sebagaimana beliau menerima perbezaan pendapat PKR dan DAP pada era Fadzil Noor atau Nik Aziz. Hudud juga bukan keutamaan di Kelantan pasca banjir besar 2014. Malah jika bukan kerana strategi Umno untuk mewujudkan perpecahan dalam PR, Hudud tentunya tidak menjadi keutamaan PAS ketika ini.

Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al Qardawi dalam huraiannya berkata Hudud memerlukan beberapa syarat ketat sebelum boleh dilaksanakan. Antaranya termasuklah cukup makanan; cukup peluang pekerjaan; ajarkan rakyat yang jahil (beri ilmu sempurna) serta beri latihan kepada pekerja (tingkat produktiviti dan pendapatan). Suasana seperti itu memang tidak wujud di Kelantan ketika ini.

Oleh itu, tidak salah pihak yang mengkritik dan meminta agar Hudud ditangguhkan dahulu sehingga tiba waktu yang sesuai. Hukum Hudud wajib tetapi waktu perlaksanaan adalah ijtihad.
Berbalah dalam hal ijtihad membuktikan Hadi tidak mahir dalam ilmu siasah (politik). Untuk menjadi ahli politik yang baik ulama muktabar perlu mendapatkan nasihat ahli siasah. Siasah bukan cabang ilmu wajib bagi pengajian agama. Jadi, tidak salah bagi Hadi mendengar kritikan dan memperbaiki strategi parti.

Tindakan menutup fikiran bahawa DAP penghalang Hudud dan Umno menerima hukum itu amat merbahaya. Umno belum boleh dipercayai. Buktinya, langkah Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah tidak direstui oleh sebahagian ahli parlimen Umno. Hadi terlalu bergantung kepada PM Najib Razak yang kononnya menyokong PAS. Sedangkan Najib seperti ‘telur di hujung tanduk’ diserang bertubi-tubi oleh Dr Mahathir yang anti Hudud.

Sekiranya Hadi gagal meminda akta tersebut dalam sesi Dewan Rakyat Mei-Jun ini maka imejnya akan terjejas teruk. PAS akan dilihat seolah-olah ‘melukut di tepi gantang’ meminta belas ihsan Umno.

Ternyata penasihat yang mengelilingi Hadi tidak mahir dalam ilmu siasah. Sokongan terhadap PAS selepas ini akan semakin menyusut dengan satu hala perjuangan sahaja, iaitu Hudud.

Sokongan Melayu

Hudud juga tidak boleh digunakan sebagai senjata untuk meningkatkan sokongan terhadap PAS di kawasan Melayu. Percubaan yang dilakukan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh awal Mei lalu ternyata gagal.

Banyak pihak berpendapat tindakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Yusri Mat Piah tidak mungkin dilakukan atas kapasiti peribadi tetapi mungkin wujud arahan dari pihak atasan berdasarkan sikap walak pemimpin PAS. Sekiranya benar dakwaan demikian, maka kempen memboikot Dr Wan Azizah yang dimomokkan menolak Hudud tempoh hari bukanlah tindakan spontan tetapi telah dirancang.

Sekiranya Azizah menang majoriti undi kurang 2,000 maka teori Hudud mampu mengurang atau meningkatkan sokongan menjadi kenyataan. Namun terbukti ujikaji itu gagal apabila Dr Wan Azizah memperolehi majoriti kira-kira 8,800 undi walaupun terdapat pemimpin PAS berkempen dan menunjuk perasaan meminta agar pengundi tidak keluar menyokong PKR.

Ujikaji di Permatang Pauh sebaliknya memberi petanda awal bahawa ahli dan penyokong akar umbi PAS tidak akan walak membuta tuli mengikut saranan Presiden, Majlis Syura Ulama atau pemimpin PAS peringkat negeri / kawasan dalam menentukan hala tuju sokongan mereka.

Sekiranya puak Hadi berjaya merebut semua jawatan tinggi PAS dalam Muktamar Pemilihan Jun ini dan mengumumkan tahaluf siyasi PAS berputar 180 darjah kepada Umno maka puak presiden diberi amaran bahawa PAS akan berpecah dua.

Memesong perjuangan

Ahli dan penyokong PAS bukannya bodoh dan ‘gila merapu’ sebagaimana yang difikirkan. Mereka tidak akan menggabungkan diri dengan rejim Najib yang zalim menguat kuasakan GST, menyeleweng wang rakyat dan terlibat dakwaan skandal pembunuhan hanya kerana tawaran pahala yang dibuat pemimpin PAS.

Mereka mampu berfikir siapa malaikat dan siapa syaitan dalam politik Malaysia. Sekiranya puak Hadi berani mengubah hala tuju perjuangan parti maka tidak syak lagi PAS akan kembali ke zaman Asri Muda. PAS boleh masuk BN dan pemimpinnya mendapat jawatan menteri tetapi penyokong mereka akan tinggal kekal bersama PR.

