BERSAMA PIMPINAN BA DI DATARAN MERDEKA.


AYUH RAKYAT MARHAEN


AYUH KITA BERHIMPUN SECARA AMAN


AYUH AYAH , IBU,KAKAK,ABANG,ADIK,MAHASISWA,PEKERJA BIASA,PEGAWAI BESAR……..????????????????,PEGAWAI KECIL


AYUH …..AYUH………AYUH…………….


KITA BUKAN MENDERHAKA……KEPADA SERI PADUKA


KITA TUNTUT HAK KITA……………


JIKA DI BURMA


PARA SAMI MENGANJURKAN DEMONTRASI…….


JIKA DI BURMA…….RAKYATNYA BERANI……..


KITA JUGA BISA MELAKSANAKANNYA DEMI SEMUA…..


AYUH ANAK MAHASISWA


AYUH ANAK-ANAK MUDA


AYUH IBU-IBU, BAPA-BAPA


AYUH SEMUA LAPISAN PEKERJA………


BUKTIKAN KITA ADALAH RAKYAT YANG MERDEKA.

Agenda Ekonomi Malaysia:
Gagasan Pembangunan
Oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim



Di saat Malaysia menyambut 50 tahun kewujudannya sebagai sebuah negara merdeka kita perlu berdepan dengan persoalan yang paling getir. Mengapakah pada tahun yang penuh dengan acara sambutan gemilang, Malaysia sebenarnya telah menjadi sebuah negara Asia kelas ketiga? Beranikah kita berdepan dengan hakikat tersebut?


Kita terlalu diajak supaya asyik berpesta, terutama di kalangan generasi muda. Wacana bebas dihalang dan media dikongkong oleh golongan kaya yang menjaga kepentingan kelompok kecil penguasa. Malah iklim dan persekitaran bebas yang seharusnya tercerna dari ikrar keramat kemerdekaan diganti dengan puluhan undang -undang yang mengikat rakyat, mahasiswa dan pekerja, meneruskan strategi nakal penjajah membendung kebebasan dan kegiatan rakyat.


Justeru itu, sempena ulang tahun hari keramat negara merdeka kita sewajarnya merenungkan dengan akal fikiran terbuka sejajar dengan semangat bangsa merdeka dan bermaruah. inilah juga menjadi intipati Pemasyhuran Kemerdekaan 31 Ogos 1957dan paksi gagasan negara Malaysia 1963- mencipta negara liberal dan demokratik; menjunjung perlembagaan dan keluhuran undang-undang; menjamin kebebasan dan keadilan untuk rakyat.

Dasar utama yang diikrarkan dalam Permasyhuran Kemerdekaan tersebut adalah:

Menjamin hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat;
•Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen:
• Negara yang Merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa:


PRESTASI EKONOMI MALAYSIA


Ketika ini pendapatan per kapita rakyat Malaysia ialah AS $6,244 (RM21,500) setahun, satu prestasi membanggakan berbanding kebanyakan negara membangun. Tetapi pada waktu yang sama, pendapatan per kapita rakyat Singapura adalah AS$30,810 (RM106,000) lima kali ganda daripada pendapatan rakyat Malaysia. Pada akhir tahun1970-an pendapatan rakyat kedua-dua negara adalah lebih kurang sama. Mengapakah jurang tersebut begitu lebar? Ada yang akan mejawab hambar bahawa kita tidak boleh membandingkan Malaysia dengan Singapura kerana republik tersebut hanya sebuah pulau kecil yang penduduknya hanya 4 juta. Jika begitu mari kita bandingkan pendapatan rakyat Malaysia hari ini dengan pendapatan rakyat Korea Selatan dan Taiwan. Penduduk Korea Selatan sekarang adalah 48 juta dan Taiwan pula adalah 23 juta.

Pada tahun 1970-an rakyat kedua-dua negara adalah lebih miskin daripada rakyat Malaysia. Tetapi pada hari ini pendapatan rakyat Korea Selatan adalah AS$19,200 (RM66,000) dan Taiwan pula adalah AS$15,271 (RM52,700), iaitu dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan rakyat Malaysia. Ini berbeza dengan kecenderungan pemimpin negara membandingkan kehebatan negara dengan negara paling daif di Afrika atau negara-negara yang terus dilanda keganasan atau peperangan.

