GMI: Jangan sekadar bebas tahanan, mansuh semua akta mirip ISA
KUALA LUMPUR 8 JAN: Pembebasan enam tahanan ISA tidak memberikan sebarang makna jika kerajaan masih tidak memansuhkan undang-undang tahan tanpa bicara, kata Pengerusi Gerakan Mansuh ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh.“Kerajaan perlu segera memansuhkan semua undang-undang tahanan tanpa bicara selain menutup Kem Tahanan Kamunting serta merta,” kata Syed Ibrahim pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH).
Kata Syed Ibrahim, kerajaan masih berdegil dan enggan menutup Kem Tahanan Kamunting selain masih mengekalkan undang-undang menyerupai ISA iaitu SOSMA, PCA dan DDA.
Tambahnya, kerajaan tidak perlu berbangga dengan pembebasan enam tahanan terakhir ISA kerana kerajaan enggan membebaskan tahanan lebih awal.
“Pembebasan ini sangat lewat apabila ianya dibuat selepas satu tahun lima bulan ISA secara rasminya dimansuhkan.
“Sedangkan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk membebaskan tahan lebih awal.
“Desakan demi desakan rakyatlah yang menjadi faktor utama sehingga kerajaan Malaysia mengumumkan untuk memansuhkan ISA,” kata Syed Ibrahim.
5 Januari lalu, enam tahanan terdiri dari empat warga tempatan iaitu Nazri Dollah, Bakar Baba, Adzmi Pindatun dan Adnan Umar serta seorang warga Indonesia dan Filipina dibebaskan setelah ditahan atas tuduhan terlibat dengan kumpulan pengganas Darul Islamiah (DI) di Sabah.
Mereka ditahan sejak 14 November 2011 dinafikan hak perbicaraan bagi membuktkan tuduhan ke atas mereka.