Oleh: Hassan Abdul Karim
Amat menarik isu klip video yang dikatakan percakapan telefon
beberapa minit antara Presiden Umno, Zahid Hamidi dengan Presiden KEADILAN,
Datuk Seri Anwar Ibrahim. Isu yang kecil ini mempunyai pengertian dan implikasi
yang besar termasuklah persoalan undang-undang.
Secara jujur, saya telah mendengar klip audio itu hanya sekali.
Saya tidak ada credential atau tauliah kepakaran untuk mengesahkan adakah klip
audio itu tulen, sahih dan benar. Justeru itu, saya ingin mengulas perkara ini
dari perspektif undang-undang.
Saya teringat, lebih 13 tahun yang lalu pernah ada suatu kes dan
kontroversi sehingga ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan
dakwaan wujudnya klip audio percakapan telefon antara seorang peguam kanan dengan
bekas Ketua Hakim Negara. Terdapat verbatim pembelaan yang amat menarik dari
peguam tersebut, iaitu: “Suara itu macam saya, tetapi itu bukan saya”.
Tidakkah rakyat ada privasi?
Dalam negara demokrasi, adakah rakyat tidak ada privacy? Ini
perkara penting yang ingin saya hujahkan. Hanya di dalam sebuah negara
diperintah diktator dan punya polis ala-gestapo yang akan melakukan pengintipan
perbualan dan percakapan telefon musuh-musuh politiknya dan rakyat jelata
amnya. Misalnya, apa yang berlaku di zaman Nazi Hitler di Jerman dan di zaman
diktator Joseph Stalin di Soviet Union. Adakah Malaysia kini di bawah kerajaan
Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin sudah sampai ke peringkat yang
sama seperti itu?
Sekiranya, klip audio Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim itu tulen dan
benar, bukan Zahid dan Anwar yang perlu disiasat. Yang berbuat jenayah dan
wajib disiasat ialah orang yang melakukan pengintipan percakapan telefon Zahid
dan Anwar itu. Siapa orang itu? Adakah individu biasa atau sebuah agensi kerajaan?
Apa kuasa undang-undang yang membenarkan pihak-pihak tertentu melakukan
pengintipan percakapaan telefon kedua orang presiden parti politik yang sah di
negara ini? Inilah terma rujukan yang patut diikut oleh pihak Polis Diraja
Malaysia (PDRM) sekiranya siasatan hendak dilakukan.
Apa jadi kalau klip audio percakapan Zahid dan Anwar itu palsu dan
sengaja direka-reka? Ini adalah perbuatan yang jelas bersifat jenayah. Polis
wajib siasat. Siapa yang mereka-reka klip video itu? Apa tujuan mereka? Apa
kesan pendedahan klip video yang palsu itu? Adakah ia menimbulkan kegusaran dan
kegentaran awam? Kalau jawapannya ya, maka perbuatan itu suatu kesalahan
jenayah di bawah Kanun Keseksaan.
Zahid, Anwar boleh lapor polis
Adakah Zahid dan Anwar perlu membuat laporan polis? Zahid dan
Anwar adalah mangsa di dalam konspirasi ini, sama ada klip video itu benar
ataupun palsu. Mangsa kepada perbuatan jahat orang lain boleh membuat aduan
polis, tetapi tidak semestinya wajib mereka membuat laporan polis. Laporan
polis dari segi undang-undang hendalah dibuat secara sukarela bukannya dipaksa.
Pernah berlaku lebih 23 tahun lalu, seorang Timbalan Perdana
Menteri Malaysia di zaman Perdana Menteri Keempat, telah membuat laporan polis
melalui pegawainya tentang wujudnya buku yang sarat memfitnahnya dengan 50
Dalil mengapa Timbalan Perdana Menteri itu tidak boleh jadi Perdana Menteri.
Apa yang berlaku? Bukannya pihak yang menulis, menerbit, mencetak dan
mengedarkan buku fitnah 50 dalil itu disiasat, sebaliknya diri Timbalan Perdana
Menteri itu pula yang jadi mangsa siasatan, kemudian dituduh di mahkamah,
dipukul separuh mati di dalam lokap polis sehingga lebam matanya, kemudian
dijatuhkan hukuman 6 tahun dan merengkok di dalam penjara. Mungkin Zahid dan
Anwar yang hidup pada zaman itu masih ingat akan episod mata lebam itu.
Adakah Zahid dan Anwar wajib membela diri mereka dan membuktikan
klip video itu bukan percakapan telefon antara mereka berdua? Dari perspektif
undang-undang beban pembuktian tidak terletak ke atas Zahid dan Anwar. Mereka
berdua adalah mangsa konspirasi pihak ketiga. Pihak yang patut membuktikan
kesahihan klip video itu ialah pihak yang menuduh klip video itu sesungguhnya
rakaman percakapan Zahid dan Anwar.
Siapa sekarang yang beria-ia sangat menuduh Klip Video itu adalah
benar dan autentik? Dari pembacaan saya terdapat sekurang-kurangnya tiga orang
Menteri di bawah kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin yang telah mendakwa
secara terbuka bahawa klip video itu sah, tulen dan autentik. Mereka yang telah
mengumumkan kesahihan klip video itu semacam pakar-pakar audio berlesen ialah
menteri-menteri bernama Annuar Musa, Zuraidah Kamarudin dan Azmin Ali. Manakala
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin juga telah membuat beberapa kenyataan
sebagai menteri dalam isu ini.
Lebih baik siasat video 'kabur'
Nampaknya beban sekarang terletak pada Kerajaan Muhyiddin Yassin
untuk membuktikan klip video Zahid dan Anwar itu adalah benar, sahih dan
autentik.
Alang-alang hendak lakukan siasatan, maka sebagai seorang Ahli
Parlimen, saya meminta Kerajaan Muhyiddin Yassin dengan Menteri Kanannya Azmin
Ali supaya menyiasat sekali isu klip video tentang salahlaku dua orang di dalam
sebuah hotel di Sabah yang jelas telah melakukan kesalahan jenayah seks
songsang di bawah Kanun Keseksaan dan Undang-Undang Syarie supaya kes video itu
dibuka semula.
Video itu, di mana seorang pelakunya telah mengakui kesahihannya,
yang pihak Peguam Negara kemudian telah akui video itu adalah sah, tulen dan
benar, tetapi gambar tidak jelas, hendaklah kes itu di buka semula untuk
disemak dan dihantar ke pihak forensik, mungkin telah ada sekarang yang boleh
memeriksa dengan sejelas-jelas gambar dalam video itu. Menteri Dalam Negeri,
Hamzah Zainudin memikul tanggungjawab menyelesaikan siasatan kes video seks
songsang ini.
Tuntutan saya ini penting, sesuai dengan Perkara 8, Perlembagaan
Persekutuan yang menjamin hak kesamarataan setiap warga negara Malaysia yang
membabitkan rakyatnya sama ada rakyat itu bernama Zahid, Anwar ataupun
individu-individu dalam video atas ranjang di hotel Sabah itu.
________________________________________________________________________________
Hassan Abdul Karim merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang