Sejak mutakhir ini, warna-warni politik negara ini semakin menarik. Mana-mana gabungan parti yang ingin kemenangan perlu memikirkan untuk diadakan pilihan raya umum (PRU) sebelum Jun ini. Ini amat penting supaya sentimen politik semasa masih panas lanjutan kisah suka duka politik tahun lalu.
Tambahan pula, undi secara automatik bagi mereka yang berumur 18 tahun (Undi18) baru disenaraikan sekiranya Parlimen bubar sebelum Mac ini. Mengambil kira beberapa faktor persediaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan situasi negara, berkemungkinan senarai data pengundi berumur 18 tahun mempunyai kelompangan.
Ini mampu menyebabkan pengundi berumur 18 tahun ke atas buat pertama kali mengundi akan mempunyai beberapa isu yang bakal bangkit nanti.
Tetapi paling menarik, bukan pengundi 18 tahun, tetapi gabungan parti yang mungkin bakal wujud. Gabungan pertama adalah Barisan Nasional (BN) terdiri daripada UMNO, MCA, MIC, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan sebagainya. Gabungan kedua, Pakatan Harapan (PH) terdiri daripada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
Diikuti gabungan ketiga iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan sebagainya.Seterusnya gabungan ketiga, Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Gerakan, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan sebagainya.
Terakhir adalah gabungan kumpulan parti kelima iaitu Gerak Independent Movement, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Cinta Sabah, Parti Sosialis Malaysia dan sebagainya.
Muafakat Nasional (MN) sudah menemui penghujung jalan disebabkan berlaku beberapa siri rundingan yang gagal memuaskan hati antara PAS dan UMNO. UMNO sebenarnya inginkan kesetaraan dan bukan didominasi oleh mana-mana parti yang ingin bergabung dalam BN.
Ini menyebabkan pembahagian kerusi dalam PRU15 untuk mengelak pertembungan antara PN dan BN tidak dapat dibuat. Terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan pertandingan antara BN dan PN telah memberikan kelebihan kepada UMNO dan MCA.
Kini, sama ada PAS atau UMNO perlu menerima realiti perebutan kerusi mungkin bakal berlaku di Kelantan, Kedah, Terengganu, Perak dan Pahang. PAS perlu memikirkan strategi alternatif untuk bersama PN, bukannya dengan BN lagi.
Hakikatnya, UMNO kurang mampu menerima Bersatu atas beberapa insiden seperti PRN Sabah 2020 dan krisis politik Perak. Hasilnya, UMNO memberikan peluang kepada PAS sama ada ingin bersama BN atau PN. Jika PAS memilih Bersatu untuk bersama PN, maka secara tidak langsung UMNO tidak akan menerima PAS lagi.
Hakikatnya, realiti perpecahan parti Melayu Islam tidak mampu lagi dielakkan.
MANIFESTO
Apa yang disyorkan adalah gabungan kumpulan parti keempat perlu diwujudkan satu konsesi bersama dalam menghadapi PRU15. Jika MUDA bertanding sendirian, maka akan menemui kegagalan. Begitu juga Warisan, Putera dan Pejuang.
Gabungan parti keempat ini perlu sedar bahawa bersendirian akan menyebabkan strategi kurang berkesan. Ini disebabkan jentera parti sendirian akan memakan kos yang tinggi dan berkemungkinan hilang wang deposit. Berbanding bersatu dalam gabungan parti yang mempunyai kesefahaman akan memudahkan lagi penyusunan jentera parti semasa PRU.
Strategi bersama dengan satu kefahaman memungkinkan satu manifesto dirangka bersama bagi meyakinkan rakyat untuk memenangi seberapa banyak kerusi dipertandingkan dan bukannya kemenangan untuk membentuk kerajaan. Jika gabungan parti keempat ini berjaya memperoleh sejumlah kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), ini mampu membawa kepada rundingan bersama dalam membentuk kerajaan dengan gabungan parti yang mempunyai kerusi majoriti tetapi tidak mampu membentuk kerajaan. Hakikat ini perlu diterima oleh gabungan parti keempat.
Gabungan parti kelima juga perlu jika ingin memberi tentangan hebat. Jika bersendirian maka jawapannya juga kegagalan. Matlamat gabungan parti kelima adalah memecah undi dan memberi tentangan hebat, bukannya sebagai king maker.
Jika gabungan kumpulan kelima ini mampu bersatu dan bersama maka akan memberi satu kelebihan untuk mereka dalam membuat satu manifesto dan perjanjian dengan rakyat jika mampu menang dalam beberapa kerusi dipertandingkan.
Terpulang pada rakyat untuk memilih atau tidak supaya satu suara oposisi berlainan dengan PH, PN dan BN walaupun diterajui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti kecil yang mampu memberikan satu jalan alternatif kepada kumpulan berfahaman minoriti dalam aliran majoriti negara ini.
Mahu tidak mahu, kelima-lima gabungan parti politik ini perlu ada satu pakatan perjanjian untuk kelangsungan hidup dalam politik sebelum, semasa dan selepas berakhir PRU15 nanti. Walaupun nampak mustahil tetapi jika dilihat, terdapat satu keserasian aliran fahaman dan kesepakatan antara matlamat dan perjuangan.
Tidak salah jika wujudnya pertandingan lima penjuru kerana rakyat sudah matang dalam politik demokrasi negara ini. Retorik politik dan janji manis tidak akan memerangkap semula rakyat dalam ulangan cerita politik yang sama sejak berakhirnya PRU 2018.
Akhir sekali, hanya satu gabungan akan menerajui kepimpinan walaupun terpaksa berkongsi kuasa. Inilah realiti politik demokrasi negara ini. Apa yang penting adalah reformasi pentadbiran negara dalam konsep demokrasi sosial selaras perubahan zaman.
Hala tuju negara ini perlu jelas dan stabil, bukannya berpaksikan kepada gabungan perjanjian yang rapuh. Rakyat kini mengharapkan kepimpinan politik mampu memberikan manfaat kepada kehidupan rakyat. Pada masa sama, kerajaan perlu memikirkan perkembangan teknologi, perubahan kehidupan rakyat dan keberkesanan dasar kerajaan dalam melaksanakan janjinya kepada rakyat.
Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah
Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.