ZAHID HAMIDI BAKAL DIPECAT 27 MAC INI?
Secara rasmi, apa yang semua orang faham, Perhimpunan Agung UMNO atau PAU pada 27 dan 28 Mac ini antara agenda utamanya adalah untuk mengesahkan ketetapan putus hubungan parti itu dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Ia berikutan majoriti UMNO bahagian-bahagian telah meluluskan usul putus hubungan itu dalam mesyuarat masing-masing sebelum ini.
Oleh kerana isu putus hubungan itu dalam bentuk usul, meskipun ia kemudian diterima dan dipersetujui oleh MT UMNO, ia perlu dibawa ke PAU untuk disahkan bagi menjadikannya suatu ketetapan yang muktamad.
Tetapi, berikutan Bersatu tidak senang dengan usul tersebut dan sedar mereka tidak mampu menang sebarang kerusi dalam PRU15 jika tanpa ada kerjasama dengan UMNO, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengubah keputusan itu.
Setelah pelbagai usaha yang ke arah itu sebelum ini tidak menemui kejayaan, langkah terakhir yang cuba dilakukan ialah melalui PAU pada hujung bulan ini.
Dengan itu, PAU kali ini secara tidak rasmi turut menjadi medan bagi puak kiri dalam UMNO yang pro Bersatu untuk mengubah ketetapan putus hubungan tersebut.
Makna kata, akan berlaku pertembungan dalam PAU kali ini antara urusan rasmi untuk mengesahkan usul putus hubungan dengan Bersatu dengan urusan tidak rasmi bagi tujuan mengubah keputusan tersebut.
Diberitakan usaha tersebut sudah dikesan sejak dua tiga minggu lalu dan didalangi oleh beberapa pemimpin UMNO sendiri yang diketahui pro kepada Bersatu dan Muhyiddin Yassin.
Ada laporan mengatakan mereka juga sudah mula bergerak ke negeri-negeri bagi mempengaruhi pewakilan agar menolak usul putus hubungan dengan Bersatu.
Alasan mereka ialah UMNO perlu terus bekerjasama dengan Bersatu dan PN dalam PRU15 bagi memastikan kemenangan lebih terjamin, selain membesar-besarkan kedudukan PN sebagai kerajaan lebih mempunyai sumber kewangan yang mantap berbanding BN yang terhad kemampuannya.
Berdasarkan gerakan yang dijalankan, termasuk mempengaruhi jurucakap negeri-negeri agar menyampaikan ucapan yang senada dengan keinginan untuk melihat UMNO dan Bersatu kekal bekerjasama, ada maklumat mengatakan ramai yang dikatakan mula terpengaruh dan condong bersetuju untuk mengubah usul putus hubungan itu.
Kiranya gerakan ini berjaya akhirnya, ia bukan saja suatu tamparan kepada masa depan UMNO dan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO, bahkan suatu kejayaan besar buat Muhyiddin dan Bersatu dalam memastikan survival politik mereka.
Lebih tersenyum lebar dengan kejayaan itu nanti tentunya adalah Kumpulan Hamzah Zainuddin dan Azmin Ali dalam Bersatu yang secara tidak langsung bermakna UMNO akhirnya terpaksa tunduk hormat serta memberi laluan kepada mereka.
Di sebalik itu, suatu gerakan tidak rasmi lain yang lebih besar dan utama, namun tidak disedari banyak pihak yang dikatakan turut dirancang dalam waktu yang sama ialah untuk menyingkirkan Ahmad Zahid Hamidi daripada kedudukannya sebagai Presiden UMNO.
Usaha menyingkirkan Ahmad Zahid ini adalah tindakan fasa kedua setelah gerakan mengubah keputusan putus hubungan dengan Bersatu berjaya dilaksanakan.
Mengikut apa yang dirancang, selepas pengundian untuk menentukan sama ada UMNO setuju atau tidak putus hubungan dengan Bersatu, sekiranya kejayaan memihak kepada kumpulan kiri yang pro Bersatu itu, satu usul tergempar lain akan dikemukakan untuk “memecat” Ahmad Zahid dengan serta-merta.
Perkiraan mudah mereka, jika usul putus hubungan dengan Bersatu yang telah diluluskan bahagian-bahagian dan MT pun berjaya diubah, maka dengan sendirinya selepas itu tindakan melucutkan jawatan Ahmad Zahid juga akan turut jadi mudah.
