Perisytiharan harta merupakan pembaharuan besar yang dibawa oleh
Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir Putrajaya selepas 2018.
Dengan perisytiharan harta menteri kabinet dianggap tidak berani
untuk mengumpul harta yang bukan daripada sumber rasmi pendapatan mereka
manakala rakyat boleh menilai kejujuran menteri dalam melaksanakan
tanggungjawab.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, amalan
perisytiharan harta mewajibkan anggota kabinet menyatakan pendapatan, aset,
liabiliti dan butiran kewangan mereka, termasuk harta boleh alih seperti
kenderaan, barang kemas, lesen dan permit, saham, bon dan sekuriti serta
pendapatan bulanan dan nilai simpanan bank. Semua anggota pentadbiran
diwajibkan mengisytiharkan aset dalam tempoh 90 hari.
"Menteri Undang-Undang pada masa itu (PH) Datuk Liew Vui
Keong memberitahu jika seorang Ahli Parlimen membuat deklarasi palsu, mereka
akan terikat oleh Act 783 Statutory Declarations Act 1960 dan Section 199 Kanun
Keseksaan.
"Semasa kerajaan Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin
pula mengumumkan anggota pentadbiran mesti menyerahkan pengisytiharan harta
dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mengangkat sumpah.
"Datuk Takiyuddin sebagai Menteri Undang-Undang pada masa itu
berkata anggota pentadbiran yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada
Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen," katanya dalam kenyataan hari
ini.
Menurut Sim lagi, rujukan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan
Parlimen itu adalah berdasarkan Peraturan Mesyuarat 80 kerana melanggar hak dan
keistimewaan prosiding Parlimen.
Bagaimanapun, ujarnya, timbul keraguan hari ini sama ada anggota
pentadbiran Kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
masih komited kepada pengisytiharan aset seperti amalan kerajaan PH dan PN yang
lalu.
"Saya telah menanya soalan parlimen kepada Perdana Menteri
sama ada Kerajaan masih komited dengan dasar pengisytiharan dan pemaparan harta
oleh anggota pentadbiran.
"Saya amat terkejut dengan jawapan yang diberikan, iaitu:
"SPRM merupakan platform untuk pemaparan harta melalui portal dan bukan
menjadi tanggungjawab SPRM untuk memaksa mana-mana pihak untuk mengisytiharkan
harta mereka. SPRM hanya diberikan mandat oleh Kabinet untuk menentukan masa
dan kaedah pemaparan perisytiharan harta sahaja."
"Maksudnya, anggota pentadbiran tidak lagi diwajibkan
mengisytiharkan harta dan SPRM tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.
"Ini satu masalah besar apabila SPRM tidak diberi kuasa
mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.
Tegas Sim, Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik oleh PM
Ismail Sabri mengangkat sumpah pada 30 Ogos 2021 dan mereka sepatutnya
mengisytiharkan aset pada 30 November 2021. Bagaimanapun selepas 210 hari atau
7 bulan, anggota pentadbiran ini masih belum mengisytiharkan aset .
Manakala jawapan bertulis yang diterimanya berbunyi: "Ahli
Parlimen yang gagal mengisytiharkan harta akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak
dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan
Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan."
"Oleh itu, saya menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Wan Junaidi agar segera mengambil tindakan merujukan anggota-anggota
pentadbiran yang belum mengisytiharkan aset ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
Parlimen untuk tindakan selanjutnya," kata Sim.
Dalam pada itu, Pengarah Strategi KEADILAN itu turut mencadangkan
agar dibentang Akta Deklarasi Aset untuk semua anggota pentadbiran merangkumi
Menteri, Timbalan Menteri dan juga Setiausaha Politik bagi menggantikan amalan
perisytiharan harta yang agak longgar sebelum ini
"Hal itu sejajar dengan obligasi negara kita di bawah United
Nations Convention Against Corruption (UNCAC) yang telah diratifikasi oleh
Malaysia pada 24 September 2008.
"RUU ini mustahak untuk kepengunaan SPRM bagi meneliti,
menyemak dan mensahkan deklarasi yang dibuat dan dapat mewajibkan pihak
pentadbiran untuk membuat deklarasi.
"Tanpa undang-undang pengisytiharan aset wajib, SPRM hanya
memainkan peranan "penjaga" dalam kes borang pengisytiharan aset
diserahkan kepadanya dan tidak melakukan sebarang pengesahan ke atas dokumen
pengisytiharan aset yang diserahkan," katanya lagi.
Sehubungan itu, Sim dalam kenyataannya mendedahkan nama nama
menteri yang masih lagi tidak mengisytiharkan harta seperti Senator Datuk Ustaz
Hj. Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr. Shahidan
Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan; Tan Sri Datuk Seri Noh Omar, Menteri
Pembangunan Keusahwanan dan Koperasi; Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri
Pembangunan Luar Bandar; Yamani Hafez Musa, Timbalan Menteri Kewangan; Datuk
Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan; Datuk Seri Jalaluddin Alias,
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri
di Jabatan Perdana Menteri.