Semua mulai tidak betul di mata Mahathir
Sebagaimana yang diramalkan banyak pihak, bekas Perdana Menteri
Mahathir Mohamad bersuara lagi mengenai Umno. Dalam tulisan terbaru di
blognya, beliau mengkritik cara kempen Umno dan BN dalam pilihan raya
kecil (PRK) Sungai Limau yang menyaksikan calon BN kalah kepada calon
PAS dengan kekurangan 1084 undi.
Mahathir menyifatkan pemberian wang dan hadiah ketika kempen di Sungai
Limau tidak berjaya memikat hati pengundi, malah menganggapnya suatu
pembaziran dan kekalahan calon BN adalah bukti bahawa pengundi menolak
budaya itu yang telah pun ditunjukkan sejak Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13) lagi.
"Ini jelas sejak PRU13, yang tidak sokong, tetap tidak sokong juga.
Wang yang diberi adalah suatu pembaziran, tidak kira sama ada wang
kerajaan atau bukan kerajaan.
"Sokongan kepada parti politik diasaskan kepada perjuangan serta
tingkah laku pemimpin dan calon. Kalau datang dengan Mercedes atau
motosikal 1000cc, saguhati dan apa yang diberi tidak akan menawan hati,"
demikian antara intipati tulisannya.
Sanggahan Mahathir mengenai cara kempen BN ini memang ada benarnya,
malangnya itulah yang sebenarnya telah diamalkan sejak sekian lama. Di
era Mahathir pun, ketika kempen pilihan raya, itu juga cara kempennya.
Pemberian wang, hadiah, kain batik, kain pelikat dan projek-projek
pembangunan adalah cara kempen yang sudah sebati dengan Umno dan BN
sejak dulu lagi.
Ketika kempen pilihan raya, tidak banyak yang bercerita tentang apakah
perjuangan Umno dan sasaran masa hadapan yang mahu dilakukan kepada
rakyat. Apa yang banyak dicurahkan oleh janji-janji pembangunan dan
seumpamanya saja. Dan melalui janji pembangunan, pemberian wang dan
saguhati itulah Umno dan BN menang pilihan raya selama ini.
Kenapa Mahathir tidak mengkritiknya sebelum ini dan hanya berbuat demikian setelah BN kalah di Sungai Limau?
Adakah jika BN menang dalam pilihan raya Sungai Limau tempoh hari, kritikan Mahathir tetap sama?
Kritikan Mahathir terhadap amalan pemberian wang dan saguhati ini
adalah serangan terbarunya terhadap Umno dan kerajaan yang dipimpin oleh
Najib Razak. Ini juga memperlihatkan bekas Perdana Menteri itu semakin
kerap bersuara mengenai Umno, kerajaan dan Najib sejak pemilihan Umno
pada 19 Oktober lalu yang menyaksikan anaknya, Mukhriz hanya mampu
mendapat tempat keempat dalan perebutan kerusi naib presiden Umno
walaupun dilihat adalah calon yang popular.
Sebaik usai pemilihan itu, Mahathir seperti meluahkan rasa kecewanya
dengan kekalahan Mukhriz. Katanya, beliau memang sudah menjangka anaknya
yang juga MB Kedah akan tewas dalam pertandingan itu kerana beliau
bukanlah calon pilihan Perdana Menteri.
Jelas daripada ungkapan itu, terpancar rasa kecewanya kerana Najib
lebih meletakkan Hishammuddin, sepupunya dan dianggap lemah serta tidak
disukai oleh rakyat sebagai antara calon pilihan Perdana Menteri untuk
memenangi jawatan nombor tiga itu, sebaliknya Mukhriz yang tidak
dijadikan calon pilihan Perdana Menteri bertanding keseorangan.
Mahathir juga kemudian mengatakan politik wang masih berlaku dalam Umno
sehingga calon yang tidak layak akhirnya memenangi jawatan tertentu
dalam pemilihan kali ini. Sekali lagi, tafsiran umum mengenai calon yang
dianggap tidak layak tetapi telah memang itu sebenarnya ditujukan
kepada Hishammuddin.
