Tindakan terdesak seorang anak bangsawan


Ekonomi dunia semakin tidak menentu. Keadaan ekonomi tahun depan mungkin lebih teruk berbanding akhir tahun ini. Tambahan lagi, khabar angin bahawa wujud desakan dalaman UMNO memaksa Perdana Menteri Najib melepaskan jawatannya mulai bertiup malah semakin hari semakin kencang. Najib tidak mempunyai banyak pilihan dalam situasi sedemikian. Kehilangan sokongan UMNO menjadikan sokongan luar lebih penting sekarang.

Dalam keadaan terdesak, Najib (gambar kiri) terpaksa mengambil tindakan drastik dalam percubaannya untuk mendapatkan sokongan rakyat. Kalau selepas Pilihan Raya Umum 2008 UMNO memerlukan Najib dengan retorik dan popularitinya untuk menenteramkan kemarahan rakyat terhadap keangguhan dan segala bentuk kecacatan dasar serta penyelewengan yang dikaitkan dengan UMNO dan pemimpin UMNO, kini populariti Najib jatuh dan dilihat sebagai liabiliti UMNO yang bakal menenggelamkan UMNO kalau dibiarkan terus memegang tampuk pimpinan.

Baru-baru ini, desas-desus Najib berdepan dengan tekanan dalaman UMNO kelihatan lebih jelas berikutan penerbitan sebuah buku berjudul "Tak berubah, faktor Rosmah & pola Sarawak petanda BN The End, Najib Perdana Menteri Terakhir..." oleh Shahbudin Husin yang memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju dari 2004 hingga 2008.

Meksipun Persatuan Bekas-bekas Wakil Rakyat UMNO (Penawar) telah menafikan laporan blog bahawa pihaknya telah memutuskan untuk meminta Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, namun perkembangan terkini nampaknya memperkukuh dakwaan bahawa wujud kuasa politik yang mahukan Najib melepaskan jawatannya.

Mahathir baru sahaja menyarankan agar jangan diawalkan pilihan raya umum akan datang, Najib pula mengambil tindakan yang bercanggah dengan kemahuan Mahathir seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Lah, dengan membuat pengumuman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan seumpamanya yang dilihat sebagai indikator ketibaan pilihan raya umum dalam jangka masa yang lebih pendek.

Tindakan tersebut juga dapat dilihat sebagai percubaan Najib untuk mendapat sokongan rakyat agar dapat berdiri teguh sebagai seorang pemimpin negara yang memegang kuasa dan membuat keputusan. Maksudnya Najib enggan menunduk kepada kuasa dalaman UMNO yang semakin hari semakin tidak puasa hati dengan beliau dan juga peranan Rosmah dalam pentadbirannya.

Dalam buku setebal lebih 300 halaman dan 25 bab yang disifatkan oleh penulis buku sebagai "menegur Najib selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri", bukan bertujuan "mengkritik parti", secara jelas kritikan tersebut cuba mengasingkan Najib daripada UMNO. Khususnya dalam kritikan tajam terhadap tindak-tanduk Rosmah, penulis buku menyifatkan faktor Rosmah bakal menjahanamkan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang seperti mana faktor Khairy Jamaluddin semasa Pilihan Raya Umum 2008. Masih ingatkah serangan Mahathir terhadap Pak Lah bahawa wujud campur tangan pentadbiran oleh sekumpulan "budak Tingkat 4" pada ketika itu? Persoalan seumpama juga dibangkitkan oleh Shahbudin Husin berhubung peranan dan campur tangan Rosmah dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan seorang anak bangsawan bergelar Najib.

"Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib melakukan banyak kelemahan, disebabkan oleh kepimpinannya, masalah yang disebabkan oleh isterinya."

"Tidak pernah dalam sejarah Malaysia, seorang Perdana Menteri diragui rakyat sebegini rupa."

"Jika dihitung, luahan rasa kecewa, tidak yakin malah keraguan lebih banyak kedengaran berbanding sanjungan dan keyakinan."

"UMNO dan kerajaan yang diterajui Najib dipertikai hampir dari semua sudut sebenarnya."

"… isu campur tangan isteri dan penglibatan beberapa pegawainya yang didakwa rasuah dan salah guna kuasa, semuanya menjurus kepada semakin meningkatnya ketidakyakinan rakyat terhadap beliau."

