Kempen sokong calon MCA: Pendirian Pas macam lalang
Sokongan Pas ke atas calon MCA dalam kempen BN di Tanjung Piai mendedahkan sikap parti tersebut ‘seumpama lalang’ dalam perjuangan Islam.
Menurut Penasihat Umum Parti Amanah Negara, Datuk Seri Ustaz Ahmad Awang, Pas amat maklum latar belakang calon BN Wee Jeck Seng yang anti hukum Hudud sejak sekian lama.
Katanya, amat tidak wajar Pas turun berkempen membantu calon itu dan memfatwakan kepada ahli-ahli supaya mengundi pemimpin yang menentang hukum Islam. Sedangkan, katanya, calon Pakatan Harapan adalah seorang imam dan lebih aula untuk disokong.
Menurut Ahmad lagi, sikap Pas itu memperlihatkan parti berkenaan semakin tidak mempunyai matlamat perjuangan dan tidak boleh dianggap sebagai rakan seperjuangan Islam.
“Pas memperalat kumpulan dan parti politik tertentu untuk kepentingan mereka sendiri. Pas seolah-olah nak menunjukkan penyertaan mereka (berkempen) adalah sebahagian daripada Muafakat Nasional, hakikatnya yang bertanding (MCA) tidak ada kena mengena dengan Muafakat Nasional.
“Ini yang dipanggil ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’, ahli Umno di bawah (ahli biasa) sendiri tidak beriya-riya dengan calon MCA, tetapi Pas pula memberi sokongan. Pas sepatutnya malu kerana MCA tidak pernah mengajak pun (membantu kempen),” katanya dipetik Suara Keadilan.