TINDAKAN KHALED, ZAMBRY TANDING DUA KERUSI BAYANGAN JOHOR, PERAK BAKAL MILIK PAKATAN HARAPAN



Dalam UMNO, bukanlah suatu kelaziman bagi mana-mana pemimpinnya bertanding dua kerusi - satu Parlimen dan satu DUN - secara serentak.

Ini kerana UMNO dan BN merupakan parti yang besar dan ramai yang berebut-rebut mahu menjadi calon.

Selain itu, UMNO dan BN juga sudah lama menjadi kerajaan, maka pembahagian untuk bertanding itu perlu dilakukan secara lebih menyeluruh agar lebih ramai berpeluang menjadi wakil rakyat.

Hanya di Sabah dan Sarawak menjadi kebiasaan ada sesetengah pemimpinnya turut merupakan ADUN dan Ahli Parlimen di waktu yang sama.

Di Semenanjung, pada pilihanraya 2013 lalu, Mustapha Mohamad pernah diamanahkan bertanding dua kerusi secara serentak di Kelantan dalam usaha UMNO dan BN mahu merampas negeri tersebut daripada Pas.

Mustapha yang sudah pun memegang jawatan menteri di peringkat Pusat, cuba dipertaruhkan kerana UMNO dan BN Kelantan tidak mempunyai calon yang berwibawa yang untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar.

Kali ini, Mustapha sekali lagi dipertaruhkan untuk bertanding di dua kerusi - Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas - sebagai cubaan seterusnya untuk merampas Kelantan setelah hampir 30 tahun UMNO dan BN kehilangan kuasa di negeri tersebut.

Dalam konteks ini, oleh kerana BN masih merupakan pembangkang di Kelantan, cubaan bertanding dua kerusi itu tentu saja boleh difahami di mana sekiranya gagal menawan negeri itu, Mustapha akan terus dikekalkan sebagai menteri di peringkat Pusat.

Di kalangan pembangkang, bagaimanapun bertanding dua kerusi itu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana tokoh yang popular dalam sesebuah parti itu amat diperlukan untuk ditonjolkan bagi mencipta lebih kemenangan di banyak kawasan.

Dalam sesetengah keadaan, ia berlaku kerana tidak ramai yang sedia menjadi calon serta tidak yakin terhadap kemenangan.

Itulah yang menjadikan Lim Guan Eng dan Azmin Ali misalnya bertanding dua kerusi pada pilihanraya 2008  dan kini kedua-duanya terus kekal dengan pegangan dua kerusi tersebut.

Guan Eng kekal bertanding di Parlimen Bagan dan DUN Air Putih, manakala Azmin di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Untuk pilihanraya 9 Mei depan ini, beberapa lagi pemimpin PKR dan DAP turut diketengahkan untuk bertanding dua kerusi, antaranya Johari Abdul di Kedah,  Saifuddin Nasution di Kedah dan Pulau Pinang, Shamsul Iskandar Mohd Akin di Melaka dan Nga Kor Ming di Perak.

Pemimpin Bersatu seperti Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir juga bertanding dua kerusi dalam pilihanraya kali ini.

Misinya tetap sama iaitu perlunya tokoh yang popular diletakkan bagi memungkinkan kemenangan, selain mungkin untuk memberi peluang kepada mereka untuk memilih sama ada berkhidmat di peringkat pusat atau pun negeri.

Tetapi, kenapakah Khaled Nordin dan Zambry Abdul Kadir yang sudah menjadi Menteri Besar Johor dan Perak turut memilih bertanding dua kerusi dalam pilihanraya kali ini?

Untuk pilihanraya kali ini, selain bertanding mengekalkan kerusi DUN Permas yang dipegangnya sejak 2013 lalu, Khaled akan turut bertanding kerusi Parlimen Pasir Gudang yang pernah diwakilinya ketika menjadi menteri sebelum ini.

Begitu juga dengan Zambry, di samping mengekalkan kerusi DUN Pangkor yang dipegangnya, beliau juga akan turut bertanding bagi kerusi Parlimen Lumut, satu cubaan kali pertamanya.