Bayangkan, komen-komen sedemikian bukan datang daripada Pemuda KEADILAN atau Pemuda PAS, tetapi Pemuda UMNO. Bayangkan juga, bagaimana Pak Lah yang juga merupakan anak seorang ulama tumbang selepas Pilihan Raya Umum 2008 tetapi UMNO masih berdiri angkuh memainkan segala isu yang bercanggah dengan prinsip dan dasar sebuah kerajaan yang adil dan saksama.

Dengan kata lain, tidak cukup sekadar menukar pemimpin. Apabila wujud sebuah parti yang memberikan harapan, adalah wajar pemimpin bermasalah dalam parti tersebut ditukarkan agar parti tersebut dapat bertindak secara gagah membawa perubahan secara dasar kepada negara.

Tetapi, apabila wujud sebuah parti yang terlalu korup sifatnya, tidak cukup sekadar menukar pemimpin dan mengharapkan pemimpin baharu dapat membawa harapan baharu berlandaskan sebuah parti yang korup. Harapan baharu datang daripada perubahan secara dasar dan pembaharuan keseluruhan. Dalam konteks Malaysia hari ini, pertukaran parti yang memerintah lebih penting daripada pertukaran pemimpin sebuah parti. Jangan lagi rakyat mengulangi sejarah pertukaran pemimpin UMNO tanpa menukarkan UMNO. Sebarang tindakan drastik setelah mengambil kira percaturan politik realiti tidak bermakna parti yang memerintah mampu berubah secara dasar dan menyeluruh.

Syabas kepada Najib kerana membuat pengumuman pemansuhan ISA dan seumpamanya. Idea perubahan termaktub dalam Buku Jingga. Kini pelaksanaan Program 100 Hari Pertama oleh Pakatan Rakyat apabila mendapat mandat rakyat nampaknya diawalkan ekoran Najib terdesak untuk berbuat demikian. Tetapi pengumuman tersebut sekadar langkah awal berkaitan perubahan besar yang dinanti-nantikan oleh rakyat terbanyak.

Sama ada ahli Parlimen UMNO yang lain dan juga Perkasa memberi sokongan kepada usul kerajaan ekoran keperluan proses perundangan berhubung pengumuman-pengumuman berkaitan dimulakan masih tidak menentu. Dewan Rakyat akan bersidang pada 3 Oktober 2011. Empat hari pertama akan diperuntukkan untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga rang undang-undang sama ada yang melibatkan pindaan atau penggubalan akta baharu.

Melihat kepada perkembangan baru-baru ini. Kerajaan Persekutuan telah memperkenan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya yang begitu terserlah dalam konteks gerakan BERSIH 2.0 yang juga memperlihatkan kemarahan dan ketidakpuasan rakyat terhadap pentadbiran Najib yang disifatkan sebagai represif.

Bermula pada 7 Oktober 2011, Najib akan membentangkan Belanjawan Negara 2012. Seterusnya, sidang dewan akan menumpu kepada perbahasan belanjawan sehingga 29 November 2011. Kalau jadual sidang dewan diikuti tanpa perubahan, dua hari terakhir sidang dewan yakni 30 November 2011 dan 1 Disember 2011 barulah dewan kembali menguruskan perkara rang undang-undang.

Maka persoalannya, dalam keadaan di mana peruntukan hari untuk urusan rang undang-undang sekadar enam hari secara keseluruhan, dapatkah usul-usul berkaitan dengan pengumuman Najib diuruskan secara menyeluruh dan memuaskan? Persoalan seterusnya, apabila tumpuan dewan adalah terhadap urusan Kerajaan Persekutuan ekoran pengumuman Najib, apakah urusan pembaharuan sistem pilihan raya bakal diketepikan?

Pengumuman semalam oleh Najib melibatkan pemansuhan dan pindaan bilangan akta yang banyak, antaranya termasuk:

1.Perlembagaan Persekutuan;
2.Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960;
3.Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) (No. 5) 1969;
4.Akta Kediaman Terhad 1933;
5.Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1964;
6.Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979;
7.Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;
8.Akta Buang Negeri 1959;

Kalau Najib memegang kuat kepada prinsip yang berkait rapat dengan pengumumannya, masa yang cukup harus diperuntukkan untuk urusan dewan berkaitan di mana pertimbangan juga harus diberikan kepada urusan-urusan seperti kemungkinan memansuhkan sama sekali keperluan permohonan lesen penerbitan dan digantikan dengan pendaftaran bersifat administratif, menghadkan kuasa Menteri dengan mengizinkan keputusan Menteri dicabar dalam Mahkamah dan sebagainya.

