Setelah cadangannya agar perlantikan Perdana Menteri ke-8 diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk membuat pilihan tidak mendapat sambutan, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini tampil lagi dengan cadangan barunya.
Kali ini beliau mencadangkan agar Tun Mahathir Mohamad terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.
Kata beliau, peralihan kuasa yang tergesa-gesa dan terlalu awal boleh memberi kesan buruk kepada rakyat dan juga negara.
Malangnya, jika cadangannya sebelum ini tiada sambutan, cadangan Ku Li kali ini ditolak mentah-mentah oleh Tun Mahathir sendiri.
Dalam reaksinya berkenaan perkara tersebut, Tun Mahathir berkata, beliau tidak akan berkhidmat sehingga habis penggal, walaupun ada yang mencadangkannya berbuat demikian.
“Saya sudah berjanji dan akan menepati janji saya. Apa saja yang dikatakan orang lain, itu adalah pandangan mereka. Bukan saya,” kata Tun Mahathir lagi.
Esok lusa entah apa lagi agaknya cadangan baru akan keluar daripada mulut Ku Li.
Dalam hal ini, saya sendiri ketika menyampaikan mukaddimah di majlis diskusi buku “Anwar PM Ke-8 Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati” baru-baru turut menyentuh perkara yang sama.
Saya telah menyebut bahawa jika Tun Mahathir dipaksa untuk berkhidmar sehingga habis penggal, ia bermakna beliau ketika itu akan berusia 98 tahun usianya.
“Ini bermakna, memaksa Tun Mahathir bekerja sehingga ke usia 98 tahun adalah suatu penderaan kepadanya.
“Tempoh dua tahun untuk Tun Mahathir berkhidmat adalah cukup memadai di mana ketika itu beliau akan bersara pada usia 95 tahun”, demikian antara yang saya tekankan.
Setelah dua tahun menjadi Perdana Menteri dan ia pula adalah kali kedua serta dalam usia 95 tahun ketika itu, ia adalah detik paling sesuai untuk Tun Mahathir menyerahkan jawatan itu kepada pengganti yang telah dipersetujui oleh PH iaitu Anwar Ibrahim.
Peralihan kuasa dalam tempoh dua tahun itu juga akan membolehkan Anwar mempunyai cukup masa untuk membuktikan kemampuannya sebelum tiba PRU15 yang mesti diadakan sebelum tahun 2023.
Jadi, apa lagi yang Ku Li tak habis-habis risau hati agar peralihan kuasa itu tidak menjadi kenyataan?
Apa pun, kesian dengan Ku Li kerana cadangan “batu apinya” yang terbaru ini telah ditolak mentah-mentah oleh Tun Mahathir.
Bagaimanapun, tidak jadi masalah sama sekali jika Ku Li mahu kekal sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, jawatan yang disandangnya sekarang sehingga tamat penggal lantikannya oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi. (Shahbudindotcom 20/07/2019)