Memang diakui dalam pemilihan lalu, Hishammuddin merupakan calon paling
tidak popular dan ramai yang mahukan beliau kalah. Berbanding dengan
Mukhriz yang baru membawa kemenangan kepada BN menawan semula Kedah,
anak bekas Perdana Menteri, Hussein Onn itu nyata jauh tertinggal di
belakang.
Bagaimanapun ketika pemilihan, Hishammudin berjaya mendapat tempat
ketiga dengan kelebihan 9 undi berbanding Mukhriz manakala Zahid Hamidi
di tempat pertama dan Shafie Apdal di tempat kedua.
Kedudukan sebagai
calon bukan pilihan Najib dianggap sebab utama tewasnya Mukhriz dalam
pemilihan itu.
Selepas mengkritik mengenai politik wang yang masih berlaku dalam Umno,
Mahathir juga kemudian mengatakan kepimpinan Najib sebenarnya semakin
lemah kerana kerap tunduk kepada tuntutan kumpulan ekstrem daripada
pembangkang.
Jika dikira pendedahan mengenai tekanan yang sedang diberikan oleh
Mahathir kepada Peguam Negara, Ghani Patail dengan menjadikan kehilangan
Pulau Batu Puteh dan salah lakunya ketika mengendalikan kes ‘mata
lebam’ yang melibatkan Anwar Ibrahim sebagai asas menekan pegawai tinggi
kerajaan yang dianggap rapat dengan Perdana Menteri itu, serangan dan
kritikan Mahathir kepada Umno, kerajaan dan Najib sudah menjadi episod
bersiri sebenarnya.
Ia kini sudah memasuki siri kelima - bermula dengan luahan kecawa
kerana anaknya bukan calon pilihan Najib, politik wang telah menyebabkan
calon tidak layak terpilih, kerajaan Najib makin lemah kerana tunduk
kepada tuntutan ekstrem pembangkang, tekanan kepada Ghani Patail tetapi
sasaran sebenarnya ialah Najib dan terbaru kritikannya mengenai
pemberian wang dan hadiah yang dianggap pembaziran dalam kempen.
Pastinya selepas ini banyak lagi kritikan dan serangan akan dilakukan
oleh bekas Perdana Menteri itu. Dalam tempoh tidak sampai sebulan, sudah
terlihat tanda-tanda bahawa semua yang ada dalam Umno dan kerajaan
sekarang tidak lagi betul di mata Mahathir.
Bukan sahaja pemberian wang dan hadiah yang dulunya menjadi alat
memenangkan BN setiap kali pilihan raya sudah dianggapnya tidak betul
dan membazir, malah Ghani Patail yang mula digunakannya ketika era
pemerintahannya untuk mendakwa dan menyingkirkan musuh politiknya Anwar
Ibrahim ketika ini, turut dilihat tidak lagi betul sekarang ini.
Oleh itu, janganlah terkejut jika selepas ini bukan saja kritikan
Mahathir makin kerap, malah apa yang dulunya dianggap betul, turut
dilihat salah selepas ini. Oleh kerana Mukhriz menang undi popular
berbanding Hishammuddin yang mengatasinya dengan kelebihan 9 undi
berdasarkan kaedah "electoral college" atau satu bahagian satu undi,
tidak mustahil juga Mahathir selepas ini mahukan kaedah undi popular
diguna pakai dalam pemilihan Umno pula.
Sikap berubah-ubah bukanlah asing bagi Mahathir dan dalam sejarah
politiknya, sudah banyak kali kawan bertukar menjadi musuh dan musuh
kembali menjadi kawan.
Oleh itu, bermula dengan semuanya tidak lagi dianggap betul oleh
Mahathir sekarang ini, tidaklah mustahil Najib yang dulunya wangi dan
disanjung, bakal dikitai tak lama lagi. – shahbudindotcom, 9 November,
2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.