Dengan berjaya menyingkirkan Ahmad Zahid pada PAU hujung bulan ini, maka akan sempurnalah gerakan untuk Bersatu menguasai UMNO sepenuhnya.
Adakah Ahmad Zahid menyedari sepenuhnya gerakan ini atau beliau tetap merasakan dirinya masih popular serta beranggapan sebarang gerakan untuk mengubah ketetapan putus hubungan itu sesuatu yang mustahil dilakukan?
Ingatan buat Ahmad Zahid, kalau Ahli-Ahli Parlimen pun ada tanda harga yang boleh “dibeli”, apakah harga perwakilan UMNO begitu mahal nilainya?
(Shahbudindotcom 20/03/2021)
‘Stadium bola 8,000 orang dah boleh buka, Parlimen bila lagi?’ – Lip Eng
Pada oleh PENTADBIR
Tindakan kerajaan Muhyiddin Yassin yang terus menerus menggantung sidang Parlimen dipersoal susulan keputusan kerajaan membenarkan penonton masuk ke stadium menyaksikan perlawanan bola sepak dengan pematuhan prosuder operasi standard (SOP) yang ketat.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, jika kerajaan yakin semua penonton mampu mematuhi SOP yang ditetapkan, maka tiada alasan Parlimen tidak boleh bersidang.
“Keputusan untuk membuka semula stadium bola sepak ini dilihat sebagai keyakinan pihak kerajaan terhadap pihak berkuasa dalam memastikan orang ramai mematuhi SOP Covid-19 yang ditetapkan.
“Sekiranya itu adalah pewajaran yang diberikan oleh pihak kerajaan, keyakinan tersebut juga seharusnya wujud dalam pembukaan semula parlimen.
“Tambahan pula, SOP bagi memantau dan menjaga 222 ahli parlimen semestinya lebih mudah dan terurus daripada menjaga 8,000 orang,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri mengumumkan MKN bersetuju untuk membenarkan penyokong bola sepak pergi menonton perlawanan bola di stadium berkuat kuasa 1 April
MKN menetapkan syarat hanya 10% atau 2,000 daripada kapasiti penuh stadium dibenarkan untuk hadir menonton, bagi negeri yang berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Bagi negeri-negeri yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, hanya 25% atau 8,000 daripada kapasiti penuh stadium dibenarkan untuk hadir menonton.
Mengulas lanjut, kata Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, pelbagai langkah telah diambil bagi mengurangkan risiko pendedahan wabak Covid-19 di Parlimen.
Antara langkah pencegahan yang telah diambil adalah ujian saringan Covid-19 secara berkala untuk ahli Parlimen dan petugas di parlimen, meletakkan penghadang di sekitar kubikel speaker, pematuhan SOP yang ketat selain masa perbahasan dipendekkan.
“Tiada alasan untuk parlimen tidak dibenarkan bersidang!” tegasnya.
Malah, tambahnya, pembukaan pelbagai jenis sektor ekonomi juga membuktikan yang negara kini bukan dalam keadaan darurat.
“Sekiranya Malaysia benar-benar berada di dalam situasi yang genting dan darurat, apakah logik perlawanan bola sepak, majlis perkahwinan besar-besaran, dan majlis hiburan seperti Anugerah Juara Lagu dijalankan?
“Semestinya bilangan mereka yang hadir ke majlis-majlis seperti ini lebih ramai dari persidangan di parlimen.
“Tamatkan darurat dan benarkan parlimen bersidang!” ujarnya.
EDISI KHAS MINGGUAN 013 | GEMPAR!! KERAJAAN PH BAKAL KEMBALI BERKUASA BE...
MENARIK DALAM EDISI KHAS 013
1. AZMIN UMPAMA CACING KEPANASAN 2. KERJASAMA DENGAN UMNO, BIAR BERPRINSIP DAN BERMARUAH 3. KARTEL POLIS: HAMZAH ZAINUDDIN TIDAK TAHU APA-APA
Malaysia tidak lagi dilihat sebagai negara berkecuali, kata Mat Sabu
March 20, 2021
Malaysia kini dilihat tidak lagi bersikap berkecuali dan condong ke pihak tertentu dengan keputusan Pyongyang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan negara ini.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata sejak berdekad-dekad lamanya Malaysia dianggap sebagai negara berkecuali dan ia memberi manfaat kepada negara serta rantau Asia Tenggara.
