ADA ISU LAIN YANG LEBIH BESAR-PELACURAN D 'NAB

Pendemo Isu kalimah Allah : “Anda Semua Bersandiwara!” - D’ NAB

Sunday, 17 January 2010 11:56 AM Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Sebuah perkumpulan anti kemungkaran yang menggelar diri mereka sebagai 'Demi Negara, Agama, Bangsa' (D'Nab) hari ini menyeru seluruh rakyat agar tidak lagi mengambil sikap membisu terhadap kemungkaran yang berleluasa di negara ini.

Pengerusi D' Nab Mohd Basir Abdullah berkata, semua pihak yang telah berdemonstrasi baru-baru ini khasnya dalam isu penyalahgunaan nama Allah, adalah pihak yang suka bersandiwara.

"Kepada semua yang telah berdemontrasi, dan yang telah membuat laporan polis, tidak lupa pula anda kepada ketua agama negara dan ketua-ketua pihak berkuasa. Jadi, tidakkah anda semua malu dan takut? Ini negara Islam. Isu kalimah Allah dipertahankan dengan bersunguh sunguh, tidak siapa boleh usik.

"Tapi, dalam isu pencemaran ke atas kalimah Allah melalui kelulusan lesen lesen judi empat nombor ekor, lesen lesen pembuatan, pengedaran dan penjualan arak dalam jumlah yang banyak, rakyat tetap berdiam diri," kata beliau dalam suatu kenyataan kepada mel-e erapakatan.com.

Seumpama tsunami arak yang telah melanda negara Islam ini, tambah beliau, itulah tandanya rakyat semua tetap membisu, pekak dan buta.

"Pelacuran sudah tumbuh seperti anai anai yang memamah tiang seri utama negara ini, iaitu Islam. Dalam hal itu juga, anda semua tetap membisu, pekak dan buta. Kepada anda semua yang telah bersandiwara, saya nasihatkan, sudahlah dan insaflah.

"Akhir sekali, jangan sampai kita semua dihukum oleh Allah, tuhan yang maha esa," kata Mohd Basir lagi.

Mana-mana pihak yang ingin berdebat dengan beliau berhubung perkara ini, bolehlah menghubunginya di talian 019-6824198.

TRAGEDI BOT KARAM

POLIS YANG MULAKAN DAHULU

Polis kasari siswa : “Mereka timbulkan kekecohan dahulu!” - Bantah

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : "Polis yang timbulkan kekecohan ke atas mahasiswa terlebih dahulu!" kata Jurucakap Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah) Mohd Ridzuan Othman ketika mengulas kejadian sebenar yang berlaku pada Jumaat lalu di depan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Putrajaya.

Kekecohan itu, tambah beliau, ditimbulkan oleh polis sendiri selepas badan penguatkuasa itu bertindak kasar menangkap pimpinan mahasiswa, Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin, ketika beliau bersama mahasiswa yang lain mengirim memorandum kepada penasihat kepada Menteri Pengajian Tinggi, Profesor Profesor Raduan Che' Rose.

Dalam suatu kenyataan yang dikirim di sini, baru-baru ini Mohd Ridzuan membangkitkan rasa kesalnya berhubung sikap polis yang tidak profesional ketika menjalankan tugas mereka.

"Jika mahasiswa dihalang sebegitu rupa, perundangan mana lagi yang boleh mahasiswa gunakan? Sedangkan, dalam perlembagaan jelas tertulis dalam Artikel 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan, mengenai hak berkumpul secara aman tanpa senjata.

"Mahasiswa sebagai aset negara diperlakukan seperti 'penjenayah tegar' walhal mereka punya hak untuk berhimpun. Apakah polis ditugaskan untuk menjaga rakyat atau menyakiti rakyat dengan tindakan kekerasan?" kata beliau.

Jumaat lalu, Bantah bersama beberapa barisan mahasiswa telah membuat rapat umum di depan pejabat KPT untuk menyerahkan memorandum bantahan ke atas sistem pelaksanaan E-Undi di seluruh kampus.

Rasional ke atas pemansuhan segera berhubung bantahan e-undi itu, tambah beliau, adalah disebabkan sistem itu dilihat sebagai tidak telus dan universiti pula didakwa tiada persediaan yang rapi dalam melaksanakannya.

"Perhimpunan itu menjadi kecoh apabila polis melakukan provokasi dengan mengarahkan semua mahasiswa yang hadir untuk bersurai. Kejadian ini berlaku selepas lima pimpinan mahasiswa berjaya menghantar memorandum tersebut.

"Bantah amat sedih dengan kejadian ini. Kami ingin sampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan agar mereka bersedia memulihkan integriti polis agar tidak dipandang serong oleh rakyat lagi," kata Mohd Ridzuan.