SHAHBUDIN .COM
Perkara
yang menjadi tanda tanya paling besar mengenai mesyuarat MT UMNO pada
24 November ini ialah mengapa ia diadakan di Bangunan Parlimen dan tidak
di Menara Dato' Onn di PWTC?
Walaupun
mungkin ada mesyuarat MT pernah diadakan di tempat-tempat lain selain
ibu pejabat UMNO sebelum ini, tetapi rasanya belum pernah lagi ia
diadakan di Bangunan Parlimen.
Malah
sepanjang mengenali UMNO, saya juga tidak pernah mendengar ada
mesyuarat MT diadakan di situ. Saya turut bertanya dengan beberapa
pemimpin veteran UMNO dan mereka juga mengesahkan bahawa sejak dahulu
pun memang tidak pernah mesyuarat MT diadakan di Parlimen.
Semua
Presiden UMNO secara umumnya sedar Parlimen adalah milik rakyat serta
merupakan tempat tertinggi untuk menggubal undang-undang dan bukannya
kepunyaan mana-mana parti politik. Oleh itu, tidak seharusnya sebarang
acara atau mesyuarat parti politik diadakan di situ.
Tetapi
kenapa Najib Razak begitu berani mencipta sejarah dan tanpa segan silu
melanggar kelaziman itu dengan memulakan amalan menjadikan Parlimen
sebagai tempat untuk mesyuarat MT UMNO?
Apakah mesej yang mahu disampaikannya kepada rakyat? Apakah selepas ini lebih kerap MT UMNO akan bersidang di Parlimen?
Logikkah
alasan Azalina Othman Said bahawa mesyuarat MT UMNO kali ini diadakan
di Parlimen yang berkebetulan dengan sessi Dewan Rakyat sedang
berlangsung untuk mengelakkan berlakunya sebarang usul tergempar yang
mungkin dibawa oleh pihak pembangkang?
Masuk
akalkah juga hujah Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor
bahawa pemilihan Parlimen sebagai tempat mesyuarat kali ini ialah untuk
memudahkan Ahli Parlimen yang menjadi ahli MT UMNO untuk menghadirinya?
Bukankah
antara Bangunan Parlimen dengan ibu pejabat UMNO kalau mengikut istilah
orang-orang lama hanya "sepelaungan" saja jaraknya?
Berkenaan
tarikh asal mesyuarat MT pada 27 November tetapi diawalkan kepada 24
November, bolehkah diterima alasan Tengku Adnan bahawa ia dicepatkan
kerana Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang ditetapkan pada 8
hingga 12 Disember sudah begitu hampir tarikhnya?
Banyak
sangatkah bezanya tarikh asal 27 November dengan tarikh baru 24
November? Tidakkah tindakan mengawalkan tarikh mesyuarat daripada Jumaat
kepada Selasa semata-mata supaya ia boleh diadakan di Bangunan Parlimen
memandangkan tiada sessi Parlimen pada hari Jumaat?
Selain
itu, dengan UMNO sudah memulakan mesyuaratnya di Bangunan Parlimen,
apakah selepas ini semua parti-parti komponen BN, oleh kerana mereka
sedang menguasai kerajaan, akan turut mengadakan mesyuarat masing-masing
di Parlimen juga?
Bolehkah
dibayangkan jika MCA, MIC, Gerakan atau parti-parti dari Sabah dan
Sarawak bersilih ganti menjadikan Parlimen sebagai tempat bermesyuarat
mereka?
Yang
nyata dan mudah difahami, oleh kerana salah satu agenda penting
mesyuarat MT pada 24 November ini ialah untuk memutuskan sama ada
memecat atau menggantung keahlian Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal dan Tun
Mahathir Mohamad daripada UMNO, maka dengan melangsungkannya di
Parlimen, ia hanyalah bertujuan untuk memudah dan melicinkan lagi segala
perancangan itu.
Apa pula kaitannya pemecatan atau penggantungan dengan mesyuarat di Parlimen?
Jika
kita masih ingat, dalam mesyuarat MT UMNO sebelum ini yang dihebohkan
Muhyiddin dan Shafie akan dipecat susulan pengguguran mereka daripada
kabinet, ribuan penyokong kedua-dua pemimpin itu berkumpul di Bangunan
UMNO dengan pelbagai sepanduk serta poster dan ia akhirnya bukan saja
menyebabkan sebarang tindakan tidak jadi diambil, bahkan juga turut
membuatkan Najib datang dan pulang dengan melalui pintu belakang
lantaran bimbang sesuatu respon yang tidak diingini berlaku terhadapnya.
Tetapi,
dengan kali ini MT mengadakan mesyuaratnya di Bangunan Parlimen, tidak
ada penyokong mana-mana pemimpin akan dibenarkan memasuki bangunan itu
berikutan faktor kawalan keselamatan yang sedia ada di situ dan akhirnya
Najib dapat mengelakkan sebarang reaksi atau protes yang tidak diingini
berikutan pemecatan atau penggantungan yang akan dilakukannya.
Apatah
lagi kali ini, bukan saja Muhyiddin dan Shafie yang dipercayai akan
diambil tindakan, bahkan juga akan melibatkan sama Tun Mahathir yang
lebih ramai penyokong setianya.
Sudah
tentu jika tindakan sedemikian diputuskan di Bangunan UMNO, puluhan
ribu penyokong Muhyiddin, Shafie dan Tun Mahathir tidak ada masalah
untuk bergabung, berhimpun dan memprotes lantaran kemarahan terhadap
keputusan yang diambil itu.
Ia
juga mungkin mengakibatkan Najib sekali lagi terpaksa hadir dan pulang
melalui pintu belakang sebagaimana mesyuarat MT sebelum ini.
Lalu,
dengan memindahkan mesyuarat MT ke Bangunan Parlimen, Najib dengan
mudah dapat menjadikan semua kemungkinan buruk dalam kawalannya serta
mengelakkan sebarang protes yang tidak diingininya.
Itulah
sebab terbesarnya Parlimen jadi pilihan pada 24 November ini dan bukan
lagi ibu pejabat parti sendiri. Alasan dan hujah lain hanyalah rekaan
dan auta sahaja. (SH 23/11/2015).