Katanya walaupun Putrajaya mengadakan hubungan dengan Singapura, New Zealand, Australia dan United Kingdom dalam kerjasama Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), namun ia tetap tidak menjejaskan pendirian Malaysia yang turut berada dalam Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM).
“Apabila Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, ia dilihat seolah-olah Malaysia condong kepada kanan dan tidak lagi benar benar berkecuali.
“Sudah tentulah Pyongyang yang mempunyai hubungan rapat dengan China – yang menjadi gergasi ekonomi utama dunia – perlu diambil perhatian khusus oleh Malaysia supaya dasar berkecuali Malaysia itu diperkukuh dan diperteguhkan,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Semalam Korea Utara mengumumkan negara itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia susulan tindakan Putrajaya mengekstradisi seorang rakyatnya ke AS untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Kementerian Kuar Korea Utara juga mengingatkan Washington mereka akan “membayar harga” atas tindakan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita KCNA.
Pada 9 Mac lalu, mahkamah Malaysia memutuskan seorang lelaki Korea Utara, Mun Chol Myong, boleh diekstradisi ke AS untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.
Mun ditangkap pada 2019 setelah AS menuduhnya melanggar sekatan dengan membekalkan barangan terlarang ke Korea Utara serta terbabit dalam pengubahan wang haram menerusi sejumlah syarikat.
Dia membantah permohonan ekstradisi dengan alasan bahawa tindakan itu bermotif politik.
Kementerian itu menyifatkan tindakan Malaysia sebagai “jenayah tidak boleh dimaafkan” yang didakwa dilakukan kerana tekanan AS.
“Kementerian Luar Korea Utara mengumumkan hubungan diplomatik dengan Malaysia diputuskan sepenuhnya,” lapor KCNA.
Menurut Mohamad Malaysia menjalin hubungan diplomatik erat dengan Beijing pada 1975 melalui lawatan perdana menteri ketika itu, Abdul Razak Hussein.
Bekas menteri pertahanan itu menambah Malaysia tidak boleh dilihat condong kepada kuasa dunia tertentu sebaliknya mesti dilihat kekal berkecuali.
Hal itu kerana kata Mohamad sejak sekian lama Malaysia memainkan peranan yang berkesan di peringkat antarabangsa disebabkan dasar berkecuali yang dipelopori oleh Allahyarham Abdul Razak.
Dasar itu katanya diteruskan oleh perdana menteri selepas itu namun keadaan bertukar di bawah kerajaan hari ini apabila ia mula dipertikaikan.
“Semoga Malaysia kembali kepada asas asasnya sebagaimana diamalkan selama ini,” kata Mohamad.
PIDATO EZAM SEMPENA PELANCARAN GERAK98 NEGERI PAHANG MALAM INI DI D'PERIA CAFE, KG SERI CEMPAKA, JLN PANTAI SEPAT, KUANTAN
Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) yang diasaskan oleh Almarhum Us Fadzil Noor (Presiden PAS) pada tahun 1998 menggabungkan ramai tokoh pembangkang ketika itu bagi menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Pertubuhan ini lahir ketika rejim Mahathir begitu rakus melakukan kezaliman dan fitnah yang dahsyat ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim.
Menjelang PRU14, Mahathir cuba menunjukkan keinsafannya dan menyertai PH bersama partinya Bersatu. Hasil tipu dayanya, PH meyakini diktator ini telah berubah di penghujung usianya maka beliau dicalonkan untuk menjadi PM apabila PH berjaya menumbangkan kerajaan Bn pada PRU14. Kebetulan, Anwar Ibrahim ketika itu merengkok di dalam penjara maka Anwar hanya dijanjikan untuk menjadi PM apabila beliau dibebaskan.
Sepertimana yang kita ketahui, Mahathir samasekali tidak memberikan ruang buat Anwar dan banyak memutarbelitkan kenyataannya sendiri apabila ditanya waktu peralihan kuasa kepada Anwar. Dari mulut Mahathir sendiri beliau pernah berkata beliau akan menyerahkan kepada Anwar setelah dua tahun, kemudiannya berkata selepas ekonomi pulih dan kemudiannya mahu selepas APEC. Akhirnya, Anwar sendiri beralah dan memberikan masa sepenuhnya untuk Mahathir bila-bila masa untuk beliau menyerahkan jawatannya kepada Anwar.