Apakah mungkin diengkari kenyataan bahawa rakyat Singapura adalah 500% lebih kaya dari rakyat Malaysia, dan rakyat Korea Selatan dan Taiwan adalah 300% lebih kaya dari rakyat Malaysia? Apakah tidak mengaibkan kita dari negara yang mencatat keuntungan hasil minyak melimpah sebanyak RM 70 bilion setahun, tewas teruk dengan negara-negara yang ketandusan sumber asli? Malah lebih parah lagi manakala diselidiki kesan kepada rakyat terbanyak, dari segi kenaikan harga minyak, kos barang yang meningkat, mutu pendidikan dan kesihatan yang kurang memuaskan, masalah perumahan rakyat, jurang kaya miskin yang kian melebar, serta keperitan hidup masyarakat miskin bandar, desa di Semenanjung dan kawasan pendalaman di Sabah dan Sarawak


Inilah kenyataan pahit yang perlu kita terima tatkala merayakan 50 tahun kemerdekaan. Jepun berada di kelas pertama; Singapura, Korea Selatan dan Taiwan di kelas kedua; dan Malaysia bersama yang lain di kelas ketiga. Sekiranya aliran ini tidak disekat dan diterbalikkan, jarak ekonomi antara Malaysia dengan negara-negara Singapura, Korea Selatan dan Taiwan akan semakin lebar. Bahkan di rantau Asia sendiri China muncul sebagai naga ekonomi baru; dan India juga bergerak kencang terutama dalam bidang teknologi maklumat. Keyakinan pelabur berserta pengurusan ekonomi dan perencanaan bijak mampu mencipta kejayaan; umpamanya prasarana sederhana di Bangalore dan Chennai telah memperoleh pengisian melalui pelaburan besar menjangkau angka puluhan bilion ringgit. Mereka telah jauh meninggalkan Cyberjaya dengan prasarana megah dengan kos berbilion ringgit yang dibina oleh para kroni tetapi tidak bermaya malah malap dari segi pelaburan. Vietnam kini bergulir sebagai kekuatan ekonomi baru memperhebat daya saing mereka.


Persoalannya sekarang adalah apa yang perlu kita lakukan untuk merobah aliran sedemikian? Ini adalah satu tuntutan patriotik setiap rakyat prihatin. Kelembaban ekonomi, dengan dasar ekonomi yang terus tertumpu kepada beberapa projek mega di utara dan selatan dikhuatiri akan memenuhi tembolok kelompok kecil keluarga dan kroni penguasa tidak akan menjamin kesejahteraan rakyat. Jika negara terus dibiarkan lemah dan ekonomi laih dan lesu mutu hidup rakyat juga akan terjejas.


DASAR EKONOMI BARU: SATU PENILAIAN

Sejak lebih tiga dekad yang lalu ekonomi Malaysia bergerak di atas landasan Dasar Ekonomi Baru (DEB), satu dasar yang bertujuan untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum dan pengagihan kekayaan negara secara seimbang antara kaum. Justeru kerana DEB menekankan keadilan sosial tatkala ianya digubal maka saya, ketika itu seorang mahasiswa dan saya yakin majoriti rakyat, mendukung pelaksanaannya. Masyarakat Bumiputera ketika itu gelisah kerana keselesaan hidup yang dijanjikan tatkala negara mencapai kemerdekaan kekal sebagai slogan. Penyertaan mereka dalam sektor industri dan perdagangan amat kecil sekali. Ini dirumitkan dengan kekurangan jumlah mereka dalam bidang profesional. Maka tindakan tegas pemerintah untuk melaksanakan dasar serampang dua mata: membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat dilihat sebagai langkah positif.

Kita tidak menafikan kenyataan bahawa DEB telah menghasilkan mobility sosial untuk kaum Bumiputera. Paling jelas kesannya adalah dalam bidang pendidikan, termasuk dalam bidang matematik dan sains melalui pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar miskin dan dari luar bandar.

Pelaburan pendidikan tinggi untuk Bumiputera di bawah DEB, termasuk dengan penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara, dari awal 70-an, 80-an dan 90-an bagi pelajar-pelajar Bumiputera yang cemerlang telah berjaya melahirkan golongan profesional dan berketerampilan dalam pelbagai bidang.



Walau bagaimanapun, setelah sekian lama matlamat asal DEB untuk mencapai keadilan sosial dan memupuk semula perpaduan nasional dikaburi. Dasar itu disalahgunakan untuk memuaskan nafsu segelintir pemimpin-pemimpin UMNO, keluarga, kroni dan rakan-rakan mereka di kalangan pimpinan MCA dan MIC untuk membolot saham, kontrak dan program penswastaan. Dasar ini juga telah membuka ruang yang lebih luas kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa. Prosedur tender, penilaian terbuka dan telus dalam soal penswastaan, pengagihan saham diketepikan atas alasan melaksanakan DEB untuk kepentingan Bumiputera. Walhal jika disenarai jumlah peruntukan dan keuntungan yang diraih oleh kelompok penguasa UMNO, biasiswa sepuluh ribu ringgit seorang berbanding puluhan bilion ringgit pengagihan saham, permit import AP, puluhan bilion kontrak bagi satu syarikat keluarga, berbilion ringgit keuntungan oleh syarikat penswastaan ternyata dasar tersebut lebih merupakan kesempatan kelompok kecil mengaut dan menggondol kekayaan yang banyak atas nama Bumiputera. Kaedah pembahagian tidak telus dan berlegar di kalangan kelompok tertentu.

