SELAIN SAH MENIPU DAN BERBOHONG, ABU ZAHAR JUGA CEMARKAN NAMA AGONG

 

Termasuk Abu Zahar Ujang selaku pengerusi, Lembaga Penasihat Pencecahan Rasuah (LPPR) SPRM mempunyai tujuh orang anggota.

Berikutan sidang media Abu Zahar atas nama LPPR pada 5 Januari lalu yang membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki daripada sebarang salah laku berkaitan kontroversi pemilikan saham korporat yang dikaitkan dengannya, enam anggotanya hari ini tampil dengan kenyataan media bersama yang menjarakkan diri mereka daripada pendirian tersebut.

Mereka menyangkal pernah bersetuju dengan apa yang disebut oleh Abu Zahar dalam sidang medianya itu, bahkan menyifatkannya sebagai pandangan peribadi bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu semata-mata.

“Kami dengan terang ingin menyatakan bahawa ahli-ahli lembaga pada mesyuarat LPPR pada 24 November lalu atau pada bila-bila masa selepasnya, tidak pernah menzahirkan pendirian sedemikian seperti yang dinyatakan oleh Abu Zahar.

“Kami ingin menyatakan bahawa kenyataan berkenaan adalah sepenuhnya pandangan peribadi Abu Zahar,” kata kenyataan itu lagi.

Mereka sebaliknya mencadangkan supaya kes Azam dirujuk kepada sama ada jawatankuasa bebas, jawatankuasa pilihan Parlimen mengenai rasuah atau panel aduan SPRM.

Bagaimanapun, mereka berkata, pandangan tersebut tidak dinyatakan oleh Abu Zahar semasa sidang medianya itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh semua ahli LPPR kecuali Abu Zahar, iaitu Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Dengan enam daripada tujuh anggota LPPR, kecuali Abu Zahar, sependirian menyatakan mereka tidak pernah terlibat dalam membersihkan nama Azam, bermakna sahlah Abu Zahar telah menipu, berbohong dan bertindak mengelirukan dalam sidang media pada 5 Januari lalu.

Ia juga bermakna, Abu Zahar sudah boleh dianggap hilang kepercayaan daripada semua anggota LPPR sendiri

Kenapa Abu Zahar pandai-pandai secara sendirian berbuat demikian?

Apakah kerana beliau sedar kes Azam itu memang tidak boleh dipertahankan?

Jika begitu, apa tujuannya pandai-pandai membersihkan nama Azam dengan membelakangkan semua anggota LPPR?

Apa kepentingannya dalam kes Azam ini?

Dengan perlakuan tidak bermoral ini, Abu Zahar bukan saja telah merosakkan nama LPPR, malah mencemarkan nama Yang Dipertuan Agong yang melantiknya memegang jawatan tersebut.

Menipu dan berbohong atas jawatan yang dilantik oleh Agong adalah perbuatan yang tidak harus dimaafkan oleh seluruh rakyat negara ini.

Maka, selain harus meletakkan jawatan dengan serta-merta, siasatan salah laku juga seharusnya diambil terhadap Abu Zahar, bersekali dengan Azam yang bersungguh-sungguh cuba dipertahankannya itu.

SPRM harus dibersihkan dengan sebersih-bersihnya, terutama dengan perangai macam Abu Zahar ini jika rasuah ingin dibanteras dengan sebaik-baiknya di negara ini. – ShahbudinHusin 08/01/2021.



Enam ahli LPPR nafi sependapat, sekarang giliran Abu Zahar beri penjelasan

 


Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar perlu memberi penjelasan secara terbuka susulan kenyataan terbaru enam Ahli LPPR yang tidak sependapat dengan kenyataan beliau tentang pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Abu Zahar dalam sidang medianya sebelum ini memberitahu, ahli lembaga LPPR berpuas hati dengan penjelasan Tan Sri Azam Baki bahawa akaun miliknya digunakan adiknya Nasir Baki untuk membuat pembelian saham.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bertanya adakah Abu Zahar sebenarnya telah membuat keputusan ‘membersihkan’ nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itui secara bersendirian.

“Abu Zahar kini tiada pilihan kecuali untuk memberi penjelasan penuh secara terbuka berkenaan perkara ini – atau meletakkan jawatan serta merta.

“Amat jelas beliau tiada lagi hak moral untuk menjadi pengerusi LPPR,” kata Fahmi mengulas pengakuan terbaru enam ahli LPPR hari ini.

Enam ahli lembaga SPRM hari ini menegaskan bahawa kenyataan Abu Zahar adalah pendapat peribadinya sendiri dan tidak mewakili pendirian mereka.

“Kami dengan terang ingin menyatakan bahawa ahli-ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepasnya tidak menzahirkan pendirian sedemikian seperti yang dizahirkan Abu Zahar,” kata mereka.