Malang sekali, orang tua ini tidak pernah mengenang budi bahkan dengan sengaja meletakkan jawatannya tanpa disuruh, dipaksa atau ditolak melalui Parlimen. Beliau secara rahsia tanpa melalui Majlis Presiden PH yang telah mengangkatnya sebagai PM, Mahathir membuka pintu Putrajaya untuk pengkhianat masuk dan merampas mandat rakyat. Semua ini dilakukan hanya semata-mata untuk menghalang Anwar menjadi PM. Setelah jatuh dan hilang kuasa pun, Mahathir masih mahu jadi PM kali ketiga dan berjanji lagi untuk menjadi PM selama 6 bulan. Jika bukan manusia munafik, apa lagi yang mahu kita gelar kepada Mahathir ini?
Sebab itu, Gerak98 wujud dari kesinambungan GERAK yang pada asas dan prinsipnya sama iaitu menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Jika kerajaan yang mendapat mandat rakyat pun boleh berlaku kealiman dan ketidakadilan, apatah lagi kerajaan tanpa mandat rakyat. Tugas Gerak98 adalah untuk menentukan pengkhianat-pengkhianat ini dihapuskan dari mentadbir negara. Peranan Gerak98 adalah untuk mendokong agenda reformasi yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim. Musuh reformasi adalah musuh Gerak98 dan kami akan menggempurnya.
Malam ini, bertempat di Kg Seri Cempaka, Jln Pantai Sepat, Kuantan akan tercipta sejarah penubuhan Gerak98 Negeri Pahang. Jika pengasas GERAK adalah Almarhum Us Fadzil Noor, Gerak98 pula diasaskan oleh Datuk Ezam Mohd Noor. Kepada rakan-rakan yang menyokong agenda kami, ayuh bersama kita raikan majlis pelancarannya.
Aturcara program adalah seperti berikut:
08.30 mlm - Program bermula
- Bacaan doa
- Ucapan Ketua Cabang Keadilan Kuantan, Tn Hj Fakhrul Anuar Zulkawi
- Ucapan Ketua Komunikasi Gerak98, Sdr Zukri Aksah
- Ucapan Ketua Gerak98 Pahang, Wfauzdin NS
- Tayangan Montaj
- Pidato Ketua Gerak98 Nasional, Datuk Mohamad Ezam Nor seterusnya melancarkan Gerak98 Pahang.
- Montaj penutup.
10.30 Mlm - Program dijangka selesai.
Program ini diadakan dengan amat sederhana tetapi InsyaAllah, akan disiarkan secara Live di FB Gerakan Reformasi 98 - GERAK 98 .
Pesanan kepada mereka yang ingin hadir, tentukan anda sentiasa mematuhi SOP Covid, memakai mask, mendaftar di pintu masuk dan scan My Sejahtera dan mengambil suhu di tempat yang akan kami sediakan di pintu masuk. Lokasi program adalah di sini
https://goo.gl/maps/mHKf81afZymeWjNa7
WFAUZDIN NS
KALAU TAK LAWAK BUKAN HADI LA......
BOB KELANANG
Satu bab ja jelas... kalau xlawak memang bukan Hadi Bewok la...
sebab semua statement dia 'sure' lawak punya...
KOH KOH KOH… sabor je la... wartawan tanya lain... sure dia
jawab lain... terlebih mantiq katanya...
KOH KOH KOH… walhal blurr xketahuan...
KOH KOH KOH…
Citer pasai buaya la... makan umpan la... sekarang buaya dah
menyelam la...
KOH KOH KOH… ini semua lelucon...
Semenjak dua menjak ni... makin teruk penyakit yang hinggap kat
Hadi Bewok...
KOH KOH KOH…
Tapi satu la... walaupun statement yang Abdul Hadi Awang
keluarkan banyak mengarut DAN penuh hasutan... langsung xder tindakan dari
pihak Peguam Negara (AG) diambil kepadanya... Xtau la apa kebalnya... maybe
sebab ada faedah dari segi politik kepada semua pihak berkepentingan dalam
Perikatan Nasional...
Pening aaaa... bantai jer la...
KOH KOH KOH… jilaker!!
'Kerja utama kerajaan tarik pelabur, pulihkan ekonomi, bukan main politik'
Pemimpin kerajaan Perikatan Nasional sewajarnya sedar
tanggungjawab masing-masing untuk apa rakyat membayar gaji mereka.
Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya berkata, peranan utama
kerajaan bukanlah bermain politik tetapi memastikan negara menarik pelaburan
asing dan memulihkan ekonomi ketika pandemik Covid 19.
"Kerajaan dan Perdana Menteri terus bermain politik dan cuba
menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang.
"Perkara utama yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri dan
kerajaan bukanlah bermain politik tetapi berusaha untuk menarik pelaburan luar
bagi memulihkan ekonomi negara.
"Jika kerajaan tidak yakin dengan polisi yang dilakukan maka
Parlimen boleh dibuka supaya perbincangan dan semak dan imbang dapat dilakukan
secara menyeluruh.
"Apa yang berlaku semasa darurat ini, terutama usaha untuk
membeli Ahli Parlimen telah mencemar semangat demokrasi negara dan membuat
rakyat menjauhkan diri dari politik," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Karupaiya lagi, bagi beliau, keutamaan dalam politik
adalah untuk berbakti kepada penduduk Padang Serai.
Kebajikan rakyat, katanya perlu menjadi fokus nombor satu
mana-mana Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah jawatan.
"Sebagai Ahli Parlimen pembangkang saya akan terus
menyuarakan kesusahan rakyat terutama di Parlimen Padang Serai.
"Saya juga akan terus memberikan sokongan kepada Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia.
"Mesej ini kepada Kerajaan Perikatan Nasional, jika mempunyai
majoriti maka buka Parlimen supaya isu rakyat boleh dibicara oleh semua Ahli
Parlimen," katanya lagi.
Tiada peruntukan Ahli Parlimen pembangkang, bukti ugutan pemerintah - Shamsul Iskandar
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan tidak bertanggungjawabnya
telah mempropagandakan kepada rakyat bahawa tiada ugutan dilakukan terhadap
Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berkhianat baru-baru ini.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul
Iskandar Mohd Akin membawakan testimoni mudah ciri-ciri awal ugutan yang
dilakukan oleh pemerintah sehingga berlaku insiden melompat parti.
Katanya, mulai 1 Januari 2021 Ahli Parlimen pembangkang dinafikan
sebarang peruntukan kawasan. Hal itu menurut Shamsul adalah satu bentuk ugutan
yang nyata kerana sebagai ahli politik yang menjadi tempat bergantung rakyat,
mereka sangat tertekan mencari dana bagi membantu pengundi di kawasan
masing-masing.
"Dalam hal ini kita nyatakan dengan jujur ada rekayasa
politik untuk mengugut dan memberikan umpan. Contoh yang paling mudah,
peruntukan RM100,000 (bagi setiap kawasan Parlimen).
"Oklah kerajaan Pakatan Harapan silap kerana tak buat dasar
sama (beri peruntukan sama banyak kepada pembangkang). Tetapi sekarang kerajaan
baru perlu buat dasar baru yang boleh menarik sokongan kepada Muhyiddin (secara
semulajadi).
"(Biarkan) mereka (Ahli Parlimen) dapat RM100,000 termasuk
presiden Umno, itu apa (henti peruntukan) kalau bukan ugutan?
"Sepatutnya semua Ahli Parlimen yang dipilih tidak ada isu
mengenai peruntukan," katanya dalam forum anjuran stesen penyiar Astro,
"Dialog Konsensus Nasional", malam tadi.
Mengenai soalan sama ada wujud atau tidak rundingan di antara
KEADILAN dan Umno, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu meminta media berhati-hati
menggunakan istilah rundingan kerana rakyat menganggap telah berlaku sesuatu
yang serius dan akan disudahi dengan ketetapan kerjasama.
Sedangkan, kata Shamsul, perbincangan yang dibuat masih di
peringkat awal dan tidak menatijahkan sebarang keputusan.
"Ini istilah bahasa. Kadang kala rundingan itu dianggap
sesuatu yang serius. Tetapi kalau kita bincang ada dialog, diskusi (lebih
ringan) jadi istilah itu harus cermat kita guna.
"Jadi dalam konteks ini Datuk Seri Anwar sebut beberapa kali
kepada wartawan, apa salahnya kita berbincang dengan tema-tema yang jelas.
Misalnya tatakelola, bidang kehakiman, ekonomi dan hal-hal berkaitan masa
hadapan Malaysia. Dalam keadaan sekarang kita perlukan kerajaan yang kuat dan stabil.
