DI MANA-MANA KETIKA INI SEMUA ORANG TENGAH MARAH KEPADA KERAJAAN MADANI
Sejak diumumkan tiada lagi subsidi pukal untuk diesel bermula 10 Jun lalu, apa yang ketara berlaku di negara kita ialah semua orang sedang marah kepada kerajaan.
Di kedai makan, di kedai runcit, di pasaraya, di masjid, surau atau ketika berbual dengan kenalan melalui telefon – semuanya yang terhambur ialah marah-marah dan rasa tak puas hati kepada kerajaan.
Semua rasa marah dan tak puas hati itu tiada lain melainkan kerana tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dengan menarik balik subsidi pukal dan menggantikannya dengan subsidi bersasar.
Hari ini menanggg, esok minyak turunnn…inilah ungkapan paling popular ketika ini.
Jika ada royalti, pencipta kata-kata di atas pasti kaya raya sekarang ini.
Di media sosial, khususnya Tik Tok, macam-macam orang mengungkapkan kata-kata tersebut dalam pelbagai versi cemuhan dan sindiran terhadap kerajaan.
Pendeknya, semua orang sedang marah kepada Anwar Ibarhim kerana tidak berpegang kepada janji untuk menurunkan harga minyak sebagaimana kerap dijanjikannya sebelum ini, kali terakhir janji itu diungkapnya pada 2022 lalu.
Meskipun ada subsidi bersasar, tetapi rata-rata melihat kenaikan harga minyak (diesel) telah berlaku dan bukannya penurunan harganya sebagaimana dijanji sebelum ini.
Kalau masa bertunang, kita pernah berjanji dengan bakal isteri mahu membelikannya Myvi, tetapi tentulah pasangan kita akan terus mengungkit jika gelang senipis rambut pun tak juga dibeli sehingga sudah beranak lima.
Begitulah pentingnya janji, tambahan lagi jika dimungkiri sama sekali.
Dengan kenaikan harga diesel berikutan penarikan subsidi pukal, sama ada secara langsung atau tidak, ia tetap akan menyebabkan harga barangan juga meningkat.
Ini kerana bukan semua orang layak menerima subsidi bersasar, tetapi semua orang kena berbelanja untuk membeli keperluan harian.
Subsidi bersasar sebanyak RM200 sebulan untuk golongan B40 yang memiliki kenderaan persendirian misalnya, syaratnya ialah mereka mesti mempunyai pendapatan bawah RM100 ribu setahun.
Berpendapatan lebih daripada itu dianggap tidak layak kerana mereka sudah dikira termasuk termasuk golongan M40 dan T20 serta kelompok maha kaya yang diharamkan daripada menerima subsidi.
Tetapi di Sabah Sarawak, semua pemilik kenderaan diesel, tak kira B40, M40 atau T20, mereka boleh pula menikmati diesel yang bersubsidi.sebebas-bebasnya.
Apa bezanya golongan M40, T20 dan maha kaya di Semenanjung dengan di Sabah dan Sarawak?
Peraturan yang berbeza ini seolah-olah menjadi golongan M40, T20 dan maha kaya ketika era madani di Semenanjung ini suatu dosa dan tidak begitu diraikan berbanding di Sabah dan Sarawak.
Selain itu, beberapa pemilik kenderaan diesel yang dihubungi hampir sekata nenyatakan jumlah RM200 itu terlalu kecil untuk menampung kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 daripada RM2.15 sebelumnya kepada RM3.35 sen sekarang ini.
Dalam sektor pengangkutan pula, meskipun subsidi dikekalkan untuk beberapa jenis kenderaan, tetapi ada yang terkecuali seperti lori penunda kenderaan, pengeluar konkrit simen dan bas persiaran.
Begitu juga bagi pengusaha sayuran di Cameron Hinghlands, kira-kira 80 peratus daripadanya dilaporkan tidak layak menerima subsidi diesel kerana tidak memenuhi syarat kelayakan iaitu jualan mesti melebihi RM300 ribu setahun.
Ini menjadikan mereka tiada pilihan lain melainkan terpaksa menaikkan harga.
Akhirnya, siapa yang terkesan kalau bukan pengguna?
Kalau mahu dikutip, banyak lagi sektor atau manusia malang yang tidak dapat subsidi diesel ini, termasuk orang-orang kampung yang mungkin ada masalah untuk mendaftar dengan Budi Madani atas pelbagai kekangan.
Akibatnya, semua yang tidak layak menerima subsidi bersasar itu akan semakin rabak poket mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Ini baru diesel dihapuskan subsidinya, semua orang boleh lihat kemarahan rakyat yang terzahir amat nyata sekali.
Tak tahulah apa jadi pada kerajaan madani ini jika nanti petrol pula dimansuhkan subsidinya.
Tak tahulah juga sama ada PKR, parti di mana Anwar menjadi ketuanya boleh menang atau tidak dalam PRK Sungai Bakap tidak lama lagi selepas ini. – ShahbudinHusin 12Jun2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/06/12/di-mana-mana-semua-orang-ketika-ini-tengah-kepada-kerajaan-madani.html