Akibatnya ialah bebanan rakyat semua kaum termasuk bumiputera. Rakyat terpaksa membayar harga tinggi kerana kos elektrik, air dan tol jalan yang meningkat.Sebaik bantahan dibangkitkan, keputusan pimpinan kerajaan pasti memihak kepada syarikat besar yang mewakili kepentingan mereka. Yang dikira keterlaluan adalah manakala anak menteri dan jutawan turut mendapat biasiswa sementara anak guru dan petani diberi pinjaman. Pangsapuri mewah memberikan potongan 7 peratus buat jutawan Bumiputera manakala ratusan ribu penghuni setinggan dari keluarga berpendapatan rendah masih menunggu terbinanya rumah kos rendah. Sikap gelojoh ini dikira keterlaluan sehingga peluang kecil seperti permit teksi, kontrak kecil dan agensi pekerja asing pun direbut oleh keluarga pemimpin UMNO yang kaya.

Salah satu bukti bahawa UMNO telah lupa sama sekali dengan wawasan DEB untuk mencapai keadilan sosial adalah bagaimana mereka tidak prihatin sama sekali dengan jurang pendapatan dan kehidupan yang semakin melebar antara golongan kaya dengan golongan bawahan yang kurang bernasib baik. Pada tahun 2005, Malaysia mencatat kesenjangan paling ketara di Asia Tenggara, malah di belakang Indonesia dan Thailand. Mengikut ukuran nisbah Gini (Gini coefficient), ukuran yang digunakan untuk mengukur ketidaksamaan pendapatan, Malaysia berada pada 0.47.

Menurut Bank Dunia, jurang pendapatan individu yang lebih dahsyat di Malaysia adalah kedua paling teruk di antara negara-negara Asia yang mempunyai data untuk kajian. Hanya Papua New Guinea lebih corot daripada Malaysia. Malah, dari 127 negara yang diberikan data, Malaysia berada di nombor 101 daripada segi nisbah Gini. Selain daripada Papua New Guinea, negara-negara yang mempunyai jurang individu yang lebih dahsyat daripada Malaysia terletak di Amerika Selatan dan Tengah - rantau yang sememangnya mempunyai jurang ekonomi yang besar - dan negara-negara Afrika seperti Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Ini suatu kenyataan yang amat mengejutkan dan tidak pernah dipapar di media Malaysia. Ini justeru kerana negara-negara yang mencapai tahap pembangunan manusia yang tinggi biasanya memiliki jurang ekonomi yang lebih kecil. Malaysia bukan lagi ekonomi yang baru atau negara dunia ketiga dari segi pembangunan. Di dalam laporan Pembangunan Manusia Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Malaysia tersenarai di nombor 59 dari 177 negara. Di Asia hanya Jepun, Korea Selatan dan Singapura yang tersenarai di tempat yang lebih tinggi. Malah dengan mata indeks pembangunan manusia sebanyak 0.793, Malaysia sudah teramat hampir dengan 0.800 mata untuk dikategorikan sebagai negara maju. Malangnya Malaysia terangkul di antara negara dengan pembangunan manusia yang tinggi tetapi ketidaksamaan ekonomi terus membesar.

Perbezaan kawasan bandar dan desa juga amat ketara, yang tidak diselesaikan oleh tindakan afirmatif DEB. Pada tahun1999, pendapatan isirumah luar bandar hanya 55% daripada pendapatan isirumah di bandar, dan kebanyakan keluarga miskin di luar bandar terletak di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak yang majoriti besarnya terdiri daripada masyarakat Bumiputera.

Kita tidak menyangkal kenyataan bahawa terdapat kemajuan daripada sudut prasarana luar bandar, pendidikan dan kesihatan yang lebih menyeluruh berbanding dengan keadaan pada awal tahun 50-an. Namun sekali lagi kejayaan tersebut tidak harus dibandingkan nisbah dengan negara-negara mundur Afrika.

Sementara masyarakat Bumiputera dibelai dengan propaganda dasar yang akan menyelamatkan mereka, tidak terdapat wacana terbuka mengenai kesan atau relevannya dasar tersebut setelah lebih 3 dekad. Apakah mungkin dihimbau dasar yang lebih menguntungkan Bumiputera dan rakyat keseluruhannya? Pokoknya dasar serta kebijakan ekonomi harus adil dan menjurus kepada keselesaan rakyat.

Apa yang dimusykilkan ialah kerana sementara masyarakat Bumiputera terus menggantungkan harapan kepada satu dasar yang dianggap penyelamat, berpuluh bilion ringgit dirompak di hadapan mata. Masyarakat bukan Bumiputera di sebaliknya resah gelisah kerana menganggap mereka didiskriminasikan.

Mereka gusar merenungkan anak pintar dinafikan peluang pendidikan di universiti tempatan, kontrak dikaut oleh kelompok kecil dan pemacuan ekonomi keseluruhannya agak lembab. Dan amat malang sekali setelah setengah abad merdeka, rakyat masih tidak didedahkan dengan fakta dan wacana mauduk dasar ekonomi seperti ini terus dianggap sensitif.