Oleh kerana dalam senarai calon peringkat DUN di Johor dan Perak yang sudah diumumkan tidak terlihat pemimpin lain yang berwibawa serta berkemampuan untuk diketengahkan sebagai Menteri Besar, tindakan Khaled dan Zambry turut bertanding di kerusi Parlimen pada waktu yang sama tidak lain adalah gambaran ketidakyakinan mereka mampu mempertahankan kedua-dua negeri tersebut.

Tidak dinafikan, dalam gelombang perubahan yang kian meningkat sekarang ini, Johor dan Perak adalah dua negeri yang diramalkan banyak pihak akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan.

Jika Khaled dan Zambry benar-benar yakin mampu mempertahankan Johor dan Perak daripada gelombang itu, untuk apa mereka bertanding di Parlimen?

Bukankah lebih baik kekal bertanding di DUN dan terus menjadi Menteri Besar saja?

Jika mereka mahu dibawa ke Pusat pula, cukuplah mereka bertanding di Parlimen saja dan kerusi DUN itu lebih wajar diserahkan kepada calon lain yang tentunya ramai sedia mengisinya.

Dalam waktu yang sama, apakah dengan bertanding di dua kerusi itu yang dilihat sebagai persiapan untuk beralih jawatan ke peringkat Pusat sekiranya Johor dan Perak jatuh ke tangan Pakatan Harapan, Khaled dan Zambry benar-benar yakin Najib tidak ditumbangkan oleh Tun Mahathir Mohamad pada 9 Mei nanti?

Bagaimana jika Pakatan Harapan dengan pengaruh Tun Mahathir berjaya menggerakkan berlakunya tsunami rakyat Malaysia sehingga akhirnya gabungan untuk menyelamatkan negara itu dapat menguasai Putrajaya? (ShahbudinHusin 24/04/2018)

Tuduhan DAP ketuai PH persepsi jahat Umno-Pas


Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Al Jundi (foto) menyifatkan tuduhan kononnya DAP menguasai gabungan politik sebagai satu projek menanam rasa takut oleh Umno-Pas.
Menurutnya, jumlah keseluruhan kerusi Parlimen yang ditandingi DAP adalah 47 kerusi iaitu Semenanjung (35), Sabah (3) dan Sarawak sembilan kerusi.
“Masih dalam konteks itu pun, DAP berada pada kedudukan jumlah (kerusi) lebih rendah berbanding kerusi Parlimen Bersatu dan PKR di Semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Semakannya juga terhadap agihan kerusi Parlimen PH dan mesra PH bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak mendapati Bersatu memiliki 71 kerusi diikuti PKR (40), AMANAH (34) dan Warisan 34 kerusi.
Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) itu berkata demikian mengulas grafik bertajuk ‘Dominasi Kerusi Parlimen’ yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Tanpa menyebutkan nama, beliau berkata, angka dalam grafik itu menyamai idea seorang individu yang pernah mendakwa DAP bertanding 54 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia sekali gus lebih tinggi berbanding Bersatu.
Semakan mendapati, individu yang dimaksudkan adalah Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff.
Kamarul dilapor Malaysia Gazette dalam laporan bertajuk, ’37 kerusi Parlimen: DAP masih ada Sabah dan Sarawak’ pada 8 Januari lalu berkata, jumlah 35 kerusi ditandingi DAP di Semenanjung itu meningkat kepada 54 kerusi apabila ditambah kerusi di Sabah dan Sarawak.
Grafik tular yang memainkan sentimen jahat memburukkan PH.
Mengulas lanjut, Athirah berpendapat penyebaran mesej itu sebagai serangan persepsi bahawa kononnya DAP yang mengetuai dan menguasai PH.
“Ia sama sekali salah dan fitnah. Sebenarnya ini merupakan serangan persepsi jahat dan tidak bertanggungjawab. Maklumat itu fitnah dan tidak lengkap,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya sikap mempermainkan politik propaganda kaum dan agama dihentikan.
“Masalah negara dan rakyat tidak boleh diselesaikan dengan permainan politik persepsi yang jahat seperti ini dengan menafikan fakta yang sudah terang dan jelas,” tambahnya lagi.