Penjelasan tersebut mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr. Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Sementara itu Fahmi berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu merupakan satu tamparan hebat buat kredibiliti Abu Zahar, dan adalah satu bentuk ‘undi tidak percaya’ terhadap beliau.

“Jelas, seperti yang dijangka pelbagai pihak, ‘penjelasan’ Abu Zahar dan Azam Baki tempoh hari hanya menimbulkan seribu satu persoalan baharu,” tambahnya.

UNDUR AZAM BAKI! Ahli Parlimen Keadilan Buat Laporan Polis, Ketua SPRM K...


YB Fahmi Fadzil, YB Akmal Nasir, YB Maszlee Malik, YB Mariah Chin dan beberapa orang Ahli Parlimen lain telah membuat satu laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki membabitkan isu rasuah


PAS " PLAY SAFE" ISU AZAM BAKI KERANA PERNAH "BERURUSAN " DENGAN SPRM DAN KEGAGALAN MENYAMAN HUSAM MUSA ISU 90 JUTA

 

Punca sebenar Pas memuji Azam Baki akhirnya terbongkar


Punca sebenar Pas memuji Azam Baki akhirnya terbongkar


Dunia maya dikecohkan dengan kenyataan rasmi parti Pas yang menyambut baik penjelasan terbuka Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mengenai dakwaan pemilikan sahamnya dalam beberapa syarikat.

Menurut pengguna media sosial, tindakan pelik Pas itu dianggap satu cuban bermain selamat daripada serangan balas SPRM sekiranya menyambut saranan Ketua Pemuda Pas yang mencadangkan Azam Baki direhat sementara menantikan hasil siasatan terhadapnya selesai.

Ini berpunca daripada satu siasatan yang pernah dibuat terhadap Pas sebelum ini yang pernah dikaitkan dengan isu rasuah RM90 juta daripada wang 1MDB. Isu ini didedahkan oleh pirtal akhbar Sarawak Report sebelum dipanjangkan pula oleh Husam Musa yang menuntut agar satu siasatan dijalanlan terhadap dakwaan portal tersebut.

Pas melalui presidennya, Hadi Awang mengambil tindakan saman terhadap editor portal tersebut, Rewcastle Brown demi menyekat imej parti itu daripada terus rosak, yang dijalankan di Mahkamah di England.

Meskipun SPRM kemudiannya mengesahkan tiada kemasukan wang 1MDB seperti yang dihebahkan, Pas kemudiannya bertindak menarik balik saman terhadap Sarawak Reports, malahan terpaksa membayar pula sejumlah besar wang kepada editornya bagi tujuan tersebut.




Lebih menghairankan, Pas juga gagal mengambil tindakan mahkamah terhadap Husam yang pernah membangkitkan isu ini kepada media, meskipun Pas pernah berjanji akan berbuat demikian ketika itu.


Menurut sumber, meskipun SPRM telah membuat pembersihan terhadap parti tersebut, namun dipercayai terdapat bukti yang jelas pengaliran wang ke dalam akaun beberapa pemimpin Pas yang dijadikan proksi telah disembunyikan daripada pengetahuan umum oleh penyiasat SPRM yang diketuai Azam Baki ketika itu.

Malah tidak mengejutkan sekiranya Azam Baki bertindak balas dengan membocorkan perkara itu kepada umum sekiranya Pas terus-terusan menekan agar tindakan tegas diambil ke atas dirinya.

Semalam, setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan tuduhan terhadap Azam merupakan cubaan “untuk menggugat kestabilan negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.”

“Kenyataan terbuka ketua pesuruhjaya SPRM tersebut yang berupa penafian terhadap tuduhan berkenaan diharap dapat menghentikan tindakan beberapa pihak yang kelihatan sengaja membangkitkan isu seumpamanya bagi menimbulkan keraguan di kalangan rakyat…

“Dengan ini juga, beban pembuktian terletak ke atas pihak yang masih terus membuat dakwaan yang serupa bagi membuktikan segala tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan berasas, sekiranya tidak ia adalah sekadar tuduhan melulu.

“PAS yakin pihak berkuasa akan meneliti kenyataan tersebut dan menilai serta seterusnya mengambil tindakan yang adil kepada semua pihak berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya pada kenyataan lewat malam tadi.

Ini selepas Pemuda PAS menyarankan agar Azam direhatkan ekoran dakwaan pemilikan sahamnya itu, sehingga siasatan selesai.

Semalam, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata meskipun dia menghormati Azam, namun pegawai tertinggi SPRM itu wajar memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan namanya.

Fadhli turut menyarankan semua pihak yang terlibat, termasuk pegawai tertinggi SPRM direhatkan sehingga siasatan selesai bagi “memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang”.

Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara.