Dalam pilihan raya umum, penyokong PAS akan mengundi calon PR atau Asal Bukan Umno serta sekutunya. Mereka tidak akan memberi undi kepada PAS biar pun mereka ahli PAS. Hakikat di Permatang Pauh jelas menunjukkan kubu kuat PAS di Permatang Pasir yang majoriti 80 % Melayu memberi undi tertinggi kepada Dr Wan Azizah. Walaupun Hadi tidak pernah mengeluarkan arahan agar menarik balik boikot dan mengundi PKR, ahli PAS tetap tidak berganjak dengan pendirian mereka menentang BN.

Membenci PR

Hadi telah jauh terlanjur membenci PR. Satu-satunya cara ialah menggantikan Hadi dengan Ahmad Awang. Namun melihat keadaan pemimpin ulama PAS yang ekstrem dan sukarnya puak Ahmad untuk berkempen menghadapi tindakan agreasif puak Hadi maka peluang untuk Ahmad kelihatan tipis.

Oleh itu, pemimpin PAS wajib bersedia dengan tindakan ahli dan penyokong sebaik sahaja parti itu meningkatkan hubungannya dengan Umno. Hadi akan mendapati ahli dan penyokong yang bertakbir ketika ceramahnya, pada hari mengundi, akan mengalahkan calon PAS dan memenangkan calon PR.

Tidak banyak penganalisis menjangkakan PAS akan kembali ke haluan asal di bawah Hadi. Maka adalah lebih baik ahli dan penyokong memikirkan politik pasca PAS selepas muktamar. Di Turki parti yang berjaya bukanlah pengamal ideologi ortodok. Parti AK pimpinan Erdogan misalnya tidak terikat dengan Hudud tetapi lebih menumpukan Negara Berkebajikan, sebagaimana manifesto PAS menjelang pilihan raya umum ke 13 lalu.

Namun segala-galanya telah terlambat buat PAS. Parti itu mungkin telah ditakdirkan kalah sebelum tiba di kemuncak perjuangan.

Hanya imaginasi Hadi: Anwar tidak pernah setuju Kerajaan Perpaduan

Hanya imaginasi Hadi: Anwar tidak pernah setuju Kerajaan Perpaduan
Hanya imaginasi Hadi: Anwar tidak pernah setuju Kerajaan Perpaduan

Hanya imaginasi Hadi: Anwar tidak pernah setuju Kerajaan Perpaduan

PKR hari ini menegaskan ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah bersetuju bergabung bersama Umno seperti didakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata beliau diberi mandat biro politik PKR menafikan sekeras-kerasnya perkara itu.

“Anwar atau mana-mana pimpinan parti tidak pernah bersetuju idea bergabung dengan Umno di dalam sebuah kerajaan perpaduan seperti yang dirujuk Hadi semalam.

“PKR berharap kami tidak diheret di dalam persoalan dalaman PAS,” kenyataan itu dipetik.

Hadi semalam mendakwa idea kerajaan perpaduan pernah dipersetujui Anwar dan bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Hadi, idea digagaskan sebenarnya meliputi penyatuan semua parti ke dalam parti tunggal yang membentuk kerajaan selepas berlaku krisis perlembagaan di Perak.

“Kita tak mahu lari menyertai BN. Biasanya sejarah ini tetap berulang. Sebab itu kita kemukakan unity government ini – semua parti dalam kerajaan.

“Ini dipersetujui bersama semua dalam satu pertemuan di antara saya, Anwar dan arwah mursyidul am kita.

“Kita bersetuju mengetengahkan perkara ini dan kita kemukakan kepada DAP. Tetapi malangnya, ia terbantut kerana Barisan Nasional (BN) tak boleh menerimanya,” kata Hadi pada program Bicara Harakah.

Menurut Rafizi, PKR tekal dalam usahanya menggantikan Umno sebagai kerajaan.

“Fokus PKR ialah membela rakyat dan memperbaiki institusi kerajaan yang rosak di bawah BN, apatah lagi di saat-saat rakyat tertekan dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), penggunaan dana-dana rakyat dalam Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain.

“PKR percaya Umno berada pada keadaan yang paling lemah dan ini masa terbaik untuk memberi peluang perubahan kepada rakyat Malaysia,”

DAP persoal Hadi hanya marah rakan PR, bukan Umno

DAP persoal Hadi hanya marah rakan PR, bukan Umno
DAP persoal Hadi hanya marah rakan PR, bukan Umno

DAP persoal Hadi hanya marah rakan PR, bukan Umno

Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang orang Islam perlu marah DAP kerana mempertikaikan hudud di Kelantan memberi gambaran salah, kata DAP, seakan Islam agama yang tidak mampu menerima perbezaan pendapat.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaannya Zairil Khir Johari berkata, pelaksanaan undang-undang itu juga malah turut dipertikaikan sarjana Islam sendiri yang menerima hudud sebagai tuntutan syarak, namun takrifan dan kaedah pelaksanaannya sering menjadi pertikaian.