Sesungguhnya, berikutan pemansuhan ISA dan ordinan darurat, Kerajaan Persekutuan patut mengemukakan usul meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya mangsa tahanan tanpa bicara, malahan patut mengemukakan usul memberi pampasan kepada semua mangsa berkaitan. Masih ingatkah Najib bahawa terdapat kes Mahkamah menolak permohonan rayuan bekas tahanan ISA, Abdul Malek Hussein yang hilang pampasan RM2.5 juta setelah Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan tuntutan samannya?

Tanggal 7 April 2011, Rang Undang-Undang Ahli Persendirian "Akta Pemansuhan Darurat" yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah (gambar kiri) ditolak dalam kamar. Serupa dengan sejarah kemerdekaan di mana UMNO "menyambut kemerdekaan" setelah tanah jajahan melalui fasa "orang-orang yang berjuang menentang British, yang mendapat hasilnya ialah orang-orang yang bekerja dengan British", kini tuntutan yang dibangkitkan oleh Nurul Izzah dijadikan produk imej demokrasi seorang Perdana Menteri demi kelangsungan hayat politiknya.

Melihat kepada bilangan hari dan bilangan usul yang perlu diuruskan oleh dewan, seorang Perdana Menteri yang berazam melakukan transformasi politik secara berimpak akan memanjangkan bilangan hari persidangan dewan, bukan memanggil pilihan raya umum.

Baca: Perutusan Khas PM sempena Hari Malaysia 2011

Rakaman CCTV Datuk T Disiarkan Di Internet, AMK Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR 18 SEPT : Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat satu laporan polis terhadap penulis blog Papa Gomo kerana bertindak menyiarkan satu lagi sedutan klip video fitnah yang menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing.

Timbalan ketua penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, laporan itu dibuat pada jam 2.00 tadi di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Menurut Rozan, pihaknya juga mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar agar tampil membuat satu kenyataan rasmi bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam menyiarkan satu lagi sedutan klip video itu yang jelas merupakan tindakan terdesak Umno-BN terus-terusan untuk menghancurkan karier politik ketua pembangkang itu.

"Kami ingin seberapa segera Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dari mana Papa Gomo mendapat rakaman ini, sebab itu kami tampil membuat laporan, agar kes ini disiasat segera kerana ia mengancam ketua pembangkang Malaysia," katanya ketika ditemui di luar perkarangan IPD Dang Wangi, petang tadi.

Semalam, negara sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan terbaru keratan video menerusi rakaman CCTV yang menunjukkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah di media arus perdana setelah di muat-naik (upload) dalam blog pro-umno, Papa Gomo.

Penulis blog Papa Gomo menyiarkan rakaman bertarikh 13 Januari 2011 yang disebutnya sebagai rakaman "eksklusif", menunjukkan dua lelaki yang didakwa ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Anwar, masuk dan keluar lif bangunan Apartmen Ampang, yang dikatakan tempat berlaku aksi seks tersebut.

Menerusi blog tersebut, klip rakaman itu seakan disunting untuk menunjukkan rakaman CCTV itu dengan video seks di Carcosa selari dengan urutan tanda masa peristiwa tersebut.

Bagaimanapun, pendedahan itu menimbulkan keraguan apabila pakaian kedua-dua lelaki dalam CCTV itu, tidak kelihatan sepadan dengan kedua-dua lelaki yang ditunjukkan
dalam video seks berkenaan.

Dalam CCTV itu juga, lelaki yang dikatakan Eskay memakai pakaian yang berwarna gelap, manakala dalam video seks, lelaki yang ditunjukkan, berbaju dan berseluar cerah.

Rakaman CCTV itu sebelumnya disebut dalam fakta kes apabila Eskay dan dua orang lagi anggota trio 'Datuk T' dihadapkan di mahkamah atas tuduhan menyiarkan video lucah itu Jun lalu.

Sementara lelaki yang didakwa mirip Anwar itu pula berseluar gelap dalam rakaman CCTV itu, tetapi seluar dalam video seks itu kelihatan cerah.

Sehubungan itu, Rozan mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut berhubung perkara tersebut, namun menjelaskan bahawa rakyat kini sudah bijak menilai kerja-kerja jahat para blogger pro Umno yang secara terbuka mengaibkan Anwar.

"Kami AMK bertindak untuk tidak mahu memberi sebarang penjelasan berhubung isu teknikal, sama ada kesahihan video ini. Isu pakaian sama atau tidak, kerana kami yakin orang ramai bijak untuk menilai sendiri, dan yakin ia adalah usaha blogger seperti Papa Gomo untuk kembali menyerang secara peribadi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," jelasnya.