"Dalam kerangka ini kita meneroka keadaan yang ada,
berbincang dengan beberapa pimpinan Umno.
Kakitangan pejabat Kedutaan Korea Utara mula mengosongkan bangunan-video inside
Ridauddin Daud
Mac 19, 2021
Petugas media tempatan dan asing juga kelihatan sudah mula berkumpul di hadapan bangunan itu sejak jam 7.30 pagi tadi. -Astro AWANI
PETALING JAYA: Tidak beroperasi pada Sabtu dan Ahad, namun Pejabat Kedutaan Korea Utara di sini hari ini kelihatan sibuk sejak awal pagi tadi.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, seawal jam 8.15 pagi, kakitangan diplomatik sudah mula memasuki bangunan yang terletak Jalan Batai itu.
Petugas media tempatan dan asing juga kelihatan sudah mula berkumpul di hadapan bangunan itu sejak jam 7.30 pagi tadi.
Kira-kira jam 10.20 pagi tadi, beberapa petugas kesihatan dari pusat perubatan swasta juga hadir ke pejabat berkenaan.
Mereka membawa beberapa kelengkapan, dipercayai untuk melakukan ujian saringan COVID-19 kepada semua kakitangan sebelum mereka pulang ke Pyongyang.
Tidak banyak pergerakan dilihat sejak dari pagi tadi memandangkan hanya pintu pagar dibuka dan pintu pejabat ditutup hampir setiap masa.
Korea Utara pada Jumaat telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas seorang rakyatnya yang menetap di sini, bakal diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram.
Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan agensi berita negara itu KCNA berkata, Malaysia telah melakukan ‘jenayah yang tidak boleh dimaafkan’, dan ‘menghantar rakyatnya yang tak bersalah ke AS dengan cara paksaan.
PPBM nafi terima komisen RM500 juta Goldman Sachs
PETALING JAYA: PPBM menolak tuduhan konon parti itu menerima komisen RM500 juta untuk membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.
Ketua Penerangan PPBM Wan Saiful Wan Jan berkata, tuduhan yang tular di media sosial itu adalah fitnah untuk memburukkan parti berkenaan dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Terkini timbul tohmahan mengaitkan PPBM melantik ejen untuk ambil komisen daripada penyelesaian kerajaan dalam kes 1MDB. Ada juga tuduhan bahawa kerajaan tidak telus dalam menangani kes 1MDB dan Goldman Sachs.
“Saya adalah ahli Biro Politik PPBM dan juga ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan PPBM. Saya tahu semua ini tidak berlaku. Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini. Tidak ada ejen yang dilantik. Tidak ada komisen diterima. Ini bukan budaya kami dalam PPBM,” katanya dalam kenyataan.
Wan Saiful berkata, parti itu tidak terlibat dengan perbuatan kotor kerana sudah menjadi asas PPBM ditubuhkan antaranya memperjuangkan integriti dan tadbir urus yang telus.
“Komitmen kami ialah memastikan kes 1MDB diselesaikan segera, semua yang bersalah menerima keadilan dan dana negara yang dirompak dikembalikan untuk manfaat rakyat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan bersabit tuduhan itu dibuat wakil rakyat Pejuang dan DAP sama ada wujud strategi gelap secara bersama antara dua parti itu.
Terdahulu, pejabat seorang ADUN Selangor membuat laporan menggesa polis menyiasat dakwaan RM500 juta dibayar kepada sebuah parti politik melalui seorang peguam berprofil tinggi bagi membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.
ADUN Kuang Sallehudin Amiruddin berkata, ia tular di media sosial minggu lalu mendakwa wang berkenaan akan digunakan untuk pilihan raya umum ke-15, dan beliau mahu pihak berkuasa menyiasat kesahihannya sama ada wang itu sudah dibayar.
Julai lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, Goldman Sachs akan membayar wang tunai USD2.5 bilion dan memberi jaminan pemulangan sekurang-kurangnya USD1.4 bilion yang dirampas kerajaan Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada dana yang diseleweng daripada 1MDB.
Pembangkang sebelum ini mengkritik jumlah penyelesaian itu, dengan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah menuntut USD7.5 bilion daripada Goldman Sachs.
Polis panggil Najib langgar SOP di restoran
Bernama
-
KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan bekas perdana menteri Najib Razak susulan tular video yang memaparkan beliau tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata Najib didapati melanggar SOP di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dengan tidak menjalankan imbasan suhu dan tidak mendaftar MySejahtera di restoran itu.