Teguran membina bagi memperbaiki taraf hidup masyarakat Melayu dan Bumiputera dengan melakukan anjakan, melihat cabaran semasa dan memperkenalkan agenda ekonomi yang mampu memacu pertumbuhan dan membela nasib rakyat akan diselar keras, dan dianggap sebagai pengkhianatan kepada masyarakat Bumiputera.

Mereka sanggup menggunakan media yang mereka kuasai untuk terus memfitnah dan meniup api perkauman. Walhal, secara sedar atau tidak, jaguh nasionalis baru ini melalui jentera kerajaan seperti Biro Tata Negara telah diperalatkan untuk mempertahankan kepentingan kelompok kecil pemimpin UMNO yang kaya raya, membicara soal 'survival' Melayu tetapi meminggirkan malah memperbodohkan majoriti umat Melayu dan rakyat Malaysia.

KELEMAHAN PENGURUSAN DAN RASUAH

Pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi telah mendapat mandat pada pilihan raya lalu di atas janji ketelusan dan kebertanggungjawaban. Namun begitu janji tersebut tidak bermakna tanpa sebarang tindakan.

Dasar-dasar negara harus disesuaikan dengan keadaan semasa dan tuntutan zaman. Malangnya kita meneruskan dasar tutup pintu yang memandang ke belakang serta mempertahankan budaya lama yang tidak menekankan kecemerlangan dan keterbukaan. Sistem tender yang kononnya berasaskan tindakan afirmatif dan bukannya kebolehan melahirkan suasana tidak berdaya saing untuk perniagaan dan membuka ruang kepada rasuah yang kini berleluasa di setiap peringkat masyarakat serta penggondolan kekayaan di kelompok kecil.

Nyata sekali rasuah di Malaysia telah menjadi lebih parah lagi sekarang. Malaysia telah jatuh lima tangga kepada tempat ke 44 antara 163 negara di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2006, dengan memperolehi lima dari 10 mata berbanding 5.1 mata tahun sebelumnya.10 mata menggambarkan ekonomi yang bersih dan satu mata merujuk negara yang sangat rasuah. Malaysia tersenarai di nombor 10 dari 25 ekonomi di rantau Asia Pasifik. Singapura, Hong Kong dan Jepun mendahului senarai Asia Pasifik sebagai negara paling rendah kadar rasuah sementara Myanmar berada di tempat paling corot. Malaysia masih lagi di hadapan China, India, Indonesia, Thailand dan Pakistan.

Namun demikian negara-negara tersebut telah mengambil beberapa langkah tegas menangani barah rasuah. Mahkamah di Beijing menjatuhkan hukuman mati terhadap pegawai tinggi yang didapati menerima rasuah besar sehingga menjejaskan keselamatan awam. Agensi anti rasuah India, Indonesia dan Thailand diperkukuh. Pendakwaan terhadap tokoh politik dan pegawai atasan mereka yang rasuah lebih berkesan lagi.Sebaliknya di Malaysia, semua kes yang melibatkan pembesar segera dipadamkan. Sekiranya didakwa sekalipun, ia sekadar mematuhi prosedur untuk dilepaskan kemudian! Beberapa kes penyiasatan dan pendakwaan yang melibatkan pembesar tidak lebih dari sandiwara yang pasti berakhir dengan kemenangan bagi pembesar atau saudagar kaya.

Meskipun wujud beberapa kelemahan di dalam kaedah kajian tersebut, misalnya mendapatkan markah Indeks Persepsi Rasuah Malaysia dari indikator rasuah sembilan badan; secara umumnya kita boleh menganggap markah tersebut menepati. Langkah-langkah yang diuaruarkan kerajaan untuk menentang rasuah, termasuk menubuhkan Institut Integriti Malaysia, Akademi BPR dan Pelan Integriti Nasional tidak menampakkan kesan kerana pimpinan tertinggi negara turut terpalit dengan tuduhan rasuah. Bagi mereka, pengambilan saham, pemberian kontrak dan komisen pembelian senjata yang berjumlah ratusan juta ringgit kepada keluarga dan kroni bukannya rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Untuk meningkatkan keyakinan pelabur, kita seharusnya memperbaiki persepsi mereka misalnya dengan menjadikan BPR lebih bebas dan berkesan.

Persepsi menggambarkan realiti, dan imej Malaysia yang rasuah diperkuatkan di dalam kaji selidik tahunan 1,476 ahli perniagaan di 13 negara di seluruh rantau Asia Pasifik oleh Political and Economic Risk Consultancy (PERC) yang beribu pejabat di Hong Kong. Malaysia tersenarai di nombor tujuh dengan markah 6.25, dengan 10 untuk paling teruk dan kosong paling baik, lebih teruk dari 2006 apabila Malaysia mendapat 6.13 mata

Malangnya kita memilih melaksanakan dasar-dasar tertutup dan jumud yang telah merugikan negara kita. Pada tahun 1997, sejurus sebelum krisis, Bursa Malaysia tersenarai sebagai yang tertinggi di Asia Tenggara dan nombor 15 di dunia. Tetapi pada tahun 2003, pasaran saham kita lebih rendah dari Singapura dan Thailand, berasaskan data Persekutuan Bursa Saham Sedunia. Kita juga kehilangan daya saing, khususnya dari segi menarik pelaburan asing.

