Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2018.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Tun Dr Mahathir Mohamad merancang hala tujunya dalam arena politik tanpa Pakatan Harapan (PH) apabila kini sudah jelas gabungan berkenaan tidak lagi memerlukannya.
Jelas penganalisis politik, kenyataan terbaharu PH yang tetap dengan keputusan sebelum ini untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) menunjukkan mereka juga sepakat menolak peranan Mahathir.
Apatah lagi menurut Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, kenyataan yang dikeluarkan PH hari ini adalah keputusan rasmi jika dibandingkan dengan apa yang dikatakan oleh Mahathir yang mengumumkan cadangan memilih Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafei Apdal sebagai calon PM dan anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan PM untuk digandingkan dengan Anwar dibuat menerusi perbincangan tidak rasmi.
Martadha turut menyimpulkan kenyataan terkini PH membuktikan gabungan itu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tanpa Mahathir.
“Ini merupakan satu titik tolak di mana Tun M perlu memikirkan hala tuju beliau kerana PH sudah seakan-akan menolak peranan beliau.
“Beliau perlu melihat semula di manakah platform terbaik untuk beliau berjuang semula apakah bersama-bersama semula dengan Bersatu kerana jelas kenyataan rasmi PH menunjukkan bahawa secara tidak langsung PH tidak lagi mahukan peranan Tun M dalam meneroka hala tuju PH terutama menghadapi PRU-15,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terbaharu, PH menerusi kenyataan bersama Presiden PKR, Anwar  Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan komited dengan pendirian asal mereka sebelum ini berhubung calon PM dengan menamakan Anwar.
Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.