OLEH DR SHAH NOR BASRI
Di Negeri Sembilan hari ini, yang sedang bergoncang bukan sekadar kerusi Menteri Besar, tetapi maruah sebuah negeri beradat, berperlembagaan dan berdaulat. Ini bukan drama murahan politik lompat, bukan episod biasa tarik sokongan ala syarikat berkaitan kerajaan, dan bukan juga mesyuarat lembaga pengarah untuk menukar CEO yang gagal capai KPI suku tahunan. Ini soal takhta. Ini soal daulat.
Ini soal had yang membezakan negara berperlembagaan dengan kandang politik yang menganggap semua institusi boleh dirunding, ditekan dan ditukar sesuka hati.
Sebab itu, kenyataan peguam kanan dan bekas Peguam Kanan Persekutuan, Liyana Marzuki, wajib dibaca dengan serius oleh Umno/BN Negeri Sembilan bukan sebagai pandangan politik, tetapi sebagai amaran undang-undang dan peringatan perlembagaan.
Dalam keadaan ramai ahli politik sedang ghairah bermain angka, tawar-menawar kerusi dan mengira sokongan seperti mengira saham menjelang penutupan pasaran, Liyana mengingatkan perkara paling asas yang nampaknya gagal difahami oleh sebahagian elit politik negeri: menurunkan Raja bukan kerja politik murahan.
Menurunkan Raja bukan seperti menurunkan pegawai kerajaan. Menurunkan Raja bukan seperti memecat pengerusi GLC. Menurunkan Raja bukan permainan menekan butang “replace” dalam struktur kuasa.
Lebih ironik, mereka yang bercakap seolah-olah takhta boleh diurus seperti fail pentadbiran barangkali lupa bahawa DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, bukan sekadar Raja berperlembagaan baginda juga seorang yang terlatih dalam disiplin undang-undang.
Baginda merupakan pemegang Ijazah Undang-Undang dari University of Wales, Aberystwyth, sebuah institusi yang melahirkan ramai tokoh perundangan dan pentadbiran. Pengetahuan undang-undang baginda bukan kosmetik istiadat untuk menghiasi protokol; ia dibina atas asas akademik yang sah, difahami dalam kerangka perlembagaan, dan diperkukuh pula dengan pengalaman luas dalam dunia korporat serta pentadbiran.
Ringkasnya, ini bukan Raja yang boleh dikelirukan dengan retorik separuh masak, apatah lagi digertak dengan helah politik yang menyamar sebagai “nasihat perlembagaan”.
Sebab itu, mereka yang menyangka takhta boleh digoncang dengan logik politik jalan belakang sedang menunjukkan satu perkara yang sangat berbahaya: kejahilan terhadap Perlembagaan, dan lebih buruk, kesediaan memperjudikan institusi diraja demi percaturan kuasa.
Di sinilah Umno/BN Negeri Sembilan perlu bercermin. Parti yang sekian lama mendabik dada sebagai benteng Melayu, tiang seri Raja-Raja Melayu dan penjaga institusi tradisi, kini berdepan ujian moral paling besar: adakah “Daulat Tuanku” hanya slogan ketika mikrofon terbuka dan kamera sedang merakam, atau benar-benar prinsip yang dipertahankan ketika kuasa sedang menggoda?
Kerana jika Umno/BN Negeri Sembilan benar-benar ikhlas menjunjung Raja dan Negara, maka pendirian mereka mesti jelas, keras dan tidak berselindung: institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh dilayan seperti alat tawar-menawar politik.
Negeri Sembilan bukan negeri biasa. Struktur kenegeriannya bukan sekadar simbolik, tetapi berakar pada Adat Perpatih, sejarah kedaulatan Melayu, dan legitimasi yang dilindungi oleh undang-undang tubuh negeri serta Perlembagaan Persekutuan.
Yang di-Pertuan Besar bukan sekadar figura istiadat semata-mata atau mencemar duli ke acara rasmi. Baginda adalah kepala utama negeri, lambang kesinambungan daulat, payung perlembagaan dan paksi legitimasi pentadbiran negeri.
Mempermainkan kedudukan itu secara sembrono bukan sahaja biadab dari sudut adat, tetapi berbahaya dari sudut undang-undang.