“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.
“Pihak polis akan memanggil kesemua yang terlibat dalam kes ini untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Zainal berkata, kertas siasatan kemudian akan diserah kepada pejabat pendakwa raya sejurus siasatan selesai dijalankan.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 39 saat memaparkan Najib bersama beberapa individu hadir di sebuah restoran untuk makan tanpa membuat imbasan suhu dan mendaftar MySejahtera yang diperlukan.
TAK NAK KERJA DENGAN PELACUR
Ibrahim Mat Isa
Orang yang kononnya menyeru kepada perpaduan ummah, melontarkan rahsia hatinya yang semua orang sudah tahu tidak pernah jujur dalam mengikat perjanjian.
PEMANGSA UMNO, PKR SAMA – FAHMI
Pemangsa Umno, PKR sama – Fahmi
Realiti politik lompat parti sejak 3 tahun lalu memperlihatkan KEADILAN dan Umno mempunyai pemangsa yang sama, iaitu Bersatu.
Hal ini ditegaskan oleh Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil dalam siaran langsung Facebook bertajuk: “PH, Umno: Bersediakah ke Medan Juang”, malam tadi.
Menurut Fahmi, senarai pelompat tersebut jika diteliti adalah dari kalangan pemimpin-pemimpin KEADILAN yang pernah dilantik menjadi menteri kabinet oleh Tun Mahathir Mohamad dan boleh diramal ke arah manakah sokongan mereka di kemudian hari.
“Saya lihat fenomena lompat melompat ini ada beberapa jenis lompatan berbeza. Seperti pernah disebut Datuk Seri Saifuddin Nasution ada disebut lompat katak, ada disebut lompat kijang. Lompat katak hodoh, dia terkangkang akhirnya kena panggang. Lompat kijang ini cantik dan lompatannya tepat.
“Tetapi yang jelas dalam hal ini, apa yang berlaku kepada KEADILAN sama seperti terjadi kepada Umno sebelum ini. Kalau kita tengok lepas Pilihan Raya Umum 14 berlaku satu gerakan yang cuba memecahbelahkan Umno. Kita nak cakap sebenarnya parti mana yang lakukan, bukan KEADILAN masuk Umno atau sebaliknya, tetapi yang menyerang dua-dua parti ini, yang merosakkan imej demokrasi negara kita, yang mengusahakan tindakan lompat-melompat ini adalah Bersatu.
“Jadi nasib Umno dan KEADILAN dari segi itu sama. Kalau kita lihat senarai menteri dari KEADILAN yang dipilih zaman Mahathir dahulu bukan dari senarai parti. Siapa yang dipilih (kartel), hampir semua itu kini melompat. Semua itu telah dididik dan diasuh menjadi katak-katak,” katanya.
Menurut Fahmi lagi, lompat parti bukan sahaja tidak sihat dalam amalan demokrasi tetapi menyebabkan rakyat meluat terhadap politik dan memandang serong kepada ahli-ahli politik yang jujur dan setia berkhidmat.
Katanya, ahli politik perlu didik agar tidak melompat dan pertentangan politik hanya sekadar ideologi perjuangan dan tidak boleh dipaksakan kepada pihak lain.
“Apa yang berlaku kepada Umno, sama kita dengar. Mereka yang melompat ke dalam Bersatu ada yang jadi menteri, ada terkait dengan kes 1MDB dan NFA (tidak diambil tindakan lanjut), itu yang berlaku.
“Bagi saya tindakan yang membolehkan lompat-melompat ini merosakkan demokrasi di mata rakyat. Memperkotak-katikkan demokrasi dan peri pentingnya undi dan suara rakyat.
“Sampai rakyat jadi meluat, mereka kata buat apa pergi mengundi, beratur panjang, balik kampung sudahnya orang yang dipilih jadi seperti itu.
“Jadi kita perlu hentikan. Banyak kawan-kawan dalam Pakatan Harapan yang tidak setuju Ahli Parlimen Umno masuk Bersatu ketika PH memerintah.
“Bagi kami biarlah berbeza pandangan, jadi lawan politik tetapi jangan ditekan, diasuh untuk melompat. Biar perbezaan itu setakat itu, dan kalau nak bertanding kita bertanding PRU,” katanya lagi.
Subscribe to:
Posts (Atom)