Ekoran itu, Azam dalam satu sidang media kelmarin berkata yang dia memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun perdagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham tersebut.

Saham itu telah dipindahkan kepada adiknya, Nasir Baki.

Pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang yang turut hadir, berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memaklumkan pihaknya akan menghubungi Azam selepas dia mengaku adiknya telah menggunakan nama akaun dagangannya untuk membeli saham.

Azam berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada SC.

Ketua pesuruhjaya SPRM juga telah memulakan tindakan undang-undang atas fitnah terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan pegangan sahamnya.

Perjelas kenapa ‘bersih’ nama Azam atau letak jawatan, Abu Zahar diberitahu


Pengerusi Bersih Thomas Fann dan Presiden Aliran Anil Netto menyelar Abu Zahar Ujang yang dilihat menutup penglibatan Azam Baki. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: BERSIH menggesa Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Zahar Ujang meletak jawatan jika gagal menjelaskan keputusannya membersihkan nama Azam Baki berhubung isu pemilikan saham.

Gesaan itu susulan pendedahan enam ahli LPPR bahawa kenyataan Abu Zahar mengenai Ketua Pesuruhjaya SPRM terbabit pada sidang media Rabu lalu adalah pandangan peribadinya.

Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, mendesak Abu Zahar meletak jawatan apabila jelas memberi gambaran salah berhubung cadangan ahli lembaga berkenaan.

“Malangnya, Abu Zahar atas sebab yang hanya diketahui dirinya, memilih menutup penglibatan Azam. Jadi beliau mesti memberi penjelasan atau jika gagal, perlu meletak jawatan,” katanya kepada FMT.

Thomas Fann.

Sementara itu, Presiden Aliran Anil Netto memberitahu FMT, kenyataan dikeluarkan ahli LPPR itu ibarat menunjukkan “kapal SPRM semakin karam”.

“Jika benar apa dikatakan mereka (ahli LPPR), maka pengerusinya perlu membuat penjelasan,” katanya dengan menambah ahli lembaga juga perlu menjelaskan kenapa mereka mengambil masa beberapa hari sebelum bersuara.

“Jangan siasat Azam saja, malah pegawai SPRM yang aktif dan telah bersara yang melakukan kesalahan seperti itu,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut mendesak Abu Zahar memberi penjelasan atau meletak jawatan, malah beliau disifatkan jelas tiada lagi hak moral untuk menjadi Pengerusi LPPR.

Anil Netto.

“Jelas, seperti yang dijangka pelbagai pihak, ‘penjelasan’ Abu Zahar dan Azam Baki tempoh hari hanya menimbulkan seribu satu persoalan baharu,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, tindakan enam ahli LPPR itu merupakan tamparan hebat buat kredibiliti Abu Zahar, dan boleh disifatkan sebagai satu bentuk “undi tidak percaya” terhadap beliau.

Enam ahli yang mengeluarkan kenyataan bersama itu adalah Akhbar Satar, Ismail Omar, Azman Ujang, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Menurut mereka, sebelum sidang media pada Rabu lalu mereka telah mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, pandangan dan cadangan mereka tidak dibangkitkan Abu Zahar pada sidang media tersebut, kata mereka.

Pada masa sama, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menolak dakwaan bahawa kerajaan berdiam diri dalam isu itu, sebaliknya menegaskan semua pihak perlu memberi ruang untuk pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya.

Katanya, beliau sentiasa memantau isu berkaitan SPRM, selain agensi itu adalah suruhanjaya bebas dengan tatacara sendiri untuk mengendalikan perkara seperti itu.

YANG REPORT PULA KENA SIASAT





Adoi! Whistleblower pula yang kena saman. Ajaib sungguh la. Di mana-mana negara dalam dunia, bila ada kes begini, yang dituduh akan berusaha untuk bersihkan nama.

Tapi di Malaysia lain. Yang dikantoikan boleh buat alasan, tak kiralah remeh atau tidak, dan kemudian saman whistleblower. Ini seperti menakutkan para whistleblower yang lain daripada menyatakan kebenaran.

Sepatutnya Azam Baki buktkqni apa yang dia perkatakan tentang saham itu betul. Tunjuk bukti yang memang adiknya yang gunakan akaun dia. Itu bukan saham miliknya.

Masalahnya Suruhanjaya Sekuriti pun nak minta penjelasan dari Azam. Sebab kalau ikut akta pun, setiap akaun yang dibuka mesti atas nama sendiri. Macamana adiknya boleh guna akaun dia?

Jadi Azam nak kata fitnah tang mana? Respon yang sebegini tak pulihkan nama Azam dan SPRM. Sebaliknya hanya menjadi bahan tawa rakyat dan semakin menghakis keyakinan rakyat.