Mereka yang terlalu ghairah mahu “menyusun semula” negeri ini seolah-olah lupa bahawa Raja-Raja Melayu bukan lahir daripada belas ihsan parti politik. Mereka tidak wujud kerana mandat pilihan raya lima tahun sekali.
Mereka tidak memegang daulat atas ihsan parti, apatah lagi atas restu kem politik yang berubah pendirian mengikut suhu semasa. Kedudukan Raja-Raja Melayu dijamin dalam kerangka tertinggi negara Perlembagaan Persekutuan dan berakar jauh lebih tua daripada usia mana-mana parti politik moden di negara ini.
Sebelum ada parti, Raja-Raja Melayu sudah wujud. Sebelum ada manifesto, takhta sudah berdaulat. Sebelum ada YB-YB yang petah bercakap tentang “mandat rakyat”, Raja-Raja Melayu sudah pun termaktub dalam asas pembentukan negara.
Perkara ini bukan retorik romantik. Ini fakta kenegaraan.
Dalam Proklamasi Kemerdekaan 1957, kemerdekaan Tanah Melayu tidak lahir daripada revolusi jalanan yang menggulingkan monarki. Negara ini merdeka melalui satu kerangka berperlembagaan yang meletakkan Raja-Raja Melayu sebagai tunggak kesinambungan negara.
Ini bukan republik. Ini bukan negara yang boleh menukar kepala negara sesuka hati mengikut selera blok politik yang sedang cukup nombor.
Sebab itu, mana-mana percubaan menormalisasi tindakan terhadap institusi diraja dengan logik “ia boleh dibincang”, “ia boleh disusun”, atau “ia boleh ditukar demi kestabilan” adalah hujah berbahaya hujah orang yang terlalu lama bermain politik sehingga lupa sempadan antara kuasa yang dipinjam dan daulat yang diwarisi.
Lebih sinis, episod ini mendedahkan betapa cepatnya sesetengah pihak menukar bahasa apabila kuasa mula kelihatan rapuh. Ketika perlu meraih sokongan Melayu, mereka menjerit “Daulat Tuanku”. Ketika perlu memancing emosi rakyat, mereka bersyarah tentang 3R.
Tetapi apabila kuasa mula longgar, tiba-tiba institusi diraja pula mahu dijadikan sebahagian daripada percaturan semula.
Kesetiaan yang dilaungkan?
Kesetiaan yang hanya wujud ketika selamat. Kesetiaan yang hanya kuat ketika menguntungkan. Kesetiaan yang hanya berkumandang ketika belum diuji.
Itu bukan kesetiaan. Itu oportunisme bersampul songkok.
Umno/BN Negeri Sembilan wajib faham bahawa krisis ini bukan sekadar soal siapa memerintah Wisma Negeri. Ini soal sama ada mereka mahu tercatat sebagai parti yang berdiri mempertahankan tertib perlembagaan, atau parti yang memilih untuk bermain di pinggir krisis demi laba kuasa jangka pendek.
Tidak ada siapa yang menghalang perbezaan politik. Tidak ada siapa yang menafikan hak parti untuk menarik sokongan, menyusun jajaran, atau menilai semula kedudukan kerajaan. Itu hak politik.
Tetapi apabila langkah politik dibuat dalam bayang-bayang krisis institusi diraja, dan kemudian dibungkus dengan bahasa kononnya demi kestabilan, rakyat tidak bodoh. Rakyat tahu membezakan prinsip dengan peluang. Rakyat tahu membaca gerak.
Dan rakyat tahu bila “krisis perlembagaan” sedang diperah menjadi “peluang politik”.
Maka persoalan sebenar kepada Umno/BN Negeri Sembilan sangat mudah: adakah mereka mahu dikenang sebagai pembela institusi, atau sebagai penjaja krisis?
Kerana dalam politik, orang mungkin lupa siapa tarik sokongan. Tetapi sejarah tidak akan lupa siapa cuba mengajar undang-undang kepada Raja. YAB Aminuddin Harun juga tidak akan bertindak sendirian melainkan atas titah baginda.
Dan dalam negeri yang dibina atas adat, maruah dan daulat, itu bukan kesilapan kecil.
Itu derhaka yang dibungkus sebagai strategi.

