AMK selar Presiden PAS kerana mencerca calon PKR semasa kempen PRU13
May 24, 2013
PETALING JAYA, 24 Mei — Shamsul Iskandar Mohd Akin (
gambar)
menyelar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mencerca calon
PKR semasa tempoh berkempen Pilihan Raya 2013 lalu tanpa membawa
sebarang bukti.
Selain itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu juga menyatakan
rasa tidak berpuas hati terhadap tindakan Abdul Hadi mengeluarkan surat
watikah calon kepada calon PAS di kawasan-kawasan yang telah
dipersetujui menjadi kerusi PKR.
“Kita mencela tindakan mencerca calon parti rakan tanpa membawa
sebarang bukti,” kata Shamsul dalam ucapan dasar sempena kongres
nasional PKR ke 9 di sini hari ini.
“Mewakili saf kepimpinan AMK, rasa kesal tidak boleh kami sembunyikan
di saat masih ada pimpinan Pakatan Rakyat yang seolah-olah benak tidak
memahami tahalluf siyasi (kerjasama politik) sehingga menyaksikan masih
wujud pertembungan saat-saat akhir di beberapa kawasan seluruh
Malaysia,” tambah ahli Parlimen Bukit Katil itu.
Semasa kempen Pilihan Raya 2013, Abdul Hadi mengatakan pertindihan
kerusi diantara PAS dan PKR adalah untuk menggelakkan calon daripada
lompat parti.
Tanpa menamakan calon, menurut Abdul Hadi, PAS mengatakan terdapat
calon PKR yang merupakan pengedar dadah “pil kuda” dan berideologi
komunis.
“Nak jadi calon macam mana edar pil kuda? Orang PAS tak boleh kerja calon macam ni, terang-terang saya sebut.
“Ada calon yang menjulang gambar Lenin, gambar Stalin. Macam mana
orang PAS nak sokong? Orang PAS kerjasama dengan Keadilan … dengan DAP
je. Tak kerjasama dengan parti Lenin, parti Stalin,” kata beliau merujuk
kepada pemimpin komunis Russia, Vladimir Ilyich Lenin dan Joseph
Stalin.
Menurut Shamsul lagi, sudah tiba masanya PR menjadi sebuah gabungan
formal sepertimana gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) selain
daripada parti komponen PR memecat semua ahli yang mengkhianati arahan
semasa Pilihan Raya 2013.
“Sudah sampai masanya, bagi Pakatan Rakyat terus mengasak Pendaftar
Pertubuhan bagi meluluskan Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti dengan
fokus “Satu Parti, Satu Bendera, Satu Pengerusi, Satu Manifesto,” kata
beliau sambil disambut dengan tepukan gemuruh “AMK turut mendesak agar
semua parti komponen Pakatan Rakyat, baik KEADILAN, DAP mahupun PAS,
memecat mana-mana pimpinan atau ahli yang gagal akur serta ingkar arahan
parti, dan tidak dibenarkan kembali semula ke dalam mana-mana parti
komponen Pakatan Rakyat. Hanya pendekatan tegas sebegini sahaja yang
boleh memperkukuhkan ukhuwah Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti yang
diyakini rakyat,” katanya lagi.
Dalam Pilihan Raya 2013, Shamsul berjaya mengalahkan bekas ketua
menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam di kerusi Parlimen Bukit Katil di
Melaka.
Di dalam dewan tempat dimana kongres AMK berlangsung, kelihatan
sepanduk digantung berbunyi,” Tahniah bro Sam! From a humble leader to a
giant killer!”.