Pada mulanya, berikufan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor tidak muncul dalam beberapa program kempen semalam, konon dikatakan ketidakhadirannya itu kerana faktor keselamatan.
Setiausaha Politiknya, Afnan Hamidi Taib Azamudden dilaporkan berkata, Sanusi dinasihatkan tidak berada di pentas ceramah buat masa ini kerana bimbang keselamatannya.
“Pagi tadi Menteri Besar ada mesyuarat di Kuala Lumpur yang membincangkan perkara besar dan daripada itu dinasihatkan beliau untuk tidak meneruskan ceramah pada malam ini kerana dipercayai ada ‘perangkap’ yang dipasang oleh musuh.
“Perangkap itu mengkehendaki MB kita masuk ke dalam itu, dia pegang dan buat sesuatu yang tidak dijangka, waktu ini kita kena sedia dengan segala kemungkinan, saya dah sebut dah, dalam tempoh sehari dua ini kemungkinan akan berlaku sesuatu yang dahsyat,” dakwanya.
Ikut hukum akal, amat tidak logik dan sukar sebenarnya menerima kemungkinan wujudnya sesuatu ancaman keselamatan terhadap Sanusi.
Ini kerana beliau bukan pemimpin yang merbahaya, sebaliknya hanya banyak merapu dan buat lawak saja dalam ceramahnya.
Pernahkah kita dengar ada pelawak di dunia ini diancam bunuh, hendak ditangkap atau diperangkap oleh sesiapa?
Kalau mahu dikira, Anwar Ibrahim ketika kempen PRU15 lalu, jauh lebih popular dan digilai rakyat ke mana saja beliau turun berkempen.
Tetapi, pernahkah kita mendengar Anwar ada diancam keselamatannya sehingga beliau membatalkan hadir dalam program-program yang sudah ditetapkan?
Tak pernah kan??
Lagi pun, Sanusi juga sentiasa dikawal oleh pegawai pengiring daripada PDRM setiap masa, selain unit amal Pas sendiri sejak sekian lama tidak kurang hebatnya dalam memberi kawalan kepada para pemimpin-pemimpin mereka.
Jadi, di mana tidak selamatnya Sanusi?
Agaknya, lantaran sedar ancaman keselamatan itu memang tidak logik dan boleh membuatkan orang ketawa saja, Sanusi sendiri tampil meredakan keadaan.
Katanya, beliau dinasihatkan oleh Pas Kedah untuk mengurangkan aktivitinya.
“Faktor keselamatan yang dinasihatkan itu antaranya tak bawa kereta laju-laju semata-mata nak cepat sampai.
“PAS Kedah ambil langkah bagi mengurangkan aktiviti saya supaya tak terkejar-kejar ke sana sini. Macam-macam boleh terjadi dalam perjalanan,” tambah Sanusi lagi.
Pulakkk??
Namun, logikkah Sanusi diminta memgurangkan aktiviti kempennya kerana bimbang keselamatannya ketika dalam perjalanan?
Kalau benar Sanusi ada pengaruh, boleh menambah jumlah undi dan keberadaannya memungkinkan kemenangan cemerlang diperolehi, kenapa dikurangkan aktivitinya?
Bukankah sepatutnya dibanyakkan lagi aktivitinya?
Tidak sukar menjangka sebenarnya kenapa langkah itu diambil oleh Pas Kedah.
Ia tidak lain kerana Sanusi kini dirasakan sudah jadi liabiliti kepada Pas Kedah dalam usaha untuk mereka memperolehi kemenangan pada 12 Ogos nanti.
Faktor utama tentunya adalah disebabkan isu nadir bumi atau REE yang jelas memperlihatkan beliau banyak berbolak-balik, memusing-musing cakap dan tidak berkata benar berkenaan perkara itu.
Ternampak semakin ditekan dan didedahkan satu persatu fakta oleh Saifuddin Nasution Ismail berkenaan REE itu, Sanusi semakin terperangkap dan terbelit dengan kepuraan-puraannya sendiri.
Rakyat mungkin terhibur dengan lawak jenaka dan aksi merapu Sanusi, tetapi apabila berdepan fakta dan kebenaran, adalah tidak mungkin rakyat yang waras boleh menerima pembohongannya yang sebelum itu dengan selamba mengatakan beliau tidak tahu apa-apa tentang REE serta tidak kenal sama sekali dengan warga China yang dikaitkan dengannya itu.
Faktor lain ialah Sanusi hanya pandai berkempen dengan melawak dan mengata orang semata-mata, tanpa menambilkan tawaran atau apa yang hendak dilakukannya kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.
Kecenderungannya hanya menyalahkan orang lain dan kerajaan pusat.
Hello boss, sebagai menteri besar dan ada kuasa, takkan tak habis-habis letak beban kesalahan kepada orang lain belaka?
Hakikatnya, Sanusi dikurangkan aktivitinya kerana beliau kini sudah dilihat sebagai ancaman keselamatan kepada Pas dan PN sendiri dalam usaha parti itu untuk meraih kemenangan, bukan saja di Kedah tetapi juga di lima negeri yang lain.
Sikap pemimpin-pemimpin utama Pas yang berdiam diri dan tidak membantah pengurangan aktiviti Sanusi adalah bukti liabiliti beliau itu sudah tidak dapat disembunyikan lagi. – ShahbudinHusin 08/07/2023.