Yang peliknya PM Ismail Sabri macam tengah berhibernasi. Senyap terus. Sepatutnya bila sudah sampai ke tahap begini, PM dah kena masuk campur. Sebab ini menggugat nama baik agensi kerajaan.

Tapi memang style Ismail kot, suka datang last. Mungkin dia terpengaruh dengan filem. Hero selalu muncul bila cerita nak habis. Kalau begini cara kerja PM, negara ini dah macam auto pilot.

Apa pun, aku harap PH yang mempunyai ramai peguam yang

hebat

akan tampil untuk membantu whistleblower ini dalam menghadapi tuntutan yang dikemukakan oleh Azam Baki ini.

Aku yakin majoriti rakyat Malaysia menyokong tindakannya mendedahkan perkara yang dapat menimbulkan keraguan dan kebimbangan ini.

Raja Gelap

 

"BOSSKU" NGAKU MENCURI KE ?


 

LEMBAGA TAK SEPENDAPAT DENGAN PENGERUSI...



Lembaga tak sependapat dengan kenyataan Pengerusi?

Ni kes "you scratch my back and I'll scratch yours" ke?
Habis tu sumpah Allah dan Rasul macam mana, nak tambah junjung Al-Quran tak?
Demikianlah...


MOHD MUKHLIS

GAYANYA OMICRON , RAKYAT AKAN DAPAT PKP SEMULA


HAMZAH RIE NA


Bila berPMkan PM tebuk atap. Dulu muhyiddin guna covid19 sekarang guna covid19 omicron, masing-masing untuk bertahan sampai habis term.
Betul tak?






PEMUDA PAS MULANYA MINTA PM SIASAT AZAM BAKI...TAPI KETULOI UMNO KHASNYA MENTERI PAS KATA MEREKA PUAS HATI....HA.HA.HA


 

LAGI DESAKAN AGAR AZAM BAKI LETAK JAWATAN


 

HIMPUNAN BESAR DI HADAPAN PEJABAT PM JIKA TIADA TINDAKAN TERHADAP AZAM BAKI


 

WEIIII...DAH HANG TAU REGA NAK NAIK ...KENAPA LAH KAU TAK USAHAKAN AGAR IANYA TURUN ATAU HARGA KEMBALI NORMAL ?

 

Terkini! Menteri minta rakyat bersedia dengan kenaikan harga ayam awal bulan depan



Terkini! Menteri minta rakyat bersedia dengan kenaikan harga ayam awal bulan depan


Rakyat negara ini perlu bersedia dengan kenaikan harga siling ayam yang dijangka berlaku awal bulan depan selepas tamat Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini berikutan golongan penternak terbeban dengan pelbagai kos operasi dan harga dedak import.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan itu tidak akan membebankan pengguna sekali gus akan mewujudkan situasi menang-menang.

Menurutnya, KPDNHEP akan mencari mekanisme terbaik termasuk melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk menstabilkan harga di peringkat peruncit serta pemborong.

“Sekarang paras harga siling ayam sehingga 4 Februari adalah RM9.10 sekilogram di peringkat peruncit, jadi semalam (Khamis) kita bincang sebab persatuan penternak mengeluh harga ternakan dan kos operasi dikatakan meningkat.

“Sebab itu saya panggil libat urus termasuk MAFI, Agrobank dan Kementerian Kewangan, kita mungkin boleh bantu mereka kurangkan beban kos operasi.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sungai Rambai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada situasi sekarang harga maksimum siling ayam itu disifatkan rendah dan perlu dipertimbangkan di antara peniaga dan pengguna.

“Selain jaga pengguna, kita juga perlu menjaga peniaga kalau mereka tidak dapat teruskan operasi, mungkin kita tiada bekalan nanti.

“Kita seharusnya sensitif kepada itu dan saya guna peluang untuk merayu kepada semua pengguna untuk sama-sama memahami situasi ini.

“Bila kita sebagai pengguna nak harga murah tapi kalau di peringkat pengeluaran mereka tak dapat keluar bekalan, kita juga akan mengalami masalah,” katanya.

Jelasnya, rakyat diharapkan tidak bimbang kerana pihak kementerian akan terus menjaga kepentingan pengguna selain MAFI akan mengimport ayam bulat sejuk beku.

“Tapi buat masa sekarang ia belum masuk lagi kalau dah ada mungkin bekalan dah banyak jadi persaingan mungkin berlaku dan dengan sendirinya harga mungkin boleh turun,” katanya.

ISMAIL SABRI, SUDAH PUTUSKAH SEMUA URAT GELI DALAM DIRIMU?

 

Bagi seseorang yang normal, perasaan sensitif dan segera bertindak balas kepada apa yang berlaku di sekeliling atau kepada kejadian yang berkaitan dengan diri mereka adalah lumrah yang tidak dapat dielakkan.