Ini termasuk ilmuwan Islam seperti Sheikh Mustafa al-Zarqa, Muhammad Abu Zahra, Mohamad Salim al-Awa dan Sheikh Yusuf al-Qaradawi, katanya.

“Mufti Perlis Datuk Dr Muhammad Asri Zainul Abidin pun mengingatkan, tidak menjadi masalah sekiranya undang-undang hudud di Kelantan dipertikaikan, kerana ia takrifan manusia dan bukan hukum yang disalin daripada Al-Quran secara bulat-bulat.
“Justeru, apakah Hadi akan marah terhadap para sarjana Islam tersebut, memandangkan mereka juga mempersoalkan dan mempertikaikan pelaksanaan hudud?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Hadi dalam program “Bicara Harakah” di Kuala Lumpur semalam berkata, PAS berhak menyuarakan kemarahannya terhadap DAP yang menolak hudud kerana ia diizinkan Allah.

Katanya, sifat marah memang semula jadi ada pada manusia biasa dan ia menjadi tanggungjawab PAS kerana parti demokratik itu menentang pelaksanaan hukum Allah.

“Kita marah pada perkara yang Allah izinkan. Perkara yang Allah tak izinkan, kita tak marah,” katanya.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera itu bagaimanapun berkata, kenyataan Hadi amat mengecewakan kerana sebagai ulama, beliau perlu sedar, seorang mukmin harus berusaha memperlihatkan keindahan hukum Tuhan dan menghapuskan segala keraguan terhadap pelaksanaanya, bukannya marah jika ada pihak yang tidak sehaluan pendapat.

Katanya, Hadi tidak memilih jalan muzakarah atau perbahasan rasional dan mungkir janji apabila tidak membawa isu enakmen hudud di Kelantan untuk perbincangan dan pertimbangan Pakatan Rakyat (PR) sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Hadi juga, katanya, membentangkan rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada sidang Dewan Rakyat yang lalu tanpa persetujuan Jawatankuasa PAS Pusat.

“Jelas, beliau tidak berminat untuk bermuzakarah dengan rakan-rakan seperjuangan,” kata Zairil.
Katanya, Hadi sebaliknya menunjukkan sikap optimis terhadap Umno apabila menyatakan sokongan Umno dalam pelaksanaan hudud ikhlas dan harus disahut.

“Saya berasa sangat musykil dengan sikap Hadi ini, memandangkan Umno sendiri yang menggagalkan pelaksanaan hudud di Kelantan dan Terengganu sebelum ini,” katanya.

Katanya, pada masa sama, tiada usaha daripada Umno membentangkan undang-undang sama di mana-mana negeri dikuasai mereka, sementara menteri Umno sendiri mengeluarkan kenyataan lantang menolak pelaksanaan hudud di Malaysia.

“Pada hemat saya, Umno jelas tiada niat ikhlas melaksanakan hudud. Dan minatnya dalam isu ini hanyalah untuk memperlihatkan kehancuran PR,” katanya.

VIDEO: Pecat lembaga pengarah 1MDB: Serangan Muhyiddin bermula?

Pecat lembaga pengarah 1MDB: Serangan Muhyiddin bermula?
Pecat lembaga pengarah 1MDB: Serangan Muhyiddin bermula?

Pecat lembaga pengarah 1MDB: Serangan Muhyiddin bermula?

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar ketua pegawai operasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipecat dan disiasat bagi memulihkan imej kerajaan.

Katanya, tindakan serius itu perlu dijalankan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat pada kerajaan.

“Saya beritahu PM, pecat kesemua sekali lembaga (pengarah) 1MDB.
“CEO ini (patut) dibuang, dan bukan saja dbuang. Panggil polis siasat. Ambil tindakan, barulah rakyat tengok… pimpinan kerajaan rasa bertanggungjawab ambil tindakan serius.
“Kalau tidak buat begitu, ini yang akan membebankan kita jatuh ke bawah,” katanya dalam satu perjumpaan bersama pemimpin tinggi Umno.

Video ucapan itu dimuatkan di Youtube oleh penulis blog yang juga bekas wartawan, Firdaus Abdullah.

Video sepanjang kira-kira tujuh minit itu bagaimanapun hanya memuatkan sebahagian daripada ucapan Muhyiddin.

Dalam video tersebut, Muhyiddin ditunjukkan berucap kepada pemimpin tertinggi Umno, termasuk para naib presiden.
Pertemuan itu dipercayai berlangsung semasa sambutan ulangtahun Umno ke-68 pada pertengahan bulan ini.

Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ditunjukkan dalam video tersebut.

1MDB melantik Arul Kanda (gambar) sebagai presiden dan pengarah eksekutif kumpulan pada 5 Januari lalu.
Najib pula mempengerusikan lembaga penasihatnya.