SIASATAN 1MDB: SWITZERLAND TEMUI KES SALAH LAKU LIBATKAN DANA RM4 BILION

Potong biasiswa tapi biarkan skandal rasuah berleluasa



30  Januari 2016zairil2 jpa


KUALA LUMPUR 29 JAN: Rakyat Malaysia tidak dapat menerima pemotongan peruntukan program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika gejala rasuah dan skandal kewangan pemimpin utama kerajaan menjadi-jadi.
Sepatutnya, Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi, Zairil Khir Johari , berkata Kerajaan UMNO BN mengurangkan ketirisan dan skandal kewangan, bukannya memotong peruntukan empat program biasiswa JPA antara 20 hingga 60 peratus.
“Berpuluh-puluh bilion ringgit dibazirkan melalui skandal kewangan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Zon Bebas Pelabuhan Klang, Forex Bank Negara dan lain-lain.
“Mengikut laporan badan pemerhati kewangan, Global Financial Integrity terbitan bulan lalu, Malaysia kehilangan USD48.25 bilion pada 2013 melalui aliran keluar wang haram berpunca dari pengelakan cukai, jenayah, rasuah dan aktiviti haram lain.
“Dengan memperkenal dasar perolehan lebih telus seperti tender terbuka, merombak monopoli tidak kompetitif dan mengurangkan amalan mencari sewa, simpanan kira-kira RM30 bilion atau lebih 10 peratus Bajet 2016 boleh dicapai,” katanya.
Beliau mengulas pemotongan peruntukan 20 hingga 60 peratus bagi empat program biasiswa iaitu program Biasiswa Nasional, program Khas Kejuruteraan, program Lepasan Bursari dan program Ijazah Pertama dalam Negara yang dibentang Perdana Menteri, semalam.
Program Biasiswa Nasional untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik dipotong daripada 50 kepada 20 orang, pemotongan 60 peratus dan program Khas Kejuruteraan dari 300 kepada 200 orang, iaitu pemotongan 33 peratus.
Selain itu, lebih 250 pelajar program Lepasan Bursari dan lebih 2,000 pelajar program Ijazah Pertama Dalam Negara akan ‘dikorbankan’ kerana peruntukan dikurangkan, masing-masing mengalami pemotongan antara 25 peratus dan 21 peratus.
“DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan memotong peruntukan biasiswa kerana ia mengorbankan masa depan anak muda.
“Apabila RM500 juta boleh dibayar sebagai ‘komisen’ bagi pembelian kapal selam dan RM250 juta pinjaman mudah diberi atas dasar kronisme, ia mempersenda lebih 2,000 anak muda dengan potensi besar yang bekerja keras tapi dinafi peluang melanjutkan pelajaran,” katanya.
Selain mengurangkan amalan ketirisan dan skandal kewangan, Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, banyak program boleh dimansuh antaranya Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara (BTN), TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). -Roketkini.com

UMNO berebut kuasa, rakyat Kedah diabai


steven sim

BUKIT MERTAJAM 29 JAN: UMNO khususnya di Kedah digesa supaya berhenti berlegar dalam lingkungan ‘siapa harus ditampuk kuasa’ ketika rakyat terpaksa berhadapan dengan keparahan ekonomi global mahupun tempatan.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong kesal kerana UMNO hanya peduli soal kuasa sedangkan rakyat negara ini terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu untuk tahun-tahun berikutnya.
“Kedah dan semua rakyat Malaysia sedang bersedia menghadapi tahun yang mencabar. Ramai bimbang isu kerja, apatah lagi selepas menteri mengakui pemberhentian tetap berlaku hingga 2017.
“Peningkatan kos sara hidup, penyusutan keuntungan kerajaan ekoran kejatuhan harga minyak, pengurangan perbelanjaan kerajaan serta cukai baru adalah faktor cabaran ekonomi mega untuk setiap rakyat.
“Namun, di tengah-tengah cabaran itu. UMNO hanya tahu tentang perebutan kuasa,” katanya mengulas peristiwa kehadiran tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ke mesyuarat mingguan yang dipengerusi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir Rabu lalu.
Memetik artikel 41 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, Steven Sim berkata, mesyuarat Exco memerlukan sekurang-kurangnya kehadiran empat Exco selain anggota yang mempengerusikannya untuk membenarkan sesuatu mesyuarat itu berlangsung.
“Perkembangan itu menunjukkan krisis Menteri Besar di Kedah semakin parah. Dengan kelumpuhan Exco, cabang eksekutif di negeri itu tidak dapat berfungsi langsung. Dengan kata lain, tidak ada lagi pentadbiran di negeri itu,” katanya.
Menegaskan pertelingkahan dalaman parti itu pasti akan membahayakan Kedah, Steven Sim menggesa Mukhriz dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bertindak segera bagi memperbaiki situasi di negeri itu, sekaligus mengembalikan keadaan sedia kala.
Suasana politik di Kedah meruncing sejak minggu lalu apabila barisan kepimpinan UMNO negeri itu secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah. -Roketkini.com