Pelaburan asing di Malaysia merudum ke RM14.69 bilion tahun lepas dari RM17.09 bilion pada tahun 2004, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB di dalam Laporan Pelaburan Dunia 2006.

Malaysia tersenarai hanya di nombor 6 dari sepuluh negara Asia Tenggara di dalam menarik pelaburan asing tahun lepas, berbanding beberapa tahun lalu di mana kita berada di tempat kedua. Secara keseluruhannya, pelaburan asing ke Asia Selatan, Timur dan Tenggara melonjak ke RM610.5 bilion tahun lepas, meningkat 19% dari 2004. China, Hong Kong dan Singapura merupakan penerima terbesar pelaburan asing pada 2005. Sekali lagi,kita ketinggalan berbanding Indonesia di dalam pelaburan asing buat pertama kali sejak 1990. Aliran wang masuk ke Indonesia meningkat sebanyak 177% ke RM19.46 bilion tahun lepas.

Antara sebab kemerosotan pelaburan asing ialah hakikat bahawa negara lain semakin telus dan menawarkan kesenangan berniaga. Misalnya, ia memerlukan 450 hari dan 31 prosedur untuk menguatkuasakan kontrak di Malaysia, sedangkan hanya 120 hari dan 29 prosedur perlu di Singapura (lihat Jadual 3). Para pelabur pasti memilih negara yang menjanjikan kelulusan cepat dan dengan kos perniagaan yang rendah.

Kadar jenayah termasuk jenayah besar seperti pembunuhan, rogol, rompakan dan ragut terus meningkat ke tahap yang membimbangkan. Rakyat kian mempertikai kewibawaan pasukan polis dan pegawai atasan dicurigai kerana dijangkiti rasuah, malah disyaki bersubahat dengan sindiket penjenayah besar. Ratusan badan bukan kerajaan mengemukakan memo bantahan kerana jenayah memuncak tanpa kawalan Kegagalan berterusan pasukan polis ini dikhuatiri akan memberi impak terhadap iklim pelaburan negara. Pengurusan pasukan polis perlu lebih profesional dan berwibawa. Puluhan ribu anggota pasukan perisikan (SB) yang ditugaskan untuk memantau dan menggugat aktivis politik patut dialihkan untuk membantu membanteras jenayah.

Seperti mana juga yang menjadi hasrat semua negara berdaulat dan bertamadun, badan kehakiman harus bebas, cekaldan bersih dari rasuah. Manakala hakim yang dicemari dengan najis rasuah, maka penghakiman mereka juga tercemar. Ini turut menakutkan pelabur. Walhasil, ada pelabur Malaysia yang memilih supaya perjanjian dan kontrak mereka diadili di luar negara termasuk di Hong Kong dan Singapura. Apakah mungkin diengkari kenyataan bahawa kewibawaan badan kehakiman tercemar? Laporan badan antarabangsa mungkin saja ditempelak sebagai bermuslihat. Tetapi apakah munasabah ditolak mentah sanggahan dari tiga bekas Ketua Hakim Negara yang amat disegani? Tun Suffian Hashim dan Tun Salleh Abas mendakwa badan kehakiman kini tidak bebas dan berwibawa. Malah Tun Suffiah pernah menegaskan bahawa beliau sendiri tidak bersedia diadili oleh badan kehakiman yang ada hari ini apatah lagi sekiranya beliau tidak bersalah.

DYMM Sultan Azlan Shah mengulas di dalam penulisan Baginda akan kebimbangan ramai mengenai persepsi negatif terhadap badan kehakiman negara, di samping merujuk kepada keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan mengenai kuasa 'perkenan' Raja-Raja Melayu.

Kegagalan-kegagalan lain yang telah sama ada dilupakan atau dijenamakan semula termasuklah Dasar Pandang Ke Timur yang digubal untuk membangunkan perindustrian berat dan dasar penswastaan yang kontroversi. Secara umumnya, usaha kita membangunkan industri berat tidak membawa banyak faedah untuk negara. PROTON misalnya kini merupakan jenama yang menghadapi banyak cabaran dan terpaksa mengharapkan pakatan strategik yang merugikan untuk terus bersaing di dalam industri dunia yang kompetitif. PERWAJA merupakan satu kerugian besar dengan tanggungan mencecah RM13 bilion di dalam kes rasuah dan skandal politik yang jelas seperti mana yang tertera dalam laporan juruaudit bertauliah PriceWaterhouseCoopers (PWC). Laporan PWC diketepikan sama sekali dalam kes pendakwaan PERWAJA!

