Saya ingin menarik perhatian berkenaan kenyataan Datuk Jahara Hamid, ketua pembangkang Pulau Pinang apabila ditanya berkenaan keputusan kerajaan negeri memberi peruntukan Projek Pembangun Kecil RM40,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang di Pulau Pinang.

Ketua Pembangkang mengatakan: "Wang itu bukan milik Lim (Ketua Menteri), tapi rakyat".

Atas semangat yang sama saya memohon ketua pembangkang Negeri Pulau Pinang agar dapat menyampaikan kepada ketua parti beliau bahawa dana yang diuruskan oleh kerajaan pusat juga adalah dana rakyat.

Oleh itu wajar untuk beliau menasihatkan perdana menteri dan barisan kabinet agar mencontohi kerajaan negeri Pulau Pinang dan menghentikan amalan kerajaan pusat yang menyekat peruntukan kepada ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Ahli-ahli parlimen Pakatan juga berhak mendapatkan peruntukan pembangunan yang serupa seperti mana yang diperolehi oleh ahli Parlimen BN. Mereka diundi oleh rakyat (pembayar cukai), dan pilihan itu wajib dihormati.

Pasca PRU13 adalah masa yang paling sesuai untuk perdana menteri menghentikan amalan menyekat peruntukan kepada ahli Parlimen Pembangkang.

Hakikatnya 51 peratus pengundi memilih Pakatan, manakala hanya 47 peratus memilih BN.

Ini membuktikan rakyat menyokong Pakatan dan aspirasi rakyat ini wajar dihormati dengan mengembalikan hak ahli Parlimen pembangkang untuk turut sama mendapatkan peruntukan dari kerajaan pusat.

Kerajaan Pulau Pinang mengambil langkah ini adalah sebagai menghormati prinsip demokrasi dan mematuhi etika amalan politik yang berwibawa dan matang.

Hal ini membuktikan kerajaan negeri senantiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pembangkang demi membangunkan negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat.


NONEDR AFIF BAHARDIN ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya.