Lutut
yang terdedah
Pada bulan Januari lalu, seorang wanita dilaporkan tidak dibenarkan memasuki balai polis di
Kajang, Selangor kerana memakai seluar pendek – yang katanya bertentangan
dengan etika berpakaian di balai itu.
Baru-baru ini pula, seorang pegawai perubatan di Hospital Kampar
dilaporkan menolak untuk memberi rawatan untuk
seorang wanita yang berseluar pendek. Apa pula seterusnya?
Pada tahun 2015 theSun ada menyiarkan artikel berjudul “Kod berpakaian di agensi kerajaan hanya untuk penjawat
awam“.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Azalina Othman
Said, dilaporkan berkata tidak ada peraturan pakaian khusus yang ditetapkan
untuk dipatuhi orang ramai ketika melawat mana-mana agensi kerajaan. Hanya
penjawat awam yang terikat dengan etika berpakaian di tempat kerja mereka, yang
akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Pejabat kerajaan tetap akan melayan
orang ramai walaupun mereka tidak berpakaian sesuai di pejabat, katanya.
Pandangan yang sama turut dipegang oleh
menteri undang-undang ketika itu, Nancy Shukri, yang dilaporkan berkata bahawa
orang ramai sepatutnya boleh memakai apa sahaja yang mereka mahu, asalkan bukan
tidak senonoh.
Sehingga hari ini, Nancy Shukri, yang kini Menteri Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetap mengekalkan pendiriannya: “Adalah tidak wajar
untuk menafikan akses kepada mana-mana individu ke balai polis tanpa mengira
cara mereka berpakaian.”
Penguatkuasaan mana-mana kod berpakaian sewenang-wenangnya ke
atas orang awam, terutamanya mereka yang memerlukan perkhidmatan dan bantuan
kerajaan, adalah tidak boleh diterima.
Lebih buruk lagi, ia merupakan diskriminasi dan satu bentuk
kawalan ke atas kebebasan orang ramai memilih pakaian, terutamanya bagi para
wanita.
Menafikan perkhidmatan berdasarkan pakaian merupakan sebuah
pembulian terhadap cara seseorang berpakaian.
Penyedia perkhidmatan dalam sektor kerajaan sepatutnya
menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai. Tumpuan harus diberikan kepada
penyampaian perkhidmatan yang cepat dan berkesan dengan penuh belas kasihan dan
akal yang sihat.
Sama ada lutut atau paha seseorang kelihatan atau kedua-duanya
bagi yang memerlukan perkhidmatan bukanlah isunya. Pandangan subjektif mengenai
soal kesopanan juga bukanlah isunya di sini.
Semoga pentadbiran baharu ini berani untuk menghapuskan etika
berpakaian untuk orang ramai di pejabat kerajaan.
Kemiskinan
akan datang
Senarai isu yang dihadapi kerajaan kini cukup panjang. Perkara
utama yang diperlukan adalah untuk kerajaan berusaha ke arah menyediakan
jaringan keselamatan sosial untuk semua lapisan masyarakat, ketika rakyat
bergelut dengan inflasi dan peningkatan kos
sara hidup.
Pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semasa
pandemik Covid telah mengurangkan simpanan persaraan para ahli. Mengikut data KWSP, 51.5% atau 6.7 juta ahli di bawah
umur 55 tahun mempunyai simpanan di bawah RM10,000 pada akhir 2022. Daripada
jumlah ini, 3.2 juta ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.
Bagaimanakah mereka ini akan bertahan menuju tahun persaraan
mereka nanti? Pada kadar semasa ini, mereka akan bersara dalam kemiskinan.
Parti Sosialis Malaysia (PSM), dalam kempen memulihkan negara
iaitu #RakyatMintaLima, telah mencadangkan pencen bulanan untuk warga emas yang
tidak mempunyai sebarang bentuk pencen, di bawah tonggak untuk memperkasakan
keselamatan sosial.
Ini adalah sesuatu yang kerajaan sekarang harus pertimbangkan
sambil meneruskan pemberian wang tunai kepada kumpulan yang mudah terjejas.