Selain itu, AMK dalam laporan polisnya hari ini turut menuntut Menteri Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim agar memberi penjelasan segera berhubung perkembangan terkini siasatan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap beberapa pihak yang didakwa terlibat menyebarkan satu video seks di Internet, pada 5 April lalu.

Video seks berkenaan dipercayai merupakan sedutan daripada video lucah yang ditunjukkan kepada sekumpulan wartawan dan individu berkepentingan sejak 21 Mac lalu.

Laporan itu antara lainnya menamakan laman papagomo.com, pisau.net dan juga gerakanantipkr.blogspot.com sebagai pihak yang perlu disiasat berhubung penyebaran video berkenaan.


Halang Ahli Politik Beri Kuliah Agama, Tindakan Tidak Masuk Akal



SHAH ALAM 18 SEPT : Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abd Rani Osman menegaskan tindakan menghalang mana-mana ahli politik dan wakil rakyat daripada menyampaikan kuliah agama di masjid mahupun surau adalah langkah “tidak masuk akal.”

“Menghalang ahli politik ataupun mereka yang dipilih oleh rakyat bercakap dan menyampaikan maklumat tentang agama adalah satu perkara yang tidak masuk akal, malah saya tidak setuju langsung,” katanya.

Dr Rani yang juga ADUN Meru itu berkata, beliau kesal dan tidak berpuas hati kerana tauliahnya untuk mengajar oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah ditarik balik.

Khamis lalu, Pengarah Jais Marzuki Hussin dipetik berkata ahli politik tidak lagi diberi tauliah untuk berceramah di semua 2,081 surau dan 380 masjid di seluruh Selangor.

“Mana-mana ahli politik yang mempunyai tauliah sebelum ini tidak boleh memperbaharuinya sebaik ia tamat dan mereka tidak lagi dibenarkan memberikan ceramah di semua surau dan masjid di negeri ini,” kata Marzuki.

Marzuki berkata, larangan terhadap ahli politik itu adalah bagi mematuhi titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui surat pekeliling bertarikh 22 Jun lalu.

Menurutnya lagi, Sultan Selangor tidak berkenan untuk memberikan tauliah kepada semua ahli politik untuk berceramah di semua surau dan masjid di seluruh Selangor.

Dr Rani yang dilantik sebagai ketua PAS negeri Jun lalu menambah, pentauliahan diadakan bagi mengelak daripada berlakunya penyebaran ajaran sesat oleh mereka yang tidak dikenali tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

“Kita melihat ramai ahli politik yang mempunyai sijil-sijil agama yang diiktiraf sama ada di dalam mahupun di luar negara dan kebanyakan darinya telah mendapat pengiktirafan dari Arab dan juga Mesir.

“Jadi isu ajaran sesat tidak timbul, malah menghalang mereka-mereka ini dari menyampaikan sesuatu kebaikan adalah bertentangan dengan apa yang Islam kehendaki,” tambah beliau dipetik Harakahdaily hari ini.

Dr Rani memberitahu, sebelum ini pemimpin Umno bebas melakukan apa sahaja termasuk menyampaikan dakwah di surau-surau mahupun masjid.

Katanya, jika dulu pemimpin-pemimpin Umno bebas melakukan apa saja yang mereka mahu termasuk menyampaikan tazkirah di surau mahupun masjid, malah bermacam-macam perkara mereka lakukan.

“Sepanjang itu jugalah kita melihat tidak pernah ada pentaulihan diberikan malah Jais hanya berdiam diri dan yang paling mendukacitakan Jais juga turun sama dalam program yang dianjurkan oleh Umno itu.

“Dulu tak pernah wujud seperti ini tetapi sekarang macam-macam halangan ada. Kita tidak bebas lagi hendak menyampaikan dakwah malah setiap pergerakan kita dipantau,” tambah Dr Rani.

Beliau juga menjelaskan, walaupun tauliahnya telah ditarik balik aktiviti dakwahnya tetap diteruskan.

“Saya akan tetap berdakwah walaupun tidak diberi tauliah oleh Jais, jika sebelum saya menjadi Adun saya bebas melakukan dakwah atas sebab apa saya hendak hentikannya.

“Jika ada pihak mengatakan isi penyampaian dakwah saya ada yang salah sila buktikan kesalahan itu dan setiap tuduhan perlu ada bukti yang kukuh bukannya sekadar cakap kosong,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.