Lebih dahsyat lagi, PETRONAS, agensi petroliam negara yang kita banggakan kerana pengurusan cekap telah dikorbankan oleh pemimpin negara. Keuntungan besar PETRONAS yang kini mencecah RM70 bilion setahun telah digunakan untuk menyalurkan dana besar kepada keluarga melalui 'bailout', kontrak, projek mega atau bagi menyelamatkan projek-projek gagal. PETRONAS sebagai khazanah bangsa kita bersama seharusnya dikawal rapi dengan menjadikannya bertanggungjawab kepada Parlimen bagi memulihara kekayaan minyak kita untuk generasi akan datang. Dengan demikian, harga minyak dan gas akan lebih terkawal, dan dana mapan disalur bagi kesejahteraan rakyat terbanyak.

Pemindahan teknologi yang dikatakan motif utama Dasar Pandang ke Timur dan bekerjasama dengan negara maju tidak dijalankan secara berkesan. Dasar Pandang Ke Timur - dan kemudiannya usaha membina ekonomi pengetahuan menerusi Koridor Raya Multimedia (MSC) - tidak melahirkan budaya kaji selidik dan pembangunan teknologi yang gemilang. Sehingga hari ini, Malaysia kekal sebagai pengguna idea-idea luar meskipun membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk industri berat dan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). Di sebalik gambaran indah terhadap MSC, Malaysia kekal sebagai antara negara paling berat sebelah di dalam memberikan rakyatnya peluang yang sama rata dan akses kepada ICT. Majalah the Economist menyebut bahawa Malaysia member gambaran negara mundur di dalam akses yang diberikan kepada rakyat untuk ICT berbanding Singapura, Taiwan dan Korea Selatan.

Di samping itu, dasar penswastaan yang digembar-gemburkan telah gagal memberikan hasil yang dijangka. Kita mesti mengubah dasar kita dari penswastaan yang tidak diuruskan dengan baik kepada pengurusan awam yang efisien dan telus untuk sektorsektor penting seperti perubatan dan pengangkutan. Mengapakah rakyat Malaysia perlu menanggung cukai yang tinggi berserta penswastaan yang tidak sempurna? Motif dan hasil penswastaan perlu dikaji semula agar pengguna tidak dibebankan. Selama ini, penswastaan telah menjadi alat memperkayakan kronikroni pemerintah, tetapi membebankan rakyat. Ukuran kejayaan penswastaan adalah pengurusan yang lebih cekap dan faedah yang lebih baik kepada pengguna. Keuntungan syarikat terjamin dan faedah serta perumahan pekerja dipelihara. Hal ini tidak berlaku, sebaliknya negara terus dibeban, kos kepada pengguna meningkat dan para pekerja terutama di peringkat rendah tidak diberi pembelaan.

Contoh terbaik ialah penjanaan elektrik, di mana bayaran kapasiti tinggi penjana tenaga bebas (IPP) telah menyumbang kepada kos yang tinggi yang ditanggung Tenaga Nasional Berhad. Hasilnya, kos yang tinggi ini sebahagiannya dipindahkan kepada pengguna di dalam bentuk kenaikan tarif elektrik. Yang lebih memeranjatkan, IPP ini telah menerima bahan api yang disubsidikan oleh PETRONAS sehingga mencapai berbilionbilion ringgit. Ini semua sumber negara kita, yang dimiliki rakyat Malaysia secara bersama dan boleh digunakan untuk perkara-perkara lain, misalnya menaik taraf sistem pendidikan negara kita. Pada masa yang sama, pembinaan lebuh raya bertol seperti PLUS telah menguntungkan pemegang saham mereka, tetapi menjadikan pengangkutan kita sukar dan mahal untuk rakyat, dan pada masa yang sama membantut pembangunan sistem pengangkutan awam alternatif yang lebih mesra alam.

Kisah penswastaan MAS kini terbongkar setelah syarikat TRI mendakwa telah diarah untuk mengambil alih syarikat penerbangan tersebut. Khidmat tenaga MAS dianggap cemerlang tetapi syarikat mengalami kerugian berbilion ringgit sekali lagi telah diselamatkan oleh Perbendaharaan Kerajaan. Pada masa yang sama, Singapore Airlines, syarikat yang dibentuk akibat pecahan MSA (Malaysian Singapore Airlines) mencatat keuntungan berbilion ringgit. Di samping itu, pembinaan hospital swasta telah menyebabkan kerajaan berlengah untuk menaik taraf sistem kesihatan awam dan meningkatkan kos perubatan dan insurans. Di hospital daerah, rakyat biasa terpaksa berpusu-pusu menunggu giliran untuk mendapat khidmat kesihatan di hospital.

AGENDA EKONOMI MALAYSIA

Apakah pilihan lain yang ada? Jawapannya, saya yakin, terletak pada keberanian kita menggantikan dasardasar usang dengan agenda ekonomi baru yang mengatasi kepincangan yang sedia ada dan menghadapi cabaran globalisasi. Adalah mendesak sekali untuk kita mengakui kekuatan dan kelemahan kita yang sedia ada, dan pada masa yang sama memahami strategi ekonomi era pengetahuan yang didominasi kebebasan pengetahuan dan modal intelek.