Jangankan jika terdengar suara bayi menangis, terdengar anak kucing mengiau pun pasti seseorang akan menoleh sekeliling untuk mencari daripada mana datangnya suara itu.

Orang yang sensitif juga pasti akan terkejut jika dicucuk di bahagian pinggang atau digaru di bahagian tapak kakinya.

Jika manusia biasa ada perasaan sensitif sebegitu, mereka yang menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi Perdana Menteri, semestinya mempunyai rasa sensitiviti yang lebih tinggi lagi.

Bukan saja perasaan sentitif itu adalah gambaran keprihatinan dan kepedulian, ia juga merupakan suatu ciri kebertanggungjawaban.

Dalam kedudukan Ismail Sabri Yaakob, sejak beliau menjadi Perdana Menteri, terlihat begitu banyak isu-isu besar yang berlaku dalam negara ini yang membuatkan jiwa dan hati rakyat begitu resah dibuatnya.

Daripada perangai menteri-menteri yang tak berfungsi, isu penubuhan Digital Nasional Berhad yang menguruskan rangkaian 5G, banjir di Pahang yang dikaitkan dengan pembalakan di mana nama institusi Raja terkait sama dan terbaru, isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ini adalah antara isu-isu yang besar yang timbul yang membuatkan rakyat rasa tidak selesa.

Malangnya, dalam semua isu itu, langsung tidak kedengaran suara Ismail Sabri memberi reaksi atau bercakap berkenaan dengannya.

Kalau mahu diambil kira, isu Azam Baki yang sedang panas sekarang dengan namanya sebagai ketua agensi pencegah rasuah, tetapi dikaitkan memiliki saham syarikat tersenarai di BSKL, ia bukan lagi umpama cuitan di pinggang atau garuan di tapak kaki Perdana Menteri, tetapi seperti balingan bongkah batu yang tepat ke mukanya.

Dengan SPRM terletak di bawah naungan Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjayanya sendiri sedang terbelit dengan pemilikan berjuta-juta saham yang diragui, di mana Perdana Menteri nak letak mukanya?

Dan dengan Perdana Menteri masih lagi tidak bersuara yang menggambarkan beliau tidak sensitif sama sekali, inilah malang dan petaka paling besar bagi negara ini.

Apa yang berlaku itu, selain meranapkan imej agensi tersebut di mata awam, yang lebih memalukan ialah kerana Ismail Sabri sendiri gagal bersuara, bertindak atau memberi harapan atas kedudukannya sebagai sebagai ketua kerajaan.

Perdana Menteri atau ketua apa yang negara kita ada sekarang ini sebenarnya?

Yang ketara, kegagalan Ismail Sabri bersuara dalam isu Azam yang sedang hangat diperkatakan ramai ketika ini, di samping menunjukkan kegagalannya, ia turut menyerlahkan tiada langsung rasa sensitif dalam dirinya.

Berapa lama lagi beliau mahu berdiam diri dan tidak sensitif ini?

Atau sudah putuskah semua urat geli dalam dirinya?

Entah-entah kalau dicucuk pinggang dan di garu tapak kakinya pun beliau tidak terasa apa-apa. – ShahbudinHusin 08/01/2021.



Anwar Segera Turun Bantu Melaka, MANA ISMAIL SABRI? Makan Minum Semua Ta...




Dato' Seri Anwar ibrahim semalam ziarah mangsa-mangsa banjir di Melaka tadi. "Kita semua mesti main peranan membantu mereka yang terkesan. Sikap kebersamaan, kasih sayang dan keprihatinan mesti ditonjolkan." #SuaraKEADILAN #KEADILAN #AnwarIbrahim


Pembangkang sambut baik Suruhanjaya Sekuriti siasat Azam Baki


 

Pembangkang menyambut baik tindakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung pembelian saham menggunakan akaunnya, oleh adik beliau.

"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada SC atas tindakan pantas mereka memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mengemukakan bukti dan membantu siasatan lanjut.

"Kami berasa teruja apabila mengetahui tidak semua institusi berkaitan kerajaan terjejas dan akan bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Kesediaan SC menjalankan siasatan penuh menunjukkan suruhanjaya itu tidak membeli alasan lemah Azam yang mendakwa dia tidak tahu namanya digunakan oleh adiknya untuk membeli saham syarikat," kata mereka dalam kenyataan media Pakatan Harapan bersama Ahli Parlimen Pembangkang lain.

Mengambil semangat keberanian tersebut, Pembangkang menggesa SPRM juga bertindak berani menyiasat lebih lanjut dakwaan pegangan saham Azam Baki serta tidak tunduk kepada penjelasan separuh masak yang diberikan beliau.

"Penjelasan Azam Baki minggu ini adalah lemah dan dengan jelas telah melanggar seksyen 25(4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.