PKR Ragui Klip Terbaru, Dakwa Umno-BN Teruskan Taktik Lama

KUALA LUMPUR 18 SEPT : Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan tindakan menyiarkan satu lagi sedutan klip, menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing, sebagai perbuatan terdesak Umno-BN berterusan dan terancang dengan bantuan pihak berkuasa.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata, pihaknya yakin tindakan sedemikian akan dipertingkatkan ketika pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sambil menegaskan orang ramai sudah bosan dengan perbuatan sedemikian, peguam ini menambah, beliau yakin Umno-BN akan meneruskan serangan sedemikian selepas ini.

“Saya hendak sebutkan dengan ringkas ... ini kerja terdesak musuh politik Datuk Seri Anwar (gambar), mereka merancang dan adakan klip-klip rekaan, dan saya yakin setiap bulan akan ada terbitan macam ini ... ini dilakukan oleh Umno-BN, dengan kerjasama pihak berkuasa, saya berani untuk mengatakan yang ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

“Sebagaimana kami katakan sejak timbulnya klip rakaman sebelum ini, dalam dunia teknologi yang canggih pada masa sekarang, bukan sukar untuk mengadakan bahan-bahan macam ... saya yakin mereka akan terus dengan perbuatan mereka sehingga pilihan raya,” kata beliau yang turut mengakui bahawa warna pakaian dikenakan oleh ahli perniagaan Datuk Shahzryl Eskay Abdullah dalam video yang dipertontonkan pada Mac lalu dan disebarkan menerusi Internet kemudian berbeza dengan dalam sedutan klip terbaru dilihat semalam.

“Ya, kedua-duanya jauh berbeza ... ini sudah cukup untuk mengatakan bahawa ada unsur rekaan dan manipulasi, yang penting untuk dikatakan di sini ialah pihak terbabit mereka cipta bahan macam ini,” katanya lagi sambil menambah, biar rakyat menilai perbuatan mereka.

Kata beliau, musuh politik seharusnya berani untuk berhadapan isu-isu dasar daripada menggunakan taktik dan serangan macam ini.

Selepas mendedahkan klip rakaman video seks, didakwa pelakunya Anwar awal tahun ini, semalam blog pro-Umno menyiarkan sedutan klip menunjukkan Ketua Pembangkang itu memasuki lif premis lokasi kejadian.

Sedutan yang dibawa blog papagomo menunjukkan Anwar memasuki lif sebuah apartmen dengan diiringi Shahzryl Eskay, dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ia menunjukkan Anwar memakai baju ungu dan berselipar manakala Shahzryl Eskay sut berwarna hitam.

Dua sedutan klip dimuatkan iaitu masing-masing satu ketika masuk ke dalam lif dengan Anwar di depan dan satu lagi ketika keluar dari lif. Ketika keluar lif, Shahzryl Eskay berada di depan.

Butiran pada sedutan itu menunjukkan mereka masuk ke dalam lif pada pukul 10.09 malam dan keluar pada pukul 10.52 malam, 21 Februari lalu.

Tarikh itu sama dengan tarikh kejadian hubungan seks dengan pelacur dari China didakwa diadakan, yang didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu.

Sedutan ini berwarna manakala klip rakaman yang didedahkan pada 21 Mac lalu pula berwarna hitam. Sedutan klip rakaman hitam putih telah pun didedahkan kepada umum melalui blog-blog Umno sebelum ini.

Kata blog papagomo, “rakaman yang mana dirakam oleh CCTV dengan warna jelas dan muka Anwar juga jelas kelihatan. Waktu rakaman juga selari dengan apa yang dilakukan oleh Dato Seri Anwar bersama pelacur China tersebut.”

Blog itu juga mendakwa waktu yang dicatatkan pada video seks tersebut seiring dengan rakaman CCTV yang menunjukkan Anwar masuk ke dalam lif dan kemudian keluar.

“Malah sebelum ini juga kita semua telah didedahkan dengan kehilangan Datu Seri Anwar Ibrahim dalam Twitter dan Facebook waktu hubungan seks tersebut berjalan,” kata blog tersebut.

Anwar bagaimanapun telah menafikan ‘kehilangan’ yang dimaksudkan dan beliau juga bukan lelaki yang didakwa dalam video itu.

Beliau membuat laporan polis pada 22 Mac lalu iaitu sehari selepas Shahzryl Eskay mendedahkan klip rakaman itu.

Shahzryl dan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim - mengelar diri mereka “Datuk T’mengaku bertanggungjawab atas tindakan mendedahkan klip itu kepada wakil media terpilih pada 21 Mac lalu di Carcosa Seri Negara.

Pada 24 Jun, trio “Datuk T” itu mengaku bersalah menayangkan rakaman video seks Mac lalu dan dikenakan denda total RM5,500.