Sementara itu, pelaksanaan penuh gaji minimum RM1,500 masih
menjadi perjuangan walaupun perintah gaji minimum berkuat kuasa sejak 1 Mei
2022. Pekerja di tempat kerja yang mempunyai kurang daripada lima pekerja perlu menunggu sehingga Julai 2023 untuk
menerima gaji sebanyak RM1,500.
Bank Negara pada 2018 mencadangkan gaji sara hidup RM2,600 untuk
seorang warga dewasa bujang di Kuala Lumpur. Jadi tidakkah anda tertanya-tanya
bagaimana orang dapat bertahan dengan hanya RM1,500 sebulan, terutamanya dengan
kos sara hidup yang semakin meningkat? Pada pendapat anda, berapa banyak yang boleh
mereka sumbangkan kepada simpanan persaraan mereka? Apakah masa depan mereka?
Kehancuran
alam sekitar
Kerajaan baharu kita berdepan pelbagai isu alam sekitar untuk
ditangani: banjir, tanah runtuh, perlombongan pasir haram, penebangan hutan serta
pembangunan berlebihan, terutamanya di lereng bukit.
Satu artikel baru-baru ini membongkar
rancangan untuk “menebang dan menanam semula hutan” di hutan simpan Kledang
Saiong di Perak.
Jabatan Alam Sekitar ada mengeluarkan draf laporan penilaian
impak alam sekitar pada Disember 2022 untuk cadangan penanaman hutan di 4,280
hektar (kira-kira 6,000 padang bola) dalam hutan simpan untuk maklum balas
orang ramai.
Matlamat utama projek itu nampaknya adalah “untuk memastikan
bekalan kayu yang mencukupi dan berterusan bagi industri berasaskan kayu
tempatan dan luar negara”.
Projek gergasi ini menimbulkan pelbagai kebimbangan:
hakisan tanah, kelodak di sungai berhampiran, risiko banjir di kampung
berhampiran, kesan ke atas Orang Asli di kawasan itu (di Bukit Chermin) serta
kehilangan biodiversiti secara besar-besaran di kawasan itu.
Ketika berlakunya krisis iklim ini serta apa yang kita sudah
saksikan dengan pembersihan tanah yang berskala besar ini, apakah ini yang
perlu dilakukan oleh negara? Siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada
projek seperti ini?
Kerajaan dibebani dengan pelbagai tugas. Setiap langkahnya akan
diperhatikan penuh teliti. Semoga slogan “Malaysia Madani” (Madani merupakan akronim
untuk kelestarian, penjagaan dan belas kasihan, hormat-menghormati, inovasi,
kemakmuran dan amanah) tidak hanya menjadi slogan kosong.
Sementara itu, kita sebagai rakyat harus sedar peranan yang
boleh dimainkan oleh setiap daripada kita untuk membawa pembaharuan yang
diperlukan oleh negara.
Mari juga kita sama-sama mengingati mereka yang terjejas
oleh gempa bumi Turki-Syria, yang telah
menyebabkan 46,000 orang maut dan ia semakin bertambah. Penderitaan dan
kemusnahan yang terjadi tidak dapat dibayangkan. Syukur kerajaan Malaysia juga
ada menghantar sokongan kepada kedua-dua
negara. Jika anda mampu, sila derma kepada tabung bantuan kecemasan gempa Mercy
Malaysia Türkiye 2023 melalui: MERCY Humanitarian Fund, MBB 5621 7950 4126,
Swift code: MBBEMYKL.
Beberapa hari sudah berlalu, dan kita melihat tangan manusia,
daripada kerajaan serta pasukan penyelamat yang berbeza dari seluruh dunia,
terus menghulurkan bantuan bagi menyokong, menyelamat dan memenangkan mangsa.
Dalam mengutamakan soal kemanusiaan inilah, kita dapat mencari
jalan ke hadapan.
Prema Devaraj
Editor bersama, surat berita Aliran
20 Februari 2023
Terjemahan oleh: Zikri Rahman
The
views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have
endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other
pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.