Kita harus dengan yakin bergerak ke hadapan, untuk tidak bergantung kepada kejayaan masa lampau semata-mata dan berani untuk mengakui bagaimana kita ketinggalan berbanding negara-negara serantau seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan, yang berkongsi sejarah pembangunan yang selari dengan kita. Memandangkan dalam ukuran pembangunan insan UNDP, termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pembasmian kemiskinan yang relatif lebih baik dari negara-negara Afrika umpamanya, kita harus mengorak langkah memperkenalkan dasar dan kebijakan ekonomi yang dapat mengangkat martabat dan harakat bangsa. Kita kaitkan pembangunan insan seutuhnya kerana menyedari bahawa konsep pembangunan dan ekonomi tidak harus dilihat secara sempit, terpisah dari isu etika dan keadilan.Dan seperti mana dihujah oleh ramai pemikir, bencana dan kecundangnya ekonomi banyak bergantung kepada kedegilan memerangkap diri pada satu dasar usang, pembaziran dan rasuah, sikap gelojoh dan tamak haloba.

Faham Islam dan ajaran agama masyarakat Malaysia harus dikembangkan untuk menjana kekuatan baru berlandaskan prinsip akhlak dan etika.Prinsip keadilan dipupuk, nasib rakyat miskin dan terpinggir dibela, ketidakadilan dan diskriminasi disanggah. Ciri-ciri kebejatan sosial dan ekonomi yang merosak dan menggugat keutuhan sistem ekonomi dan sosial terutamanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa, membelai kelompok kecil keluarga, kroni dan golongan kaya serta meminggirkan majoriti rakyat mesti ditolak.

Tiada gunanya kita mendabik dada menjadi yang terbaik di kalangan negara-negara yang gagal, sebaliknya kita sepatutnya berusaha menjadi yang terbaik di kalangan negara-negara yang sama taraf dengan kita.

Sebelum kegawatan ekonomi Asia, kita berbangga dianggap sebahagian dari keajaiban Asia, mengejar negara-negara seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Sedang negara-negara tersebut kini sudah menapak menjadi negaranegara maju, dan kita terpaksa bersaing dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia pula. Singapura, khususnya, adalah saingan kita yang paling dekat dengan sejarah yang berkait rapat dengan kita, telah melangkah jauh ke hadapan kita meskipun tidak dianugerah petroliam dan gas atau hasil mahsul yang kaya.

Kita harus berfikir terbuka untuk melihat bagaimana kita telah gagal di dalam dua aspek: pendidikan dan Keluaran Negara Kasar (KNK) per kapita.
Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) yang lahir dari Universiti Malaya tersenarai di antara 20 universiti terbaik dunia dan 3 universiti terbaik Asia di dalam Senarai Times Higher Education 2006, bersamasama Universiti Beijing dan Tokyo. Tetapi Universiti Malaya yang pernah menjadi kebanggaan kita, jatuh dari nombor 89 pada 2004, kepada 169 pada tahun 2005 dan 192 tahun lepas; dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada di tempat 185 pada 2006.

Kita juga telah ditinggalkan dari aspek pendapatan per kapita, ukuran kekayaan dan kemajuan sesebuah negara. Singapura telah membangunkan KNK per kapitanya dari kurang dari AS$5,000 pada tahun 1970 kepada AS$20,000 pada 2004, mengatasi Taiwan dan Korea Selatan. Pada masa yang sama KNK per kapita Malaysia, kurang dari AS$10,000 pada 2004 (rujuk Jadual 1).

Kehilangan daya saing dan kejumudan pemikiran kita amat menakutkan. Hanya apabila kita melangkaui retorik perkauman dan keinginan pemerintah untuk mempertahankan kepentingan keluarga dan kroni mereka kita berupaya bangkit dengan yakin. Kita perlu kembali kepada pengorbanan pejuang kemerdekaan kita, yang bersama-sama mengimpikan untuk sebuah negara yang harmoni, adil dan saksama di mana kekuatannya terletak di atas masyarakat yang majmuk dan sifat tolak ansur. Oleh itu kita perlu agenda ekonomi yang baru yang relevan dan adil untuk memenuhi apa yang benar-benar diinginkan semua rakyat Malaysia.

Saya yakin kaum Bumiputera bersedia dengan agenda baru ini, kerana agenda ini akan tetap berpaksikan tindakan afirmatif bagi membela nasib rakyat miskin dan terpinggir. Bantuan pendidikan, perniagaan dan pekerjaan perlu ditekankan untuk semua golongan miskin dan terpinggir, kerana tidak mungkin dipertahankan sistem bobrok yang tidak mempedulikan nasib rakyat miskin terutama di kalangan Bumiputera.