"Jika sabit kesalahan, Azam berdepan denda sehingga RM3 juta dan penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Azam harus segera mengambil cuti daripada jawatan berprofil tingginya bagi memudahkan siasatan lanjut dan bersikap telus mengenai perkara itu," kata mereka.

Namun, menurut Pembangkang, nasib malang pula kepada whistleblower apabila Azam bertindak 'mengejar pemberi maklumat' dengan tindakan mahkamah dan hal itu jelas satu gangguan terhadap mereka yang menyuarakan dakwaan salah lakunya.

"Oleh itu, kami menyeru pihak berkaitan termasuk SPRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah laku ini dan bersikap telus kepada orang ramai berhubung isu berkenaan.

"Jika ketua pencegah rasuah itu sendiri terlibat dengan dakwaan rasuah peringkat tertinggi, di manakah integriti dan standard institusi Malaysia?

"Kami menuntut tindakan segera mengenai perkara ini daripada semua pihak yang berkaitan termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang berdiam diri mengenai perkara ini," kata mereka lagi.

Tambah mereka, sebagai negara yang menyanjung kedaulatan undang-undang, tindakan wajar dibuat untuk memastikan semua proses undang-undang dihormati oleh semua pihak, tidak mengira peringkat dan juga memulihkan keyakinan orang ramai serta

pelabur asing terhadap ketelusan dan keadilan sistem perundangan negara.

Ahli ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan tersebut ialah: Sivarasa Rasiah - Sungai Buloh, Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir - Jerlun, Maria Chin Abdullah - Petaling Jaya, Dr. Maszlee Malik - Simpang Renggam, Teresa Kok - Seputeh, Kasthuri Patto - Batu Kawan, Hassan Abdul Karim - Pasir Gudang, Syed Ibrahim Syed Noh - Ledang, Sim Tze Tzin - Bayan Baru, Fahmi Fadzil - Lembah Pantai, Akmal Nasir- Johor Bahru, Datuk Seri Haji Salahuddin Ayub – Pulai, Amin Ahmad – Kangar, Muhamad Bakhtiar Wan Chik – Balik Pulau, Cha Kee Chin - Rasah, June Leow – Hulu Selangor, Datuk Ngeh Koo Ham – Beruas, Thomas Su Keong Siong – Kampar, Mahfuz Omar – Pokok Sena dan Mujahid Yusof Rawa – Parit Buntar


18 KAYU API BERTUKAR MENJADI TUNGGUL*



Di bawah ini disenaraikan 18 ‘kayu’ yang diapi-apikan oleh PAS untuk menyerang pentadbiran kerajaan PH dan sebahagiannya semasa era BN memerintah dahulu.


Angka 18 adalah bersempena sejumlah 18 Ahli Parlimen parti itu dan setelah lebih 18 bulan PAS menjadi sebahagian anggota pentadbiran kerajaan persekutuan. Namun tiada satu pun isu yang mereka api-apikan itu berjaya ditangani malah menjadi ‘pencacai’ pula kepada kerajaan yang gagal realisasikan perjuangan mereka!


*1. Isu judi.*


Konon semasa era PH dahulu mereka desak kerajaan supaya menghapuskan segala macam bentuk judi. Samada berlesen mahupun tidak. Konon mahu kaitkan PH dengan taukeh-taukeh judi.


Sebaliknya apa yang berlaku? Ketika era PH lah cabutan judi dikurangkan dari 22 kali kepada 8 kali sahaja setahun.


Di zaman PAS menjadi sebahagian kerajaan? Dinaikkan kembali jumlah cabutan judi kepada 22 kali setahun. Siapa yang ‘bela’ atau ‘dibela’ taukeh judi sebenarnya ni?


*2. Isu ‘Octoberfest’.* 


Isu ini sejak bulan pertama PH mentadbir Putrajaya lagi mereka dah mainkan konon kerajaan menyokong dan menggalakkan pesta arak seperti itu. Tapi setelah hampir 2 tahun PH tidak lagi menjadi kerajaan, kenapa ‘Octoberfest’ masih disambut di kedai-kedai arak?


Eh, kedai arak masih dibuka rupanya? Bahkan larangan jualan arak oleh DBKL juga boleh ditangguhkan!


*3. Isu pemandu mabuk.* 


Mereka punya apikan sentimen berkaitan isu ini seolah-olah kes pemandu mabuk itu hanya berlaku semasa era PH. Walhal kes-kes seumpamanya dah berlaku sejak zaman berzaman malah berdasarkan statistik, kadar kemalangan akibat mabuk jauh lebih tinggi berbanding ketika PH memerintah.


Lebih ironi, setelah zaman PAS bersama kerajaan hari ini, kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi pula ya? Bahkan terbaharu, seorang pemandu mabuk yang pernah didakwa atas kesalahan membunuh kerana memandu berlawanan arus sehingga mengakibatkan kematian, akhirnya hanya didenda dan diberi bon kelakuan baik?


