Najib, Hadi akan terus memimpin kerana Melayu malas berfikir
Published: 4 June 2015 10:21 PM
Datuk
Zaid Ibrahim berkata kaum Melayu mudah terpedaya dengan imej yang
dipaparkan pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul
Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Jun, 2015.
Orang
Melayu akan terus mengundi pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak dan
Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mereka malas dan tidak suka berfikir,
kata bekas menteri Umno, hari ini.
Dalam satu posting di blognya, Datuk Zaid Ibrahim berkata di bawah
pimpinan Najib dan Hadi, Malaysia akan mempunyai "imej yang baik, pandai
putar, tetapi kurang kukuh".
"Kaum Melayu menentukan siapa pemimpin Malaysia dan menurut (bekas
perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, orang Melayu malas. Saya
bersetuju dengan beliau. Melayu tidak suka untuk berfikir, itulah sebab
wujudnya pemimpin sedia ada seperti Najib dan Hadi Awang yang menarik
minat mereka," katanya.
Zaid berkata, Najib yang juga perdana menteri, sangat memahaminya dan
sebab inilah mengapa beliau tidak peduli untuk memberikan penjelasan
sebenar mengenai isu kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Beliau hanya perlu memberitahu orang Melayu jika anda tidak suka cara
saya, anda boleh pergi. Melayu gemarkan cara begitu dan sebab itulah
mereka bertahan dengannya," kata bekas menteri undang-undang itu.
Najib yang dilanda masalah menghadapi kritikan paling buruk sepanjang
kariernya, diketuai penyokong beliau yang kini menjadi pengkritiknya, Dr
Mahathir menggesa beliau meletakkan jawatan berhubung skandal 1MDB itu,
kes pembunuhan Altantuya Sharibuu dan pelbagai isu lain.
Bagaimanapun, perdana menteri enggan meletak jawatan, mendakwa beliau masih mendapat sokongan rakyat dan ahli-ahli Umno.
Hadi, yang cuba mengekalkan jawatannya sebagai presiden PAS dalam
muktamar partinya minggu ini, juga akan menang besar kerana beliaulah
menyebabkan pelaksanaan hudud dan berterusan menyerang DAP, ramal Zaid.
"Undang-undang dan perniagaan Islam mempunyai masa depan cerah di
Malaysia. Perniagaan Islam, seperti industri halal, pengumpulan zakat
dan pelaburan wakaf, akan dikorporatkan lagi. Membuat untung, bukan
kerohanian akan menjadi keutamaan kepada Jakim dan majlis agama negeri
lain. Membuat keuntungan besar merupakan suatu yang Islamik.
"Kemenangannya (Hadi) bermakna hudud akhirnya dapat dilaksanakan di negara ini," katanya.
Mempersendakan Hadi, Zaid berkata walaupun orang Melayu berfikir
tentang masalah negara, mereka hanya mahu satu penyelesaian untuk
memperbetulkan semua masalah, seperti yang dijanjikan presiden PAS
kepada mereka.
"Hadi menjanjikan itu kepada mereka. Penyokong beliau menubuhkan
institut untuk mengkaji pandangan beliau. Beliau hanya mempunyai satu
pandangan: Hudud," katanya.
"Masa depan Malaysia tidak bergantung kepada orang bukan Melayu kerana
mereka tidak mempunyai sebarang kuasa sebenar apabila tiba hal mengubah
pemimpin negara. Mereka tidak boleh berada dalam PAS atau Umno kerana
kedua-dua pihak hanya mengalu-alukan ahli Melayu, tetapi mereka tidak
mampu atau tidak boleh untuk berfikir. "
DAP baru-baru ini mengumumkan akan memutuskan hubungan dengan Hadi,
menyatakan kecenderungan beliau membuat keputusan unilateral dan
berterusan tidak hadir di mesyuarat majlis kepimpinan PR.
Hubungan PAS dalam PR tegang sejak tahun lalu selepas Hadi secara
terbuka menentang Langkah Kajang PKR dan pakatan gabungan bagi calon
menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
PAS membawa hudud di Kelantan pada awal tahun ini mengeruhkan lagi
hubungannya dengan PKR dan DAP, yang menentang pelaksanaan undang-undang
jenayah Islam itu dengan alasan ia tidak termasuk dalam polisi bersama
pakatan.
Melukiskan masa depan yang gelap bagi bukan Melayu di negara ini, Zaid
berkata mereka hanya akan menjadi pembayar cukai, menyamakan mereka
dengan golongan dhimmi yang tinggal di wilayah Islam pada zaman
khalifah.
"Orang bukan Islam boleh mengamalkan agama mereka, tetapi hanya setakat
yang dibenarkan oleh ulama Islam. Mereka boleh melupakan hak-hak mereka
di bawah Perlembagaan.
"Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi sudah mati. Masa depan akan
terus ditentukan oleh pemimpin seperti Najib dan Hadi Awang. Malaysia
akan mengimport pakar yang memberitahu cerita yang bagus, memahami
rakyat akan menerimanya bulat-bulat.
"Ahli perniagaan akan terus membeli aset kerajaan secara murah dan
kemudian menjualnya pada keuntungan yang besar. Malaysia akan terus
menjadi berita tentang perhambaan manusia dan semua keburukan yang
dibawanya," katanya.
Zaid berkata, Malaysia akan mempunyai infrastruktur terbaik tetapi akan
terus bergantung kepada pinjaman daripada orang-orang Arab dan juga
akan berada pada kedudukan tinggi dalam ranking rasuah walaupun
menganjurkan persidangan dunia mengenai akauntabiliti dalam pejabat
awam.
"Jika suatu perkara tidak berhasil, lebih banyak lagi aset kerajaan
boleh disuntik. Angka dan statistik boleh mengancam orang Melayu, jadi
seni spin akan digunakan pada masa depan Malaysia.
"Di bawah gabungan Tok Guru Hadi Awang /Najib, semakin ramai umat Islam
akan kehilangan hak-hak asasi dan kebebasan mereka, dan ramai yang akan
ke penjara kerana 'tidak Islamik'. Ada juga yang mungkin kehilangan
anggota badan mereka kerana mencuri makanan dan basikal, tetapi bukan
kerana mencuri 'unit' dan menempatkannya di Kepulauan Cayman. Inilah
masa depan Malaysia," katanya. – 4 Jun, 2015.