Kebimbangan kononnya Agenda Ekonomi Malaysia akan mengetepikan hak masyarakat Bumiputera dari segi biasiswa dan bantuan pendidikan, peluang perniagaan dan sebagainya sengaja dicanang oleh pemimpin kaya bukannya untuk membela nasib rakyat terbanyak - pekerja, petani dan nelayan - tetapi buat mempertahankan kontrak, saham, AP dan lesen mereka yang lunak-lunak sehinggalah permit bas dan teksi yang kecil.
Sekiranya rasuah dibanteras dengan berkesan, peruntukan diagih secara adil dan telus,sumber yang akan disebarkan pasti akan lebih lagi dari segi jumlah dan keberkesanannya. Namun, yang nyata berbeza dari pendekatan sekarang ialah keprihatinan menyeluruh kepada semua rakyat, sama ada pesawah padi berbangsa Melayu, penjaja kecil berbangsa Cina, penoreh getah berbangsa India atau suku kaum Dayak atau Kadazandusun yang meraih nafkah hidup di kawasan pedalaman - semuanya yang inginkan kehidupan yang lebih baik dan senang untuk anak isteri mereka.

Perlu wujud proses yang lebih baik untuk menyalurkan bantuan bagi memastikan peruntukan yang ada sampai kepada golongan yang memerlukan dan bukannya golongan elit yang tidak memerlukan bantuan kerajaan atau melalui amalan pilih kasih yang mendera rakyat yang tidak berdosa.
Kita perlu memilih kerajaan yang lebih cekap, berwibawa dan bertanggungjawab, tidak taksub kepada parti politik sehingga mengorbankan amanah dan komitmen mereka kepada rakyat. Amat penting untuk menyalurkan sumber kerajaan yang terhad agar memberi nilai kepada warga Malaysia, dan bukannya membebankan mereka dengan kos-kos yang lebih tinggi sedangkan mutu kehidupan mereka merosot.

Memandangkan penswastaan tidak membawa kepada persaingan yang sihat dan perkhidmatan yang lebih baik, proses ini perlu dirombak semula. Pihak penggubal dasar kewangan perlu beriltizam untuk memegang amanah rakyat, disiplin kewangan yang tegas dan indeks pencapaian bagi mengukur keberkesanan penggunaan sumber negara. Lebih penting lagi, system yang telus akan membebaskan lebih banyak sumber yang akan dapat digunakan untuk menjana ekonomi yang lebih berdaya maju dengan menekankan modal insan, khususnya melabur di dalam pendidikan bermutu untuk semua rakyat Malaysia - Melayu, Cina, Kadazan, Iban dan India - yang akan dapat meningkatkan mutu kehidupan mereka. Pada masa yang sama, sumber-sumber ini dapat disalurkan untuk meningkatkan sektor-sektor penting lain khususnya system kesihatan awam, perumahan berkualiti dansektor pertanian yang sihat.

Dasar tutup pintu harus digantikan dengan penerimaan kepada kenyataan persaingan dunia sejagat. Kita perlu membuang mentaliti pergantungan dengan digantikan dengan fokus kepada keterbukaan dan daya saing. Tetapi kita perlu menggunakannya untuk pembangunanekonomi negara dan kemajuan rakyat. Kita perlu menyemak dan merombak kerangka dasar yang ada, institusi, prosedur dan proses yang menghalang pelaburan asing terutamanya di sektor tambah nilai yang tinggi untuk membangunkan ekonomi. Tetapi kita harus kekalkan hak dan kebebasan kita menentukan keutamaan kerangka dasar negara, menggalak industri dan teknologi maklumat dan menjamin penghasilan pertanian yang mencukupi.

Sayugia diinsafi bahawa perumusan agenda ekonomi tidak terlepas dari sistem politik serta kaedah pengurusan negara keseluruhannya. Seperti mana yang cuba dihuraikan, agenda ekonomi perlu terpancar dari hasrat memacu pertumbuhan pantas; agar negara melonjak maju dan menjamin faedah dan keselesaan kepada rakyat terbanyak. Maka selain dari kerangka kebijakan ekonomi; jentera pelaksana dan badan penguatkuasaan juga harus berwibawa dan bertanggungjawab.

Hanya dengan jiwa merdeka mampu kita robohkan kerrawang dan tembok yang membelenggu pemikiran, memundurkan negara dan menindas rakyat. Tokoh politik, sarjana, aktivis, pekerja dan mahasiswa harus merasa tercabar untuk berfikir dengan waras dan bertindak dengan bijaksana.

Perubahan bukannya mudah, tetapi ia perlu bagi memastikan Malaysia berjaya memenuhi impian kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan yang diuar-uarkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan kita.

Kita harus berani menanam keyakinan baru mempertahankan hak untuk mengangkat martabat ekonomi dan harakat bangsa ke tahap yang lebih cemerlang lagi.



Di edit oleh: Wartawan Rasmi Laman Reformasi tanpa ubahsuai maksud asal.