Bayangkan jika keputusan mahkamah seperti ini dibuat semasa era PH?


*4. Isu Dong Zong.* 


Rasanya tak perlu ulas panjang bagaimana mereka apikan isu ini sehingga mendesak kerajaan agar mengharamkan Dong Zong.


Akhirnya kini? Dong Zong lebih berautoriti mengumumkan peruntukan RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina berbanding pihak kerajaan sendiri?


*5. Isu Adib.*


Sekali lagi tak perlu ulas panjang. Cukuplah dinyatakan hipokrasi mereka yang berapi-api mahu ‘pembunuh’ Adib dibunuh.


Tapi setelah PAS menjadi sebahagian kerajaan, tidak semena-mena pula semangat berapi-api penganut PAS dahulu yang terbunuh!


*6. Isu Tabung Haji.*


Semasa PH mentadbir dan melaksanakan pembaharuan dan baikpulih urustadbir Tabung Haji, merekalah antara yang pertama memfitnah konon PH menjual aset umat Islam kepada bukan Islam dan bermacam-macamlah sentimen menghasut orang Islam supaya membenci kerajaan PH. Namun apakah semua dakwaan mereka benar?


Malah Laporan Audit terbaharu sendiri mengesahkan bahawa pakej pemulihan TH yang dilakukan oleh pentadbiran semasa era PH adalah tindakan tepat!


*7. Isu BMF.*


Apa dah jadi dengan kempen yang disokong oleh PAS ini? Apakah hanya kerajaan PH dahulu yang didesak untuk menyokong kempen BMF, dan kerajaan majoriti Melayu hari ini tak perlu?


*8. Isu jawi.*


Ironi sekali dahulu PAS menuduh DAP menentang pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah sedangkan DAP sendiri adalah sebahagian daripada kerajaan yang memperkenalkan dasar baharu tersebut. Sebaliknya DAP yang dikecam hebat oleh Dong Zong dan MCA dalam isu ini!


Soalnya, apa dah berlaku dengan cadangan pembelajaran tulisan jawi yang diperkenalkan semasa era PH itu hari ini?


*9. Isu UEC.*


Ini satu lagi isu yang menyerlahkan hipokrasi PAS dan sekutunya UMNO. Konon semasa era PH dahulu, mereka menolak sepenuhnya pengiktirafan UEC, tapi mengapa sehingga kini kerajaan melalui Kementerian Pendidikan masih menerima lulusan UEC untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Perguruan?


Kenapa semasa zaman PH dahulu ditentang dalam isu sama? Malahan BN (UMNO) juga pernah jadikan pengiktirafan UEC sebagai manifesto mereka bukan?


*10. Sekolah vernakular.*


Isu ini juga antara isu yang hangat dimainkan ketika era PH oleh PAS dan sekutu-sekutu mereka. Seolah sekolah vernakular ini hanya baharu diwujudkan ketika PH memerintah. Tiba-tiba hari ini tiada lagi cakap-cakap untuk menghapuskan sekolah vernakular? Kenapa?


*11. Isu LGBT.*


Isu ini menjadi sasaran serangan PAS terhadap Dr Mujahid khususnya. Hanya kerana Menteri Agama ketika itu dilihat ‘lunak’ bertemu dengan golongan berkenaan.


Walhal berpuluh kali ditegaskan kerajaan tidak pernah mengiktiraf LGBT sebaliknya kita perlukan pendekatan lebih berhikmah menangani isu LGBT tersebut. Nah, selepas PH ditumbangkan, bukankah Menteri Agama seterusnya juga pernah bertemu dan meraikan golongan LGBT itu, sama sahaja seperti apa yang dilakukan Dr Mujahid?


*12. Isu Sajat.*


Sekali lagi isu yang menjadi sasaran serangan PAS kepada Dr Mujahid. Sajat bertelekung di Mekah pun dipersalahkannya Menteri Agama. Malah kerana isu Sajat jugalah, lidah rasmi PAS Harakah hari ini disahkan telah memfitnah Dr Mujahid!


Ternyata Harakah kaki fitnah bukan? Nah, hari ini Sajat bukan sahaja terang-terangan mencabar institusi Agama negara ini, bahkan telah mengisytihar keluar Islam secara terbuka!


Mana perginya maruah kalian?


*13. Isu kabinet kerajaan bersaiz mega.*


Isu ini PAS pernah suarakan bantahan keras terhadap kerajaan BN suatu ketika dahulu khususnya semasa pentadbiran Najib.


Apa yang mereka kata? Kabinet membazir dan tidak sensitif dengan masalah sebenar dihadapi rakyat.


