Sambutan
kemerdekaan tahun ini pastinya tidak sama seperti tahun-tahun
sebelumnya. Tahun ini ia lebih diwarnai dengan jeritan "undur Najib"
berbanding suara nostalgia bagaimana kemerdekaan negara dicapai sejak 58
tahun lalu.
Karenah
Najib Razak dalam memimpin negara, terutama berkaitan wang RM2,600 juta
yang masuk ke dalam akaun peribadinya dan kemudian diisytiharkan
sebagai derma, adalah penyumbang utama kepada kelainan aroma dalam
sambutan kemerdekaan kali ini.
Himpunan
Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos selama 34 jam yang berjalan dengan lancar,
aman dan baik tetapi turut menjadikan tuntutan mendesak pengunduran
Najib sebagai sasarannya, menambahkan lagi sambutan kemerdekaan kali ini
seperti sudah beralih arah serta tujuannya.
Malah,
tahun ini ada yang mengatakan rakyat sebenarnya tidak merdeka, kecuali
jika Najib Razak dapat diundurkan sebagai Perdana Menteri dengan segera.
Di
mana-mana pula, sambutan kemerdekaan dan pengibaran bendera Malaysia
tidak lagi semeriah tahun-tahun sebelumnya. Ia bukanlah kerana ramai
yang dah mula benci dan tidak bersyukur dengan negara ini, tetapi lebih
sebagai tanda protes terhadap sang Perdana Menteri yang semakin tidak
dikehendaki lagi.
Yang
lebih mengejutkan dalam himpunan Bersih 4 kali ini pula, bekas Perdana
Menteri Tun Mahathir Mohamad telah menunjukkan semangat luar biasa dan
kegigihannya untuk "mengerjakan" Najib agar dapat segera dipindahkan
keluar dari Seri Perdana dengan kesanggupan turut sama dalam acara itu.
Meskipun
tidak pernah turun dan selalu tidak menyokong demonstrasi jalanan
sebelum ini, tetapi Tun Mahathir sanggup turun dua kali dalam Bersih 4
kali ini.
Semangat
dan kegigihannya yang sanggup turun sebanyak dua kali dalam Bersih 4
ini tentunya mengingatkan kita bagaimana kerapnya beliau pergi untuk
melihat pembangunan Putrajaya, KLCC dan Langkawi ketika menjadi Perdana
Menteri dahulu.
Untuk
memastikan sesuatu usahanya itu berjaya, Tun Mahathir biasanya akan
meluangkan lebih banyak masa bagi menunjukkan komitmennya.
Beliau
kemudian memberitahu, kehadirannya dalam Bersih 4 ialah untuk
bersolidariti bersama rakyat yang mahu mendesak perletakan jawatan Najib
sebagai Perdana Menteri.
Dalam
temubual dengan media kemudiannya, Tun Mahathir berkata, demonstrasi
jalanan merupakan satu-satunya jalan untuk menyingkirkan Najib, sama
seperti yang pernah dilakukan oleh rakyat Filipina terhadap Ferdinand
Marcos suatu ketika dahulu.
"Kalau
kerajaan dah tak peduli undang-undang, kita terpaksa gunakan demontrasi
jalanan. Lihat Marcos, beliau telah dijatuhkan melalui demonstrasi
jalanan," tegasnya lagi.
Beliau
kemudian menambah lagi, "jika kerajaan tak bubarkan pasukan petugas
khas itu, saya tidak akan hadir sebanyak dua kali dalam demonstrasi
ini."
Walaupun
gambarannya seperti Tun Mahathir menyokong demonstrasi jalanan, beliau
juga menyarankan Ahli-Ahli Parlimen BN agar bersama-sama mengusulkan
undi tidak percaya terhadap Najib bagi menyelamatkan negara ini.
Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang sayangkan parti juga seharusnya menyokong usul tidak percaya itu, tambah Tun Mahathir lagi.
Persoalannya,
apakah selepas ini lebih banyak himpunan rakyat atau demonstrasi
jalanan mirip Bersih 4 yang bertujuan mendesak pengunduran Najib akan
berlaku dalam negara kita?
Apakah
kehadiran Tun Mahathir sebanyak dua kali dalam Bersih 4 adalah isyarat
awal bahawa demo "undur Najib" adalah projek terbaru yang akan
digigihinya selepas ini sebagaimana dilakukannya ketika membangunkan
Putrajaya, KLCC dan Langkawi dahulu?
Apakah
dengan mula mengambil contoh kejatuhan Marcos di Filipina, Tun Mahathir
secara tersiratnya mula memancing kebersamaan rakyat yang ingin
melihat pengunduran Najib agar bersedia dengan lebih banyak demostrasi
jalanan lagi?
Apakah
juga, melalui gembar-gembur mengenai demonstrasi jalanan yang disebut
oleh Tun Mahathir ini akan segera membuka mata Ahli-Ahli Parlimen BN,
khususnya UMNO untuk tidak berlengah lagi menjadikan undi tidak percaya
itu sebagai kenyataan bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan kepada
ekonomi dan perpaduan dalam negara?
Lagi
pula, ramai pemimpin UMNO sendiri jika ditanya secara diam-diam, turut
tidak menafikan kesukaran untuk BN mengekalkan kuasanya jika keadaan
seperti sekarang berterusan memandangkan Najib sudah menjadi liabiti
yang terlalu berat untuk dipikul. (SH 31/08/2015)