KEADILAN akan menganjurkan Rapat Mega KEADILAN mulai Ahad, 11
September ini sehingga ke tarikh Pilihan Raya Umum ke 15.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Pusat, Fahmi Fadzil, himpunan
tersebut akan diadakan di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Selangor dan
bertujuan untuk mengundang rakyat dari beberapa kawasan parlimen berhampiran
untuk mendengar kupasan isu semasa daripada anggota pimpinan KEADILAN yang
baharu.
"Program rapat mega ini akan menonjolkan saf kepimpinan
baharu dan saf kepimpinan utama, termasuk Datuk Seri Anwar presiden parti,
Rafizi Ramli timbalan presiden parti, naib presiden, setiausaha agung dan kita
meneruskan amalan seperti di program konvesyen pilihanraya yang baru lalu,
mengangkat suara rakyat yang kita kenal pasti dalam beberapa sektor atau bidang
yang perlu kita tonjolkan dalam isu yang dihadapi rakyat
"Rapat ini adalah siri usaha KEADILAN selepas saf kepimpinan
baharu dipilih dan dilantik untuk mengukuhkan jentera dan anggota sama ada di
peringkat pusat, Ranting, Cabang atau di peringkat akar umbi. Kita akan
saksikan siri rapat mega yang akan diadakan di negeri lain selepas ini.
"Kita mulakan di Selangor dan kita anggap ini satu usaha
untuk menggempur parlimen Gombak serta Ampang terutamanya dan beberapa parlimen
berdekatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di
Petaling Jaya.
Dianggarkan, kata Fahmi, 3,000 hadirin akan datang untuk mendengar
ceramah berkenaan dan KEADILAN menyasarkan penglibatan lebih ramai penyokong
atau golongan Atas Pagar untuk hadir.
"Dia tidak hanya mensasarkan anggota parti tetapi juga orang
ramai.
"Saya percaya dalam minggu dan bulan akan datang, beberapa
program utama akan kita saksikan," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Mobilisasi KEADILAN Pusat, Yahya Sahri
pula berkata program berkenaan akan disekalikan dengan jualan ehsan barang
keperluan harian yang disubsidikan harganya oleh kerajaan Selangor, sebagaimana
pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada malam hari Merdeka
lalu.
"Bukan sekadar ceramah, kita jemput orang ramai hadir di
Taman Melawati untuk jualan ehsan negeri Selangor sebagaimana dilancarkan oleh
MB Selangor.
"Kita mula jualan pukul 6.00 sampai malam. Kita jemput orang
ramai dari Setiawangsa, Wangsa Maju, Ampang, Pandan dan Gombak bersama kita.
"Inilah parti yang bukan sekadar bercakap tetapi berikan
tempat untuk menyelesaikan masalah (inflasi)," katanya.
Yahya dalam pada itu mengajak rakyat turun beramai ramai untuk
kembali memenuhkan program ceramah yang telah lama tidak dianjurkan sejak
pendemik Covid 19 lalu.
"Kalau dulunya tiap tiap minggu kita ada ceramah, sekarang
dah ada media sosial ceramah kurang. Jadi kita jadikan rapat mega ini sebagai
pencetus untuk mengadakan ceramah di peringkat negeri dan akan mengerakkan
ceramah di peringkat Cabang serta Ranting," katanya lagi.
Rapat Mega KEADILAN akan diadakan di tapak Bazar Ramadan Taman
Melawati, parlimen Gombak pada 11 September ini. Program bermula pada pukul
6.00 petang hingga 12 malam.
Sidang media tersebut turut dihadiri Ketua Penernagan KEADILAN
Selangor, Halimey Abu Bakar, Timbalan Ketua Penerangan Chua Wei Kiat dan
Timbalan Biro Mobilisasi David Cheong.