Hari ini, mereka sendiri yang amalkan budaya pembaziran sama bukan? Amat jauh berbeza dengan pendekatan yang telah dilakukan ketika era pentadbiran PH. Saiz kabinet dikecilkan, dan jawatan-jawatan bertaraf menteri dimansuhkan.


Sebaliknya PH pula yang difitnah bukan-bukan!


*14. Isu pembaziran dan belanja boros kerajaan.*


Isu ini juga banyak diperjuangkan oleh PAS suatu ketika. Tiada apa yang salahnya perjuangan tersebut malah wajib disokong!


Tapi apa yang telah menjadi kesalahan hari ini? Salahnya kerana PAS hanya ‘cakap tak serupa bikin’. Malah PAS hanya menjadi ‘pencacai’ dalam kerajaan yang membazir wang rakyat membina dewan-dewan bernilai lebih RM30 juta dalam kawasan parlimen PM mereka, dan terbaharu membazir RM38.5 juta mengubahsuai rumah PM di saat negara kehilangan sumber pendapatan!


*15. Isu harga barang.*


Isu ini juga adalah isu yang amat wajar disokong walaupun PAS pernah memperjuangkannya suatu ketika dahulu. Masih ingat kata-kata Presiden parti itu yang pernah mengaitkan bahawa kenaikan harga barang adalah akibat kerajaan yang tidak melaksanakan Hukum Islam?


Hari ini, harga ayam direkod mencatat harga tertinggi dalam sejarah. Begitu juga harga minyak masak yang naik mencanak-canak baru-baru ini. Apakah kerajaan yang disokong oleh PAS hari ini juga tidak melaksanakan Hukum Islam?


*16. Isu UMNO rasuah, zalim, jual tanah Melayu, dan macam-macam lagilah.*


Ya, isu itu semua adalah isu sama yang diperjuangkan oleh parti-parti lawan lain. Cuma yang membezakan PAS dengan parti yang lain, PAS memilih untuk bersendirian.


Hatta ketika UMNO hampir tumbang dalam PRU-14 pun PAS masih ‘berlagak’ konon kuat bersendirian dan acah-acah berlawan dengan UMNO walaupun cakap-cakap bahawa PAS akan ‘bergabung’ dengan UMNO semakin kuat kedengaran.


Masih ingat ‘sumpah keramat’ Setiausaha Agung PAS sebelum PRU-14? Konon selagi PAS berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah, selagi itu PAS tidak akan bergabung dengan UMNO.


Sejurus selepas PRU, apa yang berlaku? Tak sampai beberapa bulan sahaja PAS secara rasmi bergabung dengan UMNO. Apakah PAS telah tidak lagi berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah?


Lebih ironi, konon muafakat UMNO dengan PAS adalah demi perpaduan Melayu, tapi mengapa PAS yang menjadi punca undi Melayu berpecah semasa PRU lepas?


*17. Isu UMNO khianati mandat rakyat dan merampas kerajaan Perak daripada Pakatan.*


Ya, PAS amat terkesan dengan tindakan khianat tersebut sementelah PAS adalah Menteri Besar di Perak dengan kerjasama Pakatan Rakyat.


Ironis sekali, PAS sendiri hari ini bersekongkol dengan pengkhianatan untuk merampas kerajaan daripada PH? Moga ALlah laknat para pengkhianat dan penyokong pengkhianatan.


*18. Isu RUU355.*


Akhir sekali isu ini tak perlu diulas panjang-panjang. Dah terlalu banyak ulasan dibuat. Hipokrasi dalam sebuah perjuangan terulung pernah berlaku dalam negara ini.


Setelah sekian ramai orang Islam dikafir dan dimunafikkan, baharu hari ini PAS tahu bahawa kaedah untuk meminda sesebuah Rang Undang-undang hanya perlu dibawa oleh kerajaan ke parlimen setelah dirunding dengan pihak berkepentingan, dan bukannya mengajak orang ramai berhimpun di Padang Merbok?


Cukuplah 18 isu ini sahaja saya catatkan di sini untuk mendedahkan tembelang dan hipokrasi sebuah parti yang hanya memperdagangkan nama agama demi kepentingan politik sempit mereka. Walaupun sebenarnya banyak lagi isu yang mereka pernah adu dombakan.


Bayangkan jika 18 isu ini dibawa oleh setiap seorang Ahli Parlimen mereka untuk mendesak kerajaan yang mereka sokong hari ini untuk dilaksanakan, rasanya tidak ada siapa pun yang akan persoal atau pertikaikan.


Tapi jika PAS masih nak kata mereka bukan berkuasa penuh, maka eloklah pergi menuntut ilmu dengan MCA yang hanya diwakili DUA (2) Ahli Parlimen itu. Mungkin lebih banyak mutiara hikmah yang akan PAS belajar, bukan?