Dalam perhimpunan bulanan JPM semalam, Tun Mahathir Mohamad berkata, demi mengejar pembangunan negara, semua pihak tidak harus ada perasaan iri hati kepada golongan kaya.
Katanya, selain Malaysia mengamalkan dasar ekonomi bebas yang membenarkan sesiapa saja mengumpul kekayaan asal rajin berusaha, golongan kaya juga menyumbang kepada pembangunan negara melalui cukai yang dibayar kepada kerajaan.
“Ada daripada kita yang berasa iri hati melihat mereka begitu kaya, terutama apabila mereka menjadi kaya hasil daripada sumbangan kita.
“Tapi perasaan iri hati ini perlu dipendam, jangan dibiar untuk mempengaruhi diri kita.
“Kerana yang kaya ini diperlukan supaya mereka membayar cukai yang tinggi, kadang-kadang ratusan juta dibayar kepada kerajaan, dan wang inilah yang kita guna untuk membayar gaji kita semua dan untuk membangunkan negara.
“Kalau semua penduduk negara kita ini miskin belaka, atau tak (mempunyai) keupayaan untuk membayar cukai, dari manakah kita akan dapat dana untuk mentadbir negara?
“Ini adalah perkara yang kita harus fikir sepanjang masa,” tegas beliau.
Dalam waktu yang sama, Tun Mahathir menjelaskan bahawa kemiskinan tidak mungkin dapat diatasi dengan subsidi dan bantuan, tetapi dengan produktiviti.
“Kenapa mereka miskin? Sebabnya ialah kerana mereka tidak produktif, tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat yang mana masyarakat akan membalas dengan memberi upah dan balasan kepada mereka,” tambahnya lagi.
Dengan nada ucapan yang sedemikian rupa, untuk kesekian kalinya, Tun Mahathir terus menampakkan kecenderungannya membela golongan kaya dan memperlekeh orang miskin.
Ingatan itu boleh jadi bukan saja ditujukan kepada rakyat secara keseluruhannya, tetapi barangkali juga disasarkan kepada anggota kabinetnya.
Ia dengan maksud agar mereka sentiasa membantu orang kaya memperolehi kontrak dan perniagaan daripada kerajaan di mana mereka kemudian akan membalasnya dengan membayar cukai kepada kerajaan.
Dalam konteks yang lain, adakah maksud ingatan Tun Mahathir agar jangan iri hati dengan orang kaya itu bertujuan mewajarkan tindakannya meminta Dr. Mazlee Malik berundur di mana salah satu sebabnya yang diperbualkan ramai adalah kerana tekanan taikun kaya yang ditamatkan kontrak Bestarinet oleh Kementerian Pendidikan?
Apakah kerana golongan kaya telah membayar cukai yang banyak kepada kerajaan, bermakna kerajaan harus tunduk dan mendengar cakap mereka?
Itukah sebenarnya maksud Tun Mahathir?
Jika sebelum ini Tun Mahathir kerap melabel orang Melayu (tentunya Melayu yang miskin) sebagai malas dan kurang berdisiplin, beliau kali ini mengatakan orang miskin tidak produktif pula.
Kenapakah Tun Mahathir kerap membela orang kaya dan menyalahkan orang miskin?
Apakah orang kaya saja yang menyumbang kepada pembangunan negara, manakala orang miskin yang bekerja biasa langsung tidak memberi apa-apa sumbangan?
Jika Tun Mahathir mengatakan kalau semua penduduk negara ini miskin dan tiada keupayaan membayar cukai, daripada manakah kita akan mendapat dana untuk mentadbir negara, persoalan lain ialah kiranya tiada pekerja bawahan yang miskin, bolehkah orang kaya menjadi kaya atau mengekalkan kekayaan mereka? (ShahbudinHusin 07/01/2020)